KUALA LUMPUR, 30 Mac:
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa kerajaan Malaysia menandatangani
perjanjian dengan sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Isreal, APCO Inc, sebelum
konsep 1Malaysia diperkenalkan.
Beliau turut mengemukakan dua perjanjian untuk menyokong dakwaannya - satu perjanjian
antara APCO dan kerajaan Malaysia. Yang satu lagi ialah perjanjian antara kerajaan
Israel dengan APCO ketika Ehud Barak mengetuai angkatan tentera Israel.
Kedua-dua perjanjian ini menghasilkan konsep 1Malaysia dan One Israel.
Katanya lagi, kontrak dengan APCO ditandatangani pada 4 Ogos 2009 dengan tugas khusus
untuk memperbaiki imej Malaysia di luar negara.
"Ini aneh bagaimana kerajaan tandatangan dengan syarikat. Ia disaksikan setiausaha
akhbarnnya sendiri, Datuk Sharifuddin Ahmad. Biasanya (kontrak) ditandatangi oleh
pegawai kerajaan," katanya.
Sehubungan itu, beliau menuntut supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan
APCO Inc dan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan
sebagai mencalar maruah negara.
Ahli parlimen Permatang Pauh itu membuat penjelasan demikian di dewan rakyat hari
ini sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan Datuk Abd Rahman Dahlan (BN-Kota Belud)
di bawah perkara 37(1) yang dibacakan sekali dengan perkara 36(12) peraturan mesyuarat
minggu lalu.
Timbalan speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kemudiannya berkata, usaha untuk
merujuk Anwar ke jawatankuasa itu perlu dibuat secara usul untuk dijadikan sebagai
salah satu daripada aturan mesyuarat.
APCO DI KUALA LUMPUR
Menurut Anwar, sebelum APCO beroperasi sepenuhnya di Kuala Lumpur, tokoh-tokoh pentingnya
sudah bertugas untuk kerajaan Malaysia di bawah syarikat Mindteam Sdn Bhd.
Paul Stadlen yang menjadi pengarah Mindteam kini adalah CEO kepada APCO di Kuala
Lumpur manakala Margaret Kraus adalah CEO APCO Worldwide.
“Sekarang CEO APCO adalah individu yang banyak terlibat dalam banyak urusan di Israel,”
kata Anwar.
Anwar mendedahkan syarikat APCO Worldwide merupakan sebuah firma pelobi yang ditugaskan
untuk membaiki imej pemimpin yang rasuah dan buruk dari segi hak asasi.
"Apa fungsi firma pelobi di Washington? Selalunya mereka akan mengaturkan perjumpaan
atau seminar untuk membaiki imej sesebuah organisasi; terutamanya pemimpin-pemimpin
yang mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang buruk di mata dunia.
"Jadi, fungsi utama mereka adalah untuk membaiki imej pemimpin-pemimpin (atau badan-badan)
yang mempunyai rekod yang tidak baik," katanya.
Tambahnya , khidmat APCO juga digunakan oleh Israel pada 1992 oleh perdana menterinya
Ehud Barak bagi menjayakan 'One Israel'.
Manakala Malaysia pula menggunakan khidmat APCO bermula 4 Ogos 2009 dengan bayaran
kira-kira 20 juta ringgit.
BAGAIMANA APCO MASUK
Beliau juga membawa satu laporan portal berita yang mendakwa APCO diperkenal kepada
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak oleh penasihat Najib, Omar Mustapha melalui
sebuah syarikat perunding Ethos & Consultancy.
"Seorang penasihat APCO ditempatkan di pejabat Perdana Menteri sejak awal Perdana
Menteri ambil alih jawatan.
"APCO juga didakwa terlibat secara langsung dalam menentukan pentadbiran 100 hari
Najib seperti gagasan 1Malaysia," katanya lagi.
Menurut Anwar, sehingga kini Najib belum pun memberi sebarang maklum balas terhadap
gesaannya agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan
dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit;
peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan.
Apa yang dibimbangi jelasnya kenyataan APCO sendiri yang menjelaskan bahawa mereka
memainkan peranan penting membentuk strategi komunikasi kerajaan dalam dasar-dasar
penting terutamanya yang melibatkan rakyat.
"Sekarang, kebimbangan kita bukan sahaja latar belakang APCO, tetapi bentuk penglibatan
APCO dengan kerajaan Malaysia dan apakah maklumat yang telah dikongsi oleh kerajaan
dengan APCO," katanya lagi.
Beliau juga mendedahkan tiga tokoh utama Israel di dalam APCO iaitu Doron Bergerbest-Eilon,
Ittamar Rabinovich dan Shimon Stein di mana ketiga-tiga tokoh ini adalah tokoh kanan
rejim Zionis.
Doron Bergerbest-Eilon adalah Ketua Bahagian Keselamatan dan Perlindungan, Agensi
Keselamatan Israel (Israel Security Agency).
Itamar Rabinovich adalah Duta Israel ke Amerika Syarikat, dan Shimon Stein adalah
bekas duta Israel ke Jerman.
Menurut Anwar kedua-duanya adalah jawatan diplomatik paling kanan dan hanya tokoh
paling kanannya sahaja yang menjawat jawatan tersebut.
MODUS OPERANDI APCO
Selain mendedahkan modus operandi APCO, Anwar juga memberitahu APCO sebagai firma
pelobi banyak bergantung kepada kemampuannya menangkis soalan-soalan mengenai peranan
dan penglibatannya dengan badan yang melantiknya, terutamanya pemimpin-pemimpin yang
berimej buruk ini.
Sebab itulah jelasnya, tidaklah sukar untuk Barisan Nasional ingin mengabui mata
rakyat dengan meminta APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan dalam 1Malaysia,
atau peranan sebenar dengan kerajaan Malaysia.
Mengulas lanjut, Anwar seterusnya mendedahkan APCO dalam operasinya membentuk pertalian
dengan kerajaan-kerajaan yang melantiknya menggunakan firma bersekutu (associates)
di seluruh dunia seperti Asero dan Global Political Strategies.
"Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide yang diketuai oleh
Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan
Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral.
"Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada APCO," tambahnya
lagi.
Sehubungan itu jelasnya, kontrak-kontrak yang melantik APCO tidak semestinya di antara
APCO dan kerajaan semata-mata.
Kerajaan katanya boleh sahaja melantik firma bersekutu APCO tetapi tenaga pakar dan
jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari APCO.
Beliau mengemukakan contoh negara Israel, yang mana lantikan dibuat melalui Asero
Worldwide.
Kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di antara kerajaan Israel
dan sebuah firma bersekutu bernama GCI International.
Namun jelasnya apabila diteliti kandungan perjanjian tersebut termasuk tenaga utama
yang akan menjalankan tugas-tugas melobi, salah seorang pengurus kanannya adalah
Margery Kraus yang kini merupakan CEO APCO.
"Bolehkah Perdana Menteri menerangkan adakah sebelum Ethos atau Omar Mustapha; yang
dikatakan bertanggungjawab membawa gagasan 1Malaysia bagi pertimbangan Perdana Menteri;
Omar Mustapha atau mana-mana eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung
dengan mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO?
Perdana Menteri juga jelasnya perlu menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau mana-mana
firma yang dilantik kerajaan; pernah melantik Mind Teams Sdn Bhd iaitu nama syarikat
sebelum APCO secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur.
"Paul Stadlen yang kini mengetuai APCO di Kuala Lumpur merupakan individu sama yang
menandatangani perjanjian bagi pihak Mind Teams Sdn Bhd dengan Kerajaan Malaysia.
"Antara pengarahnya juga adalah Margery Kraus; CEO APCO dan invidu penting yang terlibat
dengan akaun di Israel", jelasnya lagi.
Rekod APCO katanya menunjukkan hubungan rapat dengan pemimpin-pemimpin yang mempunyai
rekod hak asasi manusia atau penyelewengan harta rakyat di seluruh dunia.
APCO katanya lagi, banyak memberi khidmat untuk memulihkan imej pemimpin-pemimpin
sebegini yang menindas rakyat di negara masing-masing.
Tambahnya lagi, akhbar The Times of India menulis APCO mempunyai diktator-diktator
di dalam senarai pelanggannya .
Rencana tersebut menyenaraikan antaranya Adolf Hitler, Narendra Modi, Sani Abacha,
Nursultan Abishuly Nazarbayev dan Mikhail Khodorkovsky yang didakwa ada kaitan dengan
mafia.
"Soalan saya kepada Perdana Menteri – jika ini reputasi dan rekod APCO yang diketahui
umum; apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat melalui perlantikan APCO
sebagai perunding kerajaan?
"Apakah pentadbiran Perdana Menteri mengakui bahawa Perdana Menteri dan partinya
Umno adalah setaraf dengan rejim-rejim diktator di dunia; sehinggakan khidmat APCO
yang selama ini membaiki imej diktator perlu digunapakai?" soalnya lagi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan