Tian Chua
Dalam dunia yang penuh pancaroba dan berkembang APCO Worldwide berdiri teguh sebagai
gergasi dalam dunia industri pelobian. Firma ini, dalam katanya sendiri menawarkan
“kepakaran luar biasa dan profesional” kepada kerajaan, ahli politik dan syarikat
korporat, serta senantiasa bersedia membantu pelanggan untuk mengharungi cabaran
getir dalam dunia yang rumit pada peringkat antarabangsa dan hal-hal dalam negeri.
Pelanggan khidmat APCO, bukan sahaja negara Malaysia. Dalam tulisan saya sebelum
ini, saya telah menjelaskan hubungan firma perunding pengurusan risiko dan keselamatan
dalam negeri ASERO Worldwide. ASERO seolah-olahnya merupakan rumah persaraan buat
bekas-bekas pegawai perisikan Israel, bekas Mossad dan bekas Shabak.
Melihat rekod syarikat APCO, cukup menakjubkan melihat kelancangan syarikat dalam
tindakan yang secara berterusan menentang keadilan sosial.
Mendandan diktator
Seperti yang kita tahu, APCO dan rakan strategiknya ASERO berkhidmat untuk Israel
dan agenda Zionis. Di persada antarabangsa, APCO secara khususnya terkenal kerana
membantu para diktator di seluruh dunia.
Ketua Menteri Gujarat, seorang nasionalis pelampau Hindu, Narendra Modi memakai khidmat
APCO sebagai perunding imejnya pada Ogos 2007. Ahli politik BJP ini telah dikaitkan
dengan rusuhan antara agama yang mengorbankan kira-kira seribu orang Islam. Pembunuhan
beramai-ramai itu mula dicetuskan dengan kejadian pembakaran keretapi Godhra pada
27 Februari 2007, yang mana beberapa ratus penganut Hindu terbakar hidup-hidup.
Puak radikal pelampau BJP dan RSS menyalahkan penganut Islam berhubung kemalangan
tersebut dan membalas dendam dengan memulakan rusuhan anti orang Islam. Kerajaan
Gujarat yang dipimpin Modi kemudiannya membayar USD25,000 setiap bulan kepada APCO
bagi membina semula imej antarabangsanya dan menarik pelaburan asing (FDI).
Selain dari Ketua Menteri Anti Orang Islam, si Modi, APCO juga terkenal dengan menjalankan
kempen perhubungan awam untuk ahli-ahli politik yang begitu mengaibkan.
Pada pertengahan tahun 1990an, syarikat itu telah dikontrakkan oleh bekas Presiden
seumur hidup Nigeria, Sani Abacha. APCO mewakili diktator itu di saat rejim tersebut
menindas kebangkitan gerakan rakyat dan menghukum bunuh 9 orang aktivis pro demokrasi,
termasuklah seniman pro alam sekitar Ken Saro-Wiwa.
Setelah runtuhnya blok komunis Eropah Timur, APCO menemui lubuk keuntungan di Rusia,
negara-negara Eropah Timur dan Asia Tengah.
Ken Silverstein, editor majalah Harper Magazine (30 Jun, 2007) menyifatkan pelobi
APCO sebagai, “penyelamat penting buat rejim-rejim kediktatoran mengembangkan kepentingan
mereka di Washington”. Beliau mendedahkan kepakaran pengalaman APCO dalam bekerja
untuk rejim-rejim kuku besi seperti Kazakhstan, Azerbaijan, Turkmenistan dan lain-lain
lagi..
Silverstein menulis: “Dengan bayaran yuran khidmat sehingga USD 1.5 juta setahun,
APCO menawarkan untuk meghantar delegasi Kongres Amerika Syarikat ke Turkmenistan
serta menulis dan menanam pendapat di suratkhabar atas nama-nama ahli akademik dan
pakar-pakar pemikir yang akan direkrut mereka. APCO juga menawarkan untuk menganjurkan
acara untuk media “bebas’ di Washington yang akan mempromisikan Turkmenistan…”
Di China, APCO membantu syarikat-syarikat Israel untuk menjalankan perniagaan. Dalam
salah satu risalahnya, APCO mengiklankan bahawa: “APCO akan membimbing dan memberi
panduan kepada para peserta dengan proses mencari dan mengenal pasti rakan niaga
berpotensi ataupun potensi peserta untuk menjadi pengedar, penggabung, agen, pembekal
atau pesaing kepada China.”
Memukul gendang perang
Melakukan kerja-kerja perhubungan awam untuk rejim-rejim kuku besi mungkin merupakan
sebahagian daripada sumbangan kegiatan kebajikan APCO. APCO juga memiliki sebatalion
pelobi penyokong perang di bawah sayap syarikat ini. Firma ini juga merupakan pendokong
kuat peluasan peranan ketenteraan dan persenjataan Amerika Syarikat (A.S) dalam urusan
hal ehwal dunia
Pada Oktober 2004, APCO dan Kissinger Associates (dimiliki oleh bekas setiausaha
negara A.S, Henry Kissinger) membentuk “persekongkolan strategik.” Mereka sama-sama
mengumumkan “Genggaman kami terhadap dasar-dasar asas dan isu-isu peraturan di berbagai
negara digabung dengan pengalaman luas hal ehwal awam oleh APCO akan menghasilkan
pemikiran yang lengkap tentang ‘cabaran-cabaran’ para pelanggan kami.”
Selain Kissinger Associates, APCO turut membina jaringan atau persekongkolan dengan
kumpulan konservatif pelobi pro Zionis dan kumpulan-kumpulan perundingnya termasuklah
Heritage Foundation, Frontier of Freedom, Jewish Policy Center, dan lain-lain lagi.
Atas nama perang melawan keganasan, APCO membantu untuk menyelaraskan komunikasi
kerajaan bagi meyakinkan orang ramai berhubung perlunya perang. Kerja APCO termasuklah
mengolah pendapat awam dan maklum balas yang akan membantu usaha-usaha ke arah peperangan.
Mudahnya mereka mengeksploitasi rasa ketakutan terhadap Islam dalam masyarakat Barat
untuk menjual idea bahawa serangan penaklukan merupakan penyelesaian masalah bagi
mendapatkan semula keamanan di negara-negara Barat.
Selain menyokong George Bush, APCO turut sama mempertahankan tindakan tidak popular
Perdana Menteri Britain, Tony Blair untuk ikut sama terlibat dalam peperangan. Bersama-sama
dengan Foreign Policy Institute, yang berpengkalan di London, APCO menyediakan dan
menerbitkan risalah berjudul, ‘A Global Alliance for Global Values’ (Persengkongkolan
sejagat untuk nilai sejagat) yang diisytiharkan sendiri oleh Blair.
“Penyelesaian yang kita sedang hadapi sekarang adalah perang, tetapi bukan perang
biasa yang konvensional. Dan ianya tidak dapat dimenangi dengan cara-cara yang biasa.
Kita tidak akan memenangi pertempuran melawan keganasan sejagat sehinggalah kita
memenangi setiap peringkat nilai dan juga kekuatan tentera.”
“Untuk melakukan hal ini memerlukan perubahan mendadak terhadap keutamaan dasar kita.
Kita mesti menyerahkan diri kita terhadap pembaharuan sepenuhnya dalam strategi kita
untuk mengalahkan pihak-pihak yang mengancam kita.”
Setelah penakhlukan di Iraq, APCO secepatnya meletakkan diri mereka untuk membantu
syarikat-syarikat Amerika memeras kekayaan dan sumber Iraq. Pada Mei 2003, APCO Worldwide
melancarkan pasukan petugasnya yang diketuai oleh Marc Ginsberg, bekas duta Amerika
Syarikat ke Maghribi bagi mendapatkan kontrak membangunkan semula Iraq.
Anti-reformasi di A.S
Kesemua kejahatan ini bermula di rumah mereka sendiri. APCO bukan malaikat di pengkalan
asal mereka. Dilengkapi dengan penampilan berat condong ke politik konservatif, ia
selalu siap untuk berkhidmat terhadap agenda politik puak sayap kanan yang menentang
reformasi dan kepentingan orang ramai.
APCO Worldwide lahir daripada firma guaman Arnold & Porter, salah satu firma guaman
yang terbesar di Washington D.C serta berhubungan langsung dengan industri tembakau.
Pendokong gerakan hak-hak pengguna menyifatkan APCO sebagai firma pelobi yang “pakar
dalam membantu syarikat korporat untuk mengembangkan matlamat-matlamat mereka dengan
memanipulasikan penggubal undang-undang serta merancang dan mengajukan model bentuk
peraturan dan perundangan. Perkakas utamanya…termasuklah dengan mencipta persekongkolan
perniagaan serta penubuhan kumpulan-kumpulan ‘akar umbi’ palsu yang bergerak atas
isu-isu tertentu.
Pada tahun 1983, syarikat gergasi tembakau, Philip Morris membayar khidmat APCO untuk
menyerang kempen kesedaran awam menentang tembakau. APCO menyusun NGO tipu yang dikenali
dengan nama The Advancement of Sound Science Coalition (TASSC). Matlamat NGO ini
adalah untuk melawan usaha-usaha kesihatan awam yang mendesak kepada perubahan perundangan
serta menghalang sebarang cubaan untuk menghalang jualan tembakau.
Bukan sahaja APCO mahu orang ramai berfikir merokok itu baik untuk kesihatan, ia
juga mewakili kepentingan yang menguntungkan daripada syarikat-syarikat farmasi dan
industri penjagaan kesihatan. Tidaklah menghairankan apabila kita melihat APCO secara
aktifnya menentang dan memperlekeh usaha Obama untuk mereformasikan sistem penjagaan
kesihatan di A.S.
Salah seorang penggubal undang-undang yang disukai APCO ialah Senator Joe Lieberman,
penyokong kuat bantuan ketenteraan ke Israel. Isteri Lieberman, Hadassah merupakan
bekas pelobi utama APCO untuk para pelanggan dari sektor penjagaan kesihatan dan
famasi.
Mewakili syarikat-syarikat gergasi menjual dadah (ubat-ubatan), Senator Lieberman
menganjurkan gerakan anti reformasi sistem penjagaan kesihatan yang diharapkan para
penyokongnya akan mengecewakan usaha Obama, dan mereka telah berjaya menunda pembentangan
skema baru sistem penjagaan kesihatan.
Di luar A.S, APCO memimpin kempen undang-undang yang menentang pengedaran ubat-ubatan
murah untuk sakit AIDS di Afrika Selatan.
Selain kesihatan, APCO juga terlibat sama dengan syarikat-syarikat besar multi nasional
dalam sektor tenaga bagi menolak keprihatinan terhadap pemanasan global. Sekali lagi,
tugasan TASSC adalah untuk menyampaikan pandangan yang ‘rasional’, bukti ‘waras’
saintifik bagi menyatakan bahawa bahaya pemanasan glogal hanyalah ilusi orang-orang
pro alam sekitar yang kurang siuman.
Dibayar oleh syarikat seperti Exxon Mobil, APCO ditugaskan untuk menyusun sepasukan
‘laskar upahan’ yang berpandangan skeptik terhadap perubahan cuaca dunia dan menentang
Perjanjian Kyoto sebagai “kesilapan sains dan teknologi.”
Pada kesemua hal ini, matlamat dan cara APCO tidak ada lain melainkan untung dan
lebih besar lagi keuntungan bertimbun.
Kapten perhubungan awam di Malaysia
Pengarah Urusan APCO di Kuala Lumpur ialah Paul Stadlen. Memang benar tugas pertama
APCO di Malaysia bukanlah untuk mempromosikan 1-Malaysia.
Paul Stadlen datang ke Malaysia pada tahun 2008, sewaktu berlakunya penangkapan
ISA terhadap Teresa Kok, Raja Petra dan wartawan Sin Chew, Tan Hoon Cheng. Dia diambil
berkerja untuk membantu strategi komunikasi Kementerian Dalam Negeri bagi menyokong
penangkapan ISA, khususnya kepada masyarakat antrabangsa.
Naib Presiden APCO, Larry Snoddon dilantik sebagai CEO Rantau Asia pada Januari 2009.
Sebelum bersama APCO pada tahun 2002, Snoddon merupakan CEO untuk Burson-Marsteller,
pemain utama perniagaan perhubungan awam di UK.
Burson-Marsteller juga memilki rekod menarik. Seperti APCO juga, Burson-Marsteller
pernah dibayar khidmatnya untuk Kementerian Penerangan Nigeria pada hujung tahun
1960 an bagi mengimbangi kutukan antarabangsa terhadap dakwaan pembunuhan etnik dan
pelanggaran sistematik terhadap hak asasi manusia yang dilakukan tentera Nigeria.
Dalam perkembangan yang sama, firma ini juga dilantik sejurus selepas Lee Kuan Yew
melancarkan operasi ‘Cold Store’ dalam tahun-tahun pembentukan Singapura (yang menyaksikan
bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari merengkok tanpa bicara dibawah ISA
selama 17 tahun). Lee Kuan Yew mendapatkan khidmat Burson-Marsteller bagi membantu
Singapura membangunkan program selama 10 tahun untuk menarik pelaburan dari luar
negara.
Firma ini juga diambil berkhidmat untuk kerja-kerja perhubungan awam oleh syarikat
loji nuklear setelah tragedi kemalangan nuklear di Three Mile Island di A.S pada
tahun 1979. Paling terkini, Burson-Marsteller mewakili syarikat khidmat keselamatan
Blackwater dalam suatu kes kontroversi. Ia dibayar untuk mempertahankan kakitangan
Blackwater yang membunuh 17 orang awam rakyat Iraq, sejurus selepas kejadian tembak-menembak
di suatu jalan di Baghdad pada 16 September 2007.
Namun demikian, bos sebenar operasi APCO di Malaysia berpengkalan di Washington DC.
Dengan bayaran khidmat RM23 juga, dia mampu untuk terbang ke Kuala Lumpur sebanyak
dua kali sebulan.
Orang yang bertanggungjawab sebagai perunding imej Najib ialah Jonathan M Winer,
Naib Presiden Kanan APCO di Washington DC.
Sebelumnya, Winer bertugas sebagai Timbalan Pembantu Setiausaha Penguatkuasaan Undang-undang
Antarabangsa dari tahun 1994 hinggalah 1999. Semasa penggal perkhidmatannya sebagai
Timbalan Pembantu Setiausaha Negara, dia dikenali sebagai pakar dalam hal kewangan
pengganas.
Dalam politik dalaman A.S, Winer pernah sekali membantu kempen presiden John Kerry.
Namun tidak seperti bosnya John Kerry, Jonathan Winer bukanlah kawan baik kepada
Anwar Ibrahim. Sebetulnya Jonathan Winer telah membantu Najib berkempen menentang
Anwar sebelum mendapat kontrak APCO lagi.
Sejak tahun 2005, kumpulan-kumpulan konservatif A.S mengutip pengakuan kongres Jonathan
Winer yang menyifatkan World Assembly of Muslim Youth (Perhimpunan Belia Islam Sedunia
- WAMY) sebagai organisasi berkait dengan pengganas.
Dakwaan Winer merupakan cakap kosong tanpa asas. Dia membuat kesimpulan berasaskan
pada kejadian tunggal, di mana WAMY telah mengundang pemimpin Hamas Khalid Mishal
sebagai tetamu kehormat (VIP) untuk persidangannya di Riyadh yang berlangsung pada
bulan Oktober 2002.
Selain menjadi simpatisan penyokong kepada perjuangan Zionis, Winer dalam banyak
leadaan melontarkan syak wasangka buruknya terhadap orang Islam dan agama Islam secara
umumnya. Dalam pengakuannya kepada Jawatankuasa Senat untuk Hal Ehwal Kerajaan A.S
(US Senate Committee on Governmental Affairs) pada 31 Julai 2003, Winer menyifatkan
organisasi Ikhwan Muslimin (Muslim Brotherhood) sebagai “kumpulan pengganas”.
Katanya, “Ikhwan berperanan dalam membangunkan organisasi-organisasi militan Islam
lainnya. Hal ini dapat ditunjukkan dengan hubungannya terhadap penubuhan kumpulan
pengganas Indonesia Jemaah Islamiya (JI), yang dicipta untuk menubuhkan negara Islam
di Indonesia. Pelopor yang menubuhkan JI mengakui mendapat inspirasi daripada matlamat
jihad Ikhwan sebagai cara untuk menciptakan negara Islam di Asia Tenggara meliputi
Malaysia, Indonesia, Singapura dan selatan Filipina."
“JI kemudiannya mendapat dana daripada hartawan kaya Arab Saudi yang bergabung dengan
Al-Qaeda. Hasilnya, mekanisme pusat kewangan Ikhwan, Al Taqwa, yang ditubuhkan operasinya
di Malaysia terkait dengan JI…kumpulan Al Taqwa…sejak dahulu lagi berperanan sebagai
penasihat kewangan kepada Al Qaeda,…menyediakan bantuan langsung kepada Osama bin
Laden serta nasihat pelaburan dan mekanisme pemindahan wang tunai untuk Al Qaeda
dan kumpulan-kumpulan radikal Islam lainnya.“
Saya beranggapan pandangan di atas sepertimana yang disuarakan Jonathan Winer tidak
dapat diterima di kalangan kawan-kawan saya dari Barisan Nasional. Namun demikian,
apakah kerajaan Malaysia meminta perunding APCO ini mengubah kepercayaan yang dipegangnya
sebelum menandatangani kontrak mahal bernilai RM23 juta itu?
Bolehkah kita mempercayai APCO?
Cara bergerak APCO tidak pernah berubah, ia menyediakan khidmat ‘laskar upahan’ perhubungan
awam yang akan menasihatkan rancangan sesiapa sahaja, dan pastinya rancangan untuk
pihak yang paling banyak membayar mereka.
Perkara-perkara yang saya timbulkan dalam rencana saya ini, telahpun dimasukkan ke
dalam debat membahas Titah Di Raja di Palimen pada 29 Mac 2010. Dalam perdebatan
itu, saya merayu kepada BN, juga terhadap rakyat Malaysia untuk melihat isu ini dengan
lebih serius lagi.
APCO mungkin menyediakan jalan pintas untuk mengangkat imej kerajaan. Tetapi wajarkah
kita percaya kepada ‘laskar upahan’ untuk berkhidmat terhadap kepentingan nasional
kita?
Lebih-lebih lagi, jika 1Malaysia seperti yang didakwa kerajaan adalah berkenaan bagaimana
rakyat Malaysia berkongsi memenuhi hasrat bersama, kita sebenarnya tidak memerlukan
campurtangan asing untuk membentuk masa hadapan negara.
(Tian Chua merupakan Ahli Parlimen Batu dan Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat
- PKR)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan