Selasa, 10 November 2009

UCAPAN RASMI PRESIDENT PAS

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Firman Allah SWT, “Dan siapakah lagi yang lebih indah cakapnya termasuklah lisannya
daripada orang yang menyeru kepada agama Allah juga beramal dengan amalan yang soleh
seraya menegaskan sesungguhnya saya termasuk dikalangan orang-orang menyedari Islam
adalah sebenarnya.”
Pertamanya, saya mengucapkan tahniah bersempena dengan ulangtahun ke 10, penubuhan
Jabatan IT PAS Pusat.
Satu bahagian penting diwujudkan selaras dengan perkembangan semasa dan kemajuan
teknologi moden yang wajib dimanfaatkan oleh PAS khususnya bagi menunaikan tanggungjawab
menyampaikan mesej risalah Islam yang diamanahkan kepada kita sebagaimana yang telah
dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW.
Ia bukan sekadar untuk menyampaikan maklumat tetapi untuk mengajak manusia disemua
peringkat kepada Islam.
Dalam erti kata yang lain, mengislamkan manusia masyarakat dan negara khususnya dalam
cara demokrasi barat yang memerlukan Islam mendapat sokongan yang ramai.
Oleh itu, maklumat tentang Islam memang sangat penting untuk menyampaikan hidayah
itu ke dalam hati manusia.
Sebenarnya, menyampaikan maklumat sehingga orang itu mendapat hidayah adalah agenda
besar daripada pokok amal yang termasuk dalam jihad menghapuskan musuh sehingga meninggal
dunia.
Islam memilih pendekatan damai lebih dulu daripada peperangan. Islam melaksanakan
peperangan apabila dipaksa selagi ada muwajahah silmiyyah. Kita memilih cara damai.
Oleh sebab itu, semua gerakan Islam yang ditubuhkan atas konsep islah dan tajdid
mengambil saluran demokrasi, menyampaikan dakwah, mengajak manusia kepada Islam.
Penyampaian dakwah mestilah dengan maklumat, malah kita disuruh mengambil ruang maklumat
untuk dimanfaatkan termasuklah dalam bidang IT.
Ia salah satu percapaian ilmu manusia yang terkini. Namun ia laksana senjata yang
digunakan untuk mempertahankan diri atau digunakan sebagai senjata untuk melakukan
kejahatan di muka bumi Allah SWT.
Dalam hal ini, PAS sebagai parti Islam wajib mengarahkan seluruh jenteranya, beramal
dengan akhlaq dan adab-adab Islam.
Sekiranya kita melaksanakan tugas dengan akhlaq dan adab-adab Islam, maka sangat
besar pahalanya dikurnia oleh Allah SWT. Sekiranya kita memilih dari yang lain, iaitu
untuk membawa fasad sesama manusia, maka celaka dan balanya pun besar.
Marilah kita menghayati apa yang disabdakan oleh Allah SWT, “Jihad yang paling afdhal
adalah berkata benar dihadapan pemerintah yang zalim” Jadikan ICT ini senjata untuk
jihad menulis dan menerang, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran.
Sangat besar fadhilatnya sekiranya kita berjaya menarik seseorang kepada perkara
yang baik dengan ilmu dan tenaga yang ada pada kita.
Sabda Rasulullah SAW, “Demi sesungguhnya kejayaanmu menyampaikan hidayah kepada seseorang
sehingga ia menerima petunjuk kepada Islam lebih baik jika dibandingkan dengan kenderaan
yang paling mahal harganya”.
Dan sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang menunjukkan satu jalan yang baik lalu
orang mengikut jalan itu, dia akan mendapat pahala kerana menjalankan tugasnya dan
dia mendapat pahala selagi ada orang yang mengikutnya sehingga hari kiamat.
Dan barangsiapa yang menunjukkan jalan yang buruk,maka dia berdosa kerana melakukan
kerja itu dan menerima tanggungjawab dosa yang sama dengan orang yang mengikutnya
sehingga hari kiamat.
Sesungguhnya, penyampaian melalui tulisan yang dicatit lebih berpanjangan dari ucapan
yang diungkapkan. Maka, peranan ICT dalam menegakkan Islam sangat besar.
Terutamanya, teknologi maklumat menjadikan dunia yang lebih luas ini seolah perkampungan
yang sempit.
Maklumat disebarkan dengan mudah, dicapai dengan mudah, maka kita juga menjadi sasaran.
Bukan sahaja kita menunaikan tanggungjawab menerang, tapi kita juga diserang. Disini,
kita memerlukan kebijaksanaan dalam menangani keadaan semasa.
Kita diwajibkan untuk menggunakan uslub menerang lebih banyak daripada menyerang
kerana matlamat kita adalah untuk menyelamatkan manusia.
Bukan untuk menuduh dan menghukum orang walaupun kita boleh menuduh dan menghukum
orang itu.
Sekiranya menuduh dan menghukum itu membawa fitnah maka dosanya adalah besar. Sila
buka kitab Riyaadus Solihin. Terjemahannya ada dalam bahasa kita.
Imam Nawawi menyebut satu hadith dimana Rasulullah SAW diwahyukan melalui mimpi.
Mimpi seorang Rasul adalah benar dan wahyu daripada Allah.
Rasulullah SAW melawat neraka dan dilihat mereka yang diseksa dalam neraka itu, orang
yang berzina dan memakan riba’ dan menyebarkan maklumat yang buruk sehingga perbohongan
itu tersebar dengan luas, apatah lagi maklumat itu menjadi fitnah.
Dilihat seorang yang disangkut dengan penyangkut besi didagunya menembusi pipi dan
mata diseksa didalam neraka, bila ditanya siapa itu, itulah penyebar maklumat bohong
diseluruh pelusuk.
Disini, memberi peringatan kepada kita betapa kita perlu berhati-hati, apatah lagi
kita adalah parti Islam yang menjadi model dan dilihat oleh orang lain.
Kesalahan satu titik dianggap kubah yg besar. Kesalahan yang kecil dibesarkan laksana
bukit yang kukuh. Apa yang betul ditutup dan kita perlu bersabar dalam melaksanakan
tugas.
Peranan dalam ICT sangat besar. Kita melihat sendiri perubahan politik dalam negara
kita.
Kita mencapai kejayaan di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar. Mencapai kejayaan
dalam kalangan mereka yang terpelajar tapi kita gagal mempengaruhi mereka yang jahil
dan lalai.
Kejayaan itu kerana kita menganggap mereka yang menggunakan teknologi maklumat dan
membawa kepada perubahan pemikiran.
Kita tidak cukup dengan itu sahaja. Kita perlu menambah kadar pengaruh kita dan memikirkan
bagaimana maklumat kita dapat disampaikan kepada seluruh rakyat .
Dengan sebab itu, kajian-kajian yang dibuat dalam masyarakat kita, tidak boleh samakan
dengan masyarakat di barat. Iaitu masyarakat yang bermaklumat, berilmu dan mempunyai
ilmu pengetahuan.
Kita hanya mengambil maklumat sekadar mereka yang mempunyai internet dan handphone.
Itu hanyalah segelintir.
Sedangkan satu bahagian yang lebih besar, dikawasan-dikawasan pendalaman, di rumah-rumah
setinggan, pekerja petani dan nelayan, merekalah yang menentukan perubahan politik
dalam negara.
Muda-mudi pula dihantui dengan hiburan yang melekakan, kerana itu kita perlu selamatkan
dan tanggungjawab kita dalam hal ini sangat besar.
Dan terpenting, bukan sahaja kita bekerja dalam bidang teknologi maklumat tetapi
kita mesti berusaha untuk menyampaikan maklumat itu ke bawah dengan seluas-luasnya.
Alhamdulillah, PAS sudah mencapai kemajuan dan mendahului parti-parti yang lain termasuk
parti BN yg memerintah.
Mereka memang bergantung dengan jentera-jentera kerajaan. Tetapi, kita bergantung
dengan jentera dan tenaga kta sendiri yang tidak seberapa.
Tetapi, sering kali Allah menjadikan kemenangan Islam itu dalam keadaan yang tidak
seimbang.
Musuh yang lebih kaya, lawan yang lebih canggih alat yang lebih, kebendaan yang lebih
banyak dan tenaga yang lebih ramai sehingga empat kali ganda.
Tetapi Allah SWT menyatakan, “Dan bersedialah kamu dengan sekadar kemampuan kamu
daripada kekuatan”.
Sering kali kekuatan itu ditafsirkan dengan alat senjata untuk berperang termasuklah
kekuatan itu adalah alat untuk menyampaikan maklumat dan menyediakan kekuatan sekadar
kemampuan yang ada pada kita.
Mereka yang mempunyai kelebihan mestilah menyumbang dengan ikhlas dan jangan menyembunyikan
apa yang ada pada dirinya kerana kemampuan kita diketahui oleh Allah SWT.
Mereka laksanakan tugas dengan ikhlas, semua keikhlasan itu lahir dalam hati sanubari.
Kita tidak boleh mengubah hati dan pemikiran manusia melainkan keikhlasan yang ada
dalam hati sanubari kita.
Disinilah rahsia kemenangan Islam. Kita melihat sendiri nikmat yang ada dalam PAS.
Kita mencapai kejayaan yang besar lebih daripada jangkaan dan kekuatan yang sebenar.
Mengapa? Kerana disana ada pertolongan dari Allah SWT. Walaupun dalam perhitungan
pilihanraya ada pasang surut. Ada musim kita menang dan kalah.
Pilihanraya kecil, ada kawasan yang kita menang dan kita kalah. “Itulah hari yang
silih berganti dikalangan manusia”
Namun kita perlu menyedari sebenarnya kemajuan kita berterusan.
Tiada berkurangan. Pilihanraya tidak boleh menjadi ukuran dan sukatan. Ukuran kefahaman
masyarakat terhadap kita lebih penting.
Sebenarnya kita mendapat kemenangan moral dan besar di Bagan Pinang kerana BN terpaksa
meletakkan calon yang tidak bermoral untuk mendapat kemenangan.
Walaupun kita merasakan natijahnya yang zahir namun disana terdapat kemenangan yang
tersirat kurnia daripada Allah SWT.
Perubahan boleh berlaku sekiranya maklumat dapat disampaikan kepada rakyat. Maka
peranan ICT sangat penting dalam menyampaikan maklumat ini.
Tidak cukup dengan majlis ceramah dan usrah sahaja kerana kita tidak boleh masuk
ke dalam semua rumah. Tetapi ICT boleh menyalurkan maklumat dengan pelbagai cara
dan lebih luas dan moden.
Disini, pihak ICT perlu membuat muhasabah, kajian dan perhitungan. Kita tidak boleh
melihat yang lama sahaja.
Kita mesti mengejar kemajuan yang dicapai dalam bidang ini dan bersama dengan kemajuan
itu. Kalau boleh kita mendahului lawan dalam perkara ini.
Alhamdulillah, Jabatan IT PAS Pusat sudah mencapai 10 tahun, satu usia yang sangat
bermakna kepada kita.
Sudah tentu keadaannya lebih baik daripada mula ia ditubuhkan. Tidak cukup dengan
keadaan yang ada bahkan mesti berusaha untuk mencapai yang lebh baik dan maju lagi.
Mudah-mudahan majlis ini diberkati oleh Allah SWT dan segala amal diterima olehNYA.
Sabda Nabi Muhammad SAW, “Teruskan perjalanan dengan mendapat keberkatan daripada
Allah”. Kita rasmikan majlis ini.
Wabillahi Taufiiq Wal Hidayah, Assalamu’alaikum wrt wbt
(Teks ucapan penuh Ucapan Tuan Guru Presiden PAS sempena Majlis Makan Malam 10 tahun unit ICT

Tiada ulasan: