Sabtu, 15 Mei 2010

ASHAARI MOHAMMAD DALAM KENANGAN

Saya masih ingat lagi, ketika itu saya masih berada dalam darjah enam. Pada suatu hari masjid di kampung saya menganjurkan satu majlis ceramah atau lebih tepat tazkirah lepas maghrib. Majlis ini lebih merupakan usaha anak koriah dan bukannya dari jawatankuasa masjid kerana pakcik yang menjemput penceramah memang tak pernah menjadi ahli jawatankuasa masjid di kampung saya iaitu Kampung Delek Kanan. Sebenarnya penceramah tersebut adalah Ustaz Ashaari Mohamad dari Darul Arqam yang mana nama beliau memang telah menjadi sebutan di kampung saya sebelum itu lagi.

Saya tidaklah mengikuti ceramah tersebut, maklumlah kanak-kanak yang nakal. Kalau pergi ke masjid dengan kawan-kawan sebaya ketika itu pun lebih bertujuan untuk bermain dan mencari makan percuma. Bayangkan masa solat kami boleh cuit-mencuit dan tolak-menolak. Namun begitu, pentadbir masjid di kampungku memang agak terbuka dan tidak menghalang kehadiran kanak-kanak untuk berada di masjid pada bila-bila masa. Kami juga mendapat beberapa keistimewaan di mana walau pun masjid kami kecil tapi kami masih disediakan ruang khas dan ruang ini tidak boleh digunakan oleh orang dewasa lebih-lebih lagi pada masa hendak menunaikan solat hari raya. Hanya untuk solat jumaat sahaja ruang ini boleh debenarkan kepada orang dewasa.

Berbalik kepada ceramah Ustaz Ashaari, memang saya tidak mengetahui kandungan ceramah tersebut. Namun begitu, apa yang pasti selepas dari ceramah tersebut hampir setiap minggu iaitu pada hari Rabu malam Khamis, ayah saya bersama rakan-rakannya akan ke Sungai Pencala untuk mengikuti kuliah yang diberi oleh Ustaz-ustaz dari Al-Arqam termasuk Ustaz Ashaari. Sungai Pencala adalah sebuah perkampungan yang dibina oelh anggota-anggota Jemaah Al-Arqam dan perkampungan tersebut memang cukup popular.

Satu perkara yang bernar-benar bererti kepada saya adalah apabila setiap kali ayah saya pulang dari Sungai Pencala dia akan membawa oleh-oleh untuk kami di rumah iaitu keset-keset ceramah Ustaz Ashaari. Di situlah bermulanya kami sekeluarga dan kebanyakan orang-orang sebaya kami mungkin mengenal dan mendengar ceramah melalui keset. Keset yang sebelum itu hanya dikenali untuk mendengar muzik, kini telah dieksploytasikan oleh Al-Arqam sebagai cara baru untuk menyampaikan da'wah dan mesej Islam. Kaedah ini memang cukup popular dan begitu mudah diterima ramai mungkin kerana harganya yang murah dan mudah didapati.

mungkin saya tidak silap kalau mengatakan bahawa Al-Arqam adalah kumpulan pertama yang meneroka penggunaan keset sebagai medium menyampaikan da'wah di Malaysia. Sesungguhnya mereka yang menimbulkan idea sehingga lahirnya penggunaan keset tersebut memang berjas besar terhadap Islam kerana kaedah ini bukan saja digunakan oleh Al-Arqam, malah ia juga telah memberi naras baru kepada para penda'wah dan persatuan-persatuan Islam seperti ABIM, PAS dan penceramah-penceramah bebas untuk menyampaikan ajaran-ajaran Islam kepada masyarakat. Orang ramai telah mula mendengar ceramah bukan hanya di masjid dan surau tetapi telah boleh mendengar kuliah, tazkirah dan ceramah Islam di dalam kereta masing-masing sehingakan pada tahun 1985 terdapat pihak yang membuat kajian terhadap keadaan artis-artis yang tidak mendapat jualan yang menggalakkan walau pun pengimpotan keset begitu banyak dalam pasaran. hasil dari kajian tersebut menjelaskan bahawa selain dari masalah cetak rompak, keset-keset yang banyak itu sebenarnya telah pergi ke medan da'wah. Ia juga telah memberi sumber pendapatan baru kepada para peniaga kecil kerana mereka dapat dan boleh menjual keset ceramah tanpa perlu membayar royalti kepada pencaramah kerana para penceramah alhamdulillah tidak menimbulkan isu tersebut. Semoga keadaan tersebut akan memberi keberkatan kepada kehidupan para penceramah kerana menghalalakan ilmu disibarkan melalui keset-keset untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Kalau mereka menuntut royalti nescaya ramai di antar ustaz dan pencaramah boleh menjadi jutawan.

Al-Arqam juga telah meneroka satu bidang baru bagi menyediakan pilihan kepada penggemar hiburan tak kira muda atau tua. Mereka telah menubuhkan kumpulan nasyit yang dikenali dengan kumpulan Nada Murni. Kumpulan ini telah melahirkan lagu-lagu nasyit yang cukup berqualiti sama ada dari segi lirik, melodi, gubahan dan susunan muzik, qualiti rakaman audio yang mana hasil kreativiti mereka setanding dengan keset-keset keluaran EMI, WEA, POLIGRAM dan banyak syarikat muzik lain. Nasyit yang mereka dendangkan memang begitu diterima oleh semua golongan masyarakat tak kira usia, kelompok mesyarakat dan status masyarakat. Lagu-lagu mereka benar-benar menginsafkan kita dan kadang-kadang meronton hati sehingga mengalirkan air mata kerana memikirkan kelemahan diri. ArQamlah yang meneroka pendekatan baru dalam dunia da'wah selain dari ceramah, mereka telah menggunakan nasyit dan nasyit adalah serampang dua mata dalam usaha da'wah; iaitu hiburan alternatif dan kaedah menyampaikan mesaj Islam yang baru. Tentu kita tidak lupa dengan seorang tokoh nasyit yang telah pergi meninggalkan kita tak berapa lama sebelum Ramadhan iaitu Ustaz Asri. Beliau adalah bakat yang lahir atau dicungkil dari kumpulan Nada Murni ini. Lanjutan dari itu, ia juga telah menbuka dimensi baru dalam industri muzik dan hiburan tanah air di mana nasyit telah manjadi satu zonra yang sudah tidak boleh dipinggirkan dalam kesibukan artis memburu kepopularan dan nama. Kalau artis lain sanggup melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak, golongan nasyit inilah diharap dapat mempertahankan saksiah dan akhlak Isalm dalam suasana fitnah pada hari ini. Moga kumpulan nasyit ini akan dapat mengimbangi kemungkaran yang dilakukan oleh artis-artis dari zonra yang lain.

Kicap, mee, sabun, sos cili, sos tomato, biskut, pewangi, syampu, minyak rambut, pakaian islam adalah senarai kecil yang berjaya dikeluarkan oleh kumpulan Al-Arqam. Di tahun 80-an dan 90-an walau pun tiada kempen besar-besaran tentang industri halal, tak ada pun halah hub, tapi atas rasa tanggung jawab sesama muslim Arqam telah mengeluarkan produk-produk yang berqualiti dan boleh bersaing dengan jenama lain dalam pasaran. Mudah sekali ketika itu, kalau nak cari keperluan keluarga dan diri yang tidak menimbulkan keraguan dari segi halal haramnya pegi saja ke kedai Arqam. Kita yang membeli barang-barang dari kedai Arqam tidak merasa tertipu dan tak pernah merungut pun mengenai kesuciannya. Hari ini, walau pun ada HIDC (perbadanan Industri Halal), sijil halal yang dikeluarkan oleh JAKIM dan jabatan-jabatan agama negeri namun masyarakat begitu mempertikaikan kesahihan halal sesuatu produk. Mungkin apabila sesuatu itu diasaskan dengan iman dan rasa ukhwah serta dibajai dengan keikhlasan, ketenangan akan dapat dirasai oleh penjual dan pembelinya kerana Allah memberkati usaha tersebut. Sebenarnya penglibatan Arqam bukan sahaja setakat dalam perniagaan runcit semata-mata, malah mereka juga terlibat dalam sektor koperat dan begitu berjaya pencapaiannya.

Namun langit tidak selalu cerah. Hati orang melayu memang sentiasa disaluti dengan perasaan dengki dan khianat. Akhirnya pada tahun 1995 terjadi apalah yang terjadi. Arqam diperlakukan seperti penjanayah dan sememangnya di Malaysia ini pejuang Islam memang akan diperlakukan seperti penjenayah termasuk peristiwa Memali. Arqam juga tidak terlepas dari fitnah itu dengan mereka telah dituduh mengamalkan ajaran sesat. Mungkin betul mereka telah mengamalkan ajaran sesat dan kita pun sebenarnya tidak jelas apakah kesesatan yang telah mereka lakukan. Apa yang dihebahkan dalam media adalah Arqam adalah sesat.

Bagi saya, kalau pun benar Arqam mengamalkan ajaran sesat cukuplah diperbetulkan aqidah mereka. Kenapa sampai seluruh aktiviti Arqam yang banyak memberi manfaat kepada umat Islam dimusnahkan. Atas dasar inilah saya meletakkan dakwaan bahawa apa yang berlaku kepada Arqam adalah lebih kepada dengki dan khianat bangsa melayu kepadan bangsanya sendiri kerana kalau mereka memahami Islam dengan sebenarn mereka tidak akan tegamak melekukan apa yang telah mereka lakukan 15 tahun yang lalu.

Saya tidak mahu bercakap berkenaan ajaran sesat kerana saya tidak layak untuk berbicara tentang itu. Namun, satu perkara yang telah berjaya ditinggalkan oleh Ustaz Asyaari adalah nilai ukhwah. Dengan nilai ukhwah yang ada inilah walau pun Arqam telah diharamkan, Arqam tetap hidup di hati para pengikutnya dan memang boleh dilihat dalam masyarakat hari ini. Untuk mengenalinya cukuplah saya berkata "hanya jauhari yang mengenal menikam".

Kini, Pengasas Darul Arqam telah pergi meninggalkan kita pada hariKhamis yang lalu membawa bersama jasa yang bukan sedikit terhadap Islam di Malaysia. Dengan segala kekangan dan serba kekurangan, rintangan dan halangan yang cukup hebat Arqam tetap tidak mati dari ingatan rakyat Malaysia. Di Kampung Delek, mereka yang saban minggu mengikuti kuliah di Sungai Pencala kemudiannya terus ke Masjid Mujahiddin di Damansara pada tahun 1979 hingga tahun 1982 akhirnya telah menjadi aktivis PAS yang cukup aktif. Dari tidak memiliki harta, PAS cawangan Kampung Delek telah kini mempunyai beberapa cawangan lain dan harta yang bernilai jutaan ringgit. Kemuncaknya, PAS Kampung Delek telah mendapat penghargaan apabila menjadi cawangan PAS terbaik di Malaysia dalam muktamar tahun lalu yang diadakan di Shah Alam.

Buat Ustaz Ashaari, Sekalung terima kasih buatmu. Enkau telah pergi membawa bersama jasa, budi, amal, dan kenangan. Andai ada dosamu moga akan diampunkan Allah dan segala jasa akan diterima Allah sebagai amal seorang pejuang Islam. Al-Fatihah!

1 ulasan:

band0tue berkata...

terima kasih atas tulisan tuan. pengalaman tuan telah menjadi saksi, moga Allah membalas usaha baik tuan.