Rabu, 17 Februari 2010

SELAMATKAN AQIDAH DAN SELAMATKAN NYAWA; PRESIDEN PAS

Harakahdaily
MARANG, 17 Februari:
Bukan sahaja menyelamatkan aqidah umat tetapi sudah sampai kepada menyelamatkan
nyawa manusia. Itulah yang dilakukan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul
Hadi Awang bersama keluarganya apabila menyelamatkan nyawa seorang yang lemas di
Pantai Rusila berhampiran rumahnya.
(Gambar atas:
Abdul Hadi keletihan selepas menyelamatkan mangsa lemas)
Ia berlaku pada 14 Februari lalu kira-kira jam 6.30 petang di Pantai Rusila, Marang
iaitu berhampiran dengan rumahnya.
"Hari itu, lepas solat Asar, Tok Guru pergi mengail di pantai depan rumahnya. Tiba-tiba
dia tengok orang sedang terkapai-kapai lemas. Dia terus suruh anaknya terjun ke laut
dan dia bersama-sama menarik orang itu," cerita Haji Omar, Pengerusi Masjid Rusila,
yang terletak di sebelah rumah Abdul Hadi.
Mangsa yang dikenali sebagai Pak Mat Jaga, kata Haji Omar, adalah penduduk Kampung
Belubor, iaitu kampung berhampiran pantai Rusila itu.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang, Abdul Hadi bersama dengan
anaknya iaitu Abdul Rahman dan Khalil serta menantunya Zaharudin sedang memancing
di pantai itu.
Mereka berkumpul sambil memancing sementara menunggu untuk menyembelih kambing untuk
aqiqah cucu Abdul Hadi.
Tiba-tiba mereka mendengar seorang wanita berteriak 'orang lemas...orang lemas' sambil
menunjukkan tangannya ke laut.
Menurut Abdul Rahman, 28, anak Abdul Hadi, ayahnya terus menyuruh beliau terjun ke
laut dan menyelamatkan mangsa lemas itu.
"Saya terus ambil pelampung dan terjun ke dalam laut...saya cuba campakkan pelampung
itu kepadanya tetapi tidak berjaya kerana ombak besar pada ketika itu. Saya kemudian
tarik tangan beliau. Abang Khalil dan Zaharudin datang membantu dan menyeret ke pantai.
"Ayah kemudian turun ke dalam air bersama-sama kami memapah mangsa itu ke pantai,"
cerita Abdul Rahman kepada Harakahdaily.
Seorang penduduk tempatan yang kebetulan ada di situ telah merakamkan gambar keadaan
Abdul Hadi bersama mangsa yang diselamatkannya dan memasukkannya dalam facebook beliau.
Gambar itu kemudiannya tersebar ke marata-rata.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Herman Shamsuddeen membuat catatan
berikut dalam blognya:
"Dalam usia 63 tahun, Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang masih gagah
dan pantas untuk menyelamatkan seorang pengunjung yang lemas di Pantai Rusila, Marang.
Kejadian berlaku pada hari Ahad, 14 Februari baru-baru ini.
Pada saya, beliau adalah seorang ulama’ yang segani, pemimpin yang dihormati, dan
hero yang tidak perlukan undangan atau dipuja…Kehidupan
beliau amat sederhana, rutinnya tidak jauh berbeza seperti rakyat biasa. Memang suka
berdamping dengan rakyat.
"Semoga Allah panjangkan usia beliau dan merahmati kepimpinannya."
Zaihan Daud, Setiausaha Peribadi Abdul Hadi juga mengesahkan kejadian itu.
Sementara itu, mangsa lemas yang diselamatkan itu, Ahamad Mat Zin, 58,
(Gambar)
bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada Presiden PAS dan keluarga yang telah
berusaha membantunya.
Menurutnya, pada mulanya dia mandi di kawasan biasa tetapi tiba-tiba dipukul ombak
besar.
Beliau menjangkakan sekiranya tidak diselamatkan dalam tempoh 10 minit selepas diberi
bantuan oleh keluarga Presiden PAS itu, mungkin sesuatu yang buruk berlaku kepadanya
kerana sudah tidak bermaya lagi.

Tiada ulasan: