Selasa, 24 November 2009

USIA

Anual Bakri Haron
Makhluk bernama usia penuh dengan keajaiban. Ia sebuah program perjalanan genetik
yang berada dalam khazanah kehidupan. Ia tidak dapat dielakkan. Bagaikan tabii sebuah
perahu yang menghilir, ia perlahan mengalir.
Adakala, ia tersangkut awal dan boleh kekal terhenti. Ada masanya, ia boleh terhenti
sementara dan mengalir lagi untuk juga berhenti di tengah. Hanya orang yang ditakdirkan
panjang usianya saja yang akan terus mengalir, rapat hingga kehujung. Hujung boleh
bermakna 100 tahun misalnya.
Dalam perjalanan merempuh tebing dan melayan selekoh di liku-liku cabaran hidup itulah
orang yang berusia mengumpul garam.Garam itulah yang mengasingkan antara orang yang
bijaksana dengan yang kurang. Tentu sekali air yang dalam lebih jernih.
Dalam banyak hal, kematangan banyak tertakluk kepada usia. Jika tidak, masakan junjungan
besar kita Nabi Muhamad s.a.w. dilantik dalam usia 40 tahun. Jika itulah had minimum
bermulanya usia kepimpinan yang sihat maka itulah dalilnya.
Namun, ini tidak bermakna yang pemimpin tidak boleh lahir lebih awal. Namun, jika
kita bercakap soal “
bench marking
” dari isyarat yang digaris oleh langit, maka inilah idealnya. Bermula dari usia
itu, Rasulullah s.a.w. menerima wahyu-wahyu suci. Di sana kita dapat saksikan betapa
faktor kewarasan memainkan peranan.
Dalam usia awal dewasa yakni antara umur 20-39 tahun atau disebut juga sebagai zaman
vicenarian/tricenarian
ini, manusia terlalu tinggi digerakkan oleh nafsu ammarah,emosi dan kecintaan untuk
memenuhi kegelojohan cita-cita.
Dunialah, apa lagi! Tanpa perimbangan dan kawalan agama, tamaknya akan sering melanggar
tebing. Ia kerap terbabas.
Jika dia seorang pemimpin parti atau organisasi dan kurang berhati-hati, dia akan
banyak merempuh tembok amanah dan melanggar pelbagai disiplin yang barangkali dia
sendiri yang rangkakan.
Kadangkala, atas nama ghairah berdakwah, dia terlalu rajin mengingatkan anak buah
tetapi dialah orang yang pertama melanggari kata-kata dari kuliahnya. Kemudian, dia
lazimnya sibuk dan banyak membakar masa produktifnya untuk mempertahankan kesalahan
diri dari kubu persembunyiannya yang bernama ego. Dalam mabuk kuasa dan populariti
itulah, dia memalukan dirinya. Ini akan terbukti dalam jangka panjang.
Manakala, usia pertengahan dewasa antara 40-59 tahun atau disebut sebagai tahap
quadragenarian/quinquanarian pula adalah usia pembenihan dan pertumbuhan bakat kepimpinan
yang terbaik.
Zaman yang dikenali sebagai renaissance kewarasan ini adalah zaman yang subur dengan
gelora sumbangan. Dengan bekal taqwa, ilmu dan keikhlasan, seorang mukmin sejati
akan dapat disaksikan kegemilangan akhlaknya yang terpuji sewaktu menangani apa jua
isu seputar amanah yang dipikulnya. Dia lazimnya berprestasi tinggi.
Bagaikan kemuliaan seekor penyu, dia akan menelurkan ribuan jasa tanpa diriuhinya
akan kehadiran "sayanya." Dia adalah air yang senuh setin. Keakuan dan ketrampilannya
dipendamkan serahsia mungkin tetapi di sana orang seakan-akan tahu dia adalah sebutir
geliga yang tergilap.
Tanpa mengocak loceng kehadiran, sentuhannya masih terasa. Tangannya mungkin tidak
kelihatan tetapi cakar-cakar amal yang mulia dari sentuhan dan tinggalan jasanya
ada di terkesan di mana-mana.
Membelek muka surat profil Tok Guru Nik Aziz, kita boleh menemui catatan-cacatan
keajaiban seumpama ini di sana sini. Sejak tahun 1967, sewaktu parti saingan galak
menangkap ulama, berbekalkan keyakinan, keimanan dan keberanian, beliau telah mewaqafkan
usianya kepada gerakan Islam.
Jika PAS mengasaskan kepimpinan ulama seawal tahun 1982, maka dialah pancang dan
tunggulnya. Dan, dia masih unggul, tetap tercegat setia berdiri di situ hingga sampai
ke hari ini.
Demikian, sebuah nilai istiqomah. Sewaktu PAS berjalan di dalam pelita; di tengah-tengah
hembusan nafas pihak musuh yang sentiasa termuncung-muncung, mahu memadamkan api
kebenaran itu, Tok Guru nekad membelah malam. Dia tetap tekun untuk sabar berperahu.
Dalam usia pertengahan dewasa yang di kategorikan oleh pengkaji sebagai usia gemilang
itulah, Tok Guru benar-benar menepati perjalanan teori. Akhirnya, dalam usia kira-kira
58 tahun, barulah beliau ditakdirkan oleh Allah menduduki kerusi menteri besar.
Rupanya, dari tahun 1967-1990, selama 23 tahun, Tok Guru Nik Abdul Aziz telah menjalani
satu tempoh tarbiyah amali penuh kepayahan memimpin jemaah sebelum beliau di lantik
CEO untuk sebuah kerajaan.
Sebelum kecemerlangan beliau terserlah, beliau dijeruk ke dalam tempayan ujian yang
cukup menguji terlebih dahulu. Beliau dihujani dengan lembing fitnah dan ungkit umpatan.
Beliau berembun di pelana pagi, setiap kembali dari kuliah di jauh malam.
Beliau cuma bermula dengan sebuah motor Honda Cub dan bukan dengan kenderaan 4WD.
Inilah yang dikatakan sebagai proses perjalanan usia. Kewarasan kepemimpinannya tidak
datang percuma. Tidakkah hikmah itu barang yang hilang.
Lazimnya, apa yang hilang perlu di cari?
Sesungguhnya, di sana ada sebuah madrasah yang bernama "the making of Nik Abdul Aziz."
Jika orang mahu naik dengan sekedar bersandar dibahunya atau berkonspirasi untuk
menjatuhkannya, maka percayalah. Orang atau orang-orang itu tidak akan kekal lama
justeru ia menyalahi segala hukum dan protokol pembikinan biasa kelahiran seorang
pemimpin. Kata pepatah Inggeris, "
Usually a true leader is not born. It is made.
"
Jika kita semak kisah Nabi Allah Yusuf Alaihissalam misalnya, kita akan cepat menangkap
keunikan Yusuf yang didewasakan melalui pelbagai ujian. Usialah yang menjadi latar
tempat dan masa bagi tumbuhnya benih kepimpinan. Sekurang-kurangnya, Nabi Yusuf
a.s. telah diuji dalam sembilan keadaan iaitu:
a) Menjadi sasaran kebencian saudara-saudaranya.
b) Berpisah dengan keluarga.
c) Dibuang ke sumur dalam usia 12 tahun.
d) Dijual dan menjadi hamba sahaya.
e) Digoda dan dirayu wanita.
f) Dituduh memperkosai isteri perdana menteri.
g) Dipenjara selama 9 tahun.
h) Mendapat kekayaan dan kenikmatan yang melimpah.
) Memaafkan saudara-saudaranya.
Menyemak sejarah Mahatma Gandhi, kita boleh temui proses kematangan yang dilalui
beliau melalui lorong usia yang hampir sama. Mari kita amati fakta-fakta ini.
a) Dalam usia 13 tahun, beliau dipaksa berkahwin dengan seorang perempuan bernama
Kasturba.
b) Dalam usia 19 tahun beliau meninggalkan tanah air bagi menyempurnakan ijazah Undang-Undang.
c) Beliau berjanji pada ibunya untuk tidak minum arak, berzina, dan tetap menjadi
Vegetarian sepanjang menimba ilmu di London.
d) Pada tahun 1891, beliau kembali ke tanah air dan memulakan langkah permulaan kerjayanya
di Bombay dan Rajkot.
e) Pada tahun 1893, beliau telah berhijrah ke Selatan Afrika untuk menegakkan keadilan
di sana. Beliau menetap di sana selama 12 tahun dan menubuhkan satu parti Natal India
Congress untuk memulihkan kehidupan rakyat India di sana mengikut hak-hak keadilan
dan tanpa pencabulan hak asasi manusia.
f) Pada 1914, beliau kembali ke tanah air, dan menubuhkan Satyagraha Ashram berhampiran
Ahmedabad. Dipengerusikan oleh G.K. Gokhale dan Lokmanya Tilak, beliau telah menjelajah
ke seluruh pelusuk negara untuk mendengar ceramah-ceramah yang disampaikan oleh golongan
professional. Selepas itu, beliau mulalah menjejakkan kaki dalam kancah politik.
g) Beliau memperkenalkan tiga gerakan dengan satu matlamat untuk bebas daripada peraturan
dan undang-undang British. Yang pertama ialah Non-Cooperation Movements, objektif
penubuhannya adalah untuk mengembalikan keamanan di tempat itu melalui pemboikotan
barangan-barangan yang diimport, mahkamah British dan sekolah-sekolah di bawah pentadbiran
British, dan menggalakkan penggunaan barangan tempatan.
h) Yang kedua, ialah dengan menggerakkan Civil Disobedience Movement yang telah ditubuhkan
pada 6 April 1930. Sebagai permulaannya Gandi March atau Satyagraha telah digunakan
untuk menentang Undang-Undang Garam British; dan beliau mengarahkan pengikutnya untuk
menghasilkan garam sendiri.
i) Yang ketiga, beliau telah menubuhkan Quit India Movement pada tahun 1942, dengan
mendesak pihak British berundur dari negara itu. Selepas pihak British berundur,
India telah mencapai kemerdekaan pada 15 Ogos 1947.
j) Pada 30 Januari 1948, beliau berakhir di muncung senapang seorang communalist.
Merumuskan kepimpinan Gandhi, Pandit Jawaharlal Nehru sempat berkata begini: "
The light has gone out of our lives and there is darkness everywhere
."
Kembali kepada kisah Tuan Guru Nik Abdul Aziz, beliau kini dicadangkan oleh Zaid
Ibrahim, pengerusi penaja Pakatan Rakyat Malaysia (PRM) untuk mempengerusikan PRM
bagi mencontohi sifat kepemimpinan Gandhi.
Zaid melihat kualiti yang ada pada Tok Guru melangkaui sempadan usia, batas agama,
dan tembok kaum.
Sejurus setelah Zaid membuat cadangan banci sokongan yang dibuat oleh NTV7 pada malamnya
benar-benar mengesahkan kredibiliti Tok Guru Nik Abdul Aziz. Tok Guru memborong 44
peratus sokongan sementara Anwar mendapat 43 peratus.
Pendek kata, walaupun Tok Guru Nik Aziz sedang dikepung oleh isu di sekitar tajaan
untuk mengerjakan haji, dan hingusan isu yang keluar dari bersin menantunya di PMBK,
beliau tetap sabar bersahaja.
Terkini pula, ada tanda-tanda kerusi pesuruhjaya negeri beliau mahu digugat oleh
seorang pemilik blog (mungkin atas suruhan) tetapi beliau masih tetap selamba kerana
duri di hutan tidak siapa pun pernah menajamnya.
Melalui proses usia dan pengalaman yang panjang Tok Guru Nik Aziz yang kini berusia
78 tahun, sudah masak dengan sepak terajang. Sungguhpun beliau boleh dilihat perlahan
kerana sedang berada dalam zaman
septuagenarian yakni antara usia 70-79 tahun tetapi beliau masih dilihat utuh.
Mari kita tumpang keutuhan beliau bersaksikan kata-kata ini:
"Saya telah tua sekarang ini, dan hanya boleh membaca kepala angin samada ribut atau
hujan akan turun berdasarkan pengalaman saya. Saya boleh baca contohnya jika air
berombak, saya akan menyatakan mungkin ada tunggul di bawahnya. Tapi jika saya hendak
mengangkat sauh sendiri sekarang ini saya sudah tidak berdaya melakukannya. Begitu
juga hendak mengangkat dayung atau turun mencampakkan sauh pun saya tidak mampu.
Orang lainlah yang perlu melakukannya. Jadi, saya hanya boleh baca kepala angin.
Ini kerana terdapat angin yang bawa ribut atau hujan berdasarkan pengalaman saya
yang ada."
Sebetulnya, proses usia adalah proses perjalanan kematangan. Jauhi dari tabiat tidak
sabar. Usah dipaksa kematangan itu datang dengan menjolok durian yang lambat gugur.
Laluilah denai pengalaman melalui urutan proses kematangan yang normal sebelum duduk
di kerusi kemudi.
Biar ia berlaku secara natural.
Jika tidak, usah disalahkan orang apabila orang menamakan kita sebagai budak awang
yang belum
mumayyiz
. Jangan karier kita berakhir, mati muda dalam malu, terhingguk-hingguk di kerusi
malas.
Penulis adalah setiausaha politik Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat.

Tiada ulasan: