ANTARA PERJANGIAN DAN KEZALIMAN
Dalam kehidupan ini, kita sering dipaksa atau terpaksa membuat pilihan yang kadangkala pilihan itu amat menyakitkan untuk diputuskan. Kesukaran dalam membuat pilihan ini jelas digambarkan dalam pepatah Melayu yang cukup diketahui umum iaitu “ditelan mati emak, diluah mati bapak”. Kita juga diajar oleh Nabi Muhammad SAW seandainya kita berada dalam persimpangan dan begitu sukar untuk membuat pilihan agar menunaikan solat sunat istaharah memohon agar Allah memberi petunjuknya dan keputusan yang kita ambil itu benar-benar tepat dan tidak akan menimbulkan penyeselan di masa depan.
Pada hari Khamis yang lalu, saya telah berkesempatan untuk mendengar siaran langsung persidangan parlimen. Alhamdulillah dengan kelebihan yang ada pada dunia tanpa sempadan ini telah membuat kita berkesempatan dalam kesempitan ruang demokrasi untuk mengikuti perdebatan dalam Dewan Rakyat, suatu perdebatan yang sepatutnya menjadi tontonan awam kerana anggota dalam dewan tersebut termasuk perdana menteri dipilih oleh rakyat. Seharusnya apabila rakyat yang memberi mereka kerja maka kepada rakyatlah segala aktiviti harus dilaporkan kerana rakyat adalah mejikan mereka. Namun begitu bukanlah soal demokrasi dan parlimen yang saya berhajat untuk bincangkan di sini tetapi ia hanya sekadar mengambil kesempatan dalam “kesempitan” yang ada tadi untuk meluahkan isi hati.
Dalam perbahasan belanjawan yang melibatkan Kementerian Luar Negeri di peringkat jawatankuasa salah seorang ahli dewan dari Pakatan Rakyat(PR) iaitu wakil dari Kawasan Ipoh Barat telah menyentuh persoalan kenapa Chin Peng tidak dibenarkan pulang ke Malaysia kerana Malaysia adalah tanah airnya. Chin Peng yang telah lanjut usia kini tidak mahu yang lain kecuali untuk kembali ke kampongnya dan ingin mati dan dikebumikan di situ. Di sinilah bagi saya timbulnya konflik antara “janji” dan “zalim’. Apakah kerana satu perjanjian lantas segala kezaliman yang pernah dilakukan harus diketepikan? Atau apakah kerana marah dan dendam yang tidak berkesudahan hasil kezaliman yang pernah dilakukan maka janji harus dimungkiri?
Bagi rakyat Malaysia yang tahu sejarah dan kenal erti penderitaan dan kemanusiaan, tidak siapa pun yang mungkin boleh menerima kezaliman yang pernah dilakukan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) khususnya di zaman “DARURAT” sejak tahun 1948 hingga 1960. Kezaliman ini sebenarnya bukan bermula dari zaman darurat itu tetapi lebih awal dari itu dan ramai yang mesih ingat dengan Bintang Tiga sebaik Jepun menyerah diri pada Ogos 1945 setelah Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh Amerika Syarikat. Pelbagai bentuk kezaliman telah dilakukan oleh PKM sepanjang mereka berada di puncak kekuatan. Pengurus dan pekerja ladang dibunuh, oran-orang kampong diganggu dan terganggu ketenteramanya, makanan terpaksa dicatu, perjalanan keretapi ditembak secara rambang, makanan orang kampong dirampas dan kegagalan membekalkan mereka makanan akan dibunuh, isteri-isteri dan anak-anak anggota keselamatan menjadi balu dan yatim dan seribu satu mecam lagi kezaliman yang tidak terbayang oleh kita yang masih ada erti kemanusiaan. Filem Peristiwa Bukit Kepong arahan Datuk Jin Shamsudin adalah sekelumit gambaran kekejaman PKM yang dapat difilemkan dan apakah mereka yang menonton filem ini tidak timbul sedikit pun rasa marah dan geram terhadap PKM yang Chin Peng ini menjadi ketuanya. Sesungguhnya terlalu sukar untuk memaafkan segala kezaliman PKM dan kekejaman itu memang di luar batas dan tamadun kemanusiaan. Kekejaman itu pula tidak berakhir dengan berakhirnya darurat tetapi berlanjutan hingga ke tahun lapan puluhan.
Satu perkara yang menghairankan kita adalah perjuangan PKM itu sendiri yang kononnya berjuang untuk memerdekakan Tanah Melayu dari penjajah. Bukankah Malaya ketika itu dan Malaysia kemudiannya telah merdeka pada tahun 1957 lagi dan andai kata perjuangan untuk merdeka dari penjajah itulah matlamat PKM maka 31 Ogos 1957 itu sepatutna perjuangan PKM sudah ditamatkan.
Sejarah tetap tidak dapat diubah, yang berlaku telah berlaku dan PKM telah mengangkat senjata sehingga penghujung dekad lapan puluhan. Di sini jelas memperlihatkan bahawa PKM bukan ingin menghalau penjajah tetapi merekalah sebenarnya ingin menjadi penjajah seterusna ke atas Malaysia. Dari itu tindakan rakyat Malaysia secara kolektif melancarkan peperangan habis-habisan terhadap PKM adalah amat tepat sekali dan di sinilah keadaan yang menyukarkan untuk kita menerima kembali Chin Peng untuk balik dan mati di Negara ini.
Apa pun keadaannya, biar marah macam mana pun kita kepada Chin Peng, satu hakikat yang menjadi persoalan adalah perjanjian yagn ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thai dan PKM sehingga membawa kepada perletakkan senjata oleh PKM pada penghujung tahun 1989 (kalau tak silap). Menurut perjanjian tersebut, mana-mana ahli PKM yang berada di sempadan Malaysia-Thai boleh memilih untuk tinggal di Malaysia atau Thai Land dan tidak akan diambil apa-apa tindakan undang-undang kepada mereka atau dalam erti kata lain mereka ini dimaafkan. Kalau itulah status perjanjian ini maka di sinilah timbulnya masalah kerana Chin Peng harus diberi peluang untuk pulang ke tanah airnya. Seandainya kita gagal untuk memberi hak kepada Chin Peng sebagai mana butiran dalam perjanjian itu maka kerajaan Malaysia akan dipandang sebagai sebuah kerajaan yang tidak berpegang pada janji di peringkat antarabangsa. Andai kata perjanjian itu hanya melibatkan Kerajaan Malaysia dan PKM semata-mata ia mungkin tidak begitu besar kesannya tetapi ini merupakan perjanjian antara dua Kerajaan dan PKM. Walau pun pulangnya Chin Peng bukannya Masalah Thai Land tetapi ini adalahsoal “perjanjian” dan dalam apa keadaan pun janji amat penting untuk dipatuhi. Kata orang, sekali orang tak percaya, sampai mati orang tak kan percaya. Di sinilah letaknya persimpangan yang harus dipilih oleh kerajaan Malasia. Kerajaan dan rakyat harus menerima hakikat bahawa perjanjian itu telah ditandatangani dan di waktu yang sama Chin Peng dan kezalimannya adalah hempedu yang cukup pahit untuk ditelan.
Dalam kehidupan manusia ada yang berkata kemaafan adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan banyak masalah tapi ada juga yang berkata “hutang nyawa dibayar nyawa, hutang darah dibayar darah”. Ole yang demikian, pihak kerajaan harus mencari jalan agar masalah ini tidak akan menimbulkan penyesalan kepada kita buat selama-lamanya. Kalau boleh hati rakyat tidak terluka dan kerajaan pula tidak dianggap sebagai pemungkir janji.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan