Rabu, 17 Mac 2010

1 MALAYSIA: LARATKAH AKU MENDENGARNYA LAGI?

“Salam 1 malaysia” adalah satu kalimah yang tidak dapat untuk kita elak lagi dari mendengarnya. Saban hari apabila kita membuka siaran radio atau tv sama ada siaran radio swasta  atau radio kerajaan, kalimah itulah yang akan diucapkan oleh para penyiar dan pembaca berita. kalimah ini pula disekalikan dengan ucapan salam khususnya ketika pembaca berita memulakan siran warta berita setiap jam.

 

Memang ada suatu teori yang mengatakan bahawa sekiranya sesuatu itu diulang-ulang maka ia akan akhirnya dapat diterima oleh masyarakat atau golongan yang kita sasarkan. Sebagai contoh, Seorang pelajar boleh menghafal lagu negaraku, lagu sekolah dan lagu-lagu popular yang dimainkan dicorong-corong radio walau pun mereka tak pernah mencatat seni kata lagu-lagu tersebut dalam buku nota mereka. Ia hanya berlaku dengan proses pengulangan yang dilakukan oleh pihak sekolah atau siaran radio yang didengar oleh pelajar tersebut.

 

begitu juga keadaannya kepada seorang hafiz. Walau pun seseorang hafiz itu bukan dari kalangan yang berbangsa Arab, mereka mampu untuk menghafaz ayat-ayat Al-Quran sehingga ke 30 juzuk dengan lancar seolah-olah Bahasa Arab itu adalah bahasa mereka. Malahan, orang Arab sendiri pun ramai yang tidak dapat menghafaz Al-Quran walau pun bahasa Arab adalah Bahasa ibunda mereka. Sekali lagi kaedahnya adalah kaedah mengulangi bacaan Al-Quran berkali-kali dengan penuh kesungguhan  dan disiplin yang ketat.

 

Namun begitu, keadaan yang sama tidak boleh digunakan dengan slogan “1 Malaysia”. 1 malaysia bukanlah seumpama Lagu Negaraku, lagu sekolah, lagu pop atau menghafaz Al-Quran atau teori matematik atau kimia atau fizik atau yang lain-lain lagi. Sesungguhnya 1 malaysia adalah merupakan suatu konsep yang melibatkan bukan hanya sekadar satu seruan dari kalangan pemimpin, lebih jauh dari itu ia merupakan suatu gagasan yang perlu dirasa oleh rakyat akan keberadaannya. Apakah konsep 1 Malaysia ini benar-benar memperlihatkan satu suasana di mana kita secara hakikatnya dilayan sebagai rakyat Malaysia yang sebenar tanpa mengambil kira apa sahaja bentuk perbezaan sama ada ekonomi, budaya, agama, politik, bangsa dan lain-lain lagi.

 

Hari ini, apa sahaja aktiviti yang dilakukan oleh pihak mana pun sering dikaitkan dengan selogan 1 malaysia. Aktiviti dari pagi hingga ke petang cuba digambarkan yang aktiviti tersebut selaras atau selari dengan gagasan 1 malaysia. Berjumpa di kedai kopi, bermain di padang, berniaga di pasar, kenduri, berpesta, berkelah, berkeluarga, bekerja dan entah apa lagi aktiviti akan terus dilebel selaras, selari atau sesuai dengan kehendak perdana menteri dengan gagasan 1 malaysia.

 

kalau itulah jangkauan yang cuba digagau oleh Nagib Razak dalam hasratnya untuk merealisasikan gagasan 1 Malaysia, sebenarnya beliau hanya sekadar “melukut ditepi gantang” dengan mencupak kandungan di dalam gantang yang telah penat diisi oleh para petani sekian lama. Rakyat malaysia sebenarnya telah menerima konsep 1 malaysia sejak menrdeka lagi dan sesungguhnya kemerdekaan Malaya pada tahun 1957 yang kemudiannya pembentukan Malaysia (1963) secara jelasnya adalah kerana perpaduan yang terbit dan tertegak hasil dari tolak ansur (give and take) pelbagai bangsa dan kaum yang mengamalkan pelbagai adat resam dan kepercayaan juga pelbagai budaya dan agama. Bukankah kita bangun dari peristiwa 13 Mei 1969 hasil dari semangat cintakan negara melebihi dari kepentingan bangsanya sendiri? Apakah kita boleh menidakkan semangat perpaduan dan cinta negara sehingga kita mampu mendepani ancaman komunis yang akhirnya mereka meletakkan senjata pada tahun 1989? Walau pun Parti Islam Semalaysia (PAS) pernah berdepan dengan pembunuhan kejam dalam peristiwa Memali, penangkapan pimpinan dan ahlinya dibawah ISA, pelbagai bentuk kezaliman ekonomi dan penindasan sosial, adakah ahli-ahli dan pemimpin PAS telah melakukan sesuatu yang boleh menghancurkan negara atau PAS melalui ahli-ahlinya dan para pemimpinnya sebenarnya telah mengorbankan segala kepentingan demi Malaysia tercinta ini?

 

Hari ini kita melihat bagaimana rakyat meneruskan perpaduan dan persepakatan mereka ke arah Malaysia yang lebih cemerlang dan gemilang. Melayu, Cina dan India juga kaum-kaum lain sudah boleh dan mampu untuk tidak memandang parti-parti yang berdasarkan kaum atau bangsa sebagai pilihan mereka sebaliknya mampu bersatu dan membentuk kesatuan dan kesepakatan dalam merealisasikan bukan 1 Malaysia tetapi sebuah Malaysia yang menjadi milik bersama. Sesungguhnya 1 Malaysia telah dapat dirasai oleh rakyat Malaya lagi dan kini sepatutnya Malaysia adalah merupakan sebuah rumah yang di dalamnya dihuni oleh sebuah keluarga yang mesra dan bertanggung jawab agar rumah itu terus indah, teguh dan kukuh sebagai tempat berlindung dan tak kurang menjadi kunjungan tetamu di petang hari untuk berjamu teh atau malamnya untuk mengaji.

 

Malangnya, najib telah terlambat atau sudah bengkerap aidea sehingga mencetuskan 1 Malaysia di saat rakyat memang telah bersatu di bawah naungan langit Malaysia. Sebenarnya, segala ungkapan 1 malaysia ini memang boleh dirasai keikhlasannya kerana keikhlasan adalah sesuatu yang datang dari hati dan sesuatu yang datang dari hati hanya boleh dirasa oleh hati. Lantas tak perlu kita bertanya apakah kempen 1 Malaysia ini diterima oleh rakyat atau tidak. Biar seribu orang berkata yang kempen 1 Malaysia ini telah mula diterima oleh rakyat  tetapi hati-hati merekalah yang akan dapat menjawabnya kerana hati tak menipu hati. Pihak yang mengatakan “1 Malaysia ini telah boleh diterima” juga punya jawapanya di hati mereka.

 

Jadi, janganlah sampai “1 Malaysia” menjadi satu slogan yang membosankan rakyat untuk mendengarnya. Oleh yang demikian, adalah lebih baik untuk Najib turun dari gantang yang dilukut kerana “laratkah aku mendengar 1 Malaysia Lagi”?

Tiada ulasan: