Selepas mengikuti pengumuman yang disiarkan oleh PERTIS pada hari Rabu yang lalu, walau pun tarikhnya adalah pada hari Ithnin(yang mana satu yang terpakai, tarikh siaran atau tarikh pengumuman dinyatakan), saya amat berbangga dengan pengumuman ini.:
"2. KEAHLIAN KARYAWAN
Melalui satu perbincangan dengan Datuk Freddy Fernandez, Presiden Persatuan Karyawan dan pemuzik tersohor tanah air, persetujuan telah dicapai bagi penubuhan Biro Karyawan OKU Penglihatan. Menerusi ruang dan peluang yang ditawarkan, ahli-ahli PERTIS yang berbakat boleh memperkembangkan minat juga bakat masing-masing dalam bidang kesenian, penulisan lirik lagu, penciptaan lagu dan sebagainya. Ahli-ahli PERTIS yang berminat bolehlah mendapatkan borang keahlian daripada Ibu Pejabat PERTIS Malaysia. Borang-borang yang telah lengkap diisi beserta yuran keahlian tahunan RM10.00 seorang perlu dikembalikan ke Ibu Pejabat PERTIS dengan secepat mungkin. Bagi maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, ahli-ahli Persatuan bolehlah menghubungi En. CR. Mohd Hafiz bin Halim, Pengerusi Biro Kewangan dan Ekonomi PERTIS Pusat di talian, 013-340 0155."
Kalau kira-kira dua minggu yang lalu, PERTIS melalui dua orang ahlinya telah berjaya membuat siaran langsung life streaming radio di http://pertis.listen2myradio.com dalam majlis hari raya PERTIS walau pun siaran tersebut ada sedikit sebanyak kekurangan, namun ia tetap satu kejayaan maka berdasarkan pengumuman tersebut satu lagi kejayaan telah dapat digarap. Kejayaan ini sebenarnya mempunyai beberapa makna yang cukup significant kepada PERTIS dan orang-orang cacat penglihatan.
1) PERTIS dengan dua kejayaan ini telah membuktikan bahawa ia adalah satu persatuan yang bersedia menggerakan diri ke arah kemajuan untuk kepentingan PERTIS itu sendiri, ahli-ahlinya juga orang-orang cacat penglihatan yang lain. Kejayaan ini juga boleh mendekatkan PERTIS kepada khalayak yang mempunyai pelbagai keranah yang harus dihadapi dengan pelbagai kaedah.
2) Keikhlasan adalah modal besar kepada PERTIS dan modal ini harus jangan dipersiakan oleh PERTIS. Keikhlasan ini akan membawa PERTIS jauh ke depan dan juga mampu membina keutuhan dan kelangsungan PERTIS selagi ianya mendasari jiwa dan hati ahli-ahli. Namun begitu, jangan ada di antara kita yang cuba untuk meletakkan keikhlasan ahli untuk mencapai tuntutan dan kehendak diri sehingga akhirnya ahli yang ikhlas menjauhkan diri.
3) Apa yang berlaku ini juga memperlihatkan bahawa PERTIS mampu bertindak dan merangka perkara-perkara baru dan tidak terikat dangan amalan-amalan biasa yang saban waktu dihidangkan dalam laporan aktiviti dalam mesyuarat agung. Dengan adanya perkembangan seperti ini maka akan tercatat pembaharuan dalam menongkah perjalanan PERTIS yang masih panjang danbanyak yang perlu dilakukan.
Apa pun, kalau pencapaian dan pembaharuan ini boleh diibarat seperti hidangan, biarlah hidangan itu benar-benar sesuai untuk dihidangkan kepada ahli-ahli PERTIS. Kalau setandan pisang yang hendak dihidang, sebiji dua yang rosak dan tak boleh dimakan adalah perkara biasa tetapi kalau yang dihidang itu pisang mentah atau busuk, sanggupkah PERTIS bertanggungjawab. Kalau setandan biarlah setandan, jangan sesikat dua diberi kepada ahli dan yang lain tak tahu entah ke mana.
Andai hidangan adalah sedulang nasi berlauk, biarlah dulang tersebut dikelilingi oleh mereka yang nak makan dan jangan diganggu selera mereka. Jangan kerana yang makan itu orang buta maka ada orang lain yang menghulur senduk dan berkata dalam hati atau sesama penyenduk "dia orang buta, kita hulur senduk bukan dia orang tahu, masa hulur jaga-jagalah, jangan sampai terkena tangan dia orang, sudah la".
Sebenarnya mengurus kesenangan amat payah jika dibandingkan dari mengurus kesusahan. Lantaran itu, di samping kita berbangga dan bergembira dengan pelbagai pencapaian dan perkembangan, kita juga harus cekap dalam mengurus pencapaian dan perkembangan itu agar pencapaian dan perkembangan itu akan menjadikan PERTIS matang dan cemerlang bukan kecundang.
Ahad, 8 November 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan