Isnin, 22 November 2010

Penstrukturan semula industri air Selangor : Sekretariat Media Selangor

Kerajaan Negeri Selangor mengajak Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan ‘model holistik’ yang ditawarkan di mana empat syarikat swasta yang mendapat konsesi
air selama ini akan dibeli dan diletakkan ke dalam satu Badan Bertujuan-Khas. Entiti baru ini akan dilurus-tadbir sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor
dengan Kerajaan Persekutuan mempunyai perkongsian saham istimewa. Semua asset berkaitan air akan dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) syarikat
di bawah Kerajaan Persekutuan.

Kenapa Kerajaan Negeri Selangor menawarkan ‘model holistik’?
Kerajaan Negeri Selangor yakin bahawa ‘model holistik’ adalah penyelesaian terbaik kerana rawatan dan agihan air akan dilakukan oleh pengendali tunggal.
Ini akan mengurangkan tariff air kerana tiada isu “kos pemindahan” kerana pada masa ini pengendali rawatan air meletakkan nilai keuntungan yang tinggit
dan ini menyebabkan syarikat pengagihan air meningkatkan tariff air. Industri air akan lebih berkesan dan tidak terbeban dengan asset dengan menggunakan
model holistic. Syarikat swasta ini tidak lagi akan beroperasi seperti mana sebelumnya. Melalui model ini, kenaikan tariff air boleh dibuat tidak melebihi
12% setiap tiga tahun. Keuntungan operasi adalah paling rendah iaitu sekitar 0-1%.

Apakah kesan penswastaan industri perkhidmatan air?
Industri air ini pada asalnya dikendalikan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Ia diswastakan antara tahun 1997 dan 2002 kepada empat syarikat, iaitu :
1. Konsortium Abass Sdn Bhd
2. Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH)
3. Puncak Niaga Sdn Bhd (PUNCAK)
4. Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS)
Penswastaan keperluan awam ini tidak berimbang kerana perjanjian konsesi diberikan kepada SYABAS untuk menaikkan tariff air setiap tiga tahun pada kadar
yang terlalu tinggi. Pada tahun 2009, melalui perjanjian konsesi, SYABAS dibenarkan untuk menaikkan tariff air sehingga 37%. Tariff air ini dijadualkan
akan meningkat pada kadar 25%, 20%, 10% dan 5% pada tahun 2012, 2015, 2018 dan 2021. Pengguna dipaksa membayar harga harga tinggi dan masih menerima kualiti
perkhidmatan yang amat buruk. Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa SYABAS tidak wajar dibenarkan terus beroperasi dan industri air mesti diambil
semula oleh Kerajaan Negeri sebagaimana sejarah asalnya.

Kenapakah penting untuk menyah-swastakan industri perkhidmatan air sedia ada?
Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu telah menyatakan bahawa akses kepada air bersih ialah satu daripada hak asasi manusia dan ini sangat dialukan oleh jurukempen
isu air sebagai satu langkah penting. Resolusi PBB ini menggesa bantuan kewangan disediakan oleh Negara-negara ahli untuk membantu mana-mana Negara menyediakan
air yang selamat, bersih, boleh diakses dan mampu dibayar oleh semua. Sifat ditunjukkan oleh syarikat swasta yang mendapat konsesi air, khususnya SYABAS,
ialah berorientasikan keuntungan dan tidak mengisahkan kepentingan rakyat sebagaimana sepatutnya boleh dilakukan oleh syarikat milikan kerajaan. Akses
kepada air seharusnya memenuhi hak dan keadilan kepada rakyat.

Adakah ini bersesuaian dengan peruntukan undang-undang?
Ya, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 telah diluluskan oleh Parlimen dengan objektif untuk menggabungkan asset industri berkaitan air dan memindahkannya
kepada PAAB. PAAB akan menyumbang kepada perbelanjaan modal (CAPEX) masa depan dan menyediakan dana untuk penyelenggaraan asset. Undang-undang ini telah
diluluskan untuk menyelesaikan masalah industri air yang terbahagi. Objektifnya adalah untuk memastikan pelaburan modal optimum untuk rawatan dan pengagihan
air. PAAB sebagai sebuah entity kerajaan akan menikmati kos pinjaman yang rendah, membolehkan biaya sewa rendah untuk pengendali dan sekaligus akan merendahkan
kadar tariff untuk rakyat. Pendekatan model holistik adalah selari dengan sebahagian cadangan Kerajaan Persekutuan yang telah dijadikan Dasar Kebangsaan.

Kenapa Kerajaan Negeri Selangor mahu menguruskan industri perkhidmatan air?
Pada Februari 2008, perbincangan cabinet telah membuat keputusan membenarkan syarikat milikan kerajaan negeri iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB)
mengetuai proses penstrukturan semula. Selepas meneliti dan membincangkan banyak aspek berkaitan pengambil-alihan ini, Kerajaan Negeri Selangor di bawah
Pakatan Rakyat kini berpendapat adalah baik untuk meneruskannya dengan model holistik yang dicadangkan. Ini bertujuan untuk memberi manfaat kepada rakyat.
Bagaimanapun, selepas Mac 2008, Kerajaan Persekutuan telah mengubah pendirian mereka untuk tidak membenarkan Kerajaan Negeri Selangor menguruskan industri
perkhidmatan air di Selangor.

Adakah benar Kerajaan Negeri Selangor yang menangguhkan projek pengambil-alihan ini?
Tidak. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memberi maklum balas segera kepada semua panggilan mesyuarat yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan. Bahkan, Kerajaan
Negeri Selangor telah memanggil semua syarikat terlibat untuk bermesyuarat pada Mei 2010, tetapi ini telah dihalang oleh Kerajaan Persekutuan melalui e-mel
untuk menunda mesyuarat tersebut  tanpa memberikan alas an. Ini berpunca daripada sikap tidak bersetuju Kerajaan Persekutuan terhadap model holistik yang
ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kerajaan Persekutuan masih mahukan semua syarikat swasta yang terlibat dengan industri perkhidmatan air ini beroperasi.

Dalam bentuk apakan SYABAS menunjukkan prestasi yang tidak memuaskan?
Dalam laporan audit terhadap SYABAS menunjukkan bahawa syarikat swasta itu telah melanggar terma penting dalam syarat perjanjian. Mereka gagal mematuhi
keperluan kontrak untuk dianugerahkan melalui tender terbuka. Lebih 72% kontrak bernilai RM600 juta diberikan kepada syarikat-syarikat yang dipilih melalui
rundingan terus dan hanya 25% syarikat dipilih melalui tender terbuka. Ini telah melanggar syarat perjanjian. Perbezaan sebanyak RM325 juta telah ditemukan
antara ringkasan kontrak yang dianugerahkan pada tahun 2005, 2006 dan 2007 dengan dokumen penilaian SYABAS (Akaun Umum). Pada Jun 2005, SYABAS juga melanggar
konsesi dengan menggunakan paip yang diimpot daripada Indonesia, dan bukan daripada pembekal tempatan, untuk penggantian paip bernilai RM375 juta. RM51.2
juta telah dibelanja untuk mengubahsuai pejabat SYABAS sedangkan Jabatan Kawalselia Air Selangor (JKAS) hanya meluluskan sebanyak RM23.2 juta.

Kenapakah Kerajaan Negeri Selangor tidak membenarkan SYABAS menaikkan tariff air?
Audit adalah satu keperluan yang mesti dilakukan oleh syarikat untuk membolehkan mereka menaikkan tariff air (yang dijadualkan berlaku pada Januari 2009).
Kerajaan Negeri Selangor berpendirian SYABAS tidak menunjukkan prestasi berdasarkan perkara yang boleh dipersoalkan sebagaimana tertera dalam laporan audit
dan ini sekaligus menyebabkan kenaikan tariff air tidak dipersetujui. Kenaikan tariff nin mesti dipersetujui bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan
Negeri Selangor dan ini tidak dilakukan. SYABAS mahu menyaman Kerajaan Negeri sekitar RM1 billion, tetapi hakikatnya Kerajaan Negeri Selangor boleh menyaman
SYABAS kerana tidak menunjukkan prestasi sebagaimana yang dipersetujui dalam perjanjian.

Adakah tawaran Kerajaan Negeri Selangor berpatutan?
Kerajaan Negeri telah memberikan beberapa tawaran kepada syarikat yang terlibat. Pertama, jumlah sebanyak RM5.7 billion dibuat pada Januari 2009 dan ditolak
oleh semua syarikat. Kali kedua, tawaran diberikan sebanyak RM9.29 billion pada Jun 2009 diterima oleh ABASS dan SPLASH, tetapi ditolak oleh PUNCAK dan
SYABAS. Tawaran Kerajaan Negeri ini adalah adil dan berpatutan, mengambil kira pulangan pelaburan modal sebanyak 12%. Ini mengambil kira jumlah dan tempoh
pelaburan serta hutang yang ada. Kami yakin ini adalah adil, tetapi syarikat-syarikat tersebut menuntut nilai lebih tinggi yang kami yakin didorong oleh
sikap tamak mereka. Ini adalah tambahan kepada kontrak yang sedia ada mewah. Lebih tinggi nilai yang tidak sepatutnya dibayar kepada mereka, lebih tinggi
rakyat terpaksa menanggung beban melalui kenaikan tariff.

Apakah langkah seterusnya akan dilakukan berikutan penangguhan ini?
Rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya perlu dijelaskan dan diajak untuk menyatakan sikap kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan bahawaHANYA model
holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor terbaik dan paling sesuai dilakukan. Ini membolehkan tariff yang dikenakan kepada rakyat pada kadar
rendah dan memastikan semua mempunyai akses yang cukup untuk mendapatkan air serta tidak berlaku lagi syarikat kroni mengumpul keuntungan besar untuk manfaat
mereka semata-mata. Tanpa desakan awam, Kerajaan Persekutuan akan menekan dan memaksa Kerajaan Negeri Selangor (dan rakyatnya) untuk menerima model yang
membolehkan syarikat swasta ini terus beroperasi.

Adakah benar krisis air akan berlaku pada tahun 2012?
Kerajaan Negeri Selangor kekal berpendapat ianya adalah spekulasi. Kerajaan Persekutuan pernah menyatakan bahawa krisis air akan berlaku pada tahun 2007
dan 2010 tetapi ini tidak berlaku. Terkini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Peter Chin membuat kenyataa berasaskan Kajian Sumber Air Kebangsaan
(NWRS) 2000-2005 oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang tidak mengikut Garis Panduan Rekabentuk Jabatan Kerja Raya (JKR). NWRS menyatakan jumlah keperluan
air yang terlalu tinggi iaitu 500-1,225 liter per kapita per hari (l/c/d) pada tahun 2010 berbanding dengan angka MWA iaitu 320 l/c/d. Justeru, angka NWRS
sangat boleh dipersoalkan kerana ia menggunakan pembolehubah peningktan pelarasan mesti dibuat terutama dengan reality keadaan ekonomi yang perlahan. Dengan
tumpuan Rancangan Malaysia ke-10 diberikan kepada sector perkhidmatan (dan kurang kepada industri dan pembuatan), permintaan air secara tidak langsung
akan berkurangan.

Perlukah kita mengurangkan penggunaan air?
Kerajaan Negeri Selangor memang menyetujui penggunaan air secara berhemat, kitar semula air dan juga tadahan air hujan. Alternatif-alternatif lain juga
perlu diteroka seperti pengekstrakan air bawah tanah, air daripada sungai dan tasik. Penggunaan air terawatt perlu dikurangkan untuk aktiviti seperti membasuh
kereta, menyiram pokok dan kolam serti akuarium di rumah.

Adakah Kerajaan Negeri Selangor menghentikan Projek Pemindahan Air Antara-Negeri Pahang-Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor menasihatkan Kerajaan Persekutuan untuk menghitung semula permintaan air dengan lebih tepat sebelum berhasrat untuk melaksanakan
sebuah lagi projek mega yang mencecah sehingga RM9 billion. Projek ini tidak perlu dijalankan secara tergesa-gesa. Hakikatnya, projek ini diasaskan daripada
dapatan NWRS yang antara lain disediakan oleh tida syarikat swasta yang terlibat dengan projek tersebut iaitu: Ranhill Bersekutu Sdn Bhd, Jurutera Perunding
Zaaba Sdn Bhd dan SMHB Sdn Bhd. Konflik kepentingan wujud di mana ia menjadi kemahuan mereka untuk menggalakkan pembinaan Empangan Kelau, Loji Rawatan
Air Langat 2 dan pembinaan paip-paip berkaitan. 

Dipetik dari:

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29513:penstrukturan-semula-industri-air-selangor&catid=96:fokus-khas&Itemid=134

Sabtu, 13 November 2010

Kemerdekaan negara 1945 - 57: Bahagian II - Subky Latif

SELEPAS parti-parti politik diharamkan kecuali Umno, pemimpin-pemimpin dan aktivis pejuang kemerdekaan ditahan, suara menuntut kemerdekaan tidak kedengaran.
Pemimpin Umno yang juga Menteri Besar Johor, Dato Oon Jaafar sudah menjadi pegawai anak negeri paling kanan dalam pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu
bertaraf menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal dalam negeri.

Antara tanggungjawabnya menahan dan menjaga tahanan politik serta memantau suasana komunis. Dato Onn mula rapat dengan Sir Cheng Lock, Tan, pemimpin MCA
yang ditubuhkan selepas pembentukan Umno. Tan Cheng Lock atau Sir Cheng Lock, Tan sebelumnya pernah bermuafakat dengan Dr. Burhanuddin al-Hilmy mengenai
status masyarakat Cina dalam kemerdekaan. Cheng Lock dengan gagasan Dr. Burhanuddin tentang satu rupa bangsa iaitu Melayu. Cina dan India akan menjadi
bangsa Melayu keturunan Cina dan bangsa Melayu keturunan India.

Semuanya tidak menjadi kenyataan apabila parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan diharamkan. Sebagai menteri kerajaan penjajah Dato Onn mempunyai hubungan
yang rapat dengan Inggeris. Ketika dia sudah rapat dengan Cheng Lock, Dato Onn mengusulkan Umno membuka keahlian kepada bukan Melayu dan tentunya jika
disetujui Umno akan dipinda dari United Malay National Organization kepada United Malayan Nasional Organzation.

Perhimpunan Agung Umno menolak usul itu. Dato Onn mengundur diri dan keluar dari Umno. Dia digantikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Tunku tidak ada pengalaman
politik. Peranan dalam Umno tidak ketara semasa pimpinan Dato Onn kerana dia keciwa Dato Onn tidak mempertahankan nasib Natrah.

Tindakan pertama Tunku sebagai pemimpin Umno ialah menyambung perjuangan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang diharamkan.
Dia menukar perjuangan HIDUP Melayu Umno kepada MERDEKA. Dia membuka pintu Umno kepada pemimpin dan ahli PKMM untuk bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan.

Beliau pergi ke London bertanya Setiausaha Tanah Jajahan British cara mana Malaya boleh mencapai kemerdekaan. Jawapan British ialah tiada cara Malaya boleh
merdeka jika ia dituntut oleh orang Melayu saja. Ia mesti dituntut oleh semua kaum yang ada di Tanah Melayu.

Piagam Atlantik dan piagam PBB yang ikut ditanda tangani oleh British sudah menetapkan semua kuasa penjajah memerdekakan tanah jajahan masing-masing tetapi
British memberi syarat demikian kepada Umno. Apa motifnya?

Lord Cromer, gabnor terakhir British di Mesir dalam bukunya menyebut, empayar British tidak akan bertolak ansur bagi melepaskan tanah jajahan barang seinci
jua hinggalah wujud satu generasi yang berfikir seperti British.

Tanah Melayu boleh merdeka tetapi mesti mengikut acuan British. Kemerdekaan tidak diberi kepada Melayu yang seratus peratus Islam. 400 tahun Tanah Melayu
dijajah orang Melayu tidak bertukar agama. Ia satu kegagalan bagi penjajahan Kristian Eropah apabila orang Melayu tidak berpecah dalam banyak agama.

Bekas pimpinan PKMM dan Hizbul Muslimin tidak yakin kemerdekaan yang Tunku dan Umno mulai gerakkan kerana pemimpin-pemimpin Umno ada peranan mengharamkan
PKMM dan menahan mereka. Mereka tidak respons kepada pelawaan Tunku kerana masih ramai tahanan politik yang Umno restui merengok di khemah tahanan.

Tetapi pengikut mereka seperti Ghafar Baba dan Ibrahim Fikri tidak menunggu restu dari bekas pemimpin mereka lalu menyertai Umno yang mula mengaku memperjuangkan
kemerdekaan.

Tunku membentuk satu jawatan bagi membebaskan tahanan politik dengan Aziz Ishak, seorang wartawan dan penyokong kuat Ibrahim Yaakub yang mengasaskan KMM
sebagai Setiausaha. Tunku dikatakan mahu sangat Ahmad Boestamam dibebaskan supaya dapat memimpin Pemuda Umno.

Aziz Ishak bukan ahli Umno semasa menjadi setiausaha bagi membebaskan saki baki tahanan politik. Dia adalah orang Ibrahim Yaakub dan dekat dengan Dr. Burhanuddin.
Tunku kemudian berjaya menariknya menjadi ahli Umno. Aziz menjadi ketua Umno Selangor ketika Majlis Perbandaran Kuala Lumpur hendak mengadakan pilihan
raya awal tahun 1950an.

Aziz mengadakan muafakat dengan ketua MCA Selangor, Ong Yoke Lin mengadakan persefahaman Perikatan bagi menghadapi Dato Onn yang memimpin Parti Negara
dalam pilihan raya itu.

Tiada tanya ia idea Tunku tetapi Tunku merestui tindakan Aziz. Muafakat itu berjaya memenangi pilihan raya itu dan bermulalah muafakat Perikatan untuk
menuntut kemerdekaan.

Pembentukan Perikatan itu adalah bagi memenuhi syarat British untuk Malaya merdeka. Syarat British itu adalah helah bagi menjadikan masyarakat Malaya merdeka
nanti menjadi masyarakat majmuk, berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya. Begitulah British bila ia memerdekakan tanah jajahannya, ia meninggalkan masalah
perkauman yang sukar diselesaikan.

Bagi Tanah Melayu ia adalah helah bagi mengelakkan ia menjadi sebuah negara berperintahan Islam seperti yang perjuangan oleh Hizbul Muslimin. Dr. Burhanuddin
dan Dato Onn menggesa supaya Umno jangan menerima syarat British itu kerana lambat laun Tanah Melayu akan merdeka juga kerana piagam PBB sudah memaktubkan
hal itu. Tetapi kerana Tunku dan Umno mahu cepat-cepat merdeka maka ia menerima formula meninggalkan api perkauman itu.

Lau Pak Kuan pemimpin saudagar Cina Ipoh pergi ke England menuntut British tidak memberi kemerdekaan kerana dipercayai tidak menjamin masa depan Cina.
Tetapi syarat British itu adalah peluang yang baik bagi penduduk Cina dan India yang ramai itu untuk diterima menjadi rakyat. Persetujuan Cina dan India
menyokong tuntutan kemerdekaan yang menjadi syarat British itu ialah dijamin hak menjadi rakyat.

Perikatan dalam memonya kepada Suruhanjaya Reid yang bertanggungjawab menggubal perlembagaan Tanah Melayu merdeka bersetuju dengan formula jos suli iaitu
memberi kerakyatan mudah kepada pendatang yang menetap di Malaya bagi tempoh tertentu.
Peluang itu bukan sekadar mereka yang telah lama bermastautin tetapi termasuk pelarian berikutan pembentukan negara komunis China tahun 1948.

Tunku menjadi orang pertama mencapai kemerdekaan melalui perundingan tahun 1957 tetapi formula itu sudah disarankan oleh piagam PBB. Tidak minta merdeka
pun boleh merdeka seperti yang terjadi di Brunei Darussalam.

Dipetik dari
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29446:kemerdekaan-negara-1945-57-bahagian-11&catid=88:subky-latif&Itemid=130

Jumaat, 5 November 2010

CERITA GALAS : PAS KELANTAN KENA BERUBAH

Assalamu alaikum tuan. Berdasarkan kepada prk Galas ini, UMNO-BN telah menang boleh dikatakan besar juga. Salah satu sebab kemenangan tersebut adalah kerana
Kuli. Malah ada yang sebut bahawa Parti Kuli kalahkan PAS atau PAS kalah dengan parti Kuli. Makanya UMNO-BN patut sangat berterima kasih dengan YTM Tenku.

Di pihak PAS, khususnya PAS Kelantan, ini adalah PRK kedua bagi mereka selepas 2008 dan bolehlah dikatakan kedua-duanya memberi gambaran yang prestasi
PAS Kelantan cukup lemah di Kelantan. Mani Urai dan Galas telah memberi jawapan yang cukup jelas kepada PAS Kelantan untuk berbuat sesuatu.

Buat mereka yang sepatutnya berundur, berundurlah secara terhormat, jangan ada gerakan menjatuhkan mereka pula kerana keadaan seperti ini boleh berlaku
dan pasti berlaku tanpa dirancang bila sampai masanya. ketika itu jangan siapa menyalahkan sesiapa kerana tanda dan petunjuk telah diberi tapi tidak difahami
atau degil untuk memahami kerana igo dan kepentingan diri.

Sejarah Islam juga mengajar kita betapa perjuangan tak kekal di Arab. Ia juga tidak terus di tangan Bani Hashim. Bukankah apabila masanya tiba, Bani Umaiyah
mengganti bani Hashim, kemudian Bani Abasiyah pula mengganti Umaiyah.

Selepas Arab, terdapat golongan lain yang menggantinya termasuk Orang Monggolia, India dan akhirnya Turki. Maka tak mustahil kalau kehebatan Kelantan sedang
dibayangi oleh negeri-negeri lain. Bukankah ketua muslimat, ketua pemuda dan dan lima jawatan tertinggi jawatankuasa pusat PAS bukan lagi dari Kelantan?
Atau apakah mungkin PAS yang didominasi Melayu akan berpindah kepada orang cina atau India pula?

Buat UMNO-BN, kita tertunggu-tunggu sejauh mana penghargaan akan diberi kepada Kuli atau ia hanya tinggal kenangan du tiga hari lagi. Yang ada hanya kata
"sokongan telah balik kepada UMNO" atau "UMNO telah pulih". Kuli akan terus tertinggal atau ditinggalkan kerana tidak mahu dia mengganggu penguasa dalam
UMNO.

Sebenarnya memberi jawatan kepada Kuli sebagai penghargaan ibarat memberi senapang kepada penembak yang ingin menembak yang akan pasti digunakan. Nagib dan Mahathir pasti sedar perkara dan itu pasti tidak akan dilakukan. Jadi, Kuli hanya sekadar tongkat untuk orang buta berjalan yang apabila orang buta sampai dalam kawasan yang biasa atau di rumahnya sendiri atau ada orang yang biasa memimpinnya maka tongkat akan dilipat dan disimpan di dalam poket atau beg. Maka Kuli kini akan disimpan kembali sebagai sejarah dan tak akan mungkin disebut lagi.

Rabu, 3 November 2010

MENGENANG SEJARAH TANAH MELAYU SEJAK TAHUN 1945-1957

Tempoh tersebut adalah perkembangan paling penting dalam sejarah perjuangan mencapai kemerdekaan bagi Semenanjung Tanah Melayu dari penjajahan British.

Sekurang-kurangnya terdapat empat kejadian penting mempengaruhi penduduk bergerak menuntut kemerdekaan Tanah Melayu termasuk Singapura dalam tahun 1945.
Sekalipun Singapura sebuah wilayah dibeli milik British tetapi rakyat mengira ia sebahagian dari Semenanjung Tanah Melayu.

Pertama tahun itulah pemerintahan Jepun meninggalkan Tanah Melayu. Kedua Indonesia mengisytiharkan kemerdekaannya pada 17 Ogos, 1945 yang amat menyentuh
hati rakyat hingga setiap rumah orang Melayu menggantung gambar Presiden Sukarno.

Ketiga para pejuang kemerdekaan bertemu di Ipoh membentuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), parti politik pertama bagi wilayah itu  bagi memperjuangkan
kemerdekaan seperti yang dicapai umat Indonesia. Dalam perjumpaan itu buat pertama kali seruan MERDEKA bergema dipekikkan oleh Ahmad Boestamam.

PKMM dipimpin oleh Dr. Burhanuddin al-Hilmy bersama Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam dan lain-lain adalah melanjutkan perjuangan yang sudah dirintis
oleh Kesatuan Melayu Muda pimpinan Ibrahim Yaakub yang pada saat kemerdekaan Indonesia dimasyhurkan berlepas ke Jakarta dengan pandangan yang terbuka jika
dirasakan wajar Tanah Melayu boleh menjadi sebahagian dari wilayah Indonesia atau ia merdeka sendiri.

Keempat pada tahun itu piagam Atlantik menyarankan agar semua kuasa penjajah memerdekakan setiap tanah jajahan dan saranan itu menjadi piagam pula bagi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang terbentuk sekitar masa itu juga.

Ia menjadi momentum bagi rakyat memperjuangkan kemerdekaan hingga ia tercapai pada 31 Ogos 1957.

Sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan tidak ada di mana-mana di dunia adanya kemerdekaan melalui perundingan. Kemerdekaan yang diketahui hanya melalui
peperangan dan menumpahkan darah. Itulah pilihan yang ada bagi Tanah Melayu pada pejuang dan penyokong PKMM.

Kedatangan semula British membaharui penjajahannya di Tanah Melayu setelah Jepun berundur, memperkenal konsep Malayan Union atau Kesatuan Malaya untuk
Tanah Melayu.

Malayan Union menggagaskan Malaya untuk semua penduduknya termasuk bukan Melayu yang ada pada masa itu, penyatuan semua negeri ke dalam satu pentadbiran,
dan kedudukan raja-raja dihapuskan.

PKMM tertarik pada konsepnya yang memberi peluang penyatuan nasional bagi watan setiap negeri di bawah satu identiti, bersikap terbuka kepada penduduk
bukan Melayu yang ada sebelum kedatangan Jepun tetapi tiada sikap jelas tentang kedudukan raja-raja.

Tetapi Dr. Burhanuddin memberitahu rakan-rakan terdekatnya semasa memimpin PAS bahawa kewujudan raja-raja itu bukti Semenanjung menjadi negeri orang Melayu.

Dato Onn bin Jaafar bersama golongan bangsawan Melayu menggembeling semangat orang Melayu menentang Malayan Union kerana ia mahu
menghapuskan raja-raja. Tindakan Dato Onn itu mendapat sokongan orang Melayu.

Kerana orang Melayu mahukan rajanya, maka British membatalkan apa yang dipanggil Malayan Union. Ia memberi semula raja-raja kepada orang Melayu
kerana itu saja caranya bagi mendiamkan orang Melayu tetapi tidak melucutkan lain-lain isu dalam Malayan Union itu.

Atas keruntuhan Malayan Union itu Dato Onn dan bangsawan Melayu menubuhkan UMNO sebagai sebuah pertubuhan politik yang baru bagi
mempertahankan bangsa Melayu dan raja-rajanya dengan cogan hidup Melayu dalam tahun 1946.

Dato Onn dan UMNOnya tidak pernah bercakap tentang kemerdekaan, malah menyindir dan mempengaruhi beberapa raja-raja dengan nada bagaimana Melayu hendak
merdeka kerana membuat jarum pun tak tahu. Bahkan ada sindiran kononnya orang Melayu lapar kalau tidak ada Inggeris.

Sekalipun slogan UMNO itu menyuarakan Hidup Melayu tetapi ia tidak membawa maksud memerdekakan bangsa dan mendaulat negara. Ternyata selama 400 tahun Melayu
dijajah ia tetap hidup dan kekal sebagai orang Islam tetapi ia menjadi bangsa yang tidak berdaulat dan tidak dapat menentukan nasib sendiri.

Sekalipun UMNO menjadi saingan PKMM tetapi ia tidak mampu menyaingi pengaruh PKMM yang mahukan kemerdekaan. Walaupun British terikat dengan piagam Bangsa-Bangsa
Bersatu mesti melepaskan tanah jajahannya, tetapi membenarkan yang dituntut oleh PKMM bererti melepaskan semua kepentingan barat dan melenyapkan baki idea
tersembunyi Malayan Union.

Berikutan keengganan British menghalalkan Parti Komunis Malaya dan komunis melancarkan gerakan bersenjata, British menggantikan Malayan Union
dengan pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu tanpa Singapura dan diikuti pengiytiharan darurat, parti-parti politik diharamkan kecuali UMNO.

Pemimpin dan aktivis PKMM dan sayap Islamnya iaitu Hizbul Muslimin ditahan dan diburu kecuali Dr. Burhanuddin yang menetap di Singapura. Perjuangan kemerdekaan
lumpuh dan yang dibenarkan bergerak ialah UMNO, apa lagi Dato Onn menerima perlantikan British untuk menjadi pegawai anak negeri paling kanan selepas British
dalam kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Dato Onn menjadi Menteri Dalam Negara dan berperanan menahan aktivis pejuang kemerdekaan. PKMM mati bukan kerana ia tidak mendapat sokongan rakyat tetapi
justeru ia diharamkan penjajah dan pemimpinnya ditahan.

UMNO terlepas dari tindakan bukan kerana pengaruhnya kuat di kalangan rakyat tetapi ia tidak diharamkan dan pemimpinnya seperti Dato Onn menjadi orang
kanan kerajaan Inggeris di peringkat persekutuan dan yang lain-lain menjadi menteri besar di setiap negeri.

.....Bersambung minggu depan. 

Dipetik dari
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29287:mengenang-sejarah-negara-1945-1957&catid=88:subky-latif&Itemid=130