Isnin, 8 Februari 2010

Selepas King Ghaz, Dollah Majid pula meninggal Selepas King Ghaz, Dollah Majid pula meninggal

Subky Latif
TIGA minggu selepas King Ghaz, Tun Ghazali Shafie meninggal, meninggal pula ‘adik’nya
Abdullah Majid, bekas Timbalan Menteri yang sezaman dengan Tan Sri Abdullah Ahmad
Kok Lanas.
Dalam Memoir saya "Anak Apak" yang belum diterbitkan saya ada menyebutkan bantuan
Dolah Majid pada saya bagi mendapatkan nama-nama tetamu untuk mesyurat agung GPMS
di Pulau Pinang tahun 1963. Dia bersama Dr. Sanusi Othman, bekas Setiausaha Agung
Partai Rakyat pernah mengambil saya di rumah sewa di pulau untuk makan tengahari
di rumah ayah Tun Abdullah Badawi di Kepala Batas.
Kelas Bimbingan GPMS di Pulau Pinang diperintah tutup oleh kerajaan kerana guru sukarela
kelas sastera Melayunya Dolah Majid.
Saya amat kenal dengannya semasa dia menjadi ketua Biro Penerangan Majlis Bandaraya
Pulau Pinang yang dikuasai oleh mendiang Front Sosialis, gabungan Parti Rakyat dan
Parti Buruh tahun 60an dulu.
Menjelang hujung perkhidmatan dengan kerajaan Bandaraya Front Sosialis itu Abdullah
Majid diterima menjadi pensyarah sebuah universiti di Australia tetapi Perdana Menteri
Tunku Abdul Rahman Putra enggan menyokongnya kerana penglibatan dan hubungannya dengan
parti-parti kiri di Tanah Melayu termasuk Parti Komunis Malaya.
Tetapi Senu Abdul Rahman, menteri penerangan dalam kabinet Tunku Abdul Rahman mengambilnya
menjadi Setiausaha Politik menggantikan Datuk Syed Kechik. Lepas itu Timbalan Perdana
Menteri Tun Razak mengambilnya menjadi Setiausaha Akhbar. Ternyata dia sangat disenangi
oleh kumuniti wartawan asing di Kuala Lumpur.
Bila dia menjadi Setiausaha Politik Dato Senu, hubugannya dengan pemimpin parti kiri
seperti Kassim Ahmad dan Syed Husin Ali putus. Dia rapat denganTun Razak dan orang-orang
Tun Razak termasuk Tan Sri Abdullah Ahmad, Setiausaha Politik Tun Razak masa itu.
Bila Tun Razak jadi Perdana Menteri dia menjadi Setiausaha Akhbarnya juga dan adiknya
Abdul Wahab Majid pula menjadi Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri Tun Hussein
Onn.
Hubungan saya dengannya bermasalah bila saya berkhidmat dengan Utusan Melayu tetapi
keadaan jadi normal bila dia berkhidmat dengan Tun Razak dan UMNO pimpinan Tun Razak
Bila saya dipilih mengikuti kunjungan Tun Razak ke Beijing bagi menormalais hubungan
Malaysia – China, Dolah Majid memberi saya taklimat khas tentang hubungan diplomatik
itu.
Saya pernah melihatnya di kediaman King Ghaz yang sudah jadi Menteri Penerangan.
Tan Sri Ghazali membahasakan dirinya ‘abang’ kepada Dolah dan jika saya tidak silap
Dolah membahasakan dirinya ‘adik.’
Begitu rapat hubungan mereka, Ghazali dari Kuala Lipis dan Dolah dari Dong, Raub.
Mereka mungkin berkeluarga dan yang jelasnya bersekolah yang sama di Sekolah Cliford
Kuala Lipis. Tun Razak juga pernah sekolah di situ.
Tun Razak memberi kerusi Parlimen Kuala Lipis kepada King Ghaz dan tahun 1974 Tun
memberi kerusi Parlimen Raub kepada Abdullah Majid. Dan lepas itu Dolah menjadi Timbalan
Menteri Buruh.
Apabila pimpinan Tun Razak dilanda fitnah kononnya UMNO dan kerajaan diresap komunis,
penglibatan Abdullah dalam pentadbiran Tun Razak dijadikan bukti tentang tohmah itu.
Hubungan Dolah dengan orang kiri dan parti kiri di masa mudanya dulu dianggap penghubung
membabitkan penyerapan komunis dalam UMNO dan kerajaan.
Sukar bagi Tun Razak menyelesaikannya dan tohmah itu diwarisi pula oleh pentadbiran
Tun Hussein Onn yang menggantinya dengan Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
Tun Hussein tidak mampu menghalang tekanan dan asakan golongan kanan dalam UMNO yang
diketuai oleh Tan Sri Syed Jaafar Albar dan Datuk Harun Idris, maka Perdana Menteri
bersetuju dengan laporan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie menahan Dolah
Majid dan seorang Timbalan Menteri lagi Tan Sri Dolah Ahmad di bawah ISA kerana hubungan
mereka dengan komunis.
Ada rakyat yang percaya dan ada yang tidak percaya. Tetapi mereka muncul di kaca
TV mengaku tuduhan polis Cawangan Khas terhadap mereka. Selepas bebas dari ISA beberapa
tulisan Abdullah Ahmad mengira tahanan terhadapnya adalah gara-gara laporan salah
Ghulam. Dia tidak menjelaskan siapa Ghulam tetapi dipercayai ditujukan kepada King
Ghaz.
Tidak ditolak bahawa kertas Menteri Dalam Negeri kepada Perdana Menteri menentukan
seseorang ditahan di bawah ISA. Saya tidak dapat membayangkan bagimana yang mengaku
abang sedia mengemukakan kertas ke atas ‘adik’ menyebabkan Dolah Majid ditahan ISA.
Dolah Majid tidak membuat bising selepas bebas dari ISA. Dia menjalani hidup biasa
dikatakan banyak menterjemahkan buku dan kitab dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu
untuk penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Saya kadang-kadang tersermpaknya dalam majlis-majlis sosial bersama mendiang MGG
Pillay, seorang wartawan bebas yang sezaman dengan Dolah. Mereka pernah bersama ke
Kota Bharu kerana mengikuti Muktamar PAS dan perkembangan kerajaan PAS pimpinan Tok
Guru Nik Abdul Aziz.
Dia acap ke Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar apabila ada keramaian seperti Hari
Terbuka Idilfitri. Kawannya ialah MGG Pillay.
Nama Abdullah Majid telah saya ketahui sebelum saya mengenalinya awal 60an kerana
dia adalah seorang aktivis gerakan kemerdekaan sejak zaman pelajarnya. Memang dia
dikenali orang kiri.
Selepas dia bebas dari ISA dan sebelum diserang angin ahmar, ahli-ahli jamaah Masjid
Mujahiddin Taman Damansara Utama memberitahu saya mereka melihatknya setiap Subuh
dan Isya solat berjamaah di situ. Kata Tuan-Tuan Guru orang yang tidak meninggal
berjamaah Subuh dan Isya adalah amalan ahli syurga.
Saya syukur dengan apa yang saya dengar tentangnya di akhir hayatnya. Berbelas-belas
tahun dia terlantar di kamarnya kerana stroke. Kata ahli ibadat, sakit lama yang
Allah takdirkan kepada hambaNya adalah bagi membersihkan kehidupan hamba-hambaNya
yang disayangiNYA.

Tiada ulasan: