Masjid adalah Pusat Dakwah dan Pemerintahan di Zaman Nabi (s.a.w.) Masjid di zaman Rasulullah (s.a.w.) merupakan pusat kegiatan Jamaah Muslimin.
Ia bukan setakat tempat beribadat dan sembahyang bahkan sebagai tempat beribadat, markaz ilmu, kelab sastera, parlimen, tempat perkenalan, tempat berkumpulnya
rombongan-rombongan yang datang dari seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Arab, tempat Rasulullah (s.a.w.) membuat pertemuan dengan mereka dan tempat Rasulullah
(s.a.w.) menyampaikan khutbah dan tunjuk ajarnya tentang seluruh kehidupan sama ada urusan keagamaan, kemasyarakatn dan pentadbiran.
Di dalam kehidupan Rasulullah (s.a.w.) tidak ada pemisahan di antara urusan agama (mengikut istilah orang sekarang) dan politik. Baginda tidak mempunyai
satu tempat yang lain bagi politik dan permasalahannya selain daripada masjid. Masjid di zaman Rasulullah (s.a.w.) adalah markaz dakwah dan politik.
Masjid Di Zaman Kegemilangan dan Zaman Kemuduran. Begitu juga di zaman Khulafa Ar Rashidin selepas Rasulullah (s.a.w). Masjid dijadikan sebagai tempat
pelbagai aktiviti sama ada aktiviti politik dan sebagainya.
Abu Bakar as-Siddiiq menyampaikan ucapan dasarnya yang pertama di masjid. Disinilah beliau menerangkan program politik atau strategi pemerintahannya. Beliau
berkata: “Wahai manusia! Aku dilantik memerintah kamu. Aku bukanlah orang yang paling layak dari kalangan kamu. Jika kamu melihat aku berada di atas jalan
yang benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, perbetulkanlah aku.”
Umar bin al-khattab juga menyampaikan ucapan dasarnya di masjid, beliau berkata: “Wahai manusia! Sesiapa yang melihat aku menyeleweng, perbetulkan aku!”
Lalu seoang makmum berkata: “Demi Allah, jika kami melihat kamu menyeleweng, kami akan memperbetulkannya dengan mata pedang kami!”
Umar menjawab: “Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang menjadikan di kalangan rakyat Umar, mereka yang akan membetulkan penyelewengan Umar dengan mata
pedangnya.”
Masjid terus berfungsi di zaman sebaik-baik umat ini dan di zaman kegemilangannya.Tetapi ketika luputnya bintang tamadun Islam dan umat Islam menjadi mundur
dalam segenap bidang kehidupan, fungsi masjid turut berubah.
Masjid hanya dijadikan tempat menunaikan sembahyang sahaja. Khutbah yang diucapkan mati tidak bertenaga. Kerana ia bukan menyampaikan khutbah tetapi membaca
khutbah. Tajuknya hanya berligar di sekitar zuhud di dunia, mengingati kematian, fitnah kubur, dan azab akhirat.
Oleh kerana itu sewaktu ruh kebangkitan Islam mula meresapi tubuh umat ini, kita dapati sebahagian daripada khatib bercakap tentang permasalahan umat Islam,
mengkritik suasana penyelewengan kehidupan umat, khususnya kezaliman pemerintah, kebisuan ulama dan kedinginan cendikiawan.
Oleh itu kita dapati, setengah orang berkata: Khatib itu bercakap tentang politik…! Politik Yang Diterima dan Politik Yang Ditolak.
Kenapa ketika disebut kalimah ‘politik’, seolah-olah ia merupakan satu kehinaan atau jenayah ?! Sedangkan ilmu politik adalah satu cabang ilmu yang paling
mulia dan orang yang berkecimpung dalam bidang politik adalah mereka yang memikul satu tugas yang paling mulia.
Yang peliknya lagi ialah sebahagian ahli politik sendiri yang bertanya: "Adakah harus menggunakan masjid untuk tujuan politik ?” Sedangkan mereka bergelumang
dalam politik daripada hujung rambut ke hujung kaki.
Politik itu sendiri bukanlah perkara mungkar dan kotor, apabila ia mengikut garisan-garisan yang telah ditetapkan oleh prinsip-prinsip Islam dan berada
di dalam lingkaran hukum dan nilai-nilainya.
Politik yang ditolak ialah politik ‘Micheavelli’ yang menyatakan matlamat menghalalkan cara, tidak beriltizam dengan akhlak serta nilai-nilai kebaikan
dan mengenepikan halal dan haram.
Manakala politik dengan maksud mentadbir urusan seluruh manusia dengan menjaga kepentingan mereka dan menghilangkan keburukan serta menegakkan keadilan
di kalangan mereka, makia ia adalah selari dengan agama, bahkan ia adalah sebahagian daripada agama kita, kerana Islam itu adalah aqidah, ibadah, akhlak
dan sistem hidup yang lengkap.
Risalah masjid sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam yang sebenar tidak dapat digambarkan bahawa ianya boleh dipisahkan daripada politik dengan pengertiannya
yang di atas.
Masjid diwujudkan untuk menangani seluruh permasalahan umat Islam dan setiap yang memberi kebaikan dalam urusan agama dan dunia mereka. Melalui masjidlah
manusia mempelajari kebenaran, kebaikan, kelebihan di dalam seluruh kehidupan mereka, samada dari segi kerohanian, kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik.
Hal ini dikenali sebagai ‘an-nasiihah’, salah satu kewajiban Islam yang diketahui, di mana Nabi (s.a.w.) menjadikankannya sebagai seluruh agama sebagaiaman
di dalam sabdanya ;
الدين النصيحة : قلنا لمن؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وإمامهم
“Ad-Deen itu adalah nasihat…” Sahabat bertanya: “Untuk siapa wahai Rasulullah?”
Sabdanya: “Bagi Allah, Kitab وRasul, dan Imam Muslimin serta umat Islam seluruhnya.”
Ia juga termasuk dalam konteks berwasiat dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran yang dijadikan oleh al-Quran sebagai syarat untuk mendapat keselamatan
daripada kerugian di dunia dan akhirat.
Firman Allah bermaksud *( Al-Asr: 1-3): “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka
pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Ia juga tergolong daripada amar-makruf dan nahi mungkar yang dijadikan oleh Allah Taala sebagai sebab utama kepada kebaikan umat ini. Firman Allah (s.w.t.):
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara
yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) dan kamu beriman kepada ALLah.” (Ali-Imran: 110).
Allah Taala juga menjadikannya salah satu daripada sifat asasi mukminin dan mukminat.
Firman Allah (s.w.t.): Maksudnya: “ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka
menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat serta ta’at kepada Allah dan Rasulnya.
Mereka itulah akan diberikan rahmat oleh Allah.”
Di dalam ayat di atas, Allah (s.w.t.) mendahulukan kefardhuan amar makruf dan nahi mungkar daipada kefarduan solat dan zakat, sedangkan kedua-duanya merupakan
rukun Islam. Ini menunjukkan kepentingan kefardhuan amar-makruf nahi mungkar.
Allah juga memberitakan kepada kita tentang laknat yang menimpa orang yang meninggalkan kewajipan ini di kalangan umat-umat yang terdahulu. FirmanNya:
Maksudnya: “Orang-orang kafir Yahudi dari bani Israel telah dilaknat (di dalam kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah nabi Daud dan nabi Isa bin Maryam.
Yang demikian itu, disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri)n dari perbuatan mungkar (derhaka
dan ceroboh) yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka lakukan.”
Melalui nasihat, berpesan dengan kebenaran dan amar makruf nahi mungkar, masjid berperanan di dalam memberi pengarahan terhadap urusan pentadbiran umat,
memberi kesedaran kepada mereka tentang permasalahan hidup mati mereka dan mendedahkan kepada mereka tentang tipu daya musuh.
Semenjak dahulu lagi masjid berperanan meniupkan semangat jihad fi sabilillah dan semangat menentang musuh yang menceroboh.
Intifadhah yang diberkati, yang berlaku sekarang di bumi ambiya’ ‘Palestin’ bermula dari masjid. Seruan pertamanya bergema dari menara azan.
Pada permulaannya kebangkitan ini dinamakan sebagai kebangkitan masjid.
Begitu juga jihad di Afghanistan dan lain lain tempat lagi, masjid mempunyai peranannya yang tidak dapat dinafikan.
Yang ditegah ialah menyebut nama-nama orang tertentu dan pendetailan secara terperinci untuk mencerca, menjatuhkan maruah dan memaki hamun. Perkara seumpama
ini tidak harus dilakukan di atas mimbar dan tidak harus juga mimbar dipergunakan untuk tujuan memburukkan nama orang dan untuk tujuan fanatik kepartian.
Tetapi mimbar boleh digunakan untuk menyebut segala perkara yang melanggar syariat, walaupun ia merupakan polisi kerajaan. Masjid didirikan untuk meneguhkan
syariat Allah bukan untuk meyokong polisi mana-mana kerajaan.
Ketika kerajaan bercanggah dengan syariat Allah, maka masjid mesti berada di saf syariat, bukan di saf kerajaan.
Tidak harus sama sekali masjid ditegah daripada haknya yang tradisi, logik dan bersejarah ini; iaitu hak memberi kesedaran dan peringatan kepada umat daripada
taghut-taghut yang tidak melaksanakan syariat Allah dan meghukumkannya mengikut hawa nafsu mereka atau tuan-tuan mereka yang sedikitpun tidak mempunyai
kekuatan ketika berhadapan dengan kekuatan Allah (s.w.t.)
Di sesetengah negara Islam, kerajaan mengeluarkan enakmen berhubung hukum kekeluargaan yang bercanggah dengan syariat Islam, lalu ulama bangkit menentangnya
dan mengkritik di masjid-masjid, kerana media massa yang lain dikuasai oleh kerajaan. Tindakan kerajaan tersebut terhadap ulama-uama yang berani ialah
hukum bunuh dan bakar! Perkara ini secara tepatnya berlaku di Somalia.
Pemerintah menggunakan masjid sebagai trompet untuk mengembar-gemburkan polisinya. Apabila mereka mahu berdamai dengan Israel, maka mereka mengatakan bahwa
perdamaian adalah satu kebaikan berdasarkan firman Allah (s.w.t):
وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah.”
(Al-Anfaal: 61)
Ketika hubungan mereka dengan Israel menjadi tegang, maka mereka mengatakan bahawa bangsa Yahudi adalah musuh yang paling ketat kepada orang-orang yang
beriman. Perdamaian dengan mereka adalah haram dan khianat.
Demikianlah apa yang terjadi. Masjid tidak lagi menjadi lidah yang benar bagi risalah Islam, bahjan ia menjadi agensi dakyah kepada polisi kerajaan.
Keadaan ini menyebabkan masjid hilang fungsi dan pengaruhnya di dalam masyarakat dan dalam waktu yang sama ia juga menjatuhkan kemuliaan ulama dan pendakwah
kepada jalan Allah.
Kita memohon kepada Allah (s.w.t.) agar memberikan keselamatan kepada agama dan dunia kita.
OLEH:
Nasrudin Hassan at-Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Dipetik dari Beginilah Kita Berpolitik Dalam Masjid, harakahdaily.net|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan