SUATU ANUGERAH
Saya telah berkesempatan untuk membaca coretan Saudara Muhamad Adam Lee sebagaimana yang tersiar dalam Blog Sedingin Salju. Coretan itu merupakan satu perihal kisah peribadi Saudara Adam dan merupakan pengalaman biasa yang dialami oleh orang-orang buta termasuk saya. Pengalaman itu hanya dibezakan oleh bila, di mana dan bagaimana ianya berlaku sahaja dan pengalaman ini merupakan suatu anugerah dari Allah kepada manusia seperti kita.
Bagaimana pun, setelah membaca coretan itu, saya terpanggil untuk menullis posting ini dan membincangkannya dari perspektif yang berbeza agar dengan perbincangan ini akan membuat pemikiran dan pemahaman baru untuk kita meneruskan hidup di bumi Allah ini sebagai khalifah seperti dalam Surah Al Baqarah ayat 30 yang bermaksud:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendakmenjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhanitu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi ituorang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahalkami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: SesungguhnyaAku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."
Apabila dirujuk kepada maksud firman Allah itu maka jelas kepada kita bahawa kehadiran kita di muka bumi ini mempunyai satu tugasan yang amat besar dan bukan suatu kehadiran yang sia-sia. Malaikat sendiri telah bertanya kepada Allah akan kehadiran manusia hanya menumpahkan darah tetapi Allah lebih mengetahui dari malaikat sendiri kenapa manusia itu dicipta. Oleh yang demikian, apa pun yang berlaku kepada kita walau pun membuat kita tersinggung adalah sesuatu ketentuan Allah bila mencipta manusia walau dengan apa keadaan pun sama ada kita sempurna atau tidak. Allah tidak pernah mengukur kemuliaan manusia itu hanya kerana keindahan paras rupa atau kesempurnaan fizikal sebaliknya ketaqwaan adalah kemuliaan yang disyaratkan kepada manusia bagi mendapatkan redhaNya.
Sebenarnya Allah denagn Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha adil dan maha mengetahui telah menganugerahkan kepada kita suatu anugerah yang cukup besar iaitu buta dan dengan anugerah itu membolehkan kita manjadi hamba yang benar-benar melatakkan pengharapan kepada Allah. Berdasarkan pengalaman sendiri dan pengalaman teman-teman, mahu tidak mahu sebagai seorang yang buta kita dalam banyak hal tidak boleh melakukan banyak perkara dan kerja secara sendiri. Keadaan ini membuat kita sering mengharap pertolongan dan bantuan dari orang lain walau pun kerja itu bagi orang lain adalah kerja yang begitu mudah. Dalam pengharapan itulah kita akan sering merasa kecewa kerana bantuan atau pertolongan yang kita harapkan tidak dapat diperolehi atau kalau ada pun didak menepati seperti mana yang kita harapkan. Bayangkanlah, untuk melintas jalanraya yang boleh dilintasi oleh orang lain dalam masa 10 saat, kita mungkin mengambil masa 15 minit kerana menanti seseorang untuk membawa kita melintas. Kadang-kadang untuk membaca surat yang sehelai mengambil masa berhari-hari untuk mengetahui isi kandungannya kerana terpaksa mencari orang untuk membacakannya dan malangnya orang yang membacakan surat pun hanya membaca dengan cara memberitahu kandungan dan bukan membacakannya untuk kita. Andai kita tidak berpuas hati dengan orang pertama maka kita akan mencari orang kedua untuk membacakannya. Lantas, di sinilah peranan keyakinan kita kepada Allah amat penting dan amat besar agar kita tidak akan menjadi manusia yang kecewa.
Berdasarkan dua contoh di atas, sememangnya kita tidak boleh meletakkan pengharapan kepada makhluk berlebihan kerana kekecewaan akan mendatangi kita. Andai kita menaruh harapan yang bulat kepadaNya maka kita tidak berputus asa kerana kita yakin Allah akan membantu kita dalam semua keadaan. "Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah" adalah merupakan ayat Allah yang mendidik hati agar benar-benar membpnyai keyakinan yang bulat kepadaNyayang jelas akan pemurahNya dan penyayangNya. Allah yang akan sentiasa memberi dan mengurniakan rahmat serta kurniaNya dalam bentuk yang kita tidak ketahui.
Sebenarnya, dengan Allah memilih kita menjadi buta maka ia adalah satu peluang untuk kita lebih mengenali diri kita dan seterusnya mengenali Allah yang mencipta kita. Bukankah dengan mengenali diri kita sendiri maka ia akan membuat kita kenal akan Allah? Bukankah dengan mengenal Allah akan membuat kita lebih hampir kepadaNya dan seterusnya kita meletakkan diri kita benar-benar menjadi orang yang mendambakan perhatiannya? Bukankah Semakin kita mendambakanNya membuat kita rindu dan mengharapkanNya.? Bukankah setelah kita rindu lantas kita dapat merasai ni'mat cinta kepadaNya dan kemuncaknya apabila telah tertanam rasa cinta kepadaNya maka apa pun suruhanNya akan kita lakukan dengan kerelaan kerana untuk mendapat redhaNya. Bukankah mendapat redhaNya adalah kejayaanhakiki yang menjadi idaman setiap yang bergelar hamba dan khalifah?Bayang mudah, seorang kekasih akan membuat apa sahaja untuk kekasihnya asal kekasih gembira dan apabila kekasihnya gembira maka orang itu akan amat bahagia.
Kesimpulannya, bersyukurlah kita kerana telah dipilih Allah buta kerana dengan buta itu memberi ruang untuk kita dekat kepada Allah, Apa guna kita sempurna dan kemudiannya kita jauh daripada Allah. Adalah lebih malang lagi kalau kita buta dan buta juga kita kepada Allah. Seandainya kita tidak mahu melihat Allah dari kebutaan kita maka Allah tidak akan melihat kita dan apabila
Allah tidak mahu melihat kita tunggulah kehancuran hidup kita.
Wa Allahu alam.
Ahad, 9 Ogos 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan