Ramai orang di zaman ini beranggapan bahawa agama hanya merupakan program yang kosong dan nilai-nilai akhlak semata. Ini adalah keyakinan yang salah. Pada hakikatnya, agama adalah sistem dalam kehidupan dan pergaulan. Intinya ialah hubungan dengan Allah. Oleh kerana itu, usaha memisahkan antara pemasalahan tauhid dan perilaku manusia dalam kehidupan sehari-hari, bererti memisahkan agama dari kehidupan dan mengubahnya menjadi adat-istiadat, tradisi dan acara-acara ritual yang kosong.
Kisah Nabi Syu’aib A.S menampakkan hakikat sedemikian secara jelas. Allah telah mengutuskan Nabi Syu’aib A.S kepada penduduk Madyan. Firman Allah S.W.T:
”Dan kepada (penduduk) Madyan (kami utus) saudara mereka, Syu’aib. Dia berkata: ”Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia.” (Hud: 84)
Ini adalah dakwah yang sama diserukan oleh setiap Nabi. Dalam hal ini, tiada perbezaan antara satu Nabi dan Nabi yang lain. Ia merupakan dasar aqidah dan tanpa dasar ini mustahil suatu bangunan akan berdiri. Setelah peletakan bangunan tersebut, Syu’aib’M mula menyuarakan dakwahnya:
”Dan janganlah kamu kurangi takaran dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu dalam keadaan yang baik (mampu) dan sesungguhnya aku khuatir terhadapmu akan azab hari yang membinasakan (kiamat).” (Hud: 84)
Setelah menjelaskan masalah tauhid secara langsung, Nabi Syu’aib A.S berpindah pada masalah mu’amalat (perniagaan) sehari-hari yang berkenaan dengan kejujuran dan keadilan.
Adalah amalan biasa bagi penduduk Madyan mengurangi timbangan dan mereka tidak memberikan hak-hak manusia. Ini adalah suatu kehinaan yang menyentuh kesucian hati dan tindakan, sebagaimana menyentuh kesempurnaan harga diri dan kemuliaan.
Para penduduk Madyan beranggapan bahawa mengurangi timbangan adalah salah satu bentuk kepandaian dalam perniagaan. Kemudian Nabi mereka datang dan mengingatkan bahawa perbuatan tersebut adalah hina dan dikira mencuri. Nabi Syu’aib A.S memberitahu mereka bahawa beliau khuatir jika mereka meneruskan perbuatan keji itu nescaya akan turun kepada mereka azab di mana manusia tidak akan dapat menghindari seksaan itu.
Perhatikanlah bagaimana pengajaran Islam melalui Nabi Syu’aib A.S yang diutus kepada manusia, di mana Islam mementingkan persoalan jual beli dan mengawasinya.
”Hai kaumku, cukupkanlah takaran dan timbangan dengan adil, dan janganlah kamu merugikan manusia terhadap hak-hak mereka dan janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakan.” (Hud: 85)
Nabi Syu’aib A.S meneruskan tugas dakwahnya. Beliau mengulangi nasihatnya kepada mereka dengan cara yang baik dan mengajak ke jalan yang baik. Dia mengingatkan mereka untuk membuat timbangan dengan adil dan mengingatkan mereka agar jangan merampas hak-hak orang lain. Ianya tidak terbatas pada jualbeli saja, namun ia juga berhubungan dengan perbuatan-perbuatan lainnya. Beliau memerintahkan mereka untuk menegakkan timbangan keadilan dan kejujuran. Demikianlah seruan dari agama tauhid dan aqidah tauhid yang menyeru kejujuran dan keadilan.
Agama Islam memerintahkan manusia untuk menjalin kerjasama dalam kehidupan sehari-hari dengan cara bijaksana dan baik. Al-Quran menegaskan agar jangan merugikan manusia terhadap hak-hak mereka, dalam hal-hal yang bersifat material dan rohani. Allah S.W.T melarang segala bentuk kezaliman, sebab kezaliman terhadap manusia akan mencetuskan suasana buruk. Timbulnya penderitaan, sikap putus asa dan sikap tidak peduli, sehingga pada akhirnya hubungan sesama manusia tidak harmoni dan menimbulkan kegoncangan dalam kehidupan.
Oleh itu, Al-Quran mengingatkan agar jangan sampai ada manusia yang berbuat kerosakan di muka bumi:
”Dan janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakan. Sisa (keuntungan) dari Allah adalah lebih baik bagimu jika kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah seorang penjaga atas dirimu.” (Hud: 85-86)
Nabi Syu’aib A.S menyeru kaumnya agar tidak membuat kerosakan di muka bumi. Apa yang ada di sisi Allah S.W.T adalah hal yang terbaik bagi orang-orang yang benar-benar beriman. Kemudian Nabi Syu’aib A.S memberitahu mereka bahawa dia tidak memiliki mereka dan tidak menguasai mereka. Beliau hanya sekadar seorang Rasul untuk menyampaikan ajaran Allah S.W.T.
Dengan cara demikian, Nabi Syu’aib A.S menjelaskan kepada kaumnya bahawa masalah yang mereka hadapi sangat penting, bahkan sangat berat. Beliau memberitahu mereka akibat yang bakal mereka terima jika membuat kerosakan.
Selesailah bahagian pertama dari percakapan Nabi Syu’aib A.S bersama kaumnya. Nabi Syu’aibSS telah mengemukakan pembicaraan dan kaumnya mendengarkan. Kemudian beliau berhenti dari pembicaraannya dan giliran kaumnya pula membuka pembicaraan.
”Mereka berkata: ”Hai Syu’aib, apakah agamamu yang menyuruh agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapa-bapa kami atau melarang berbuat apa yang kami kehendaki tentang harta kami. Sesungguhnya kamu adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal.” (Hud: 87)
Para penduduk Madyan yang kafir, biasa merompak dan menyembah Al-Aikah, iaitu pokok yang dikelilingi dahan-dahan yang berputar di sekelilingnya. Mereka adalah orang-orang yang menjalin hubungan sesama manusia dengan cara-cara yang sangat keji. Mereka suka mengurangi timbangan; mereka mengambil yang lebih darinya dan tidak menghiraukan kekurangannya.
Perhatikanlah percakapan mereka bersama Syu’aib A.S. Mereka menganggap Syu’aib A.S mentaati agamanya tanpa pertimbangan dan pemikiran. Sungguh dia telah berubah dengan agamanya itu, lalu menjadi alat yang bergerak tanpa sedar.
Demikianlah celaaan dan tuduhan keji kaum Nabi Syu’aibSS kepadanya. Mereka menganggap Nabi Syu’aib A.S telah gila dan membuatnya nekad untuk memerintahkan mereka meninggalkan apa yang disembah oleh mereka dan datuk-datuk mereka selama ini. Datuk-datuk mereka telah menyembah pokok sementara agama Syu’aib A.S memerintahkan mereka untuk menyembah Allah S.W.T.
Nabi Syu’aib A.S menghadapi ejekan dan penghinaan mereka dengan tenang. Kemudian mereka kembali bertanya dengan penuh kehairanan dan nada mengejek: ”Apakah agamamu yang menyuruh kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapa-bapa kami. Tidakkah engkau sedar bahawa agamamu mencampuri urusan keinginan kita dan cara kita menggunakan harta? Apakah hubungan keimanan dengan kebendaan?”
Dengan pertanyaan ini, kaum Nabi Syu’aib A.S mengira bahawa mereka mencapai suatu tingkat kecerdasan akal. Mereka mengemukakan masalah keimanan. Mereka mengingkari adanya kaitan antara perilaku manusia, perniagaan mereka serta ekonomi mereka. Ini adalah masalah yang diungkap oleh kaum Nabi Syu’aib A.S di mana bagi mereka, agama tidak berkaitan dalam kehidupan sehari-hari dan cara mereka menggunakan harta. Mereka menganggap bahawa harta adalah suatu yang tidak berhubungan dengan agama dan ianya adalah kebebasan peribadi manusia.
Demikianlah pemahaman kaum Nabi Syu’aib A.S kepada Islam yang dibawa oleh beliau. Pemahaman itu tidak banyak berbeza dengan pemahaman masyarakat di zaman ini yang menganggap bahawa Islam tidak memiliki kaitan dengan kehidupan peribadi manusia dan urusan ekonomi mereka. Oleh itu, manusia dapat menggunakan harta mereka mengikut kemahuan mereka. Zaman ini, segala undang-undang adalah mengikut acuan manusia dan tidak mengikut hukum Islam.
Kaum Nabi Syu’aib A.S mengatakan kepadanya bahawa jika dia seorang yang bijaksana dan berfikiran matang, nescaya dia tidak akan mengatakan apa yang telah dikatakan. Mereka mengejek Syu’aib A.S dan merendahkan dakwahnya.
Bagi kaum Nabi Syu’aib A.S, agama bukan sebagai sistem dalam kehidupan yang menjadikan hidup lebih mulia, lebih suci, lebih adil dan lebih sesuai bagi manusia sebagai khalifah di muka bumi. Bagi mereka, agama hanya berupa kumpulan nilai-nilai rohani yang baik.
Dengan pemahaman seperti ini, agama hanya sekadar hiasan. Ini adalah pemahaman yang bodoh kerana Allah S.W.T mengutus para Nabi bukan untuk perhiasan dan main-main. Maha Suci Allah S.W.T dari semua itu. Allah S.W.T mengutus para Nabi-Nya dengan membawa sistem baru dalam kehidupan, iaitu sistem yang mencakupi nilai-nilai dan pemikiran-pemikiran yang menjadi suatu sistem dalam kehidupan secara umum dan mengatur kehidupan secara khusus. Dengan pemahaman seperti inilah agama menjadi mulia dan benar.
Nabi Syu’aib A.S mengetahui bahawa kaumnya mengejeknya kerana mereka menganggap agama tidak turut campur dalam kehidupan sehari-hari. Namun, dia menghadapi semua itu dengan penuh kelembutan dan kasih sayang kerana yakin apa yang diserunya adalah kebenaran. Dia tidak peduli dengan ejekan mereka dan memberi keyakinan kepada mereka bahawa beliau adalah seorang Nabi yang mengetahui kebenaran. Beliau menyampaikan seruan yang diperintahkan Allah S.W.T tanpa berniat meraih keuntungan peribadi. Beliau hanya sekadar seorang Nabi di mana dakwah setiap Nabi tergambar dalam seruannya.
Nabi Syu’aib A.S cuma inginkan Islah (usaha membuat pembaikan). Demikanlah kandungan dan intipati dakwah para Nabi yang sebenarnya. Mereka adalah AlMuslihun, iaitu orang-orang yang membuat pembaikan. Mereka memperbaiki akal, hati dan kehidupan yang umum serta yang khusus.
”Syu ’aib berkata: ”Hai kaumku, bagaimana fikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan dianugerahi-Nya aku dari-Nya rezeki yang baik (patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) kebaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah bertawakal dan hanya kepada-Nyalah aku kembali.” (Hud: 88)
Setelah Nabi Syu’aibS menjelaskan tujuan-tujuannya kepada mereka dan menyingkapkan kebenaran dakwahnya, beliau mengungkapkan kepada mereka bagaimana orang-orang sebelum mereka dengan para Nabi sebelumnya, iaitu kaum Nabi Nuh A.S, kaum Nabi Hud A.S dan kaum Nabi Lut A.S yang zaman mereka tidak jauh dengan zaman Nabi Syu’aib A.S. Beliau mengingatkan mereka bahawa penentangan mereka akan mendatangkan seksaan bagi mereka.
Nabi Syu’aib A.S mengingatkan mereka bagaimana nasib orang-orang yang mendustakan kebenaran:
”Hai kaumku, janganlah hendaknya pertikaian antara aku (dengan kamu) menyebabkan kamu menjadi jahat hingga kamu ditimpa azab seperti yang menimpa kaum Nuh atau kaum Hud atau kaum Soleh, sedang kaum Lut tidak (pula) jauh (tempatnya) dari kamu. Dan mohonlah ampun dari Tuhanmu kemudian bertaubatlah kepada-Nya, sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang lagi Maha Pengasih.” (Hud: 89-90)
Nabi Syu’aib A.S berdakwah kepada mereka agar mereka beriman kepada Allah S.W.T. Beliau menunjukkan kepada mereka kasih sayang Allah S.W.T Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Namun kaum Nabi Syu’aib A.S memilih azab. Kekerasan hati mereka telah menyebabkan mereka menolak kebenaran.
”Mereka berkata: ”Hai Syu’aib, kami tidak banyak mengerti tentang apa yang kamu katakan itu. Dan sesungguhnya kami benar-benar melihat kamu seorang yang lemah di antara kami. Kalau tidaklah kerana keluargamu tentulah kami akan merejammu.” (Hud: 91)
Beliau dikatakan sebagai orang yang lemah kerana cuma orang-orang fakir dan yang tertindas sahaja yang beriman padanya, manakala orang-orang kaya dan para pembesar telah menentang. Demikianlah pertimbangan manusia yang tidak memiliki kekuatan untuk menghadapi kebenaran dakwah Nabi Syu’aib A.S, di mana beliau dianggap sebagai orang yang lemah. Malah mereka mengancam untuk membunuh Nabi Syu’aib A.S.
Selanjutnya, mereka juga mempersoalkan kedudukan Nabi Syu’aib A.S. Bagi mereka beliau adalah orang yang hina dan tidak mempunyai kedudukan atau ketokohan. Mereka berkata:
”Sedang kamu pun bukanlah seorang yang berwibawa di sisi kami.” Syu’aib menjawab: ”Hai kaumku, apakah keluargaku lebih terhormat menurut pandanganmu daripada Allah.” (Hud: 92)
Mereka melupakan hakikat bahawa sesungguhnya hanya Allah S.W.T Yang Maha Mulia dan Maha Berkuasa. Seharusnya mereka mengingati hakikat itu. Seharusnya seseorang tidak takut kepada apapun selain Allah S.W.T dan tidak membandingkan kekuatan di alam wujud ini dengan kekuatan Allah S.W.T. Hanya Allah S.W.T Yang Maha Berkuasa dan hanya Dia yang mengatur segala urusan hamba-hamba-Nya.
Dengan hujah-hujah bernas yang dikemukakan oleh Nabi Syu’aib A.S, maka kaumnya mula dapat melihat kebenaran. Mereka mula merasa insaf dan kesal dengan keangkuhan mereka. Namun para pembesar kaum masih tidak berganjak dari penentangan mereka. Lalu berkumpullah para pembesar kaumnya.
”Pemuka-pemuka dari kaum Syu’aib yang menyombongkan diri berkata: ”Sesungguhnya kami akan mengusir kamu, hai Syu’aib, dengan orang-orang yang beriman bersamamu dari kota kami, kecuali kamu kembali kepada agama kami.” (Al-A’raf: 88)
Mereka mengancam Nabi Syu’aib A.S serta orang-orang beriman dengan ancaman
bunuh dan mengusir mereka jika tidak kembali kepada agama mereka yang menyembah pokok-pokok dan benda-benda mati. Nabi Syu’aib A.S menegaskan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah menyelamatkan beliau dan orang-orang yang beriman dari kesyirikan dan kekufuran.
Demikianlah pertikaian antara Nabi Syu’aib A.S dan kaumnya semakin berlanjutan. Nabi Syu’aib A.S memegang arnanat dakwah untuk menghadapi para pembesar, para pendusta dan para penguasa kaumnya. Mereka tidak lagi memiliki harapan kerana telah berpaling dari Allah S.W.T.
Nabi Syu’aib A.S menyoal:
”Sedang Allah kamu jadikan sesuatu yang terbuang di belakangmu? Sesungguhnya pengetahuan Tuhanku meliputi apa yang kamu kerjakan. Dan (dia berkata): ”Hai kaumku, berbuatlah menurut kemampuanmu, sesungguhnya aku pun berbuat (pula). Kelak kamu akan mengetahui siapa yang akan ditimpa azab yang menghinakannya dan siapa yang berdusta. Dan tunggulah azab (Tuhan). Sesungguhnya aku pun menunggu bersama kamu.” (Hud: 92-93)
Nabi Syu’aib A.S berlepas diri dari mereka. Mereka telah berpaling dari agama Allah S.W.T bahkan telah mendustakan Nabi-Nya. Maka, mereka bebas melakukan apa saja yang diinginkan, tetapi tunggulah azab AllahS.W.T.
Kaum yang kafir itu mencemuh Nabi Syu’aib A.S Mereka meminta Nabi Syu’aib A.S untuk mendatangkan azab dari langit jika beliau termasuk orang-orang yang benar. Dengan nada angkuh, mereka berkata: ”Di mana azab itu, di mana seksaan yang dijanjikan itu? Mengapa ia lambat datang?”
Ejekan dan cabaran mereka dihadapi dengan tenang. Nabi Syu’aib A.S tidak bertindak balas meskipun mereka semakin kuat menentang dan mencela. Allah S.W.T mewahyukan kepada Nabi Syu’aib A.S agar beliau keluar bersama orang-orang mukmin dari Madyan.
Akhirnya, Nabi Syu’aib keluar bersama para pengikutnya dan datanglah azab Allah:
”Dan takkala datang azab Kami, Kami selamatkan Syu’aib dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengan dia dengan rahmat dari Kami, dan orang-orang zalim dibinasakan oleh satu suara yang mengguntur, lalu jadilah mereka mati bergelimpangan di rumahnya. Seolah-olah mereka belum pernah mendiami di tempat itu. Ingatlah, kebinasaan bagi penduduk Madyan sebagaimana kaum Tsamud telah binasa.” (Hud: 94-95)
Satu dentuman bunyi guruh yang amat kuat, bergema dari celah-celah awan yang menyelimuti langit luas. Barangkali, mulanya mereka menyangka ia adalah guruh yang bakal membawa hujan. Namun akhirnya mereka yang kufur itu digemparkan dengan bencana yang amat besar. Dentuman guruh itu menghanguskan seluruh makhluk yang ada di Madyan. Orang-orang kafir itu tidak mampu bergerak atau menyelamatkan diri. Semuanya mati bergelimpangan.
Begitulah balasan bagi orang-orang yang kufur ingkar. Tiada seorang pun orang-orang kafir itu yang dapat menyelamatkan diri dari bencana yang ditimpakan oleh Allah S.W.T.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan