Al-Quran hanya menyebutkan sekilas tentang kisah Nabi Ishak A.S. Kelahiran Nabi ini membawa suatu kejadian yang luar biasa, di mana para malaikat menyampaikan berita gembira tentang kelahirannya.
Kelahiran Nabi Ishak A.S terjadi setelah beberapa tahun lahirnya Nabi Ismail A.S, abangnya. Hati Sarah sangat gembira dengan kelahiran Ishak A.S. Kita tidak mengetahui bagaimana kehidupan Nabi Ishak A.S dan bagaimana sikap kaumnya. Namun kita mengetahui bahawa Allah S.W.T memujinya sebagai seorang Nabi dari orang-orang yang soleh.
Adapun Ya’kub A.S adalah Nabi pertama yang berasal dari sulbinya. Beliau adalah Ya’kub bin Ishak bin Ibrahim. Dia adalah seorang Nabi yang diutus bagi kaumnya. Allah S.W.T menyebutkan tiga bahagian dari kisahnya. Berita gembira tentang kelahirannya disampaikan oleh para malaikat kepada datuknya, Ibrahim A.S dan Sarah, neneknya. Allah S.W.T juga menyebutkan wasiat Nabi Ya’kub A.S dan menyebutkannya dalam kisah Nabi Yusuf A.S.
Melalui wasiatnya, kita dapat mengetahui tingkat ketaqwaannya. Kita mengetahui bahawa kematian adalah suatu kegetiran bagi manusia. Sewaktu ajal, manusia hanya ingat terhadap derita menghadapinya. Namun Nabi Ya’kub A.S tidak lupa untuk berdoa kepada Allah S.W.T sewaktu ajal menjemputnya.
Allah S.W.T berfirman:
”Adakah kamu hadir ketika Ya’kub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: ”Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?” Mereka menjawab: ”Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishak, (iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk kepada-Nya.” (Al-Baqarah: 133)
Peristiwa ini terjadi antara Nabi Ya’kub A.S dengan anak-anaknya ketika menjelang ajalnya. Apakah yang memenuhi fikirannya tatkala menghadapi sakaratul maut? Apakah perkara penting yang harus disampaikan agar hatinya tenang? Apakah warisan yang ingin ditinggalkan kepada anak-cucunya? Apakah wasiat yang disampaikan sebelum kematiannya dapat menjamin keselamatan manusia?
Kita akan menemui jawapan dari semua pertanyaan itu, apabila beliau bertanya: ”Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?”
Persoalan itulah yang sangat merisaukan beliau ketika menghadapi sakaratul maut. Iaitu masalah keimanan kepada Allah S.W.T. ia adalah merupakan warisan hakiki.
Anak-anaknya berkata: ”Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu Ibrahim A.S, Ismail A.S dan Ishak A.S Iaitu Tuhan Yang Maha Esa dan kami akan berserah diri pada-Nya.”
Telah terdapat dalil yang kuat menunjukkan bahawa mereka diutuskan untuk menyebarkan Islam. Jika mereka keluar dari Islam, bererti mereka keluar dari rahmat Allah S.W.T. Jika mereka tetap mempertahankannya, maka mereka akan mendapat rahmat. Nabi Ya’kub A.S merasa tenang atas aqidah mereka.
Sebelum wafat, Nabi Ya’kub A.S mendapat ujian berat berkenaan dengan anaknya Yusuf A.S, yang juga merupakan seorang Nabi yang diutuskan oleh Allah S.W.T.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan