Setelah 50 tahun PAS berada dalam arena politik tanah air,, akhirnya pada pilihanraya ke-12 PAS berjaya mencapai prestasi yang cukup membanggakan dan amat tidak disangka. Ia bukan sahaja mampu bersama-sama parti-pembangkang yang lain dalam menafikan penguasaan dua pertiga Dewan Rakyat, malah ia juga telah berjaya bersama DAP dan PKR membentuk kerajaan negeri di empat buah negeri dan mengekalkan dengan penuh bergaya kerajaan Negeri Kelantan. Pembentukan kerajaan-kerajaan negeri ini telah kemudiannya melahirkan satu gagasan yang dipanggil Pakatan Rakyat yang kini telah mula diterima rakyat. Pakatan ini begitu memberi saingan kepada Barisan Nasional dan jika segalanya berjalan lancar akan didaftarkan sebagai sebuah gabungan seumpama Barisan Nasional (satu perumpamaan yang benci untuk disebut tapi disebut juga untuk memudahkan pemahaman).
Sebenarnya kemenangan ini bukan sahaja kemenangan kerusi tetapi lebih jauh dari itu PAS telah mendapat kepercayaan yang bukan sedikit dari parti-parti DAP dan PKR dengan mengetuai kerajaan Negeri Perak dan memegang port-foleo yang amat penting di Selangor walau pun kerusi yang dimiliki oleh PAS di kedua negeri tersebut paling sedikit berbanding DAP dan PKR. Di sinilah nampak yang PAS dipercayai oleh parti-parti politik dan juga rakyat yang mengharapkan keberadaan PAS dapat membela rakyat sebagaimana yang dilaungkan selama ini.
Apa pun panas seolah tak sampai ke petang, menjelang tengah hari awan mendung telah mula berarak dan kini gerimis mula menitik. Ahli PAS seolah tidak mampu bergembira dengan pencapaian ini. Kegembiraan hanya terasa tak sampai pun sebulan. Bagai satu kejutan, PAS seolah berhadapan dengan kesukaran dalam mengurus kemenangannya. Pelbagai perkara timbul yang masalah-masalah itu tidak pernah timbul sebelum ini. permasalahan yang timbul ini pula bukan semata-mata masalah yang melibatkan pentadbiran negeri tetapi lebih sedihh ia melibatkan pertelingkahan dalam parti sendiri. Kalau bertelagah dalam mentadbir negeri, itu boleh difahami kerana ia melibatkan parti-parti yang berbeza dasar dan pendekatan juga kepentingan parti masing-masing. Ini mungkin berlaku kerana masing-masing sedang dalam proses untuk mengenali sesama sendiri dan konflik seperti itu boleh sebenarnya mematangkan Pakatan Rakyat itu sendiri. Namun begitu, di manakah kebaikannya kalau kita bertelagah sesama sendiri dalam parti dalam isu-isu yang sepatutnya telah lama diselesaikan berdasarkan ukhwah, tarbiyah dan wahdatul fik. Masalah-masalah ini pula bukan datangnya dari kalangan ahli diperingkat cawangan atau kawasan tetapi ia datang dari para yang berhormat yang sepatutnya menyelesaikan masalah rakyat dan bukan mencipta masalah yang menyerabutkan pemikiran rakyat. Tindak tanduk mereka bukan sahaja menimbulkan keresahan di kalangan ahli malah ia begitu mengelirukan rakyat apatah lagi mereka yang baru nak mengenali PAS dan mereka dari kalangan bukan Islam yang cuba mendekati PAS melalui kelab penyokongnya.
Bermula dari masalah "unity government" (ug) hinggalah mesalah Muk'tamar Khas PAS (EGM) DENGAN TIDAK PAYAH MENGUNKIT kembali apa yang telah menjadi perbincangan dan perdebatan hangat selama setahun, tindakan PAS menganjurkan Seminar Memperkasakan PAS pada 7 November, 2009 lalu amat dialu-alukan dan bertepatan sekali. Walau pun saya tidak dapat menghadirinya namun dapat mengikuti seminar tersebut melalui internet dengan siaran terputus-putus dan sedikit sebanyak dapat memahami isi seminar tersebut. Sesungguhnya seminar tersebut jelas dapat menunjukkan kehebatan dan kebesaran jiwa yang ada pada pemimpin--pemimpin dan ahli-ahli PAS untuk ditegur dan menegur dalam suasana ukhwah dan hikmah. Seminar yang dihadiri lebih dari seribu oran langsung tidak menimbulkan masalah kepada penganjur dan para panelis. Ahli-ahli panel dapat membentangkan hujah, kritikkan, pandangan dan cadangan dalam suasana yang begitu selesa tanpa ada tekanan dan mereka tidak teragak-agak untuk melakukannya dengan penuh wibawa dan diharap disertai juga dengan keikhlasan. Walau pun kedapatan peserta seminar yang agak emosi itu adalah perkara biasa dalam menerima kritikan dan keadaan itu memang ada di mana-mana dan ia adalah keadaan yang boleh dimaafkan. Semoga segala pandangan, cadangan, kritikan, kajian dan apa sahaja yang dilakukan oleh para ahli panel iaitu Prof. Dr. Aziz Bari, Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah dan Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man akan mendapat saham yang besar dalam kejayaan PAS di dunia dan akhirat dan diterima Allah sebagai sumbangan ke arah menyelamatkan sebuah gerakan Islam dan Islam itu sendiri.
Di pihak peserta seminar pula didapati mereka cukup berakhlak dalam mengemukakan hujah-hujah mereka. Kebimbangan-kebimbangan yang timbul sebelum seminar itu jelas tidak berlaku dan kelihatan sesuatu yang manis akan dapat dinatijahkan darinya. Di pihak pemimpin pula, adalah diharap agar semua pandangan tanpa mengira dari mana datangnya sama ada dari ahli-ahli panel yang diundang atau dari ahli-ahli sendiri hendaknya dijadikan input-input ke arah memperkasakan parti sebagaimana tujuan asal seminar tersebut. Kalau boleh dengan seminar ini akan membuatkan PAS lebih matang dalam mengurus kemenangan yang telah ada ditangan, Semoga biduk berlalu jauh meninggalkan kita dan PAS menjadi kiambang yang bertaut semula dengan limpahan iman di dada dan keikhlasan di jiwa. Usah dipeduli lagi dengan mainan media yang sememangnya akan cuba menggagalkan matlamat seminar ini dan sememangnya mereka telah memulakan jarum mereka sebaik saja seminar itu berakhir.
Selasa, 10 November 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan