Selasa, 21 Julai 2009

BICARA PERISTIWA

ISRAK MIKRAJ 2

Peristiwa Israk Mikraj yang telah berlaku lebih 1,400 tahun yang lalu adalah suatu mu'jizat yang dikurniakan Allah kepada RasulNya yang juga penghulu kepada segala nabi serta penutup kepada kenabian yang bermakna umat baginda adalah umat akhir zaman. Peristiwa yang sebesar ini juga merupakan suatu peristiwa yang benar-benar meletakkan kedudukan akal tidak seharusnya di atas iman. Sesungguhnya Israk Mikraj telah membahagikan manusia kepada tiga golongan iaitu orang-orang yang beriman, orang-orang (kafir) dan orang-orang yang atas pagar (muzabzab) yang lebih mencari keuntungan peribadi.

Berdasarkan firman Allah dalam surah Al Israk sebagaimana yang telah dicatatkan dalam posting sebelum ini, kita dapat melihat bahawa bagi mereka yang beriman dengan keyakinan yang bulat kepada kudrat, iradat dan ilmu Allah maka firman Allah itu akan dapat merungkai segala persoalan yang dikemukakan oleh akal. Apabila Allah berkata bahawa Dialah yang menjalankan hambaNya, di sini jelas kepada mereka yang beriman bahawa peristiwa ini adalah satu perkara yang memang boleh di diterima melalui kewarasan yang terbit dari hati dengan disuluhi cahaya iman. sebenarnya tidak timbul soal bagaimana, kenapa, mengapa dan siapa dalam peristiwa ini selain segala-galanya adalah pada Allah semata-mata.

Jika ditelusuri kisah atau peristiwa ini lebih dalam, Rasulullah sendiri tidak tahu yang baginda akan diperjalankan dalam satu perjalanan sejauh dan sehebat itu. Peristiwa tersebut sama sekali tidak ada dalam perancangan Nabi Muhammad. Apa yang ada hanyalah satu mu'jizat bagi menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allah dan tanda-tanda kerusulan Muhammad SAW. Dengan ini, hendaklah kita berusaha mencapai keimanan yang bulat kepada Allah sama ada dalam bentuk amalan, pengucapan dan keyakinan hati. Jadikanlah Abu Bakar As-Sidiq sebagai sumber contoh seorang yang bukan penerima wahyu dalam menzahirkan keimanannya. Lantas kita hendaklah berdoa agar kita tidak tergolong dalam kelompok yang dipelopori dan dipimpin oleh Abu Lahab dengan mendustakan firman dan hadith atas nama yang pelbagai seperti liberalism, pluralism atau apa saja nama.

bersambung

Tiada ulasan: