Sabtu, 31 Oktober 2009

LEGANYA HATI INI

Telah hampir dua minggu saya tidak mengisi blog ini dengan apa-apa posting (catatan). Ini adalah kerana sedikit kesibukan yang tidak dapat dielakkan. Andai ada teman-teman yang mengunjungi blog ini dan mendapati tiada sebarang kemas kini ribuan kemaafan dipinta.


Appa pun keadaannya, saya terus juga mengunjungi blog dan laman web yang berkaitan dengan perkembangan semasa lebih-lebih lagi perkembangan politik. Bagi saya, dua minggu terakhir ini adalah mingu-minggu yang benar-benar membuat saya tidak lena tidur. Pergolakan yang begitu nampak besar dalam PAS benar-benar membuat saya agak cemas dan bimbang kiranya sesuatu yang buruk akan menimpa PAS. Isu yang pada mulanya ditimbulkan oleh seorang professor undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) telah kemudiannya menjadi suatu perkara yang begitu mencemaskan bila Mursyidul Am PAS Tok Guru Nik Aziz sendiri memberi kenyataan yang tidak disangka akan keluar dalam blognya. pelbagai andaian telah dikemukakan oleh pelbagai pihak hasil dari kenyataan Murshidul Am PAS itu. Beliau yang mencadangkan agar diadakan Muktamar Khas bagi memilih semula kepimpinan PAS dan mempersoalkan kewibaan beberapa orang pemimpin tertinggi PAS khususnya presiden, timbalan presiden dan pesuruhjaya PAS Negeri Selangor. Keadaan ini benar-benar membimbangkan kerana apakah sebenarnya terdapat krisis antara Mursyidul Am dengan Presiden itu sendiri dan mungkinkah krisis ini sudah ke tahap yang begitu serius sehingga Tok guru bertindak sedemikian rupa terhadap Tuan Guru.


Hasil dari keadaan ini, kita dapati pihak-pihak yang akan gembira jika PAS berpecah telah memainkan jarumnya. Lebel-label golongan ulama dan profesional dimainkan kembali. Pro UMNO dan Pro PKR terdengar kembali. Uniti government mula menghiasi dada akhbar murahan UMNO. Berkatalah pemimpin UMNO dengan pelbagai kata, "sedia membuka pintu rundingan", "kita nak tunggu PAS pulih baru nak berunding", "mereka kata UMNO sekarang kena pada diri mereka sendiri" dan banyak lagi kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin negara dan UMNO untuk menangguh di air keruh.


Di pihak PAS pula kita mendangar pelbagai kenyataan yang dibuat oleh para pemimpinnya. Selain dari kata-kata Tok Guru dalam blognya, beliau juga kemudiannya menukar cadangannya dari EGM kepada mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat dan beliau sendiri bersedia untuk hadir. Presiden pula meminta ahli-ahli agar bertenang dan bersabar dalam menghadapi keadaan ini. Ketua penerangan PAS pula menasihatkan orang ramai agar jangan terpengeruh dengan ciber troop UMNO yang bergerak aktif dengan menggunakan internet dan blog untuk memainkan jarumnya.

Bila kita membuka blog pula maka kita akan dapat membaca pelbagai pandangan yang memberi semangat, menyakitkan hati, menimbulkan keresahan, memberi harapan dan tak kurang juga maklumat-maklumat baru yang membolehkan kita membuat satu dua kesimpulan tentang parti dan individu-individu tertentu dalam parti. Benarlah, keupayaan para blogger dalam menentukan arah dan suasana politik memang tidak dapat dinafikan lagi. Kegagalan media-media utama sama ada cetak mahu pun elektronik telah benar-benar dimanfaatkan oleh blogger dalam membentuk suatu penguasaan baru dalam mencetus pemikiran dan pandangan rakyat. Buktinya apabila melompatnya seorang ADUN PKR dari DUN Pelabuhan Klan tidak langsung memeranjatkan malah keadaan tersebut memang telah lama dijangka dan ditunggu oleh rakyat khususnya rakyat Negeri Selangor. Perangai ADUN tersebut telah lama terhebah dan dihebahkan dalam banyak blog, tak tahulah, UMNO kemaruk sampai boleh menerima sampah macam tu.

Keresahan kegelisahan, kebimbangan, harapan dan kelegaan dapat dirasai apabila kita membuka pelbagai glog dengan pelbagai pandangan, ulasan, penilaian dan kritikan yang dalam pelbagai bentuk sama ada serius, sinis atau santai. Rakyat tidak lagi begitu mengharap perkembangan sesuatu perkara dalam politik sama ada politik Pakatan Rakyat mahu pun BN melalui media arus perdana tetapi bloglah menjadi tempat mereka mengemaskini maklumat. Hakikatnya nak tahu keputusan pemilihan UMNO pun blog menjadi rujukan. Sebenarnya ramai juga teman-teman yang telah lama tidak membuka siaran berita jam lapan di mana-mana siaran tv dan bagi mereka menonton siaran berita tv hanya sekadar membuat keadaan semakin keliru.

Namun begitu, segalanya telah selesai apabila pada 29 Oktober, 2009, kira-kira pukul 1.30 pagi setelah bermusyuarat selama lebih kurang 4 jam suatu sidang akhbar telah diadakan oleh Presiden PAS Datuk Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bagi menaklumkan keputusan mesyuarat khas yang diadakan di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut. Mesyuarat itu telah dihadiri oleh pemimpin tertinggi PAS termasuk Mursyidul Am PAS Tok Guru Nik Aziz. Tiga ketetapan telah diambil dalam mesyuarat tersebut iaitu EGM tidak akan diadakan sebaliknya diganti dengan satu seminar khas pada 7 November akan datang, soal kerajaan perpaduan ditutup rapat dari perbincangan dan menyiasat PAS Selangor. Keputusan-keputusan itu telah benar-benar melegakan hati kerana para pemimpin yang dikasihi sebenarnya masih boleh meneduhkan ahli dan mempunyai pertimbangan yang boleh dicontohi dan sama sekali tidak mementingkan diri mereka sendiri. Kepentingan jamaah dan parti telah menjadi keutamaan dan dari situ ahli dan penyokong masih boleh terus berpayung dan mendapatkan bimbingan mereka. Sekali lagi. Bila buka blog memmang ada yang kecewa dengan perkembangan itu dan yang kecewa itu adalah merupakan musuh sejati PAS. Sipakah mereka; cari sendiri. Terima kasih tok guruku dan tuan guruku.

Tiada ulasan: