Ahad, 7 Februari 2010

Subkhiddin tersenarai pengadil utama Piala Dunia

KUALA LUMPUR - Subkhiddin Mohd. Salleh (gambar) berpeluang cerah untuk mencipta sejarah sebagai pengadil bola sepak pertama dari negara ini yang diberi
penghormatan menjadi pengadil utama pada kejohanan Piala Dunia paJun ini.

Berdasarkan laman web Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Subkhiddin bersama pembantunya, Yuxin Mu (China) dan Jeffrey Goh Gek Pheng (Singapura) merupakan
antara kumpulan empat pengadil dari Asia yang terpilih ke Afrika Selatan.

Namun, keputusan sama ada Subkhiddin terpilih sebagai pengadil utama dari kumpulannya, bakal diketahui Mei ini.

Penilaian akhir untuk menentukan siapa yang akan layak menjadi pengadil utama atau sekadar pembantu, dibuat sebelum bermula kejohanan Piala Dunia 2010 Afrika
Selatan.

Subkhiddin dan lain-lain pengadil yang terpilih, akan mengetahui nasib mereka pada seminar dan penilaian lain yang perlu mereka jalani.

Difahamkan, Subkhiddin akan ke Zurich, Switzerland pada 26 Februari ini sehingga 8 Mac , kemudiannya ke Sepanyol pada 9 hingga 12 Mac, bagi menjalani kursus
akhir pengadil Piala Dunia FIFA.

Pengadil berusia 44 tahun itu berasal dari Pulau Pinang dan kini bertugas sebagai guru.

Beliau mula bertugas sebagai pengadil di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1996, sebelum dilantik pengadil FIFA pada 2000.

Sebelum ini, dua pengadil Malaysia pernah diberi kepercayaan oleh FIFA untuk mengendalikan perlawanan Piala Dunia. .

Mereka ialah Allahyarham Kapten Halim Abdul Hamid, pada Piala Dunia 1998 di Perancis , diikuti Mat Lazim Awang Hamat pada Piala Dunia 2002 di Jepun dan
Korea Selatan, tetapi hanya sebagai pembantu pengadil.

Subkhiddin ketika dihubungi, enggan memberi pengesahkan pemilihannya, cuma mengharapkan rakyat Malaysia mendoakan yang terbaik untuknya.

"Saya tidak boleh buat apa-apa kenyataan sekarang kerana terikat dengan beberapa perkara yang tidak dapat saya dedahkan.

''Harapan saya agar rakyat Malaysia dapat mendoakan kecemerlangan karier saya demi menaikkan nama negara," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menyatakan rasa bangga terhadap pemilihan Subkhiddin itu.

"Saya mengucapkan setinggi tahniah kepadanya. Kebanggaan ini bukan saja untuk dia, malah untuk negara.

"Doa saya semoga beliau dapat melakukan yang terbaik di Afrika Selatan nanti, sekali gus mengharumkan nama negara," katanya ketika dihubungi.    

Tiada ulasan: