Isnin, 10 Ogos 2009

LUKA POLITIK

MENANG TAPI BELUM BERJAYA

Benarlah, PAS mungkin menang tapi belum berjaya. Apa pun kemenangan PAS lebih hanya bersifat kemenangan yang dicapai melalui ukuran kita tak menang banyak dulu tetapi menang lebih banyak pada 8 Mac, 2008. Kemenangan itu kalau diukur rupanya belum cukup untuk membuat PAS bertindak dengan berkesan seperti yang diharapkan oleh ahli PAS dan perlembagaannya sendiri. Apa yang PAS ada kelihatannya tidak benar-benar memberi ruang dan kesempatan untuk PAS mengambil tindakan-tindakan yang bolehh melambangkan kuasa desakan yang kuat. Apa yang berlaku di Selangor dalam beberapa hari ini jelas menampakkan kekecewaan itu.

Sebenarnya jika difikirkan, apa yang hendak dilakukan oleh PAS Selangor bukanlah sesuatu yang keterlaluan. Ia hanya ingin melakukan sesuatu yang dibenarkan oleh undang-undang iaitu undang-undang yang diluluskan dan diwartakan 14 tahun yang lalu. Apa yang ingin dilakukan juga tidak menjejaskan keperluan orang-orang yang berkenaan. Isu ini pun bukan satu isu yang bukan hanya muncul bila Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Negeri Selangor. Pihak penduduk di kawasan yang menjadi pertikaian telah sekian lama membuat bantahan terhadap penjualan arak di kedai tujuh-sebelas Seven-eleven berkenaan. Jadi apa lagi yang tak kena sehingga apa yang PAS lakukan dianggap atau dilayan seperti itu.

Keputusan MB Selangor dalam hal arak ini amat mengecewakan kerana ia bukan sahaja melambangkan kelemahan kipimpinan orang Islam malah ia juga menunjukkan ketidak fahaman orang Islam dalam soal pokok dan cabang. Ia juga menggambarkan betapa sebenarnya penghormatan orang Bukan Islam (bukan semua) terhadap Islam itu amat rendah dan boleh dipertikaikan. Rasanya DAP mungkin tahu sedikit sebanyak akan kedudukan arak dalam Islam tetapi mereka kelihatan cuba menunjukkan kuasa dan kekuatan kuasa menekan yang ada pada mereka. Arak walau pun diminum oleh orang-orang bukan Islam tetapi tiada seorang pun orang bukan Islam yang menerima bahawa arak itu sesuatu yang baik. Meminum arak sebenarnya hanya didorong kehendak budaya mungkin atau keinginan diri sendiri. Tiada siapa pun yang menolak akan kerosakan-kerosakan yang berpunca dari arak. Kerajaan juga telah mengharamkan pemandu memandu di bawah pengaruh alkohol. Arak juga boleh menimbulkan keadaan yang tidak tenang jika diminum di tempat awam.

Jadi, di manakah salahnya tindakan MBSA melalui penguatkuasanya yang mengguna pakai inekmen yang memang memperuntukan keadaan sedemikian dan memenuhi bantahan penduduk tempatan dikatakan tidak sesuai? Apakah keputusan mengadakan kawalan sendiri oleh penjual dan mesyarakat adalah sesuatu yang praktikal? Larangan menjual rokok telah dilakukan oleh pihak kerajaan begitu lama dengan pelbagai kempen dan cara tetapi rokok tetap boleh dibeli dengan mudah. Apakah orang ramai tidak tahu akan bahayanya rokok? Nah, di sinilah sebenarnya peranan pemerintah dalam menentukan yang haram itu haram dan yang halal itu halal.

Apa pun kepada PAS Selangor melalui pesuruhjayanya diucapkan sekalung tahniah kerana telah berusaha sebaik mungkin dalam hal ini. Saya yakin PAS Selangor kini tinggi di mata rakyat sama ada dari yang beragama Islam atau bukan Islam. PAS Selangor telah menunjukkan satu sikap yang jelas dan tidak bertolak ansur dalam hal yang telah pasti hukumnya dan dalam hal kepentingan umat Islam dan kesejahteraan umum. Apaa yang penting PAS Selangor harus berusaha lebih kuat dengan perancangan yang lebih tersusun dalam berhadapan dengan suasana mendatang. Mentadbir Selangor memang satu ujian besar untuk PAS. Selagi boleh perkuatkan peranan dan suara kita dalam Pakatan Rakyat kerana PAS memang sebenarnya kuat cuma PAS sendiri yang perlu mengenalpasti kekuatan itu.

Tiada ulasan: