Ahad, 3 Januari 2010

KISAH NABI AYUB A.S

Nabi Ayub A.S adalah tokoh manusia yang paling sabar, bahkan boleh dikatakan bahawa beliau berada di puncak kesabaran. Nabi Ayub A.S menjadi simbol kesabaran bagi seluruh manusia. Allah S.W.T telah memuji kesabarannya:

”Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar. Dialah sebaih-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya).” (Sod: 44)

Nabi Ayub A.S selalu mengabdikan diri kepada Allah S.W.Ti dengan zikir, syukur dan sabar. Kesabarannya menyebabkan beliau memperolehi keselamatan dan pujian Allah S.W.T.

Nabi Ayub A.S melalui penderitaan hidup dengan penuh kesabaran. Mula-mula dia kehilangan harta benda sehingga menjadi miskin. Kemudian dia kehilangan isteri dan anak-anak. Selanjutnya dia juga ditimpa penyakit. Al-Quran tidak menyebut secara khusus bentuk penyakitnya. Menurut riwayat, dikatakan bahawa beliau terkena sejenis penyakit kulit.

Allah S.W.T telah menguji Nabi Ayub A.S dengan kehilangan harta benda, anak, isteri dan menderita sakit. Namun imannya tetap kental dan sentiasa bersyukur dengan segala ketentuan Allah S.W.T.

Bagi Nabi Ayub A.S segalanya itu adalah ujian Allah S.W.T. Dia redha dengan segala takdir Allah S.W.T. Dialah yang mendatangkan manfaat dan mudharat. Dialah Yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Dia memuliakan dan menghina sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Al-Quran menceritakan kisah Nabi Ayub A.S. Firman Allah S.W.T:

”Dan (ingatlah kisah) Ayub ketika dia menyeru Tuhannya: ”(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang.” Maka Kami pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipatgandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah.” (Al-Anbiya’: 83-84)

Nabi Ayub A.S adalah hamba Allah S.W.T yang soleh. Allah S.W.T mengujinya dalam hartanya, keluarganya dan badannya. Hartanya hilang sehingga dia menjadi orang fakir sedangkan sebelumnya dia orang yang paling kaya. Kemudian dia ditinggalkan oleh isterinya dan keluarganya sehingga dia hidup sendirian. Dia juga ditimpa penyakit dan menderita kerananya, tetapi dia tetap sabar menghadapi semua itu dan tetap bersyukur kepada Allah S.W.T.

Syaitan cuba menggoda fikiran Nabi Ayub A.S agar dia hilang sabar dan berputus asa dari rahmat Allahi. Namun beliau mampu menghilangkan gangguan itu dan berkata: ”Keluarlah hai syaitan! Sungguh aku tidak akan berhenti bersabar, bersyukur dan beribadah.”

Nabi Ayub A.S amat marah kerana syaitan berani mengganggunya. Beliau membayangkan bahawa syaitan berani menggodanya dengan memanfaatkan penderitaan dan penyakitnya itu.

Isteri Nabi Ayub A.S kembali dalam keadaan terlambat dan mendapati Nabi Ayub A.S dalam keadaan marah. Isterinya menutup kepalanya dengan kain. Isteri Nabi Ayub A.S menghidangkan makanan yang baik untuknya. Nabi Ayub A.S bertanya dari mana dia mendapat makanan itu. Dia curiga makanan itu dari sumber yang tidak halal. Selain itu, kerana kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukan oleh isterinya juga, Nabi Ayub A.S telah bersumpah akan memukulnya seratus kali pukulan dengan tongkat jika beliau sembuh, tetapi sesungguhnya kesabaran beliau adalah sangat tinggi. Setelah mengetahui makanan yang dihidangkan itu halal, maka Nabi Ayub A.S memakannya. Kemudian Nabi Ayub A.S keluar menuju ke gunung dan berdoa kepada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T:

”Dan ingatlah akan hamba Kami, Ayub ketika dia menyeru Tuhannya: ”Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan dan seksaan.” (Allah berfirman): ”Rendamkanlah kakimu; inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum. Dan Kami anugerahi dia (dengan mengumpulkan kembali) keluarganya dan (Kami tambahkan) kepada mereka sebanyak mereka pula sebagai rahmat dari Kami dan pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai fikiran. Dan ambillah dengan tanganmu seikat (rumput), maka pukullah dengan itu dan janganlah kamu melanggar sumpah. Sesugguhnya Kami mendapati dia (Ayub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia sangat taat (kepada Tuhannya).” (Sod: 41-44)

Bagaimana kita memahami pernyataan Nabi Ayub A.S bahawa dia diganggu syaitan dengan kepayahan? Sebenarnya dia ingin mengadu kepada Allah S.W.T perihal keberanian syaitan mengganggunya. Nabi Ayub A.S tidak percaya bahawa sakit yang dideritainya adalah kerana pengaruh syaitan.

Demikianlah pemahaman yang sesuai dengan kemaksuman para Nabi dan kesempurnaan mereka. Allah S.W.T telah memerintahkan beliau mandi di salah satu mata air di gunung. Allah S.W.T juga memerintahkannya minum dari mata air itu. Kemudian Nabi Ayub A.S melaksanakan perintah itu sehingga beliau sembuh dari penyakitnya.

Allah S.W.T memberikan rahmat kepada Nabi Ayub A.S. Penyakitnya telah sembuh sepenuhnya. Dia bahagia dengan kehadiran isteri dan anak-anak di sisinya, sehingga dia tidak lagi sendirian. Dia juga bebas dari kefakiran setelah Allah S.W.T memberi kekayaan dan kemuliaan kepadanya.

Mengenai sumpahnya untuk memukul isterinya sebanyak seratus pukulan dengan tongkat setelah beliau sembuh, Allah S.W.T mengetahui beliau tidak bermaksud memukul isterinya. Namun Allah S.W.T memerintahkannya mengumpul seikat rumput dan memukulkan itu kepada isterinya dengan sekali pukulan. Dengan demikian, beliau telah memenuhi sumpahnya dan tidak berbohong.

Demikianlah, kesabaran Nabi Ayub^S menghadapi ujian sesungguhnya adalah cerminan keimanannya terhadap Allah S.W.T.

Tiada ulasan: