Rabu, 16 Disember 2009

RAGAM MANUSIA

Salam,
Ketika orang ramai terpaksa mengikat perut untuk mencukupkan keperluan
harian dengan rezeki yang semakin berkurangan, ada sekelompok manusia
terus bersenang-lenang di hotel paling mewah di dunia. Pihak hotel tidak
berdepan dengan masalah mendapatkan tempahan bagi bilik masing-masing.
Malah, ada antaranya menaikkan kadar sewa dua kali ganda kepada RM229,483
satu malam.
Hotel yang dimaksudkan adalah 10 hotel termahal dan termewah di dunia.
Cuba kita lihat senarai 10 hotel termahal di dunia seperti yang tersenarai
dalam kaji selidik tahunan Wealth Bulletin di bawah ini:
1. Royal Penthouse Suite, Hotel President Wilson (Geneva) – RM229,483 satu
malam
Dilengkapi lounge koktail, suite ini hanya boleh ditempah melalui
pengerusi hotel. Ia terletak di tingkat teratas bangunan dan hanya boleh
dimasuki menggunakan tangga bergerak persendirian.
Empat bilik di dalamnya menghadap Tasik Geneva dan Mont Blanc - gunung
tertinggi di Alps dan Eropah Barat.
Ia juga dilengkapi enam bilik mandi, manakala kemasan luarnya menggunakan
kaca kalis peluru.
Biasanya menjadi tempat penginapan ketua kerajaan, selebriti atau diplomat.
2. Penthouse Ty Warner, Hotel Four Seasons (New York) – RM123,567 satu malam
Seorang jurucakap Hotel Four Seasons berkata, bisnes mereka tidak pernah
terjejas sejak suite itu dibuka pada 2007.
Mempunyai sembilan bilik, hiasan dalamannya diserikan dengan ribuan
mutiara, selain taman persendirian, bilik spa peribadi dihiasi pokok buluh
dan perpustakaan.
Satu piano besar diletakkan di tengah suite ini.
3. Suite Presidential Suite, Hotel Cala di Volpe (Costa Smeralda,
Sardinia) – RM120,000 satu malam
Ketika cuti musim panas mencapai kemuncaknya, sewaan suite ini boleh
meningkat kepada RM158,873 untuk satu malam.
Terletak di bangunan menara hotel, bilik ini seluas lebih 232 meter
persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur, tiga bilik mandi, gimnasium
persendirian, bilik wap dan koleksi wain mahal.
Di bahagian luar, penyewa boleh menikmati kolam renang air masin terbuka.
4. Suite Villa La Cupola Suite, Westin Excelsior (Rome) – RM109,446 satu
malam
Ruang penginapan di Westin Excelsior menampilkan hiasan era Roman dan
jacuzzi ala zaman Pompeii, lukisan dinding dan siling, serta kaca berhias
digandingkan dengan seni reka moden.
Terletak di tingkat lima dan enam, suite ini mempunyai luas hampir 567
meter persegi, tidak termasuk 168 meter persegi balkoni dan kawasan rehat
memandang ke arah Via Veneto - jalan paling terkenal dan mewah di Itali.
5. Suite Presidential Suite, Ritz-Carlton (Tokyo) – RM88,162 satu malam
Terletak di tingat teratas bangunan tertinggi di ibu negara Jepun,
penghuni suite ini boleh menikmati pemandangan Gunung Fuji dan Roppongi,
serta suasana bandar raya Tokyo.
Ia berkeluasan 220 meter persegi.
Penginap juga dihidangkan arak Martini, Diamonds-Are-Forever bernilai
lebih RM63,000 yang berisi sebutir berlian di dasarnya.
6. Suite The Bridge, The Atlantis (Bahamas) – RM77,615 satu malam
Suite 10 bilik ini sebenarnya jambatan yang menghubungkan dua menara Hotel
Atlantis.
Terletak di tingkat 23, suite ini dihiasi lantai marmar, sebuah piano bear
dan lampu gantung bertatah emas 22 karat.
Sebelum ini, premis itu digelar Suite Michael Jackson kerana pernah
menjadi tempat penginapan kegemarannya.
Suite The Bridge sangat eksklusif sehinggakan hotel terbabit tidak pernah
mengiklankannya kepada umum.
7. Suite Imperial, Park Hyatt Vendôme, (Paris) – RM70,560 satu malam
Suite ini berkonsepkan spa dalam bilik dengan bilik mandi dan spa bersama
tab whirlpool, bilik wap dan meja urut.
Memiliki keluasan 232 meter persegi, ruang tamunya sangat luas, selain
ruang makan, dapur dan pejabat yang selesa.
8. Suite Diraja, Burj al-Arab (Dubai) – RM69,148 satu malam
Sejak dibina pada pertengahan 1990-an, Burj al-Arab menjadi satu daripada
hotel paling cepat terkenal di dunia, antara lain kerana reka bentuknya
yang amat unik.
Suite Diraja di tingkat 25 menara Burj al-Arab dihiasi anak tangga marmar
bertatah emas, permaidani kulit corak harimau bintang, lif persendirian
dan katil berbumbung berputar.
9. Suite Royal Armleder, Le Richemond (Geneva) – RM66,679 satu malam
Bilik ini dinamakan sempena keluarga kaya yang pernah memiliki hotel ini
sebelum ia berpindah tangan kepada Rocco Forte pada Ogos 2004.
Suite tiga bilik tidur ini memiliki keluasan 232 meter persegi terletak di
tingkat tujuh, selain beranda seluas lebih 90 meter persegi menghadap
pemandangan Tasik Geneva.
Cerminnya pula adalah daripada jenis kalis peluru.
10. Suite Ritz-Carlton, The Ritz-Carlton (Moscow) – RM58,212 satu malam
Dihiasi reka bentuk zaman silam Russia, suite seluas 220 meter persegi ini
menghadap pelbagai tapak terkenal di Moscow, termasuk Kremlin dan Medan
Merah.
Ia dilengkapi ciri-ciri keselamatan memenuhi kehendak jutawan Russia,
iaitu bilik berkubu dengan kemudahan elektrik dan telekomunikasi
tersendiri.

Tiada ulasan: