Sabtu, 22 Mei 2010

PERTIS: APA NAK JADI 1

(PERLEMBAGAAN PERSATUAN ORANG-ORANG CACAT PENGLIHATAN ISLAM MALAYSIA (PERTIS), BAB IV, PERKARA 7, (5), MESYUARAT AGUNG TAHUNAN HENDAKLAH DIADAKAN TIDAK LEWAT DARIPADA 30 JUN PADA TARIKH, MASA DAN TEMPAT YANG DITETAPKAN OLEH JAWATANKUASA PUSAT.)

Persatuan Orang-orang Cacat penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) adalah sebuah pertubuhan berdaftar yang sah di sisi undang-undang dan telah didaftar dan diterima pendaftarannya dengan dan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan. Bagi mendaftarkan sesebuah pertubuhan atau persatuan, jawatankuasa penaja ketika peringkat awal penubuhan harus membuat permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan setelah Berjaya mengumpulkan sejumlah ahli yang bersetuju untuk menubuhkan sesuatu pertubuhan itu. Dalam permohonan yang dikemukakan itu, salah satu dokumen penting yang harus dikemukakan dan mesti mendapat kelulusan ahli-ahli yang bersetuju untuk menubuhkan persatuan berkenaan adalah perlembagaan pertubuhan. Pihak Pendaftar Pertubuhan akan meneliti dokumen berkenaan (perlembagaan pertubuhan) dan setelah berpuashati barulah pertubuhan boleh diluluskan dan diberi sijil pendaftaran.

Perlembagaan ini terpakai dalam semua urusan Pertubuhan berkenaan sama ada dari segi keahlian, pentadbiran, kegiatan dan lain-lain lagi yang berkenaan. Semua penjawat jawatan dalam pertubuhan dan ahli-ahlinya bertanggung jawab untuk mematuhi apa sahaja yang dikehendaki oleh perlembagaan.

Sebenarnya, sebaik sahaja seseorang itu bersetuju untuk menjadi ahli dan kemudiannya menandatangani borang keahlian dan setelah diluluskan permohonan itu maka ahli berkenaan telah bersedia untuk diikat dan terikat dengan dan kepada perlembagaan pertubuhan berkenaan. Seharusnya dan sewajarnya, seseorang yang memohon untuk menjadi ahli harus terlebih dahulu didedahkan kepada perlembagaan pertubuhan berkenaan agar mereka dapat menilainya sebelum membuat keputusan untuk menandatangani borang keahlian. Ini bagi memastikan individu berkenaan benar-benar faham dan tahu akan peranan dan tanggung jawab sebagai ahli dan segala-gala berkenaan perjalanan pertubuhan. Keadaan ini perlu bagi mengawal ketulusan dan keharnonian dalam berpersatuan dan yang paling penting untuk mengeratkan ukhwah sesama ahli.


Kegagalan mematuhi atau mentaati mana-mana perkara dalam perlembagaan sesebuah pertubuhan hanya akan menimbulkan perkara yang boleh mengkucar-kacirkan sesuatu pertubuhan itu. Pertelingkahan dalaman, ketidakpuasan hati, kemarahan, fitnah-memfitnah dan berprangsangka buruk sesama ahli akan berlaku akibat dari kegagalan mematuhi kehendak-kehendak perlembagaan. Pertubuhan atau persatuan boleh menerima padah yang serius termasuk tindakan undang-undang dan pembubaran akibat kegagalan mematuhi perlembagaan. Perkara-perkara inilah yang dibimbangi berlaku dalam PERTIS sekarang.

(Bersambung)

Tiada ulasan: