Mozi hidup pada abad ke-5 sebelum Masihi. Pada zaman itu, China terdiri
daripada
beberapa buah negeri. Antaranya, negeri Chu ialah negeri yang besar,
manakala,
negeri Song pula ialah negeri yang agak kecil.
Pada ketika itu, seorang tukang kayu terkenal yang bernama Gongshu Ban telah
mencipta sejenis senjata baru yang disebut "Yunti", atau "tangga perang"
dalam
bahasa Melayu. Senjata yang besar dan panjang itu terutamanya digunakan
untuk
memudahkan askar memanjat tembok pelindung negeri musuh. Selesai sahaja ia
dicipta, negeri Chu pun bersiap sedia untuk menyerang negeri Song, untuk
menguji
keberkesanan senjata itu.
Apabila mendengar berita tersebut, Mozi, dari negeri Song, segera berangkat
ke
negeri Chu untuk meminta Gongshu Ban supaya memujuk raja membatalkan
rancangan
itu. Mozi berkata kepada Gongshu Ban, "Di sebelah utara sana, ada seseorang
yang
selalu mengganggu saya. Bolehkah awak membantu saya membunuh orang itu?"
Gongshu
Ban tidak berapa gembira mendengar permintaan Mozi itu. Namun, dia tidak
berkata
apa-apa. Maka, Mozi terus berkata, "Saya akan memberikan ganjaran yang besar
kepada awak". Gongshu Ban menjawab, "Saya mempunyai harga diri. Saya tidak
akan
melakukan sebarang kejahatan walaupun ganjaran yang ditawarkan besar." Mozi
terus berkata, "Negeri Chu, sebagai sebuah negeri yang besar, ingin
menyerang
negeri Song yang lemah dan kecil. Pada anggapan awak, adakah ini perang yang
adil? Jika perang itu berlangsung, ramai orang yang tidak berdosa akan
terbunuh
akibat senjata yang awak cipta. Adakah perkara ini berbeza dengan pembunuhan
yang dilakukan dengan tangan awak sendiri?"
Soalan tersebut menjadikan Gongshu Ban terdiam. Sebenarnya, raja negeri Chu
itulah yang memutuskan untuk menyerang negeri Song. Jadi, kedua-dua mereka
segera pergi mengadap raja tersebut. Mozi tidak menyebut tentang perang itu
terlebih dahulu. Sebaliknya, dia berkata kepada raja negeri Chu, "Hamba ada
satu
perkara yang ingin hamba tanyakan kepada tuanku. Ada seseorang yang memiliki
kereta dan pakaian yang mewah di sana. Namun, dia tetap ingin mencuri kereta
dan
pakaian yang usang daripada tetangganya. Pada pandangan tuanku, bagaimanakah
sifat orang itu?" Raja negeri Chu menjawab, "Orang itu mempunyai tabiat
mencuri
yang buruk." Mozi terus berkata, "Negeri Chu besar dan kaya, manakala,
negeri
Song kecil dan miskin. Kedua-dua negeri ini seolah-olah perbandingan antara
pakaian yang mewah dengan yang usang itu. Jadi, pada anggapan hamba, Negeri
Chu
ini sama sifatnya dengan pencuri tersebut jika ia menyerang negeri Song."
Ketika mendengar kenyataan tersebut, Raja negeri Chu menjadi berang. Baginda
bertitah, "Yang kamu katakan tadi memang agak masuk akal. Bagaimanapun,
"Yunti"
sudah siap dicipta. Maka, beta pasti akan menyerang negeri Song". Mozi
berkata
dengan tenang, "Sebenarnya, senjata itu tidak begitu hebat seperti sangkaan
tuanku. Perkara ini dapat kita buktikan melalui perang lakonan antara hamba
dengan Gongshu Ban". Jadi, raja negeri Chu pun membuat arahan supaya segera
diadakan "perang" itu. Namun, walau dengan cara apa pun jua, Gongshu Ban
tidak
dapat mengalahkan Mozi.
Gongshu Ban tidak rela mengaku kalah. Dia berkata kepada Mozi, "Saya tahu
bagaimana caranya untuk melawan tuan. Namun, saya tidak akan menceritakannya
kepada tuan". Mozi pula berkata, "Begitu juga dengan saya". Raja negeri Chu
bertanya kepada Mozi sebabnya mereka berkata demikian. Maka, Mozi menjawab,
"Niat Gongshu Ban itu semata-mata untuk membunuh hamba sahaja. Pada
anggapannya,
jika hamba terbunuh, di negeri Song, tidak ada lagi orang yang mampu
mempertahankan negerinya. Bagaimanapun, hamba sudah mengajarkan cara ini
kepada
pengikut hamba. Maka, meskipun hamba terbunuh, dia tetap tidak dapat
mengalahkan
negeri hamba".
Mendengar kenyataan Mozi itu, mahu tak mahu, raja negeri Chu terpaksa
membatalkan rancangannya untuk menyerang negeri Song itu. Dengan yang
demikian,
Mozi berjaya mempertahankan negerinya daripada diserang musuh dengan
kebijaksanaan dan keberaniannya yang luar biasa.
Sumber:
http://idhamlim.blogspot.com
Rabu, 2 Disember 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan