Merenung kembali apa yang berlaku dua tahun lalu, pada pagi 9 Mac 2008, pemimpin-pemimpin UMNO pastinya seakan tidak percaya bahawa mereka bukan lagi anggota kerajaan di empat buah negeri lagi. Pagi itu, segala keenakan, keindahan, keseronokan, kehebatan, kemuliaan dan kesombongan bergelar orang berkuasa secara sekelip mata hilang dan tiada lagi dalam tangan mereka. Gelaran yang amat berhormat sudah tidak dimiliki oleh mereka dan gelaran itu akan berpindah kepada pihak lain yang selama ini tidak terjangkau pun oleh pemikiran sesiapa yang selain dari UMNO-BN akan ada pihak lain mampu untuk mengambil gelaran tersebut. Namun kenyataan adalah kenyataan dan tidak boleh diubah lagi melainkan mereka harus menerima kenyataan itu walau pun pahit.
Dalam tempoh dua tahun ini, Barisan nasional telah menjadi pembangkang kepada lima negeri dan mentadbir negara ini tanpa dua pertiga majoriti. Dalam tempoh ini jugalah berlakunya pertukaran perdana menteri dari Tun Abdullah kepada Datuk Sri Najib. Kalau di teliti dari 9 mac 2008 lagi, kita akan dapati pelbagai pergolakan politik yang berlaku sama ada di dalam Barisan Nasional mahu pun Pakatan Rakyat. Pergolakan sesama komponen dalam kedua-dua kolusi, pertelingkahan dalaman parti-parti dan pertarungan asasi antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat seolah-olah tidak ada kesudahannya. Dalam konteks pilihanraya kecil sahaja kita telah menyaksikan sebanyak 10 kali lebih kurang pilihanraya kecil yang mana lapan daripada pilihanraya kecil itu telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat.
Walau apa pun hujah yang diberi oleh pemimpin-pemimpin barisan nasional, yang pasti BN memang menghadapi krisis keyakinan yang amat serius di mana majoriti pengundi sudah hilang kepercayaan terhadap Barisan Nasional. Cuba bayangkan, dengan segala kekuatan yang ada pada BN yang terdiri dari agensi-agensi kerajaan, jabatan-jabatan kerajaan, kaki tangan kerajaan, sumber kewangan yang besar, asakan media yang dahsyat terhadap Pakatan Rakyat dan jentera Parti-parti komponen BN sendiri, BN masih kalah di lapan kerusi yang ditandingi termasuk kalah tanpa bertanding di Dun Penanti. Keadaan ini merupakan satu keadaan yang tidak pernah tergambar sebelum ini. Kalau sebelum ini, seandainya pilihanraya diadakan di luar Kelantan maka keputusan telah pun kita tahu walau pun sebelum hari penamaan calon lagi. Kini amat sukar untuk menduga siapakah yang mampu untuk menawan hati pengundi di sesuatu kawasan itu dan keadaan ini jugalah yang berlaku di Hulu Selangor. Agak sukar untuk kita mengagak siapa yang akan menang dalam pilihanraya kecil itu nanti dan rasanya hanya peti undi sahaja yang memberi keputusan muktamat tanpa ada agakan yang tepat tentang peluang siapa yang akan menang.
Untuk berhadapan dengan Pilihanraya Kecil Hulu Selangor ini, apakah UMNO-BN telah benar-benar menerima hakikat penolakan rakyat terhadap mereka? Adakah mereka akan bergerak dalam keadaan orang yang tahu akan kesalahan mereka? Atau apakah mereka akan terus mendendangkan lagu lama, bertingkah dengan rentak lama dan bergoyang dengan tarianlama yang telah tidak mendapat sambutan peminat lagi kerana sumbangnya dendang, tingkah dan goyangnya. Sebenarnya, penolakan rakyat bukanlah mutlak kerana mereka benci dengan UMNO-BN tetapi seandainya UMNO-BN masih lagi dengan cara lamanya maka kebencian ini akan menjadi kenyataan dan UMNO-BN akan menerima padah yang lebih dahsyat lagi bermula dari Pilihanraya Kecil Hulu Selangor ini.
Kalau diperhati apa yang berlaku kepada UMNO-BN sejak 8 Mac 2008, banyak perkara yang harus diberi perhatian oleh pemimpin dan ahli UMNO-BN. Gagasan 1 Malaysia sendiri apakah telah benar-benar melonjakkan nama Datuk Sri Najib dan kerajaannya. Apakah gagasan itu sebenarnya diterima oleh orang-orang UMNO sendiri atau mereka sendiri pada hakikat menolak gagasan itu secara senyap? Bagaimana pula penerimaan masyarakat bukan Melayu terhadap gagasan ini atau gagasan ini hanya make-up politik Najib semata-mata? Apakah peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang tempoh pentadbiran Najib menggambarkan semangat yang ada dalam gagasan 1 Malaysia?
Pelbagai peristiwa yang berlaku mutahir ini apakah merupakan suatu jawapan akan penerimaan atau penolakan terhadap gagasan 1 Malaysia. isu penggunaan nama Allah, pengkhianatan terhadap gereja dan masjid, perarakan kepala lembu, aktiviti dan ucapan melampau kumpulan PERKASA, perampasan kerajaan Negeri Perak yang hina dan tidak bermaruah dan penafian hak royalti petroleum untuk Kelantan dan Trengganu adalah tamparan hebat dan calaran tenat terhadap gagasan itu. Terkini, pendedahan penglibatan APCO DALAM GAGASAN 1 Malaysia sehingga ke tahap menjejaskan keselamatan negara adalah sesuatu yang membimbangkan dan meresahkan rakyat. Persoalannya kenapa perkara seserius ini tidak dijawab dalam parlimen tetapi dijawab di Singapura. Kita masih menanti-nanti jawapan yang jelas dan pasti dari perdana menteri di parlimen.
Ini belum lagi persoalan rasuah yang begitu membara dan menanah dalam UMNO-BN dan kerajaan BN yang begitu banyak tanda tanyanya. Kehilangan enjen kapal terbang tentera, kapal selam yang tak boleh menyelam, kematian Teo Beng Hock, kedudukan negara dalam indeks rasuah antarabangsa yang makin merosot, kenaikan-kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, pemotongan peruntukan-peruntukan penting untuk para pelajar dan runtuhnya beberapa projek kerajaan sekali lagi membuat rakyat bertanya di manakah sebenarnya slogan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.
Semua persoalan di atas akan di bawa oleh Barisan Nasional ke Hulu Selangor untuk diadili oleh rakyat. Maka itu, BN memerlukan satu penjelasan yang comprehensif, telus dan bertanggung jawab agar rakyat boleh menerima dan mengembalikan undi mereka kepada Barisan Nasional.
Penjelasan-penjelasan itu pula akan disaingi pula oleh pencapaian-paencapaian yang telah diraih oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Pakatan Rakyat akan mengemukakan kad laporan untuk dinilai oleh rakyat dan ditentukan ssama ada mereka lulus atau tidak selama dua tahun mereka diberi peluang untuk mentadbir negeri Selangor. Pakatan Rakyat tidak seharusnya berasa selesa dengan pencapaian mereka dan kemudian membandingkan dengan segala permasalahan Barisan Nasional. Sekali lagi, adalah diseru agar Pakatan Rakyat harus turun ke gelanggang dengan kekuatan sendiri dan bukannya menumpang atas kelemahan dan permasalahan Barisan Nasional. Semoga Pilihanraya Kecil Hulu Selangor akan berjalan dengan penuh teratur dan pertarungannya adalah pertarungan dasar dan menifestor dan bukan kekuatan tenaga atau wang. Selamat berjuang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan