Beberapa tahun yang lalu, kalau tak silap saya dua tahun lepas iaitu penghujung tahun 2007, saya telah diperkenalkan oleh teman-teman dengan satu perisian pembaca skrin (Screen Reader) yang dikenali dengan nama NVDA. Saya sendiri tak pernah mencari apakah NVDA itu merupakan nama perisian tersebut atau singkatan kepada sesuatu nama Khas. Namun begitu pada masa itu saya memang ada menggunakan perisian tersebut sebaik sahaja diperkenalkan oleh teman saya itu.
Sebaik sahaja saya memuat turun perisian tersebut dari laman web yang berkenaan, saya telah memasangnya di komputer dan cuba menggunakannya. Saya telah mengambil masa lebih seminggu untuk menggunakannya dengan cuba memahami konsep dan kaedah serta teknik penggunaannya. Kadang-kadang sesuatu perkara baru itu pada mulanya sukar untuk diguna kerana kita tidak memahami konsep serta belum biasa dengan kaedah dan teknik penggunaannya. Banyaklah perkara yang membuat kita mengalami keadaan sedemikian. Antaranya adalah bila kita membeli peralatan elektrik yang baru, dapat kerja baru, tinggal di tempat yang baru dan banyak lagi pengalaman-pengalaman baru. Begitulah juga dengan NVDA ini. Harapan saya setelah menggunakannya selama seminggu saya akan dapat memahami dan boleh menggunakanya dengan baik kerana perisian ini adalah perisian percuma berbanding dengan Window-eyes dan Jaws.
Namun begitu apa yang diharap tidak menjadi kenyataan. Perisian ini amat mengecawakan kerana bagi saya perisian ini tidak langsung membantu saya dalam menggunakan komputer. Bukankah perisian pembaca skrin bertujuan untuk membolehkan kita menggunakan komputer dengan mudah dan optima? Pembaca skrin sepatutnya digunakan untuk kita memahami komputer bukan komputer digunakan untuk kita memahami pembaca skrin. Keperluan ini gagal dipenuhi oleh NVDA pada masa itu. Akibatnya saya telah mengambil keputusan untuk menyahpasangkan perisian tersebut dari komputer saya dan tidak lagi mengambil peduli tentang NVDA lagi.
Tidak semena-mena, pada Jumaat lepas seorang teman lain telah memberitahu saya yang NVDA telah mencapai kemajuan yang memberansangkan. Pelbagai pembaharuan telah diperkembangkan oleh pihak berkenaan bagi memperbaiki prestasi NVDA. Saya memang tidak begitu percaya kerana walau bagaimana tinggi pencapaiannya ia tak mampu menandingi perisian-perisian berbayar yang lain kerana NVDA adalah perisian percuma yang dibangunkan berdasarkan konsep open source. Menurut teman itu NCBM juga akan cuba menggalakkan orang-orang buta agar menggunakan perisian ini.
Terdorong dengan hasrat ingin tahu, saya telah melayari laman NVDA malam tadi dan membaca sedikit sebanyak maklumat yang terdapat di sana dan terus memuat turun perisian terkini yang ada dalam web tersebut. Saya telah memasangnya dalam komputer saya dan apa yang boleh saya katakan adalah "amazing!" atau "wauu!". Cuma janganlah kita membandingkannya dengan Window-eyes atau Jaws secara yang berlebihan kerana untuk mendapatkan Window-eyes atau Jaws kita terpaksa membelanjakan RM3000 sehingga RM5000 atau sanggup digelar "pengguna perisian haram". Bagi saya, dengan keadaannya percuma dan kita pun tidak digelar sebagai perompak harta intilek, apa yang mampu dipersembahkan oleh NVDA amat tidak mengecewakan dan boleh dikategorikan mengkagumkan.
Perisian NVDA ini mempunyai beberapa ciri yang boleh dikatakan setanding dengan perisian biasa lain yang digunakan oleh kebanyakan orang-orang buta di Malaysia seperti eloquent, dua puluh pilihan bahasa, sesuai dengan OS xp dan vista dan beberapa lagi. Sesuai dengan statusnya sebagai perisian dari konsep open source maka ia juga lebih sesuai digunakan dengan mozilla fire-fox 3.5 berbanding dengan internet explorer. Saya sendiri dalam menulis artikal ini sekarang sedang menggunakan NVDA ini.
Kepada yang berminat bolehlah mencubanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan