28 Zulqaedah 1430
16 Nov 2009
#############################
AGAMA BUKAN CANDU
Dr. Mohd Asri Zainal Abidin
Walaupun saya mempunyai perbezaan pendapat dengan PAS dalam perkara-perkara tertentu,
namun saya akur kewujudan PAS dalam kerangka negara demokrasi adalah satu keperluan
politik. Ini bagi mengimbangi monopoli politik yang akhirnya akan mencetuskan pemerintahan
yang tidak memperdulikan hasrat dan cita rakyat.
Sekalipun saya mempunyai pandangan yang berbeza dalam beberapa persoalan asas dan
pendekatan, namun sebagai rakyat Malaysia saya melihat kejatuhan atau kemusnahan
PAS dalam keadaan semasa boleh mengundang impak negatif dalam percaturan politik
negara.
PAS jika berpegang dengan prinsip Islamnya, dapatlah melindungi identiti Islam yang
sepatutnya sentiasa zahir atau mendominasi keadaan negara dan masyarakat Malaysia.
Maka adalah dibimbangi adanya usaha menghancurkan PAS secara langsung atau tidak
langsung.
Bisikan Halus
Saya berpendapat, krisis dalaman PAS kini amat berkait dengan ‘bisikan halus’ yang
dibisikkan oleh pihak tertentu kepada ‘telinga’ di kalangan pemimpin utama PAS. Bisikan
datang dari satu pihak yang mempunyai kepentingan atau agenda tersendiri dan mempengaruhi
pihak-pihak tertentu.
‘Pembisik’ hanya menumpukan perhatian kepada agenda politiknya sahaja sekalipun menggadaikan
atau menggugat keteguhan parti orang lain. Jika dalam sejarahnya, pihak pembisik
ini pernah hampir merebahkan parti lain, maka tidak mustahil ia akan berlaku kepada
PAS.
Krisis kali ini agak serius. Ia mungkin boleh diramakan seakan sudah tamat, tetapi
bak kata “I can forgive, but I cannot forget”. Luka ini akan terbuka pula di masa
hadapan dan akan mempengaruhi secara langsung dan tidak langsung perhubungan, tindakan,
kepercayaan dan perasaan antara sesama PAS.
Hikmah
Saya berharap antara hikmah kejadian ini adalah dapat membuang perasaan fanatik sesetengah
pihak yang berlebihan atau melebihi patut kepada pemimpin tertentu. Pendapat atau
pandangan seseorang pemimpin bukan dinilai dari segi nama, atau gelaran, atau peribadi
semata, tetapi yang paling mustahak dilihat alasan dan hujah yang dikemukakan dalam
setiap pendapat.
Apabila bertembung antara pemimpin dengan pemimpin, ahli PAS mesti menggunakan kebijaksaan,
ketajaman minda, penilaian seimbangan dalam membuat keputusan, bukan hanya dengan
emosi semata.
Sudi Menerima Pandangan
Satu perkara yang wajar PAS akui ialah ramai orang dalam PAS yang sangat sensitif
jika ada teguran luar. Jika tidak disambut teguran itu dengan maki hamun pun, unsur-unsur
mengutuk pemberi pendapat itu akan muncul. Bukan sahaja orang bawahan, bahkan pihak
atasan PAS.
Sebagai contoh yang terkini, lihatlah jawapan Ketua Penerangan PAS Pusat terhadap
pandangan seorang tokoh akademik yang terkenal cenderung kepada PR, Prof Dr Aziz
Bari. Dalam menjawab kritikan kekalahan PAS di Bagan Pinang, Ketua Penerangan PAS
itu menulis:
“Sebagai seorang Prof dan ahli akademik janganlah mengambil data di tepi jalan yang
tidak ada kesahihan. Biarlah tuduhan ini dibuat oleh mereka yang tidak bergelar Prof.
Memanglah menjadi ahli akademik senang membuat hipotesis daripada bilik berhawa dingin.Tetapi
menjadi ahli politik pembangkang berat lagi mata memandang maka berat lagi bahu memikul.
Kita janganlah menjadi penganalisa politik yang tidak terjun medan, waktu kalah semua
hendak menuding jari. Sewaktu menang di tujuh PRK tidak ada pula komen mengatakan
pimpinan Pas cerdik, apabila kalah semua buat tuduhan. Prof Aziz tahu atau tidak
keadaan demografi Bagan Pinang. Beliau pergi atau tidak ke kawasan pilihanraya tersebut.
Berjumpa atau tidak dengan masyarakat pengundi Bagan Pinang. Tahu atau tidak berapa
ahli cawangan Pas dan dan ahli umno di kawasan itu. Keadaan di Bagan Pinang kalau
Prof Aziz Bari bertanding pun akan kalah..”.
Inilah layanan terhadap kritikan yang saya kira jujur dari Prof Dr. Aziz Bari. Saya
tidak menyatakan saya setuju atau tidak dengan pandangan Dr. Aziz Bari, tetapi saya
hairan melihat bahasa sindir dan kutuk yang digunakan, padahal Dr Aziz Bari boleh
dikatagorikan sebagai rakan mereka. Jika pun kita tidak bersetuju, gunakanlah uslub
atau gaya bahasa yang lebih terhormat.
Bagaimanakah keadaan seperti ini jika PAS berjaya membentuk kerajaan, dan orang-orang
awam, ahli akademik serta berkecuali ingin menyampaikan pandangan?! Saya bimbang
ruang demokrasi atau bersuara akan menjadi semakin sempit. Pun begitu, alhamdulillah
dalam suasana krisis ini, sudah ada pihak dalam PAS juga yang cuba menilai pandangan
luar.
Akhirnya, PAS hendaklah benar-benar tahu siapakah musuhnya yang sebenar.
Beberapa perkara berikut patut difikirkan oleh PAS;
* Siapakah yang boleh mengheret PAS melanggar prinsip-prinsip Islam yang holistik
yang bukan sekadar isu tahalluf siyasi semata?
* Siapakah yang ‘sebenarnya’ mencetuskan permusuhan dalaman secara langsung dan tidak
langsung dalam PAS selama ini?
* Jika PAS berfikir ada pemimpinnya yang patut disingkirkan, maka penyingkiran itu
adakah atas alasan pelanggar prinsip, atau sekadar pelanggaran pendekatan?
* Antara mengerat ‘orang dalam’ dan mengerat ‘orang menumpang’ yang menyusahkan;
manakah yang patut diutamakan?
* Adakah PAS yang memerlukan PR atau PR memerlukan PAS?
* Adakah agenda Islamik itu yang lebih besar dalam PAS atau agenda politik PR?
* Apa beza dari masa depan Islam antara kerjasama dengan DAP dan PKR dan kerjasama
dengan UMNO?
- Dr Mohd Asri Zainul Abidin, USM
Ahad, 22 November 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan