Khamis, 10 Jun 2010

PERTIS: APA DAH JADI 4 (BAHAGIAN AKHIR)

2.2.8. Adalah dimaklumkan bahawa isu penangguhan tarikh mesyuarat ini telah dibincangkan dan selepas mendapat kebenaran daripada pihak Jabatan Pendaftar Pertubuhan, Kuala Lumpur justeru ianya ada hubungkait dengan Perlembagaan Persatuan. Penangguhan ini juga adalah selaras dengan kepadatan jadual kursus di premis ILIM dan langkah berjimat-cermat Persatuan akibat kemunasabahan kos penganjuran yang tinggi di lokasi/premis lain. Di pihak lain, ROS sendiri menjelaskan bahawa isu penangguhan mesyuarat agung adalah merupakan perkara biasa dengan syarat ada sebab yang munasabah serta kukuh.)

Seperti yang diduga akhirnya notis Mesyuarat Agung Tahunan Pertis telah dikeluarkan semalam oleh Setiausaha Agung PERTIS dengan memaklumkan bahawa mesyuarat akan diadakan pada 23 hingga 24 Julai 2010 di ILIM, Bangi, Selangor. Notis ini amat mengecewakan kerana mesyuarat akan diadakan bukan pada masa yang ditentukan oleh perlembagaan PERTIs sebagai undang-undang tertinggi dalam persatuan walau pun pada awalnya mesyuarat dikatakan akan diadakan pada 26 hingga 28 jun 2010.

Mungkin ada yang bertanya apa perlunya kita mempertikaikan tentang tarikh mesyuarat agung ini. Bagi mereka yang tidak begitu memahami akan keperluan dan kepentingan mesyuarat agung memang tidak merasa bazanya sama ada ia dilangsungkan pada, sebelum atau selepas 30 Jun tetapi sebenarnya ia mempunyai implikasi yang amat besar dalam kita berorganisasi. Mesyuarat agung adalah institusi tertinggi dalam struktur pertubuhan dan dalam mesyuarat agung inilah tempat di mana kita boleh memuhasabah diri dan menentukan hala tuju pertubuhan sekurang-kurangnya untuk jangka masa setahun. Seandainya ia diadakan lewat maka kita telah hilang sejumlah hari untuk bergerak kerana penangguhan itu. Ia juga boleh menimbulkan pertikaian dari segi kesahihan mesyuarat tersebut walau pun telah mendapat kebenaran dari Pendaftar Pertubuhan.

Kadang-kadang bagi kebanyakan dari kita, seandainya sesuatu itu tidak memberi keuntungan peribadi maka perkara itu tidak menjadi isu tetapi apabila ada kepentingan yang tidak terpenuhi maka barulah kita riuh rendah menuntut hak. Keadaan inilah yang menjadi duri dalam daging sebahagian masyarakat Melayu dan orang-orang buta.

Berdasarkan notis tersebut, penangguhan ini telah mendapat kebenaran Pendaftar Pertubuhan dan ia ada hubung kait dengan perlembagaan. Apabila kita merujuk kepada perlembagaan kita tidak berjumpa dengan apa yang dikatakan “ada hubung kait dengan perlembagaan”. Kita tidak akan menemui satu peruntukan pun yang membolehkan mana-mana pihak dalam PERTIS menangguhkan Mesyuarat Agung Tahunan. Jadi, bagaimana notis itu boleh menyebut “ada hubung kait dengan perlembagaan”. Kalau ada pun ia perlu dilakukan melalui mesyuarat agung juga dan mesyuarat berkenaan tidak berlaku.

Menyentuh perkara yang berkaitan, satu persoalan boleh ditanya di sini. Kalau mesyuarat agung ditangguhkan begitu sahaja, kenapa tarikh akhir pembayaran yuran tidak boleh ditangguh ke hari mesyuarat agung agar memudahkan ahli-ahli membayar yuran tanpa perlu bersusah payah dengan kadar kepayahan yang tidak munasabah. Bukankah pada setiap mesyuarat agung tahunan dibuka kaunter khas untuk menjelaskan yuran? inisiatif yang diambil oleh bendahari kehormat itu amat dipuji dan satu tindakan yang bijak. Jadi, kanapa penangguhan terhadap yuran ini tidak dilakukan bagi kepentingan bersama. Kenapa PERTIS begitu regid berkenaan yuran sedang bermain-main dengan mesyuarat agung. PERTIS amat mematuhi akan keperluan yuran sehingga notis MAT ke-15 menyebutkan kehadiran dalam MAT ke-15 ini tertakluk kepada status yuran masing-masing. Di manakah justifikasi kedua-dua tindakan ini? Kenapa perlu ada dubble standard dalam dua isu ini?

Bila bercakap tentang kepadatan ILIM, ia satu lagi alasan yang tidak sama sekali boleh diterima. Mesyuarat agung datang pada setiap tahun dan tarikh pun telah ditetapkan. Seharusnya persediaan awal boleh dilakukan. Khabarnya MAT ke-15 ini akan diadakan di Kelantan tetapi kerana kekangan peruntukan ianya terpaksa dibatalkan. Sepatutnya sebaik sahaja diketahui yang PERTIS tidak berjaya mengadakan mesyuarat di Kelantan maka usaha harus dilakukan untuk mendapatkan tempat dengan kadar segera. Kita tidak boleh semata-mata mengharapkan ILIM kerana kita punya banyak dewan yang boleh disewa (ditempah) untuk menjalankan mesyuarat. Lagi pun berdasarkan respon dan reaksi ahli PertIS ILIM bukanlah tempat yang terbaik untuk orang buta bermesyuarat dalam keadaan terpaksa menginap. Rasanya rungutan ini memang diketahui oleh PERTIS dan kenapa masih juga ingin menggunakan ILIM. Kalau ia merupakan langkah penjimatan kenapa sampai harus mengorbankan keselesaan ahli? Bukankah ahli adalah segala-galanya pada PERTIS?

Menyentuh berkenaan penjimatan pula, saya pun tidak faham apa yang sebenarnya menghantui PERTISS sehingga terpaksa berbelanja terlalu besar untuk mengadakan mesyuarat agung. Sebenarnya PERTIS tidak mempunyai keperluan untuk menanggung semua perbelanjaan ahli-ahli sama ada dari segi pengangkutan, makanan dan penginapan. Ia boleh dilakukan dalam keadaan PERTIS mempunyai kedudukan kewangan yang selesa dan pembiayaan tersebut boleh dikatakan sebagai saguhati dan penghargaan PertIS kepada ahli-ahlinya. Namun begitu, seandainya keadaan kewangan PERTIS tidak mengizinkan, PETTIS tidak mempunyai sebarang obligasi untuk memenuhinya secara perlembagaan. Saya yakin seandainya ahli-ahli diberi maklumat yang jelas dan pihak PERTIS sendiri bersikap jujur dan amanah, ahli-ahli boleh menerimanya dan mereka akan tetap datang sebagai memenuhi komitmen mereka terhadap PERTIS dengan belanja sendiri. Selagi mana tempat yang dipilih itu mudah untuk mereka (para ahli) mencari tempat makan , tempat menginap dan dekat dengan kemudahan pengangkutan sudah cukup memberi kepuasan bagi sebahagian besar dari ahli walau pun mereka datang dari Kelantan, Trengganu, Kedah atau Negeri Sembilan. Yang penting kedua-dua pihak perlu telus dan jujur.

Walau pun di pihak Pendaftar Perrtubuhan menyatakan bahawa penangguhan mesyuarat agun adalah perkara biasa dalam berpersatuan dan kebiasaan inidiperakui sendiri oleh Pendaftar pertubuhan, PERTIS tidak seharusnya menjadikan itu sebagai alasan bagi membolehkan penangguhan ini. Sebenarnya ini merupakan penangguhan kali kedua dalam tempoh setahun. PERTIS sepatutnya mengadakan mesyuarat agung luar biasanya pada Bulan Ogos tetapi tertangguh sehingga ke bulan Disember. Kini MAT ke-15 pula ditangguhkan. Apakah ini kerana “biasa”? Sesungguhnya keadaan seperti ini memang tidak boleh dibiarkan berlaku kerana apakah jaminan PERTIS yang keadaan ini tidak akan berulang untuk tahun-tahun mendatang. Di sinilah pentingnya kepatuhan terhadap perlembagaan yang kita sama-sama persetujui selama ini. Oleh yang demikian, sebarang penangguhan mesyuarat agung perlu dilakukan melalui mesyuarat agung juga.

Satu lagi alasan yang mungkin diberi bagi menjustifikasikan tindakan mereka menangguhkan mesyuarat adalah kelaewatan penyediaan dokumen dan pengauditan. Inilah yang menjadi masalah kepada PERTIS tahun lalu sehingga membawa kepada mesyuarat agung luar biasa. Sebenarnya perkara ini terletak kepada kecekapan pentadbir-pentadbir PERTIS yang telah diamanahkan oleh ahli. Seperti dikatakan mesyuarat memang akan datang pada masa yang telah ditetapkan maka kitalah yang harus mengurus masa agar semua dokumen dapat disiapkan pada masa yang sepatutnya. Kalau pun dokumen dan audit inilah yang menjadi masalah sehingga tak boleh mengadakan mesyuarat pada masa yang ditentukan oleh perlembagaan, sekali lagi mesyuarat agung juga yang harus diminta kebenarannya untuk mengadakan mesyuarat luar biasa atau menangguhkan sahaja mesyuarat yang ada.

Untuk makluman, walau pun perlembagaan agak regid dalam menentukan tarikh mesyuarat agung tahunan, sebanarnya seandainya difahami dan dihayati perlembagaan PERTIS ini memang ada ruang di mana mesyuarat agung boleh ditangguhkan. Terpulanglah pada PERTIS untuk mencarinya dan membuat tindakan dengan segera. Saya sedia untuk membantu dalam hal ini agar ia dapat dilaksanakan sebelum 30 Jun 2010.

Saya juga mendapat khabar yang kedudukan kewangan PERTIS telah menempoh saat-saat pemulihan dengan kenaikan yang amat membanggakan. Saya dengan ini ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada mereka yang bertanggung jawab memulihkan keadaan itu.

Buat Abu Hassan, di sini saya ingin merakamkan setinggi penghargaan atas komitmen yang diberikan oleh beliau sepanjang memegang jawatan Setiausaha Agung PERTIS. Anda telah memberi komitmen yang cukup tinggi dan membawa PERTIS ke mercu yang tak pernah dicapai sebelumnya. Andai benar anda ingin melepaskan jawatan setiausaha agung pada mesyuarat akan datang, apa yang boleh saya katakan adalah “Abu, anda adalah setiausaha agung tebaik yang pernah dimiliki oleh PERTIS.” Syabas, tahniah dan terima kasih.

Tiada ulasan: