Sabtu, 15 Ogos 2009

BICARA SENI

PERJANJIAN SEBUTIR BINTANG

Saya adalah seorang yang bukan mudah untuk berkata artis ini baik, bagus, hebat, best dan perkataan-perkataan yang sepertinya. Sejak kecil atau lebih tepat lagi sejak saya memahami apa yang terkandung dalam surat khabar, saya dihidangkan dengan berita, cerita, gosip, adu dumbar ulasan berkenaan artis khususnya penyanyi/pelakun yang banyak darinya tidak langsung boleh diguna dalam pembinaan sebuah ummah dan negara bangsa. Rumah tangga yang berantakan, kisah perceraian, hubungan penyanyi/pelakun lelaki dan wanita yang melebihi batas, kenyataan yang mengguris perasaan bangsa Melayu dan umat Islam, menghina bahasa Melayu, tidak menutup aurat dengan sempurna, terlibat dengan arak dan dadah dan entah apa lagi membuatkan golongan penyany/pelakun ini sukar untuk saya melatakkan pujian terhadap mereka. Gambaran buruk peribadi mereka ini juga mendorong saya untuk tidak membeli album mereka yang asli dan tidak rasa bersalah untuk membeli cd atau keset yang cetak rompak. Namun segala tanggapan tersebut berubah dan tidak terpakai kepada sebutir bintang seni yang cukup \gemerlap yang telah menepati perjanjiannya dengan tuhannya kelmarin.

Sebaik sahaja saya mendapat berita pemergian Allah Yarham Saudara Asri Ibrahim yang ketika hayatnya dikenali dengan panggilan Ustaz Asri, hati ini benar-benar merasa sayu, sebak dan terasa benar kehilangannya. Walau pun beliau memang tidak saya kenal secara peribadi dan hanya mengikuti beliau melalui hasil seni dalam corong-corong radio dan beberapa kesetnya, bagi saya beliau adalah seoran manusia yang dikurnia Allah kelebihan dan memang mampu memenugi sifat seorang da'i dalam klasnya. Beliau telah benar-benar menggunakan kelebihan yang ada pada dirinya untuk kerja-kerja da'wah dengan cara yang dipilihnya sendiri. Beliau juga telah membuka satu dimensi baru dalam kerja da'wah dan memberi jalan kepada yang berjiwa seni yang sebelum ini seolah-olah terpinggir untuk berdakwah dan menyampaikan mesej-mesej Islam kepada masyarakat.

Walau pun pada tahun-tahun 70-an terdapat beberapa kumpulan nasyid yang popular namun Allah yarham telah benar-benar berjaya membawa tanggapan baru terhadap irama dan penyanyi nasyid. Pada tahun 80-an di mana beliau mula menempa nama sebagai seorang penyanyi nasyid melalui kumpulan Nada Murni, kita dapati kemampuan beliau menyampaikan lagu-lagu amat mengkagumkan. Beliau benarbenar berjaya menyentuh dan menusuk hati dan perasaan pendengarnya. Lagu-lagu seperti Di Pondok Kecil, Rindu dan Selimut Putih serta banyak lagi lagu yang didendangkannya mampu membuat kita merenung diri dan boleh membuat kita menitiskan air mata. Saya yang pada masa itu lebih dipengaruhi dengan kehadiran dan kemeriahan muzik rock juga tidak lari dari mengikuti lagu-lagu beliau. Kebetulan pula kitika itu saya memang sedang mendekati dan didekati oleh kumpulan-kumpulan Islam seperti PAS, Tabligh dan Arqam. Saya bersama rakan-rakan di kampung sering mengikuti aktiviti-aktiviti kumpulan-kumpulan berkenaan dan lagu-lagu dendangan Ustaz Asri bersama kumpulan Nada Murnilah yang menjadi penghibur dalam masa-rihat dan penyeri kepada aktiviti selingan. Aura beliau benar-benar terserlah dan albumnya benar-benar laku dalam pasaran walau pun tidak ada pihak yang pernah melaporkan hasil jualan album kumpulan Nada Murni dan tidak ada satu pun penganugerah seni sanggup menganugerahkan anugerah seni kepada kumpulan ini dan Ustaz Asri sendiri.

Suatu yang pasti, di saat penggiat seni suara dan muzik menggunakan teknik dan kaedah terkini dalam rakaman album, kita dapati album kumpulan Nada Murni juga berjaya menerap unsur-unsur moden dalam kualiti audio rakaman mereka. Kalau kita mendengar lagu-lagu mereka, mereka telah berjaya menggunakan kesan bunyi yang begitu baik dan berkesan yang menjadi nilai tambah kepada hasil kerja mereka. Dalam erti kata mudah, hasil kerja mereka memang setanding dengan kumpulan-kumpulan rock yang ada pada masa itu dan kreativiti mereka memang tidak mampu dikesampingkan. Kebolehan, kemampuan dan daya kreativiti serta seni yang ada pada mereka inilah yang kemudiannya membawa suatu ledakan evolusi dalam industri muzik tanah air pada 90-an apabila kumpulan Raihan yang juga dikatakan mendapat dorongan dan tunjuk ajar dari beliau berjaya mencapai jualan yang begitu hebat dan tidak tercapai oleh penyanyi-penyanyi individu atau kumpulan-kumpulan nyanyian dan muzik yang lain sebelum dan selepasnya.

Namun begitu, sebaik saja kumpulan AL-Arqam diharamkan dan kumpulan Nada Murni dengan sendiri hilang dari persada seni nasyid dan beliau telah menubuhkan kumpulan Rabbani, saya telah tidak begitu mengikuti kumpulan ini. Seperti yang dinyatakan di awal tadi, golongan penyanyi/pelakun memang sukar untuk diterima dalam hati saya dan penglibatan Ustaz Asri dalam industri nasyid secara komercial telah membuat saya sedikit menjauhkan diri darinya.. Apa pun permata tetap permata, intan tetap intan. Setelah beliau berjaya menambat hati saya dalam tahun-tahun80-an di saat irama rock benar-benar memuncak, beliau sekali lagi membuktikan yang beliau bukan insan sebarangan. Keberanian beliau membuat kerja sama dengan anggota kumpulan KRU untuk menerbitkan Album Pergi Tak Kembali amat mengkagumkan. Untuk lagu Pergi Tak kembali itu sendiri berjaya mencapai kecemerlangan sebuah lagu nasyid. Dengan mesejnya yang jelas, nyanyian yang mantap dan yang penting gubahan muzik yang bersifat terkini, sekali lagi Ustaz Asri berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang yang tersendiri. Album ini juga telah menerima pelbagai anugerah muzik termasuk AIM dan ABP di samping anugerah yang hakiki iaitu penerimaan dalam hati umat Islam.Tak kurang pentingnya juga, hasil dari kejayaan kumpulan Rabbani dan Raihan, kini telah begitu banyak kumpulan nasyid dengan cara persembahan yang pelbagai.

Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Walau bintang berada di ufuk yang tinggi namun bintang juga punya perjanjian dengan penciptanya. Salah satu sifat yang baru adalah tidak kekal dan Saudara Asri Bin Ibrahim yang dilahirkan di Klan 40 tahun yang lalu telah menepati perjanjiannya. Semoga Allah memberi redhaNya pada Saudara Asri.

Al Fatihah!

Tiada ulasan: