Hari ini kira-kira 2 petang, Ustaz Hassan Shukri, bekas timbalan Presiden PAS telah kembali meninggalkan kita semua. Beliau telah pergi dengan timbunan jasa kepada umat Islam dan perginya juga adalah pergi seorang pejuang. Rupanya Muktamar PAS ke-56 adalah muktamar terakhir buat beliau dan beliau pergi sebaik saja berakhirnya muktamar. Di bawah ini dititipkan secebis kisah Ustaz Hassan yang ada dalam simpanan saya. Moga bingkisan ini akan dapat menambahkan iltizam kita dalam perjuangan memartabatkan Islam di bumi Allah ini.
"Hassan, dikenang pejuang terbilang
Oleh Azamin Amin
Belum sempat pun pejuang-pejuang Sungai Manik tiba di Kuala Selangor untuk turun
'bermandi darah' di Kuala Lumpur, dia sudah terpacul tegap menantikan kedatangan
mereka. Dan ketika berdiri di jeti Feri Kuala Selangor dengan badan tegap laksana
panglima, dia secara tenang meminta para pejuang itu pulang semula ke Perak.
Niatnya hanya satu, mengelakkan lebih banyak nyawa yang terbunuh dan tidak mahu
Sungai Klang bertukar merah. Tanpa perlu berpencak, atau menghunus sunding yang
tersisip di pinggangnya,dia bersuara penuh tertib dan tegas gayanya.
Tidak ada satu biji mata pun melainkan dia, yang mampu berdepan para pejuang yang
digeruni itu. Bimbang suasana akan lebih kecamuk Pengerusi Majlis Gerakan Negara
ketika tragedi 13 Mei1969, Allahyarham Tun Abdul Razak secara peribadi meminta dia
menahan pendekar-pendekar dari kumpulan ''parang terbang dan selempang merah' untuk
mara ke ibu kota.
Dek kerana menghormati ayahnya yang pernah terlibat dan bertempur dalam beberapa
siri dengan peperangan di Sungai Manik pada zaman dulu, para pejuang yang sedang
mengelodak jiwa dan amarah itu akhirnya akur dengan permintaannya lalu kembali ke
kampung halaman masing-masing.
Namanya cukup tersohor dan hebat di mata kawan dan lawan. Malah ketika negara
dilanda krisis Tun Razak sendiri menghubunginya setiap hari . Sehari kadang-kadang
sampai dua kali!
Kini nama Hassan Shukri yang selalu meniti dibibir pejuang dan penyokong PAS selama
ini agak kelam dan menyepi. Entah mengapa, bekas Timbalan Presiden PAS yang juga
antara pejuang terawal parti tertua di Malaysia ini umpama membawa diri. Namun
rajuknya tidak kemana kerana batang tubuhnya masih sebati dengan perjuangan ini.
Hassan Shukri yang dipanggil 'Ustaz' masih dekat di hati kebanyakan ahli PAS malah
kelibat beliau sering kelihatan, sekiranya ada acara rasmi dan majlis ilmu yang
dianjurkan di Markas PAS Taman Melewar, Gombak. Kadang-kadang tanpa segan, beliau
menebas dan mencangkul di depan Markas walaupun para pemimpin dan ahli PAS sedang
menyertai aktiviti di situ.
Baginya kerja-kerja kebun dan kampung sudah berakar umbi di benaknya apatah lagi
kediaman dan lamannya pula bersebelahan markas itu. Markas yang dahulunya dikenali
sebagai 'Headquartes' pejabat PAS dan Pusat Tarbiyah sebelum berpindah ke Jalan Raja
Laut Kuala Lumpur begitu sinonim dengan Hassan Shukri.
Masakan tidak idea penubuhan Markas itu, datang dari hati nurani ikhlasnya. Bermula
dengan modal RM20,000 beliau membeli sebidang tanah di situ, sebagai tapak awal
untuk membina Markas. Kemudian beliau berbincang pula dengan Yang Dipertua PAS
Allahyarham Yusuf Rawa, Pesuruhjaya PAS Perlis Ustaz Hashim Jasin dan Ustaz Nakhaei
untuk mereka sama-sama membeli tanah dengan harga sekitar RM26,000 bagi meluaskan
kawasan Markas sekitar tahun 1982.
Selain menerima sumbangan wang, Markas itu turut didirikan secara bergotong royong
pada peringkat awalnya. Kemudian dengan kebijaksanaan Hassan, beliau mengarahkan
setiap satu cawangan PAS menyiapkan satu tiang bangunan tanpa menggunakan jengkaut
untuk menggali lubang tapak asas.
Semenjak itu, Markas PAS Taman Melewar telah menjadi tempat persinggahan atau
bermalam paling murah di Kuala Lumpur kepada orang ramai yang mahu melancong atau
berurusan di ibu kota malah hari minggu atau cuti sekolah, banyak bas persiaran
serta bas sekolah singgah dan memenuhi laman markas itu.
Lebih menarik ianya menjadi persinggahan paling penting kepada rombongan haji
sebelum melapor diri di Lapangan Antarabangsa Subang sebelum wujudnya KLIA dan Pusat
transit Tabung Haji Kelana Jaya.
Cetusan idea Hassan itu kemudiannya menjadi buah mulut orang dan menjadikan PAS
terkenal di pelusuk negara. Ya, Hassan dikenali sebagai tokoh yang membangunkan
Markas PAS dan ramai yang tidak tahu, beliau adalah individu penting di sebalik
perlembagaan PAS dan merupakan 'buku undang-undang PAS' yang masih hidup serta
sentiasa menjadi rujukan.
Menceritakan kisah penyertaannya secara tidak rasmi dengan PAS sewaktu berusia 14
tahun pada 1951; Hassan memberitahu tindakannya itu didorong oleh satu peristiwa
unik yang mencetuskan semangatnya untuk mendekati PAS.
"Sebabnya ialah loteri kebajikan yang saya terima daripada guru saya dan saya bawa
pulang ke rumah.
"Akhirnya saya dimarahi dan dihamun oleh ayah saya...disebabkan itu, saya mula
berjinak-jinak dengan mengikuti aktiviti PAS di kampung dan mula menyertai secara
aktif pada tahun 1951," ujarnya penuh semangat.
Hassan yang memegang nombor keahlian PAS 12,016 itu kemudiannya diberi peluang untuk
bertanding di kawasan Parlimen Sabak Bernam pada pilihan raya umum tahun 1969.
Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ialah usaha memujuk, mengugut,
ancaman dan merasuah beliau untuk tidak bertanding, namun ditolak mentah Hassan
dengan memberi kata dua yang cukup meninggalkan bekas kepada pencabar dan lawan
politiknya.
"Saya katakan kepada mereka, kalau nak masukkan guni, cubalah...!" katanya tegas
laksana pahlawan yang bermaksud seolah-olah 'jangan mencari pasal' dengan beliau.
Sambil turut mengimbau kembali kejadian ceramahnya di Sabak Bernam didatangi oleh
beberapa orang berketurunan Jawa Penegoro seraya menghayunkan senjata parang.
Kebetulan kawannya Hassan Adli boleh berbahasa Jawa, maka orang-orang yang berparang
itu, akhirnya 'ditumpaskan' hanya melalui kata-kata berbisa, jelasnya.
Hassan juga menceritakan bagaimana musuh politiknya berusaha menjatuh maruah dan
nama baiknya dengan cuba memerangkap beliau dengan dua orang wanita yang tidak
dikenali di Kampung Parit, Sabak Bernam. Dengan kecekapan perisik-perisik PAS,
beliau dinasihatkan untuk tidak memberhentikan keretanya suatau malam jika diminta
oleh dua wanita terbabit.
"Malam itu di tepi hutan jalan, sudah siap kamera dan beberapa jurugambar mahu
memerangkap jika saya memberhentikan kereta untuk ditumpangi oleh dua wanita itu,"
katanya sambil menasihati bahawa insiden dan taktik musuh itu, masih diguna pakai
sehingga sekarang.
Oleh sebab itulah, setiap kali bermesyuarat di Pejabat Agung PAS Pusat di Jalan Raja
Laut, berdekatan Lorong Haji Taib itu, Hassan tidak pernah menggunakan jalan
belakang bangunan PAS itu, kerana bimbang 'diperangkap' oleh kamera-kamera musuh
yang cuba mengaitkannya dengan penghuni atau pekerja seks loromg hitam itu.
"Saya selalu menasihati beberapa pimpinan PAS untuk berhati-hati berjalan di lorong
belakang itu bagi mengelakkan fitnah dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tidak
bertanggungjawab," katanya tersenyum.
Setelah tewas dalam pilihan raya itu, beliau kemudiannya menunaikan haji di Makkah
dan kisah perjalanannya menuju tanah suci itu, penuh liku-liku dan peristiwa indah
yang tidak upaya diluahkan meandanga masa yang terbatas. Memadai katanya, perjalanan
itu memakan masa 6 bulan 3 hari!
"Dari Pulau Pinang naik kapal laut. Sampai di Madras, kami terus menggunakan jalan
darat untuk ke Makkah.
Dalam perjalanan ke sana, saya sempat menubuhkan Persatuan Melayu Iraq di Bagdad
dan setelah menunaikan haji, saya mengahwini isteri tercinta dan dikurniakan 6 orang
anak," katanya bangga dengan pencapaian anak-anaknya itu, meskipun beliau bukanlah
seorang yang berharta.
Hassan yang juga pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung PAS di bawah tiga orang
Presiden PAS iaitu Dato' Asri Muda, Ustaz Yusof Rawa dan Almarhum Ustaz Fadhil Noor
kemudiannya merakamkan semula detik-detik manis selama berada dalam perjuangan PAS
ini seraya menceritkan beberapa kisah mencuit hati yang tidak dapat dilupakannnya.
Antaranya beliau terpaksa mengendong atau mengangkut pembesar suara (speaker) sejauh
empat batu menggunakan basikal manakala ada perwakilan yang jatuh ke gaung dalam
perjalannan ke muktamar PAS tapi tidak mengalami kecederaan.
"Saya pernah merasa pengalaman tidur di Balai Raya Dato' Keramat. Ahli-ahli di situ
menyediakan segala kelengkapan seperti bantal, tilam dan selimut untuk para
perwakilan dan ahli PAS yang menyertai muktamar ketika itu," katanya lagi
Pada sekitar tahun 50-an, muktamar pada ketika itu namanya lebih awal dikenali
sebagai kongress dan ditukarkan supaya ianya tidak menyamai dengan parti-parti lain
pada masa itu.
Bezanya dahulu, apabila muktamar berlangsung, semua perwakilan dan ahli-ahli yang
datang menumpang teduh di merata-rata sekitar madrasah, pondok-pondok agama, balai
raya berhampiran dan juga rumah-rumah ahli yang secara sukarela menjadikan rumah
mereka sebagai tempat tumpangan.
Beliau dalam masa sama menasihati supaya pemimpin dan ahli melahirkan semangat
persatuan dan berpasukan di samping kerjasama yang mantap dan ada peningkatan dalam
soal pemikiran dan kerja di semua peringkat.
"Apa jua kekuatan adalah kesatuan dan sahabat-sahabat (ahli-ahli PAS) kena tahu
'style'.Kena faham cara orang kampung bekerja berbeza dan tidak sama dengan orang
Shah Alam (bandar) bekerja.
"Tulis khutbah pun kena beza. Takkan nak baca yang sama. Begitu juga pendekatan, ada
yang berhemah, tegas dan adakalanya secara berseloroh," katanya lagi
Beliau menasihati pemimpin PAS atasan atau pertengahan, mesti mengetahui serba
sedikit suasana dan keadaan masyarakat di Malaysia dan menambah di Nusantara
terdapat 6,832 suku seperti Jawa, Mandeling, Banjar dan lain-lain yang berjaya
disatukan melalui Islam.
"Jangan lupa turun padang dan dekati orang bawahan akar umbi ini. Mereka ini kita
sapa dan senyum cukup besar hati dah..." kata Hassan yang juga bekas Senator.
Selain itu, Hassan sebagai orang lama dalam PAS, menyarankan segala masalah atau
perselisihan pendapat antara pimpinan-pimpinan PAS disuarakan melalui syura atau
mesyuarat dan perbincangan agar ianya tidak dipergunakan oleh musuh untuk
melaga-lagakan antara satu sama lain.
"Dengan cara itu tidaklah keluar kenyatan yang bercanggah. Kenapa media memainkan
isu tertentu, supaya orang Cina dan India berhenti menyokong PAS...itu saja. Jadi
jangan biarkan kita terdedah dengan perkara macam itu," katanya ketika diminta
pandangan berhubung isu-isu semasa.
"Malah masuk PAS bukan kerana ikut orang, kalau ikut orang, sudah lama PAS ini
terkubur. Sertai dan sokong PAS sebab hendakkan kepada Islam.
"Kita sudah lama tarbiyah ahli-ahli PAS bahawa jangan memuja pemimpin tetapi
menjunjung perjuangan Islam," kata bekas Timbalan Presiden PAS itu yang turut
merujuk beberapa kepimpinan yang keluar parti itu seperti Dato' Asri Muda dan Haji
Ahmad Fuad yang tidak sedikit pun menjejaskan PAS sehingga kini.
Kini Hassan, masih menyumbang buah fikiran dan pandangannya kepada PAS sebagai Ahli
Majlis Syura dan beliau masih lagi menyampaikan kuliahnya di Sabak Bernam serta
memenuhi pelbagai jemputan majlis-majlis agama dan ceramah.
Walaupun usia telah menjangkau 70an', Hassan masih kelihatan gagah dan berupaya
mengingati satu persatu sejarahnya bersama PAS dan wawancara yang berlangsung hampir
dua jam itu, terasa begitu singkat rasanya memandangkan kepetahan dan nada
selorohnya, membuatkan saya pegun dan asyik dengan kisah lamanya.
"Tulislah dan saya suka bila orang mahu tahu sejarah saya dan PAS.
"Bukan apa, setelah saya tiada nanti, apa yang anda tulis itu akan jadi satu
dokumentasi sejarah," katanya tersenyum semula.
Mengakhiri perbualan yang 'berlangsung' di kediamannya sendiri Jumaat, 2 Oktober
lalu, Hassan sempat menyuntik semangat kepada ahli-ahli PAS seluruh negara supaya
sentiasa mengukuhkan perjuangan dan menolak sama sekali fikiran jumud bahawa jika
bersama PAS, mereka akan menemui kesukaran dan kepayahan hidup.
"Percayalah...sesiapa yang memperjuangkan Islam, dia tidak akan susah. Mungkin tidak
kaya tetapi tidak ada yang susah atau tidak makan...Saya sendiri tidak pernah rasa
gaji besar tetapi kehidupan saya tidak susah dan alhamdulillah makin bertambah baik.
"Bagi pejuang Islam, apa jua cabaran dan dugaan akhirnya Allah akan tolong juga dan
bantu kita untuk teruskan kehidupan...," katanya sambil mecebiskan nasihat kepada
pemimpin agar sentiasa merapatkan saf antara satu sama lain termasuk dengan golongan
bawahan, supaya parti akan terus kukuh, disegani dan bertambah kuat di masa
mendatang."
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan