Ahad, 26 Julai 2009

BICARA PERISTIWA

ISRAK MIKRAJ 3

Peristiwa Israk Mikraj yang merupakan satu peristiwa hebat adalah sebenarnya merupakan suatu penjelasan akan tanda-tanda kebesaran Allah dan juga satu mu'jizat yang membenarkan akan kerasulan Muhammad SAW. Sebagai mana dinyatakan pada posting sebelum ini, firman Allah dalam surah Al Isra', ayat 1, itu adalah satu ayat yang menegaskan akan kekuasaan Allah untuk berbuat apa sahaja ke atas apa, siapa dan di mana sahaja. Peristiwa ini hanya boleh diterima kewajarannya hanya melalui iman kerana pertimbangan akal memang tidak MAMPU untuk menjawab persoalan-persoalan bersifat melibatkan ilmu Allah. Atas keyakinan yang bulat dan tidak mempersoalkan akan kebenaran peristiwa itu berdasarkan akal semata-mata maka Saidina Abu Bakar As-Sidiq telah mendapat gelarannya dan gelaran itu kekal sehingga ke hari qiamat.

Mengikut ahli-ahli sejarah Islam, peristiwa ini berlaku salah satunya adalah untuk merawat hati Rasulullah SAW yang begitu berduka cita atas pemergian dua oran individu yang begitu berperanan besar dalam membantu kerja da'wah baginda. Khadijah Ibnu Khuwailid RA dan Abi Talib yang merupakan isteri dan pakcik Rasulullah pergi di saat Rasulullah berada dalam hempitan yang sangat rakus dari kalangan musuh da'wahnya.

Oleh yang demikian, bagi merawat kedukaan Rasulullah SAW lantas Rasulullah telah dianugerahkan dengan isra' dan mikraj ini. Namun begitu, peristiwa ini juga adalah mungkin satu cara untuk membentuk Rasulullah SAw ke arah menjadi individu yang kental jiwanya, kuat hatinya, teguh imannya, sahih keyakinannya dan sentiasa berada dalam situasi bersedia dalam menjalankan tanggung jawab dan tugasannya sebagai pembahawa wahyu dan memimpin umat ini.

Walau pun peristiwa ini merupakan satu peristiwa besar, dianugerahkan kepada manusia yang hebat yang dengan peristiwa ini manusia hebat ini akan dapat melaksanakan apa yang terpikul atas pundaknya, namun Allah yang bersifat iradah telah mengatakan melalui firmanNya dalam Surah AL Isra' ayat 1 bahawa Allah telah memperjalankan hambaNya. Pada ayat tersebut Allah tidak menggunakan perkataan-perkataan yang bersifat pangkat besar seperti kekasihNya, rasulNya atau nabiNya tetapi yang dipilih oleh Allah adalah hambaNya.

Manusia yang sehebat itu dan menerima anugerah yng begitu hebat dari Tuhannya, tiba-tiba Allah tetap memanggil Rasulullah hambaNya. Rasulullah saw bukanlah menerima tugasan atau tanggung jawab kecil seperti jawatan perngarah jabatan, ketua syarikat melah perdana menteri sekali pun tatapi tanggung jawab yang diamanahkan kepada baginda adalah untuk membawa manusia dari kegelapan kepada cahaya, menyelamatkan manusia dari api neraka yang membakar dan akhirnya membawa manusia masuk ke dalam syurga. Baginda juga adalah manusia yang paling hampir dengan Allah jika dibandingkan dengan manusia-manusia lain.

Dengan keadaan sedemikian, seharusnya menjadi renungan kepada kita tentang di mana kita sebenarnya. hakikatnya kemuliaan yang diterima oleh sesiapa pun jika kemuliaan tidak membawa redha Allah dan yang paling penting tidak membuat kita menjadi hamba kepada Allah maka kemuliaan itu adalah penghinaan yang sebenar. Tujuan sebenar kita dihidupkan juga adalah untuk menjadi hamba kepada Allah. Ia menepati firman Allah dalam Surah Az Zariat yang menyatakan bahawa jin dan manusia itu dijadikan adalah untuk berbakti kepada Allah dalam erti kata memperhambakan Mengabdikan kepada Allah dengan melaksanakan perintah-perintahNya dan tidak melanggar laranganNya.

Justeru itu, amat perlu kepada kita untuk terus memperingati peristiwa-peristiwa besar seperti israk mikraj ini agar dengannya akan dapat memberi iktibar kepada semua manusia yang mahu berfikir. Kepada mereka yang mengatakan behawa memperingati peristiwa besar seperti ini tidak patut diteruskan kerana ia bukan sunah maka andalah sebenarnya manusia yang paling sempurna ingatannya kerana walau pun tiada majlis memperingati peristiwa besar dalam Islam namun anda masih boleh terus mendapat iktibar dari ketiadaan mejlis-majlis seperti itu.

BERSAMBUNG

Tiada ulasan: