Isnin, 17 Mei 2010

Sibu: Sokongan Melayu untuk Pakatan meningkat

ANALISIS KUALA LUMPUR, 17 Mei: Menjelang pilihan raya kecil Sibu, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin dengan bongkaknya berkata, PKR bermakna
Parti Kian Runtuh. Namun, belum sempat keputusan pilihan raya Sibu diumumkan secara rasmi, Muhyidin sudah terbang pulang ke Kuala Lumpur selepas sedar
pengundi Sibu menolak BN.

Cakap sombong Muhyidin ditempelak pengundi Sibu beberapa jam sahaja selepas itu apabila calon BN, Robert Lau Hui Yew kalah dalam pilihan raya  kecil ini.
BN kalah 398 undi walaupun dalam pilihan raya lalu calon BN, Robert Lau Senior menang dengan  majoriti lebih 3200 undi.

"Walaupun dalam pilihan raya kecil ini DAP menang 398 undi sahaja tetapi memandangkan BN menang 3,200 lebih dalam pilihan raya umum lalu, ia satu  swing
yang besar," kata seorang penganalisis politik dari UKM dalam program Analisis di Astro Awani malam tadi.

Yang menarik juga dalam pilihan raya ini, peningkatan besar sokongan pengundi Melayu kepada calon DAP kali ini. Ia memberikan satu indikasi baru bahawa
Melayu tidak lari dari Pakatan bahkan sokongan mereka meningkat terhadap Pakatan hatta DAP sekalipun.

Di Kampung Hilir Nangka, Sibu, tempat majoriti Melayu Melanau, DAP berjaya menaikkan undinya sebanyak 34% berbanding undi yang diperolehinya pada pilihan
raya umum 2008 lalu. Calon BN juga berjaya menaikkan undinya tetapi sedikit sahaja iaitu 12%.

Dalam pilihan raya lalu, calon DAP hanya mendapat 256 undi tetapi kali ini calonnya, Wong Ho Leng menambahkan undinya kepada 344 undi. Walaupun jumlah
undi yang diperolehi oleh BN lebih besar tetapi peningkatan ini  amat ketara memandangkan serangan perkauman yang dimainkan oleh Umno melalui NGOnya terhadap
Pakatan.

Di peringkat Pusat, Perkasa memainkan peranannya. Di Terengganu pula Gertak pula memainkan peranannya untuk memainkan sentimen perkauman Melayu Umno melalui
program 13 Mei yang telah dibatalkan selepas didedahkan PAS.

Terbukti pilihan raya kecil ini memberikan pengajaran besar kepada Umno bahawa sentimen perkauman tidak boleh menyelamatkan BN. Ia hanya untuk kepentingan
peribadi Umno sahaja. Ini kerana, ketika Umno memainkan sentimen perkauman, parti-parti komponen BN yang mengalami masalahnya.

Selain peningkatan sokongan Melayu, pengundi Cina juga menambahkan sokongan mereka kepada DAP. Kalau diambil sampel di kawasan pilihan raya  Rejang Park
iaitu kawasan pengundi Cina, undi untuk DAP meningkat sebanyak 25%.

DAP hanya kurang undi mereka di kawasan majoriti Iban namun penurunannya tidaklah ketara sangat iaitu 12% sahaja. Mungkin ini adalah kesan dari kongkongan
yang dibuat oleh petugas BN di kawasan pilihan raya ini. Para pemimpin DAP sejak beberapa hari lalu membuat laporan petugas mereka disekat dari memasuki
rumah-rumah panjang tempat tinggal pengundi Iban.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, petugas PAS sendiri terasa sekatan ini apabila bilik yang disewa petugas PAS telah ditarik balik.

"Apabila petugas kita pergi untuk persiapan hari mengundi, ada pihak yang menyekat kita masuk ke rumah panjang itu walaupun kita sudah sewa salah satu
biliknya untuk petugas kita," kata Mustafa kepada Harakahdaily. Mustafa telah berada di Sibu seawal hari pengenalan calon DAP lagi. Sejak itu, dia berulang
alik antara KL dan Sibu. Beliau baru sahaja pulang dari Sibu dan bertemu dengan Harakahdaily sehari selepas hari mengundi1.

Pada awalnya, Timbalan Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Wan Rahim yang mengetuai petugas PAS di sana namun selepas deman dan pulang ke Kota Bharu, Setiausaha
Jabatan Pilihan Raya PAS, Nasir Daud mengambil alih tugas beliau mengkoordinatorkan petugas PAS di sana.

Timbalan Pengarah III Jabatan Pilihan raya PAS, Dr Mariah Mahmud kekal berada di Sibu sejak sebelum  hari penamaan calon hinggalah ke hari mengundi. Peranan
beliau bersama Muslimat PAS menganjurkan pelbagai jenis program diakui oleh jentera DAP sendiri.

Para pemimpin PAS pula silih berganti datang. Hanya Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz yang tidak dapat datang namun telah mengirimkan amanatnya. Presiden
PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang  pula diberikan tepukan gemuruh dan standing ovation oleh para pengundi ketika beliau berucap di majlis kempen
terakhir Pakatan.

Kesemua mereka berpusat di sebuah rumah yang dijadikan markas PAS di Kampung Hilir dalam Dun Nangka. Hampir semua pemimpin PAS, PKR da DAP ke rumah itu
memandangkan kedudukannya yang sangat strategik di Sibu.

Dengan kemenangan di Sibu, Mustafa yakin adalah sukar untuk mana-mana pihak memecahkan semangat setiakawan Pakatan khasnya antara DAP dan PAS.

"Pilihan raya Sibu telah menjadi sangat manis apabila melihat petugas kita menjalankan tugas dengan baik dan DAP pula memberikan sepenuh keyakinan kepada
mereka.

"Yang manis lagi, selepas berpenat lelah, kita diberikan kemenangan," kata beliau kepada Harakahdaily.

Kini, tumpuan PAS adalah untuk menghadapi serangan Umno di kalangan orang Melayu pula. Mustafa sedar, Umno telah menjadikan orang Melayu sebagai sasaran
mereka.

"Umno nampaknya berbuat apa sahaja untuk mengekalkan kuasa politiknya dengan cara mendapatkan sokongan orang Melayu seramai mungkin hatta melalui tindakan
perkauman mereka walaupun boleh menyebabkan rakan-rakan mereka dalam BN hilang sokongan

"Kelebihan kita adalah kita berpolitik berasaskan Islam bukan Melayu. Bila Islam, kita konsisten dalam menentukan sikap. Umno pula membuat sikap politik
berdasarkan Melayu," kata Mustafa mengulas isu nama Allah yang turut menjadi isu panas di Sibu.

PAS kini sedang membuat persiapan untuk membuat retreat khas bagi membincangkan isu pengundi Melayu ini. Mereka yakin, sokongan pengundi Islam akan kekal
bersama PAS kerana terbukti Umno hanya mahu mengekalkan kuasa semata-mata sebagaimana di Sibu.

Tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menjanjikan puluhan juta untuk pengundi Cina tetapi mengabaikan begitu sahaja pengundi Melayu di Sibu membuktikan
perkara ini.

"Sebab itu saya katakan kepada pengundi Sibu, jika mereka inginkan pembangunan kalahkan BN. Ketika itu mereka akan datang dan berbuat apa sahaja untuk
dapatkan kembali sokongan," kata Mustafa.

Tiada ulasan: