Jumaat, 31 Julai 2009

CUBIT-CUBIT HARI JUMAAT

JAWI OOOHHH JAWI!

Sebut masuk jawi kanak-kanak memang gementar. Sebut beras jawi, 31 peratus saham BERNAS dah jadi milik Hong Kong, makan nasi kena beli dengan orang Hong Konglah nampaknya. Cemerlang, gemilang, terbilangnya 1 Malaysia. Sebut pula huruf jawi akulah generasi buta jawi keranah orang Melayu tak nak jawi. Apa pun bila sebut JAWI di Wilayah Persekutuan maka JAWI itulah yang kita kenal.

Sebaik saja selesai mengikuti tazkirah Jumaat tengahari tadi dengan khusyu', sama ada khusyu' kerana menghayati tazkirah atau khusyu' kerana diulit mimpi tatkala tazkirah. pihak masjid secara biasa mengumumkan beberapa pengumuman yang dimaklumkan kepada jemaah. Namun begitu pengumuman hari ini ada keanehannya. Pengumumannya begitu menarik. Para jemaah amat tertarik dengan pengumuman itu.

"JAWI menyeru agar semua orang tidak terlibat dengan perhimpunan yang akan dianjurkan oleh GMI esok." Begitulah lebih kurang bunyi pengumumannya.

Perhimpunan esok adalah satu perhimpunan yang bertujuan untuk menyuarakan bantahan kita terhadap undang-undang ISA yang begitu zalim terhadap rakyat Malaysia. ISA adalah satu undang-undang yang tidak memberi peluang kepada mangsanya membela diri melalui mahkamah. Dalam Islam dan sistem demokrasi, hak membela diri dan mendapat perbicaraan yang adil hendaklah diberi kepada siapa sahaja yang didakwa atas apa-apa kesalahan. Menafikan hak membela diri adalah suatu kezaliman yang melampau yang tidak boleh diterima oleh mana-mana tamadun.

Rasulullah pernah bersabda yang membawa maksud hendaklah kita menolong orang-orang yang dizalimi dan orang-orang zalim. Sahabat kemudiannya bertanya kepada Rasulullah bagaimana caranya hendak menolong orang-orang yang zalim. Rasulullah menjawab dengan berkata yang membawa maksud hendaklah kita menhentikan kezaliman itu. Apa yang akan berlaku esok sebenarnya amat menepati semangat dari hadith tersebut.

Sesungguhnya, seandainya ada pihak yang cuba mengganalkan himpunan esok bermakna pihak itu walau pun JAWI cendorong kepada kezaliman. Ingatlah akan firman Allah yang bermaksud:

"Janganlah kamu cenderung kepada kezaliman kelak kamu akan dijilat oleh api neraka." Ayat 113 surah Al Hud.

Oleh yang demikian, tepuklah dada tanya iman kita masing-masing.

Selasa, 28 Julai 2009

SIMBANG-SIMBANG KEDAI KOPI

apakah makna peristiwa

Pagi semalam sesampai aku kepejabat, aku telah singgah ke kedai kopi tempat yang biasa aku bersarapan. Aku mendapati teman-teman yang biasa minum dengan aku sedang melihat surat khabar. dalam selak punya selak salah seorang dari rakan aku itu berkata;

"Engkau cuba tengok ni, ngerinya".

kata rakan ku pula "mana" sambil menerpa kepada kawan aku tadi dan melihat pada gambar yang terpampang pada surat khabar itu.

rupa-rupanya mereka merujuk kepada peristiwa kematian seorang pelajar salah sebuah universiti tempatan yang mati kerana jatuh dari tingkat 14 di salah sebuah apartment berhampiran dengan universiti tersebut. Memang mengerikan.

Tiba-tiba tidak semena-mena muncul kawan yang seorang lagi lantas berkata:

"engkau tengok, pecah kepala, kenapa Teo tak pecah kepala?"

RENUngkan

Ahad, 26 Julai 2009

BICARA PERISTIWA

ISRAK MIKRAJ 3

Peristiwa Israk Mikraj yang merupakan satu peristiwa hebat adalah sebenarnya merupakan suatu penjelasan akan tanda-tanda kebesaran Allah dan juga satu mu'jizat yang membenarkan akan kerasulan Muhammad SAW. Sebagai mana dinyatakan pada posting sebelum ini, firman Allah dalam surah Al Isra', ayat 1, itu adalah satu ayat yang menegaskan akan kekuasaan Allah untuk berbuat apa sahaja ke atas apa, siapa dan di mana sahaja. Peristiwa ini hanya boleh diterima kewajarannya hanya melalui iman kerana pertimbangan akal memang tidak MAMPU untuk menjawab persoalan-persoalan bersifat melibatkan ilmu Allah. Atas keyakinan yang bulat dan tidak mempersoalkan akan kebenaran peristiwa itu berdasarkan akal semata-mata maka Saidina Abu Bakar As-Sidiq telah mendapat gelarannya dan gelaran itu kekal sehingga ke hari qiamat.

Mengikut ahli-ahli sejarah Islam, peristiwa ini berlaku salah satunya adalah untuk merawat hati Rasulullah SAW yang begitu berduka cita atas pemergian dua oran individu yang begitu berperanan besar dalam membantu kerja da'wah baginda. Khadijah Ibnu Khuwailid RA dan Abi Talib yang merupakan isteri dan pakcik Rasulullah pergi di saat Rasulullah berada dalam hempitan yang sangat rakus dari kalangan musuh da'wahnya.

Oleh yang demikian, bagi merawat kedukaan Rasulullah SAW lantas Rasulullah telah dianugerahkan dengan isra' dan mikraj ini. Namun begitu, peristiwa ini juga adalah mungkin satu cara untuk membentuk Rasulullah SAw ke arah menjadi individu yang kental jiwanya, kuat hatinya, teguh imannya, sahih keyakinannya dan sentiasa berada dalam situasi bersedia dalam menjalankan tanggung jawab dan tugasannya sebagai pembahawa wahyu dan memimpin umat ini.

Walau pun peristiwa ini merupakan satu peristiwa besar, dianugerahkan kepada manusia yang hebat yang dengan peristiwa ini manusia hebat ini akan dapat melaksanakan apa yang terpikul atas pundaknya, namun Allah yang bersifat iradah telah mengatakan melalui firmanNya dalam Surah AL Isra' ayat 1 bahawa Allah telah memperjalankan hambaNya. Pada ayat tersebut Allah tidak menggunakan perkataan-perkataan yang bersifat pangkat besar seperti kekasihNya, rasulNya atau nabiNya tetapi yang dipilih oleh Allah adalah hambaNya.

Manusia yang sehebat itu dan menerima anugerah yng begitu hebat dari Tuhannya, tiba-tiba Allah tetap memanggil Rasulullah hambaNya. Rasulullah saw bukanlah menerima tugasan atau tanggung jawab kecil seperti jawatan perngarah jabatan, ketua syarikat melah perdana menteri sekali pun tatapi tanggung jawab yang diamanahkan kepada baginda adalah untuk membawa manusia dari kegelapan kepada cahaya, menyelamatkan manusia dari api neraka yang membakar dan akhirnya membawa manusia masuk ke dalam syurga. Baginda juga adalah manusia yang paling hampir dengan Allah jika dibandingkan dengan manusia-manusia lain.

Dengan keadaan sedemikian, seharusnya menjadi renungan kepada kita tentang di mana kita sebenarnya. hakikatnya kemuliaan yang diterima oleh sesiapa pun jika kemuliaan tidak membawa redha Allah dan yang paling penting tidak membuat kita menjadi hamba kepada Allah maka kemuliaan itu adalah penghinaan yang sebenar. Tujuan sebenar kita dihidupkan juga adalah untuk menjadi hamba kepada Allah. Ia menepati firman Allah dalam Surah Az Zariat yang menyatakan bahawa jin dan manusia itu dijadikan adalah untuk berbakti kepada Allah dalam erti kata memperhambakan Mengabdikan kepada Allah dengan melaksanakan perintah-perintahNya dan tidak melanggar laranganNya.

Justeru itu, amat perlu kepada kita untuk terus memperingati peristiwa-peristiwa besar seperti israk mikraj ini agar dengannya akan dapat memberi iktibar kepada semua manusia yang mahu berfikir. Kepada mereka yang mengatakan behawa memperingati peristiwa besar seperti ini tidak patut diteruskan kerana ia bukan sunah maka andalah sebenarnya manusia yang paling sempurna ingatannya kerana walau pun tiada majlis memperingati peristiwa besar dalam Islam namun anda masih boleh terus mendapat iktibar dari ketiadaan mejlis-majlis seperti itu.

BERSAMBUNG

Rabu, 22 Julai 2009

TERIMA KASIH DAUN KELADI

Saya baru sahaja mengunjungi blog teman saya iaitu Besi Waja dan tak disangka beliau telah mengambil daya usaha untuk mempromosi blog ini. Rasanya masih terlalu awal untuk saya menerima pujian yang sedemikian dari teman saya itu. Apa pun teguran yang diberi secara terus terang dalam blognya itu amat saya pandang tinggi dan insya Allah akan memberi saya peransang untuk meneruskan blog ini Terima kasih Yot. Rasanya dah ramai juga teman-teman yang telah mengunjungi blognya.

Selasa, 21 Julai 2009

BICARA PERISTIWA

ISRAK MIKRAJ 2

Peristiwa Israk Mikraj yang telah berlaku lebih 1,400 tahun yang lalu adalah suatu mu'jizat yang dikurniakan Allah kepada RasulNya yang juga penghulu kepada segala nabi serta penutup kepada kenabian yang bermakna umat baginda adalah umat akhir zaman. Peristiwa yang sebesar ini juga merupakan suatu peristiwa yang benar-benar meletakkan kedudukan akal tidak seharusnya di atas iman. Sesungguhnya Israk Mikraj telah membahagikan manusia kepada tiga golongan iaitu orang-orang yang beriman, orang-orang (kafir) dan orang-orang yang atas pagar (muzabzab) yang lebih mencari keuntungan peribadi.

Berdasarkan firman Allah dalam surah Al Israk sebagaimana yang telah dicatatkan dalam posting sebelum ini, kita dapat melihat bahawa bagi mereka yang beriman dengan keyakinan yang bulat kepada kudrat, iradat dan ilmu Allah maka firman Allah itu akan dapat merungkai segala persoalan yang dikemukakan oleh akal. Apabila Allah berkata bahawa Dialah yang menjalankan hambaNya, di sini jelas kepada mereka yang beriman bahawa peristiwa ini adalah satu perkara yang memang boleh di diterima melalui kewarasan yang terbit dari hati dengan disuluhi cahaya iman. sebenarnya tidak timbul soal bagaimana, kenapa, mengapa dan siapa dalam peristiwa ini selain segala-galanya adalah pada Allah semata-mata.

Jika ditelusuri kisah atau peristiwa ini lebih dalam, Rasulullah sendiri tidak tahu yang baginda akan diperjalankan dalam satu perjalanan sejauh dan sehebat itu. Peristiwa tersebut sama sekali tidak ada dalam perancangan Nabi Muhammad. Apa yang ada hanyalah satu mu'jizat bagi menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allah dan tanda-tanda kerusulan Muhammad SAW. Dengan ini, hendaklah kita berusaha mencapai keimanan yang bulat kepada Allah sama ada dalam bentuk amalan, pengucapan dan keyakinan hati. Jadikanlah Abu Bakar As-Sidiq sebagai sumber contoh seorang yang bukan penerima wahyu dalam menzahirkan keimanannya. Lantas kita hendaklah berdoa agar kita tidak tergolong dalam kelompok yang dipelopori dan dipimpin oleh Abu Lahab dengan mendustakan firman dan hadith atas nama yang pelbagai seperti liberalism, pluralism atau apa saja nama.

bersambung

RENUNGAN

KISAH ANAK-ANAK KITA

Pada satu hari Sabtu, sebaik sahaja selesai menamatkan klas tambahan di sekolah, dua orang pelajar perempuan telah pulang ke rumah bersama. Mereka mungkin dua kawan rapat.

Dalam perjalanan pulang ke rumah mereka telah melalui sebuah kawasan perumahan mewah. Tiba-tiba tali kasut salah seorang pelajar tersebut telah terlucut. Dia pun berhenti lantaskan mencangkung dan menundukkan kepala untuk membetul kan tali kasutnya. Pelajar yang seorang lagi terus berjalan perlahan-perlahan sambil menunggu rakannya itu.

sekonyong-konyong datanglah sebuah kerata menghampiri pelajar yang sedang berjalan itu. Sebaik sahaja sampai pada pelajar perempuan itu dia pun telah memberhentikan keretanya. Keluarlah seorang lelaki dari kereta tersebut dan menarik pelajar tersebut ke dalam kereta. Pelajar tersebut cuba meronta dan berlakulah pergelotan sehingga pakaian pelajar tersebut koyak.

Pelajar yang tali kasutnya terlucut tadi sempat menyedari apa yang berlaku pada rakannya. Dia pun mengambil batu dan membaling ke arah lelaki tersebut dan mengenai lehar lelaki itu. Oleh kerana terperanjat lantas pegangan lelaki tersebut terhadap pelajar perempuan itu terlucut dan pelajar itu BERJAYA melarikan diri. Oleh kerana gagal dengan tindakannya itu, lelaki itu punn berkata "kami akan datang lagi".

Sebaik sahaja sampai ke rumah pelajar tersebut telah memberitahu keluarganya tentang apa yang berlaku dan keluarganya telah membuat laporan polis.

Pada hari isnin lusanya, pelajar itu telah ke sekolah bersama bapanya. Tiba di sekolah, bapanya telah bertindak memberitahu pihak sekolah tentang apa yang berlaku dan meminta pihak sekolah mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjamin keselamatan pelajar-pelajar.

Di pihak guru-guru di sekolah tersebut, mereka merasa ada yang tidak KENA pada pelajar tersebut memandangkan rekod disiplinnya. Guru-guru telah bertindak memanggil pelajar tersebut dan membuat soal siasat serta sesi konseling. Setelah puas bertanya akhirnya pelajar tersebut menyatakan bahawa semua cerita tersebut tidak benaR. Sebenarnya pelajar tersebut sengaja mengoyak pakaian sekolahnya sebegitu rupa dan mereka cerita tersebut semata-mata untuk mendapatkan perhatian dari ibu bapanya yang begitu mempedulikan adiknya yang kononnya lebih pandai darinya dan tidak mengambil berat tentang dirinya. Pelajar ini telah berpakat dengan kawannya untuk menjayakan tindakan itu. Pelajar-pelajar tersebut sebenarnya baru berada dalam tahun enam. RENUNGKAN.

Ahad, 19 Julai 2009

BICARA PERISTIWA

ISRA' MIKRAJ

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya dari sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." AL ISRAA' AYAT 1.

Setelah Rejab hampir melabuhkan tirainya, Sya'ban pula bakal mendatangi kita, sebagai tanda Ramadhan hampir tiba. Dengan doa yang diajar kepada umat ini:

"Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Sya'ban dan sampaikanlah kami kepada Ramadhan."

bagi orang beriman Ramadhan yang bakal tiba itu akan dinanti dengan ketidak sabaran kerana itulah satu-satunya bulan yang merupakan hadiah Allah kepada umat Islam. Pada bulan Ramadhan umat ini akan dianugerahkan dengan pelbagai ganjaran dan keberkatan lebih-lebih lagi pada 1 malam yang mulia iaitu malam Al Qadar. Namun saya bukan hendak berbicara tentang Ramadhan kerana sesuai dengan masa ini dan maksud ayat yang dibentangkan di atas tadi maka eloklah kalau saya berbicara tentang Isra' Mikraj.

Di hujung-hujung Rejab begini yang pasti banyak mesjid dan surau, tak kurang NGO-NGO yang menganjurkan majlis-majlis memperingati Isra' dan Mikraj. Majlis-majlis seperti ini perlu dianjurkan kerana inilah mungkin cara untuk mendekatkan masyarakat kepada aktiviti agama. Namun begitu, satu cara baru yng lebih inovatif dalam menganjurkan majlis-majlis seperti ini hendaklah difikirkan bagi menarik minat masyarakat bagi menghampiri Masjid dan surau. Sekali pun ceramah merupaakan cara yang biasa namun penggunaan teknologi baru harus diusahakan bagi menambah minat masyarakat mendekatkan diri pada agama.

Di saat masyarakat memandang sepi terhadap majlis-majlis agama seperti majlis mamperingati Isra' Mikraj ini, tiba-tiba muncul segolongan manusia yang dengan berpandukan akal cuba untuk mempersoalkan akan kewajaran menganjurkan majlis seumpama ini. pada mereka majlis-majlis seperti ini tidak pernah diadakan oleh Rasulullah SAW. Golongan ini juga mengatakan bahawa aktiviti-aktiviti sedemikian adalah bid'ah. Mereka juga dengan berlandaskan akal mereka mengemukakan hujah yang berlandaskan akal yang kadangkala dangkal dan bertentangan dengan semangat da'wah itu sendiri.

Golongan ini begitu bersemangat menolak majlis-majlis agama seperti ini tetapi mereka tak pernah pula mempergikaikan majlis-majlis yang memang bercanggah sama sekali dengan aqidah dan syari'at Islam. Berapa banyak program yang berlandaskan semangat untuk membantu rakyat Palastin tetapi lebih bersifat hiburan yang melampau. Khalayak yang hadir tidak langsung merasai keperitan rakyat Palastin tetapi seolah berpesta atas kesengsaraan Umat Palastin. Masjidil Aqsya yang menjadi destinasi Isra' Nabi Muhammad SAW tidak langsung menjadi kepedulian program seperti itu.

Oleh yang demikian, dalam susana ada pihak yang masih bersedia untuk menganjurkan majlis seperti ini pun ada orang yang begitu jauh dengan agamanya, apalah yang akan terjadi pada umat ini seandainyan tidak ada lagi majlis-majlis memperingati peristiwa-peristiwa besar dalam agama seperti Isra' Mikraj, Maulidul Rasul dan lain-lain lagi.

(Bersambung)

Ahad, 12 Julai 2009

ULASAN DINI HARI

SERATUS HARI/100 HARI BUAT NAJIB

Semalam dikhabarkan cukuplah seratus hari (saya pun tak pernah mengiranya) Dato Sri Najib bertakhta di singgahsana kekuasaan. Sebenarnya tempoh ini adalah tempoh paling penting untuk menentukan sama ada tugasan-tugasan kita menepati kehendak majikan. Sebagaimana ramai dari kita pernah merasa tempoh percubaan selama tiga bulan bila mendapat sesuatu pekerjaan baru, begitu jugalah yang dirasai oleh PM kita.

Tempoh 100 hari yang diberi cukup untuk majikan menilai pekerjanya sama ada menepati piawaian majikan atau tidak. Kad laporan kemajuan (report card) akan dibentangkan oleh majikan bagi menentukan apakah wajar pekerja itu diberi pengesahan.

Seolah-olah telah ditakdirkan oleh yang maha kuasa dari yang paling berkuasa ke atas sesiapa pun yang berkuasa, Najib terpaksa membentangkan kad laporan kepada majikannya sekarang. Kad laporan itu sedang diteliti oleh majikannya dan buat masa ini lembaga pengarah yang akan menentukan sama ada Najib boleh disahkan dalam jawatan adalah pengundi di Manik Urai. Kini terpulanglah kepada lembaga pengarah tersebut untuk membuat keputusannya pada 14 Julai ini.

Apa pun perancangan Allah adalah yang paling hebat dari segala perancang yang ada di dunia ini. Insya Allah Islam akan menang.

Sabtu, 11 Julai 2009

Salam Pertemuan

Assalamu alaikum. Hari ini adalah hari pertama saya meletakkan diri dalam dunia blog. Saya telah mengikuti pelbagai coretan dan catatan dalam banyak blog dan mendapati ada kepuasan bila dapat membaca kepelbagaian pendapat dalam pelbagai isu. Dari cerita tangan terluka kena pisau ketika memasak dan riang ria menyambut hari lahir anak yang masih kecil sehingga kepad permasalah dunia di Iran dan Hondorus benar-benar dapat menjelaskan betapa penting dan besarnya peranan blogger. Setelah puas membaca kadang-kadang terdapat juga pendapat dan pandangan yang dicoret ingin disanggah atau dipuji, dalam banyak keadaan pula banyak perkara yang terpendam ingin diluahkan. Lantas membuka blog sendiri adalah jalan terbaik untuk saya memenuhi apa yang terpendam dan dihasratkan.

Harapan say,a dengan kehadiran saya di alam maya ini akan dapat memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara. Sebagai seorang muslim saya juga sedar bahawa ini mungkin satu cara yang dibuka oleh Allah SWT untuk saya membuat kerja da'wah setakat yang termampu sesuai dengan hadith Rasulullah:

"Sampaikanlah kamu walau pun satu ayat.".

Dalam hal ini saya memerlukan teguran dan nasihat yang membina agar saya tidak tersasar dalam memainkan peranan ini. Saya bukanlah seorang yang alim tetapi kadang-kadang mungkin ada keperluan untuk mengemukakan pandangan terhadap perkara-perkara tertentu.

Apa pun keadaannya, blog ini belum sempurna kehadirannya, namun saya akan memperbaikinya dari masa ke semasa. Buat mereka yang sudi menjenguk blog ini didahului dengan ucapan terima kasih. Semoga kita akan mempertingkatkan ukhwah dan kemesraan di alam siber ini.

Akhir sekali, Mursyidul Am PAS dan Presiden PAS telah menyeru untuk kita berpuasa dan bersolat hajat pada 12 Julai sempena pilihanraya kecil Manek Urai. Marilah kita atas rasa rendah diri dan tawadu' mentaati arahan pimpinan ini. Semoga Islam dan perjuangan Islam akan berjaya. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Percubaan

Ini hanya sekadar percubaan.