Sahlah sudah sekarang bahawa sesungguhnya pertarungan bermakna di selatan tanah air iaitu Kawasan Bagan Pinang adalah antara Pakatan Rakyat (pr) dengan Barisan Nasional (BN). Bn telah mempertaruhkan bekas menteri besar Negeri Sembilan yang telah disabitkan rasuah oleh Jawatankuasa Disiplin UMNO yang kemudiannya terpaksa menerima hukuman penggantungan keahlian selama tiga tahun dan melepaskan semua jawatan dalam politik dan kerajaan iaitu Tan Sri Isa Samad dari UMNO. Akibat dari penggantungan tersebut calon BN ini tidak bertanding dalam pilihanraya ke-12 yang lalu dan nampaknya cuba membuat "come back" ketika berlakunya pemilihan Bahagian UMNO dan Majlis Tertinggi UMNO tahun lalu.PR pula mempertaruhkan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan sebagai calonnya iaitu Ustaz Zulkifli Omar.
Bagi kedua-dua pakatan iaitu Pr dan (yang tak pernah mengaku yang mereka juga berupa pakatan) BN, pertarungan ini adalah pertarungan pertama di luar Utara Semenanjung Tanah Melayu yang mana PR telah menyapu bersih ke semua pilihanraya kecil di sana. Suasana inilah yang membuatkan pilihanraya DUN Bagan Pinang ini nampak istimewa. Ia akan menjadi kayu ukur sama ada rakyat sebenarnya secara merata memang menolak BN atau hanya di bahagian tertentu semenanjung sahaja yang bersikap sedemikian.
Apa pun Presiden PAS Tuan Guru Datuk
Seri Haji Hadi Awang telah dengan tegas menyatakan bahawa Pas menyertai pilihanraya Bagan Pinang ini bukan bertujuan untuk mengurangkan majoriti tetapi sebaliknya ingin mencapai kemenangan. Sebenarnya sasaran PAS itu adalah realistik kerana kawasan ini bukanlah kawasan seperti Permatang Pasir yang mana pada pilihanraya umum yang lalu Almarhum Datuk Hamdan telah mencapai kemenangan yang begitu besar sedang pada pilihanraya umum ke-11 BN hanya menang dengan majoriti yang terlalu kecil iaitu lebih kurang 500 undi. BN di Bagan Pinang pula hanya menang dengan majoriti 2333 undi sahaja pada pilihanraya umum lalu jsedang jika diselak ke belakang lagi BN menang dengan majoriti lebih 6000 undi pada pilihanraya umum ke-11 pada tahun 2004. Maknanya pada PRU ke-12 BN telah kehilangan majoriti sebanyak hampir 4000. Jadi, 4000 undi majoriti PR boleh ketepikan pada PRU lalu, maka memang tidak mustahil sama sekali untuk PR meraih lebih kurang 1500 undi tambahan bagi memenangi pilihanraya ini. Apa yang penting pada pendukung PAS dan penyokongnya adalah doa yang tidak putus dari Allah dan kepada semua pendukung dan penyokong PAS/DAP/PKR yang tergabung dan tertaut dalam Pakatan Rakyat adalah usaha yang lebih gigih dan mematuhi arahan pimpinan yang pastinya telah terselaras oleh barisan tertinggi Pakatan Rakyat.
D pihak BN pula, mereka memang berada dalam keadaan defensif untuk ke sekian kalinya. Pemilihan Tan Seri Isa sebenarnya sekali lagi akan menjadi liabiliti kepada BN bukan sekadar pada pilihanraya Bagan Pinang ini tetapi ia pasti menjadi momokan ngeri kepada BN untuk semua pilihanraya kecil (jika ada) yang akan datang lebih-lebih lagi pilihanraya umum ke-13. Sebenarnya Tan Seri Isa dengan sejarahnya adalah modal besar kepada PR untuk mempertikaikan sejauhmana kesungguhan BN amnya dan UMNO khususnya dalam melawan rasuah dan membersihkan parti mereka. Sebenarnya tidak ada bezanya antara Rohaizat di Permatang Pasir dan Isa di Bagan Pinang melainkan Isa adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan dulu dan bekas Naip Presiden UMNO. Sebagai orang besar seperti itu, pengikutnya sudah tentu bukan sedikit dan inilah yang ada dan digunakan oleh Isa untuk mendapatkan tempat dalam meraih kedudukan sebagai calon di Bagan Pinang dan pastinya ini merupakan langkah terancang beliau untuk kembali ke pejabat menteri besar tak lama lagi.
Berdasarkan kepada jangkaan itu, seandainya Isa berjaya memenangi pilihanraya kecil ini tak mustahil Negeri Sembilan akan menjadi seperti Trengganu. Bila itu berlaku, Insya Allah pada PRU ke-13 nanti Negeri Sembilan akan menjadi negeri seterusnya menjadi kawan Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Rasanya Putrajaya akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat juga. Atas keadaan itulah BN terpaksa menggunakan segala kuasa yang ada untuk meletakkan kelebihan kepada BN dan kekurangan kepada Pr. Pihak BN boleh masuk ke dalam kem tentera dengan jadual yang tersusun sedang PR lansung tidak mempunyai akses terhadap para anggota tentera. Jadual kempen BN boleh didapati di
http://www.kentong-suhaizan.blogspot.com/
sedang Pr tidak langsung memiliki jadual seperti itu di dalam kem-kem tentera.
Apa pun rakyatlah penentu segala-galanya kerana rakyat Bagan Pinang akan memilih wakil mereka pada 11 Oktober ini. Semoga rakyat Bagan Pinang akan memilih berdasarkan keperluan rakyat yang inginkan keadilan, ketulusan dan perpaduan bukannya pemimpin yang rasuah dan hanya pandai berjanji dan bercakap tetapi rakyat akhirnya menjadi mangsa kerakusan mereka. Perpaduan semakin rapuh, keadilan tidak langsung kelihatan dan ketulusan entah mana perginya.
Selamat mengundi
Sabtu, 3 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan