Isnin, 12 April 2010

MARI KE HULU SELANGOR 2

Sedar tak sedar, diam tak diam, masa yang begitu pantas berlalu memperlihatkan kepada kita betapa Pakatan Rakyat, suatu pakatan antara PAS, PKR DAN DAP yang terbentuk hasil dari keputusan pilihanraya umum 2008 telah pun berusia dua tahun. Gabungan yang pada asalnya lebih kepada hasrat untuk menyaingi UMNO-BN secara satu lawan satu telah begitu berhasil akhirnya mencapai kejayaan yang tidak diduga oleh seluruh rakyat Malaysia. Strategi menyaingi satu lawan satu itu bukan sahaja berjaya menafikan dua pertiga majoriti UMNO-BN dalam parlimen Malaysia malah lebih dari itu telah menggagalkan UMNO-BN mempertahankan majoriti di empat buah negeri di pantai barat iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor dan seterusnya mengekalkan kemenangan yang lebih besar dan selesa di Kelantan. Pencapaian ini telah membuka satu lorongan baru dalam suasana dan warna politik Malaysia yang sekaligus mengubah landskap politiknya.

 

Lorongan dan dorongan politik baru yang dicetuskan oleh keputusan PRU ke-12 ini telah membuka jalan untuk PAS, PKR dan DAP mencari peluang membentuk suatu pakatan bagi memenuhi harapan rakyat untuk melihat suatu perubahan dalam pentadbiran kerajaan. Hasrat yang kuat ini telah diterjemahkan oleh para pemimpin ketiga-tiga parti dengan membentuk kerajaan di kelima-lima buah negeri yang dinafikan majoritinya dari UMNO-BN. Setelah berjaya membentuk kerajaan yang di peringkat awalnya disebut secara tidak rasmi sebagai Barisan Rakyat atau kerajaan alternatif, satu cadangan telah dilontarkan oleh Presiden PAS Tuan Guru Datuk Sri Haji Abdul Hadi Awang dalam satu program meraikan kemenangan di Shah Alam dengan menamakan pakatan ini sebagai pakatan Rakyat. Bertolak dari cadangan inilah akhirnya ketiga-tiga parti ini setuju menjadi alternatif kepada Barisan Nasional dengan nama atau panggilan Pakatan Rakyat sekalipun ia masih belum didaftarkan secara rasmi di bawah Pendaftar Pertubuhan. Usaha untuk mendaftarkan pakatan ini hanya nampak bersungguh dilakukan selepas Pilihanraya Kecil Bagan Pinang dan Konvension Pakatan Rakyat di Shah Alam pada bulan Disember yang lalu dan kini kita sedang menungu-nunggu akan kelulusannya dari pihak Pendaftar Pertubuhan.

 

Dalam tempoh dua tahun ini, Pakatan Rakyat telah berjaya menempoh dan mengharungi pelbagai rintangan dan halangan dalam mentadbir kelima-lima buah negeri yang dikuasainya. Walau pun pada 6 Februari 2009, Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak telah dirampas dengan cara yang hina dan tidak bermaruah oleh UMNO-BN, secara keseluruhannya Pakatan Rakyat telah mencapai kejayaan yang amat boleh dibanggakan. Sekatan kuasa dan peruntukan, gangguan tugas dan kerja, fitnah dan adu domba, diskriminasi media cetak dan banyak lagi tidak menghalang kerajaan Pakatan rakyat di negeri-negeri yang ditadbirnya melaksanakan segala yang diamanahkan dengan cekal dan tabah.

 

Kini, Pakatan Rakyat khususnya di Selangor harus berhadapan dengan majikannya yang sebenar di Hulu Selangor. Pemergian Ahli parlimannya pada 25 Mac yang lalu seakan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat Selangor untuk dinilai prestasinya. Kalau kita mengikuti kenyataan-kenyataan, ceramah-ceramah, laporan-laporan berita dan tulisan-tulisan dalam blog menggambarkan bahawa Pakatan Rakyat telah berjaya melakukan banyak perubahan ke arah kesejahteraan rakyat di Selangor. Pelbagai projek, program dan usaha telah dilakukan oleh mereka yang termasuk di dalamnya merakyatkan ekonomi sSelangor dengan memberi air percuma, bantuan pendidikan, bantuan untuk golongan tua dan ibu tunggal, menyelesaikan masalah rumah terbengkalai, menarik pelaburan asing dan meluaskan peluang pekerjaan. menariknya, usaha-usaha ini digambarkan dilakukan dengan keadilan untuk semua dan di bawah prinsip negeri berkebajikan. Segala usaha ini sebenarnya telah dan akan dinilai oleh rakyat Selangor khususnya dan malaysia amnya. Sama ada rakyat benar-benar menerima dan menikmati apa yang dilaksanakan itu akan terjawab dalam pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor nanti. Para pengundi di Hulu Selangor akan memberi testimoni akan kejayaan sebenar kerajaan Pakatan Rakyat itu.

 

Oleh yang demikian, adalah diharap agar Pakatan Rakyat menyertai PRK ini dengan kekuatan yang ada dan kelebihan sendiri. Kalau dulu kita mungkin menang dalam pilihanraya umum lebih didorong oleh kelemahan, perpecahan dan masalah yang ada dalam BN, kemudian memenangi banyak pilihanraya kecil selepas PRU ke-12 kerana harapan rakyat yang cukup tinggi maka sudah sampai masanya Pakatan Rakyat menyertai pilihanraya dengan kekuatan sendiri hasil dari kerja kuat yang telah dilakukan selama dua tahun mentadbir negeri Selangor. Tempoh dua tahun yang telah diberi kepada Pakatan Rakyat rasanya sudah memadai untuk Pakatan Rakyat mengemukakan satu kad laporan yang tepat dan tersusun. Dalam kad laporan ini hendaklah dinyatakan secara jujur segala pencapaian  dan kegagalan yang ada tanpa ada perasaan menyelindungi dari perkara sebenar. Sebenarnya rakyat boleh melihat sama ada kad laporan itu penuh dengan warna biru atau merah walau pun ada usaha untuk melindungi yang merah kerana rakyat Selangor bukan lagi berada di tahap menerima semata-mata tetapi mereka boleh dan mampu menilai secara kritis dan objektif semua laporan yang ada dalam kad laporan tersebut. Rakyat juga mungkin masih boleh menerima sebab-sebab kenapa dalam kad laporan itu ada warna merah andai ia dapat dijelaskan dengan penuh kejujuran dan tanggungjawab. Sebenarnya kad laporan inilah kekuatan yang ada pada Pakatan Rakyat dan tempoh dua tahun ini sebenarnya memang agak memadai untuk rakyat menilai prestasi Pakatan Rakyat. Rakyat mungkin boleh menerima hakikat bahawa tempoh itu terlalu pendek untuk dinilai tetapi janganlah ia dijadikan alasan untuk menagih simpati pengundi.

 

Walau pun hari ini kita melihat Barisan nasional berada dalam keadaan defensif sekali lagi, dengan keadaan calon yang belum pasti di mana masih bertelagah sesama mereka, pelbagai peristiwa yang akan menyusah mereka, pencapaian-pencapaian terakhir mereka dalam pelbagai sektor yang boleh dipertikai dan banyak lagi hendaklah dijadikan bonus yang harus dieksploytasi oleh Pakatan Rakyat bagi mendapatkan undi dari pengundi di Hulu Selangor. Pokoknya, hendaklah Pakatan Rakyat bertanding di Hulu Selangor dengan kekuatan sendiri dan bukan bergantung kepada keboberokan Barisan Nasional. Andai ini dapat dilakukan oleh Pakatan Rakyat Insya-Allah Pakatanr Rakyat akan dipandang tinggi oleh rakyat keseluruhannya dan ini amat penting untuk kita menuju ke putrajaya.

 

Selamat bertanding.

Tiada ulasan: