Khamis, 3 Jun 2010

KISAH TERUNA, DARA DAN JANDA

Dalam sebuah kampung yang hening tinggal seorang lelaki bernama Teruna bersama isterinya Dara. Mereka hidup bahatia dengan dikurniakan Allah anak seramai sepuluh orang. Kebahagiaan mereka jelas terpancar dan dapat dilihat oleh orang kampung bila mana Teruna sekeluarga sering mengadakan kenduri dan menjemput orang bagi meraikan kenduri itu. Maknanya limpahan rezeki Teruna dapat sama dirasai oleh masyarakat kampung.

Pada suatu petang, ketika Teruna duduk di anjung bersama isterinya Dara, tiba-tiba melintas lalu di depan matanya seorang wanita yang ayu bernama Janda. Dia terpukau dan seolah terlupa yang di sebelahnya ada Dara. Sejak itu hatinya mula bergelojak, bergolak dan jiwanya mula resah serta gelisah. Teruna sudah tidak mampu melupakan Janda walau pun Janda juga telah mempunyai anak 15 orang. Akhirnya Teruna membuat keputusan untuk melamar Janda dan usaha memikatnya pun dijalankan dengan bantuan teman-temannya.

Janda, bukannya wanita sembarangan. Walau Janda punya anak lima belas orang namun dia tetap menjadi perhatian orang kampung. Bujang dan Duda memang telah lama berhasrat untuk melamar Janda. Mereka berdua memang bersaing dah lama dan kini mereka juga mendapat tahu yang akan ada pesaing baru dalam perebutan ini.

Adat bersaing, pesaing akan pasti menggunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan lawannya. Tak tahu siapa dari pesaing itu yang membawa cerita, hebuh sudah di serata kampung yang sebenarnya keluarga Teruna sedang dilanda masalah. Keluarga Teruna bukan lagi bahagia dan senang seperti dulu. Kini, nak jamu makan tengah hari untuk anak-anak pun sudah tak mampu. Macam mana nak jaga keluarga Janda nanti.

Satu petang, salah seorang anak Teruna bersiar-siar di pinggir kampung. Tiba-tiba dia disapa oleh salah seorang penduduk kampung. Penduduk itu bertanya kepada anak Teruna, "betul ke keluarga engkau ada masalah?" Anak Teruna tidak ada pilihan melainkan terpaksa menjawab "Ya". Penduduk itu pun berlalu sambil berkata "sabarlah".

Anak Teruna begitu sedih dan kecewa lantas berkata sendiri, "Kenapalah ayah nak kahwin dengan Janda, sekarang rahsia keluarga kita dah jadi buah mulut orang"

(Untuk makluman kisah ini ada kena-mengena dengan orang hidup tapi tak ada kena-mengena dengan orang mati.)

Tiada ulasan: