Jumaat, 28 Ogos 2009

SHAHDU RAMADHAN ii

Hari ini sekiranya kita diberi kesempatan oleh Allah untuk menyempurnakan puasa maka genaplah tujuh hari kita berpuasa. Dalam tempoh ini kita pastinya telah dapat memerhatikan pelbagai ragam manusia dalam menjalani ibadah puasa. Kita sendiri pun perlu memusahabah diri dengan kerenah dan ragam yang ada pada diri kita dari mula kita bersahur, kemudian berlapar diri selama sehari hinggalah kita berbuka, apakah ragam dan kerenah kita menepati dengan keendak puasa itu sendiri. Itu belum diukur dengan kerenah kita ketika berterawih bersedekah dan amalan-amalan lain lagi.

Allah telah berfirman yang maksudnya:

[183] Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.


[184] (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

(Al Baqarah)

Kalau diteliti berdesarkan kehendak ayat di atas, tujuan sebenar akan perintah bepuasa adalah agar kita menjadi manusia yang bertaqwa. Ia merupakan satu penentu terhadap diri kita sama ada kita layak bergelar hamba Allah atau tidak. Setelah Allah menyatakan dalam ayat lain yang maksudnya "sesungguhnya yang mulia di antara kamu adalah mereka yang bertaqwa", Maka pada ayat 183 ini Allah yang maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman telah memberitahu kita salah satu perkara yang perlu kita lakukan untuk mencapai tahap taqwa itu. Namun begitu, kalau hanya berpuasa sahaja kita belum sebenarnya mencapai tahap taqwa. Ini adalah kerana dalam Islam taqwa itu hanya akan dinilai berdasar semua perkara sama ada yang zahir atau yang batin. Cumanya, Allah menegaskan di sini sekiranya kamu berpuasa moga-moga kamu akan bertaqwa atau mendekatkan kita dengan taqwa yang sebenar.

Sebenarnya sebagai seorang muslim, kita sendiri mungkin boleh mengukur diri kita sama ada kita telah tergolong dalam kalangan "semoga kamu bertaqwa" atau tidak. Kita sendiri boleh merenung jauh dalam diri kita dan memerhatikan kerja kita setiap masa dan kemudian mengukurnya dangan kayu ukur iman dan ikhlas. Apakah kita boleh mungkin tergolong dalam kalangan "semoga kamu bertaqwa" sedang kita hanya berpuasa dari makan dan minum sahaja sedang banyak perkara lain tidak kita amalkan dengan sewajarnya sebagaimana yang dituntut oleh Allah dan RasulNya. Secara umum kita boleh melihat berapa ramai dari kalangan orang yang berpuasa tetap enggan untuk menutup aurat dengan sempurna khususnya kaum wanita. Golongan orang-orang yang tidak menutup aurat ini bukan sekadar meletakkan puasanya boleh dipersoal kualitinya tetapi lebih malang lagi dia juga menyebabkan orang yang berpuasa terganggu amalan puasanya.

Selain dari persoalan menutup aurat, persoalan solat juga merupakan suatu perkara yang sebenarnya begitu serius. Berapa ramai mereka yang berpuasa tetapi tidak bersolat. Ramai yang berpuasa ini begitu calculative dengan ibadah puasa sehingga kelau boleh apabila bersahur dan berbuka begitu tepat dengan masa. Kalau boleh ketepatan masa berbuka dan insak itu dikira dengan ketepatan saat dan bukan minit. Seandainya mereka menyedari mereka telah berbuka tercepat sedikit, heboh mereka bertanya orang akan puasa mereka sah atau tidak. Sebaliknya tidak begitu sikap mereka terhadap solat. Solat sering dipandang sepi dan seolah-olah tidak penting langsung. Pengabaian ibadah solat ini dapat kita lihat hari-hari dan ia tidak menjadi reda walau pun datangnya bulan Ramadhan. Berapa ramai yang mengambil bubur lambok di masjid-masjid dan surau-surau tetapi tidak tergerak untuk berhenti sebentar menunggu azan dan mendirikan solat sedangkan solat berjemaah adalah merupakan sunat muakad. Bubur yang dimasak berkawah-kawah habis diambil tetapi orang yang menunaikan solat jemaah tetap pada jumlah yang sama dan orangnya pun oran yang sama seperti bulan-bulan sebelumnya. Orang begitu berkira dengan waktu berpuasa ini banyaknya tidak rasa rugi sekiranya bersolat di akhir waktu.

Selain itu, kita yang begitucalculative dalam amalan berpuasa kononnya berhati-hati untuk menjaga kesempurnaan puasa, secara terang-terangan pula mengamalkan pembaziran. Kita sanggup membeli pelbagai juadah untuk berbuka semata-mata memenuhi kehindak selera sedang kita diajar oleh guru puasa kita iaitu muhammad SAW bahawa cukuplah untuk berbuka dengan beberapa biji tamar (jumlah yang ganjil) dan segelas atau secawan air sejuk. Sebenarnya mencari juadah berbuka puasa di bazar-bazar Ramadhan bukan sahaja membazirkan wang tetapi masa dan pahala yang sekaligus menambahkan dosa. Ini adalah kerana suasana di bazar-bazar sedemikian amat tidak sihat untuk menyuburkan pahala puasa kita kerana begitu banyak pelanggaran-pelanggaran syaria'at yang berlaku termasuk dalam soal aurat wanita. Tambahan pula waktu kita pergi ke bazar adalah waktu asar di mana kita telah menghampiri waktu berbuka di mana waktu ini adalah waktu yang paling mahal bagi orang-orang yang berpuasa. Waktu-waktu inilah Allah akan menerima doa orang-orang yang berpuasa setelah seharian kita berlapar dan perkara inilah yang sering tidak diperduli oleh kita.

Oleh yang demikian, tepat sangatlah kata-kata Rasulullah yang bermaksud:

"berapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga.".

Sesungguhnya sebagai seorang yang beriman dan sememangnya puasa itu adalah perintah untuk orang-orang yang beriman, tidak ada apa yang diharapkan melainkan apa yang disabdakan Rassulullah yang maksudnya:

"barang siapa yang berpuasa dingan penuh rasa keimanan dan pengharapan maka mereka akanberoleh keampunan dari dosa-dosanya yang lalu."

Semoga kita dapat memenuhi kehendak tuntutan ayat 183 Surah Al Baqarah ini dan semoga kita akan tergolong dari kalangan yang bertaqwa.

Tiada ulasan: