Sabtu, 6 Februari 2010

LIEW CHIN TONG: PR perlu berhati-hati dengan fitnah, pembohongan

Melalui urus tadbir Cekap
, Akauntabel dan Telus (CAT) yang diamalkan sejak hampir dua tahun lalu, Kerajaan
Negeri Pakatan Rakyat (PR) pimpinan Saudara Lim Guan Eng di Pulau Pinang telah banyak
membantu rakyat berpendapatan rendah di Pulau Pinang terutamanya orang Melayu dan
Islam.
Antara usaha yang telah dilaksanakan termasuk membebaskan pentabiran negeri khususnya
urusan kewangan yang bebas dari rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan diskriminasi.
Usaha-usaha ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama pegawai dan kakitangan awam
yang ikhlas, jujur dan bertekad untuk berkhidmat untuk rakyat.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya membasmi masalah kemiskinan tegar yang
kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu Islam dengan memberi imbuhan supaya memastikan
setiap keluarga miskin mendapat pendapatan sekurang-kurangnya RM500.
Kerajaan Negeri juga memberi pengiktirafan kepada para huffaz, peruntukan RM1.5 juta
setiap tahun kepada sekolah-sekolah agama rakyat dan menambah peruntukan hal-ehwal
Islam kepada RM20.5 juta pada tahun 2009 dan meningkat lagi kepada RM24.3 juta bagi
tahun 2010; lebih tinggi daripada yang pernah diperuntukkan oleh kerajaan sebelum
ini.
Hasil daripada semua usaha ini, termasuk pendekatan berhemat, telah dibuktikan melalui
Laporan Ketua Audit Negara terhadap pengurusan kewangan jabatan kerajaan negeri di
mana dalam anggaran Belanjawan 2008, defisit RM35 juta telah berubah kepada lebihan
RM88 juta, iaitu lebihan paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang. Bagi Belanjawan
2009 pula, anggaran defisit sebanyak RM40 juta telah ditukarkan kepada lebihan RM77
juta.
Oleh itu, apabila timbul masalah di mana ada segelintir ahli politik dari parti komponen
Pakatan Rakyat telah menuduh Lim Guan Eng sebagai “diktator, cauvinis dan berfikiran
komunis”, ia adalah dakwaan yang tidak berasas dan boleh mewujudkan satu ketegangan
yang meresahkan rakyat.
Semua pihak yang terlibat perlu sentiasa ingat bahawa matlamat dan fungsi parti politik
hanya untuk membawa rakyat kepada kebaikan dan berkhidmat sebagai wakil kepada rakyat,
dan bukannya berlagak menjadi tuan. Tidak ada yang lebih penting kecuali untuk kepentingan
rakyat.
Untuk menangani dan menyelesaikan masalah ini, semua pemimpin, anggota dan penyokong
Pakatan Rakyat harus kembali merujuk kepada dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui
dalam satu perhimpunan bersejarah di Shah Alam, Selangor pada 19 Disember, 2009.
Dalam persetujuan sebulat suara Muafakat Baru Untuk Rakyat Malaysia, semua parti
komponen Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk memebasmi “faham perkauman sempit,
politik adu domba dan demokrasi otoritarian” serta “menolak dasar yang membuka ruang
kepada rasuah dan lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan kuasa. demi memastikan
pertumbuhan yang mapan, dasar menindas yang hanya memperkayakan segelintir perlu
digantikan dengan sebuah dasar yang memastikan bantuan kepada golonga miskin di Malaysia
tanpa mengira kaum”.
Semua pemimpin, anggota dan penyokong Pakatan Rakyat juga harus sentiasa berwaspada
dengan dakyah dan fitnah yang berbau perkauman yang disebarkan oleh media arus perdana
milik Umno dan Barisan Nasional. Media-media ini menutup berita-berita tentang usaha
murni Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang dalam membangunkan negeri serta
membantu rakyat miskin terutamanya orang Melayu. Sebaliknya, media-media ini akan
terus memutarbelitkan usaha-usaha Saudara Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri bersama
sahabat-sahabatnya dalam Pakatan Rakyat.
Golongan yang tidak mampu menawarkan keadilan, peluang saksama dan amalan demokrasi
hanya mampu bergantung kepada fitnah dan dakyah perkauman untuk menimbulkan kebencian
di kalangan rakyat. Politik, kewartawan dan propaganda yang jijik ini mesti ditolak
oleh rakyat Malaysia yang cintakan kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian.
Dengan itu, masalah yang timbul sekarang perlu diselesaikan dengan segera oleh kepimpinan
Pakatan Rakyat supaya ia tidak akan terus menjadi bahan fitnah oleh pihak-pihak yang
benci dengan usaha membasmi penyelewengan dan perpaduan kaum.

Oleh

Liew Chin Tong,
Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa DAP
dan Ahli Parlimen Bukit Bendera

Tiada ulasan: