OKU : ORANG KURANG UPAYA BUKAN ORANG KELAINAN UPAYA
Manusia dan bahasa adalah dua gabungan atau jalinan hidup yang memang tidak boleh dipisahkan. Bangsa dan bahasa adalah anugerah Allah yang besar kepada manusia dan melalui bahasa dan bangsa inilah kita dapat saling belajar dan MEmahami akan manusia dan kemanusiaan. Oleh kerana manusia diberi Allah kebolehan menguasai bahasa dan bukannya bahasa yang menguasai manusia, maka manusia telah menggunakan bahasa untuk kepentingannya. Bahasa sering digunakan oleh manusia untuk memgambarkan sesuatu agar objek atau subjek yang digambarkan itu baik, terlalu baik dan amat baik atau buruk, terlalu buruk dan amat buruk. Bukankah ada perpatah yang berbunyi "tiada kata secantik bahasa" dan anak-anak muda juga selalu berkata "ayat engkau power la" atau "awek tu cair dengan ayat engkau"? Ini menunjukkan bahawa bahasa itu jika pandai digunakan boleh merubah sesuatu dari satu persepsi kepada psrsepsi yang lain.
Sewaktu saya kecil apabila bertemu dingan orang buta, pekak, bisu, lumpuh, kudung, tempang atau apa sahaja bentuk kekurangan fizikal yang terdapat pada seseorang maka masyarakat akan menyebut orang itu "orang cacat". Penggunaan istilah "orang cacat" walau pun bubyinya seolah-olah begitu kasar tetapi ia dapat menyampaikan maksud sebunar yang ingin disampaikan oleh enggunanya. Menurut Kamus Dewan cacat membawa maksud kekurangan atau keadaan kurang sempurna. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Empat: ms 234.
Berdasarkan kepada difinisi yang diberi oleh Kamus Dewan itu maka jelas kepada kita penggunaan perkataan "cacat" yang digunakan oleh generasi terdahulu untuk menggambarkan keadaan seseorang itu adalah tepat. Namun begitu, pada tahun-tahun akhir sembilan puluhan pihak-pihak yang berkaitan dengan orang cacat telah menukar istilah "orang cacat" kepada "orang kurang upaya (OKU". Penggunaan istilah ini tampak lebih boleh diterima oleh mesyarakat sama ada golongan OKU itu sendiri, agensi-agensi yang berurusan dengan golongan OKU mahu pun masyarakat umum. Penggunaan teminologi ini terasa lebih mesra OKU dan terasa tidak merendahkan diri orang OKU berbanding dengan penggunaan istilah "orang cacat" sebelumnya. Ia menjadi lebih mudah diterima kerana masyarakat lebih menggunakan singkatannya sahaja iaitu OKU dan bukannya Orang Kurang Upaya.
Keadaan ini jelas dapat dirasai oleh masyarakat dan golongan OKU dan penerimaannya begitu meluas. asil dari terminologi itu maka pihak kerajaan telah mengeluarkan satu kad pengenalan khas untuk golongan OKU dan kad ini lebih dikenali oleh masyarakat dan diterima oleh sektor koperat dan egensi kerajaan sebagai kad OKU. Ini merupakan satu usaha pemerkasaan yang dilakukan oleh kerajaan dan usaha seperti ini harus dipuji.
Penerimaan masyarakat terhadap pengunaan terminologi OKU ini semakin kuat dan ini terbukti apabila ada pihak yang cuba mencadangkan agar golongan Oku ini ditukar kepada golongan istimewa. adangan ini tidak mendapat respon yang positif dari golongan OKU dan masyarakat. Masyarakat tetap menggunakan Oku apabila berurusan dengan golongan Oku ini sama ada secara rasmi atu untuk urusan-urusan seharian. Walau penggunaan istilah "golongan istimewa" nampaknya cantik tapi ia tidak sama sekali menggambarkan keadaan sebenar dan keperluan golongan OKU. Bagi golongan OKU gelaran itu amat merimaskan kerana golongan OKU memang tidak ada keistimewaan yang melayakkan mereka menerima layanan istimewa. Masyarakat pula merasa gelaran istimewa boleh membebankan mereka. Akhirnya istilah itu hilang begitu sahaja.
Sebenarnya satu perkara yang harus difikirkan oleh masyarakat adalah orang cacat tidak semestinya merupakan orang kurang upaya atau OKU tetapi OKU ini pasti cacat. Sebagai contoh, seorang pemuda pekak yang tanpan, kelihatan kacak dan menarik serta berketerrampilan tidak diketahui kekurangannya sehinggalah orang menegur atau menyapa dengan suara lantas dia membalas dengan bahasa isyarat.
Pemuda ini sebenarnya tidak kelihatan cacat pada fizikal tetapi dia merupakan seorang yang kurang upaya. Berbeza pula dengan seorang gadis yang mukanya penuh jerawat. Wajahnya kilihatan cacat dan boleh dipanggil cacat namun bukan kurang upaya kerana memiliki segala panca indera yang diperlukan untuk meneruskan hidup. Jadi, terminoligi OKU ini amat sesuai digunakanbagi menjelaskan keadaan dan keperluan sebenar golongan ini.
Apa pun keadaan tenang ini tidak kekal lama. Baru-baru ini bahasa sekali lagi digunakan untuk kononnya mencantikkan keadaan sesuatu objek atau subjek. Oleh pihak pihak yang berkenaan menyedari sinkatan OKU itu telah diterima umum dan sukar untuk dipadamkan maka pihak tersebut telah meneruskan penggunaan OKU tetapi menukarnya kepada "Orang kelainan Upaya". Persoalannya, apa perlunya pihak-pihak ini membuang masa untuk menukar terminoligi tersebut sedang terminologi dan singkatannya yang sedia ada yang telah berusia lebih kurang 10 tahun ini telah diterima oleh masyarakat dan juga orang OKU itu sendiri. yang kedua, apakah kelainan yang ada pada golongan OKU sehingga ditukar perkataan "kurang" kepada "kelainan"? Golongan ini sebenarnya memiliki keupayaan yang sama dengan orang orang lain cuma mungkin secara relatifnya keupayaan itu kurang hasil dari ketidak sempurnaan fizikal individu berkenaan. Bagi mereka, mereka tetap berusaha seperti orang lain untuk hidup dan tidak ada kelainan-kelainan tertentu yang membolehkan mereka hidup lain dari oran lain.Jadi, yang pasti OKU tetap orang kurang upaya dan bukannya orang kelainan upaya.
Di sini, pihak-pihak yang berurusan terus dengan golongan orang kurang upay (bukan orang kelainan upaya) diseru supaya benar-benar berkhidmat untuk membantu golongan ini dan bukannya sekadar berseminar, mengarang kertas kerja, berconvention dan berdialog di hotel-hotel 5 bintang sedang golongan OKU tetap ditakok lama dan kemudiannya menyalahkan golongan OKU kononnya tidak proaktif, tidak inovatif dan tidak memberi kerja sama. Kalau jaga orang buta tolong-tolonglah belajar pegang tongkat dan tulis braille. Kalau jaga orang lumpuh duduk-duduklah atas kerusi roda. Jangan asyik nak tukar istilah.
Oleh yang demikian, saya menyeru agar kita bersama-sama berjuang untuk memperbetulkan keadaan ini. Di sini dan dalam keadaan begini sekali lagi kesedaran dan kefahaman politik amat penting dan diperlukan. Kesedaran dan kefahaman politik boleh sebenarnya membangkitkan semangat untuk berjuang dalam menegakkan hak kita dan menuntut keperluan kita dan ditambah pula memang kita akan berhadapa dengan orang politik yang memegang kuasa dalam menentukan dasar yang akan atau tidak membela kita. Jadi, bersama-samalah memahami politik agar nasib kita terbela kerana tiada pihak lain yang boleh membela nasib kita termasuk dalam soal istilah OKU ini melainkan kita sendiri.
Sabtu, 1 Ogos 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan