Rabu, 30 Jun 2010

Azmin tidak ghairah jadi MB

MB
Mohd Rashidi Hasan

 

Dipetik dari harakahdaily.

 

NAIB Presiden KeADILan, Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak tertentu bahawa beliau 'budak jahat' yang mahukan Menteri Besar Selangor,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan.

Tegas Azmin, beliau menyokong penuh Khalid sebagai MB Selangor dan sekarang ini bukan masanya untuk Khalid diarahkan meletakkan jawatan.

"Semasa diretreat (pemukiman) KeADILan, saya duduk di sebelah Tan Sri (Khalid), saya katakan dengan jelas kepada semua yang hadir, ya memang saya ada masalah
dengan Tan Sri, tetapi saya tidak sekali-kali mahu merampas jawatan beliau.

"Malah dengan jelas saya tawarkan kepada parti, saya sanggup melepaskan jawatan Adun Bukit Antarabangsa, supaya dengan itu tiada lagi spekulasi bahawa
saya mahu merebut jawatan MB," tegasnya.

Begitulah penegasan Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, kepada penulis ketika kami sembang-sembang di Parlimen, 29 Jun lepas.

Azmin jelas menunjukkan kekecewaan beliau, terhadap sesetengah pihak sama ada blogger dalam KeADILan dan pucuk kepimpinan tertentu yang sengaja 'mislead'
dan memperbesar-besarkan isu jawatan MB.

Menurut Azmin, sebagai Naib Presiden parti, suatu jawatan kanan yang disandang, beliau berhak untuk membuat teguran dan kritikan kepada mana-mana pihak,
khususnya pemegang-pemegang jawatan dalam kerajaan negeri.

"Yang saya mahu ialah mereka 'deliver' untuk kepentingan parti dan rakyat, bukan saya mengkritik kerana hendak merebut jawatan.

"Saya tidak gila kuasa, malah saya tegaskan kepada Ketua Umum (Dato' Seri Anwar Ibrahim), saya meletakkan jawatan sebagai Pengarah PKNS atas dasar prinsip,
saya tidak gila kuasa, saya tidak gila untuk jadi MB," katanya bersungguh-sungguh.

Merujuk kepada jawatan Pengerusi Perhubungan KeADILan Selangor, menurut Azmin, dalam retreat tersebut beliau dengan tegas menolak jawatan itu.

"Tetapi ini arahan Ketua Umum, arahan parti, saya akur walaupun berat hati saya hendak menerimanya," ujar beliau.

Masalah yang timbul di antara Azmin dengan Khalid digembar gemburkan oleh media, sebagai menunjukkan keretakan dalaman KeADILan yang serius.

Mahupun Azmin ataupun Khalid, tidak menafikan wujudnya perbezaan dalam isu-isu tertentu, tetapi ia hanya membabitkan perbezaan pendekatan, bagaimana yang
terbaik untuk memperkukuhkan imej Pakatan Rakyat di mata rakyat.

Keputusan yang dibuat oleh Anwar dengan mengkhususkan tugasan Khalid sebagai MB Selangor, Azmin sebagai pengerusi negeri dan pengerusi Wilayah Persekutuan
yang disandang Azmin kepada Dato' Zaid Ibrahim sebagai suatu penyelesaian yang terbaik.

Penganalisis berpendapat isu terbabit dapat diselesaikan dengan lunak dan masing-masing yang didakwa bertelagah, mempunyai tugas dan peranan khusus dan
seharusnya lebih fokus.

Dakwaan pertelagahan dalaman KeADILan ini menarik minat bekas MB Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo untuk memberi komen, kononnya ia bukanlah suatu penyelesaian
kerana dakwanya, KeADILan ada tiga nakhoda di negeri tersebut.

Khir mendakwa perjalanan parti dan kerajaan tidak dapat berjalan dengan baik kerana wujud individu yang berbeza atas jawatan utama di negeri.

"Buat apa kita hendak ikut Umno, memang kerja depa (mereka) kuasai pengerusi negeri dan kerajaan negeri. Ini pemusatan kuasa yang akan melahirkan diktator
sahaja," tegas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Mohd Yusof.

Tegasnya, dalam KeADILan tidak akan wujud diktator kerana mereka menjalankan pentadbiran secara pemuafakatan.

"Khir Toyo tidak payah pertikai Pakatan Rakyat, dia di Selangor pun banyak masalah dalaman Umno yang kelam-kelibut," ujarnya.

Isu ini juga menarik perhatian Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

"Apa masalahnya wujud perbezaan jawatan MB dengan pengerusi negeri? Dalam PAS pun semasa kita perintah Perak, MB Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin,
manakala Pengerusi Perhubungan PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang.

"Buat apa kita hendak mengikut cara Umno-BN?" ujarnya. Dengan tegas Ahli Parlimen Shah Alam itu mempertegaskan sokongan PAS untuk terus memperkukuhkan
kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Apa pun keadaan yang berlaku, nampaknya Umno-Barisan Nasional tidak akan henti-henti membuat serangan untuk menjatuhkan kredibiliti Pakatan Rakyat, khususnya
parti KeADILan.

KeADILan, khususnya yang menerajui Kerajaan Negeri Selangor, seharusnya berusaha mengelakkan isu-isu sebegini timbul kerana ianya amat merimaskan rakyat
yang menyokong kita.

Abdul Khalid harus lebih fokus dan mesti melaksanakan keputusan yang diarahkan parti, supaya kerajaan negeri ditadbir mengikut acuan Pakatan Rakyat.

Azmin harus lebih berhati-hati, supaya selepas ini sebarang tindakan dan kenyataan beliau, tidak dilihat sebagai suatu penentangan ke atas kepimpinan Khalid.

Dan, terutama sekali Anwar harus melihat isu-isu yang berlaku sebegini, boleh menggugat persepsi rakyat terhadap kepimpinannya, yang mungkin menjejaskan
peluang Pakatan Rakyat di peringkat Persekutuan.

Yang lebih penting, Anwar dan KeADILan sendiri, harus lebih sedar, bahawa banyak lagi 'peluru berpandu' akan dilepaskan Umno-BN menjelang PRU ke-13 nanti.

Kita seharus lebih berhati-hati, supaya hasrat kita untuk memerintah negara selepas PRU ke-13, menjadi realiti bukannya 'mimpi yang tak sudah'.

Sabtu, 26 Jun 2010

KISAH 40 ULAMA

"Niat inson matakaji semar ngising". Rasanya itulah yang dibaca oleh salah seorang dari 40 ulama yang menyertai UMNO malam tadi yang mungkin merupakan ketua mereka. Mungkin juga jampi yang dibaca oleh P. Ramli untuk membuka gua dalam filem Ali Baba Bujang Lapok itu telah dibaca oleh Ali Baba sehingga tebukanya pintu gua itu untuk ulama-ulama berkenaan masuk. cuma satulah, diharap para ulama itu tidak menjadi seperti Kasim Baba yang terlupa jampi berkenaan setelah melihat kemewahan kerana mana tahu satu masa nanti mereka terpaksa mencari jalan keluar supaya dapat mengelak dari menerima nasib seperti Kasim Baba. Sesungguhnya Anwar Ibrahim adalah Kasim Baba yang terlupa untuk mengingat jampi buka pintu gua itu di hari-hari akhirnya dalam UMNO.

Seandainya kemasukan 40 ulama yang dikatakan berpendidikan tinggi (di sana apakah ada ulama yang tidak berpendidikan tinggi) ditunjangi oleh keikhlasan dan kebaikan insya Allah natijahnya adalah kebaikan juga. Bagi kita umat Islam walau macam mana buruk pun UMNO mereka tetap Moslim dan Melayu dan kita terlalu mengharap kebaikan dari mereka. Moga kemasukan para ulama ini akan menberi sinar baru dalam perjuangan UMNO. Ini ditambah pula dengan status mereka yang dikatakan sebelum ini sebagai ulama berpendidikan tinggi.

Biar apa pun yang kita fikirkan berkenaan kemasukan ini, sebenarnya mereka telah pun ada ujian awal iaitu judi sukan yang telah mendapat banyak bantahan dari pelbagai pihak. Isu judi inilah yang akan menentukan sama ada para ulama ini benar-benar boleh berfungsi sebagai "pewaris nabi" atau hanya sekadar "syaitan bisu" atau "terompah buruk" di dalam UMNO. Masyarakat akan pasti menanti sejauh mana mereka mampu menjadi golongan yang boleh mempengaruhi Najib berbanding dengan institusi lain yang lebih tua seperti perhubungan UMNO negeri atau Pergerakan pemuda bagi membatalkan lesen judi sukan ini. Andai itu berlaku pasti ia adalah suatu suntikan baru bagi UMNO sekarang. Dalam masa terdekat ini, sekiranya judi sukan ini tidak dibatalkan maka lawan UMNO secara politiknya akan memperkecilkan para ulama ini yang seterusnya boleh mempengaruhi rakyat untuk lebih menolak UMNO dengan sentimen meminggir ulama.

Di pihak Najib pula, seharusnya di masa ini peluang harus diguna sebaiknya untuk membersihkan dirinya dari kejijikan lesen judi kelulusannya. Beliau dalam tempoh terdekat boleh membuat sidang media khas bersama para ulama berkenaan atau memnggunakan kesempatan menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-10 dengan berkata lebih kurang begini: "setelah berbincang dan mendapatkan pandangan dari ulama-ulama yang baru menyertai kita dalam UMNO, saya telah menbuat keputusan bahawa lesen judi dibatalkan. Pembatalan ini tidak ada kena-mengena dengan himpunan membantah judi yang dianjurkan oleh pihak pembangkang.". Dengan ini ia akan melonjakkan pandangan masyarakat terhadap para ulama berkenaan dan yang lebih penting lagi tanggapan orang Melayu terhadap UMNO. Setelah keadaan yang menguntungkan UMNO ini berlaku maka ketika itu kita pun boleh tahu apa yang akan berlaku kepada UMNO dan para ulama ini. UMNO akan meraih undi orang melayu sedang ulama-ulama itu akan jadi seperti biasanya kerana kalau dah UMNO tu UMNO juga lah. Sebab itu ada kewajarannya untuk ulama-ulama ini sentiasa mengingati jampi P. Ramli untuk membuka pintu gua itu bila masanya sampai nanti.

Saya juga akan menggunakan jampi tersebut tidak berapa lama lagi kerana ingin keluar dari guaa kecil yang saya masuk dulu kerana tak tahan dengan perangai penunggu gua tersebut.

KISAH ZAHID/LOKMAN, AZMAN/ZAKARIA DAN CIKGUNYA

Dua hari lepas, saya ada dimaklumkan oleh seorang kawan bahawa PERTIS ada memberi respon atas kritikansaya berkenaan Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS ke-15. Setelah mengunjungi posting tersebut yang kononnya menjelaskan apa yang saya kritik, saya mendapati ia hanya sekadar melepaskan batuk di tangga semata-mata. Saya ingin nyatakan di sini bahawa semua persoalan telahsaya kemukakan dengan penghujahan cetek saya kerana memburu publisiti murahan dan saya juga bukanlah seorang pemegang sarjana untuk bercakap dalam bentuk ilmiah menepati kehebatan cendikiawan yang dimiliki oleh penguasa "itu". Saya juga terlalu naif, hina dan lemah untuk memahami kandungan Perlembagaan PERTIS dan begitu bodoh sekali hingga hanya menilai sesuatu kerana bertindak atas khabar angin. Apa pun tahniah atas tulisan anda yang penuh dengan kematangan dan penuh dengan disiplin ilmu.

Walau apa pun PERTIS tetap melanggar perlembagaan bab iv, perkara 7, kurungan 5 kerana perlembagaan tidak bertolak ansur dalam perkara berkenaan. Sekali lagi ingin saya pertegaskan bahawa tiada satu peruntukan pun yang membolehkan PERTIS menangguhkan Mesyuarat Agung kecuali dengan kebenaran Mesyuarat Agung juga sebagaimana yang diperuntukan dalam Bab iv, perkara 7, kurungan 3. Itu sahaja penangguhan yang dibenarkan oleh perlembagaan.Kalau sekali dalam masa empat atau lima tahun mungkin boleh diterima tapi kalau dua kali dalam tempoh setahun "tepuk dada tanyalah iman masing-masing"

Gambaran ahli PERTIS, PERTIS dan Pendaftar pertubuhan ibarat cerita di bawah kerana itu yang dijelaskan dalam perlembagaan. Ahli PERTIS ibarat Azman/Zakaria, PERTIS ibarat Zahid/Lokman dan cikgu ibarat ROS.

Zahid/Lokman nak pergi ke Cameron Highland. Dia berkata dengan ayahnya, Azman/Zakaria, "Ayah saya nak pergi ke Cameron Highland. Cikgu dah benarkan." Zahid/Lokman pun pergi tanpa memperdulikan keizinan ayahnya. Apa perasaan Azman/Zakaria? Siapa yang patut Zahid/Lokman patuh, Azman/Zakaria atau gurunya?

Renungkanlah wahai pemimpin yang berkenaan. Di bawah diperturunkan tulisan PERTIS itu.

"Dalam tulisannya melalui blog http://www.anakkampungdelek.blogspot.com semalam, penulis blog berkenaan telah menggambarkan bahawa Jawatankuasa Pusat Persatuan
ini (PERTIS) seolah-olah telah melanggar Perlembagaan PERTIS apabila mengadakan mesyuarat agung tahunannya melepasi tarikh 30 Jun.

Memang benar, dalam Perlembagaan PERTIS, tarikh akhir untuk PERTIS mengadakan mesyuarat agung tahunannya ialah pada 30 Jun setiap tahun. Peruntukan ini
termaktub pada perkara 7 (5) Perlembagaan PERTIS.

Namun demikian, pihak Jawatankuasa Pusat, setelah berusaha keras, tidak dapat mencari tarikh yang sesuai untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya sebelum
30 Jun tahun ini. Ia disebabkan pelbagai halangan yang tidak dapat dielakkan.

Untuk mengatasi masalah di atas, Setiausaha Agung PERTIS, En. Abu Hassan Ashari Razak telah mengadakan perbincangan dengan pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS)
dan hasilnya, pihak ROS telah bersetuju untuk memberi kebenaran kepada PERTIS untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya melepasi tarikh 30 Jun untuk
tahun ini. Susulan daripada itu, pihak PERTIS telah menulis surat kepada ROS untuk mendapatkan kebenaran secara bertulis mengenai hal di atas. Secara lisan,
pihak ROS telah bersetuju memberikan kebenaran kepada PERTIS untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya untuk tahun ini melepasi tarikh 30 Jun.

Pengumuman dan notis mesyuarat agung tahunan PERTIS bagi tahun ini akan mula dikeluarkan seawal-awalnya pada minggu yang bertarikh 31 Mei nanti.

Kami memang mengalu-alukan sebarang komen, teguran, kritikan, cadangan atau apa sahaja ulasan yang boleh memajukan lagi persatuan yang masih bertatih ini.
Walau bagaimanapun, kami sangat-sangat mengharapkan semoga komen dan tulisan yang hendak disasarkan kepada Persatuan ini hendaklah dilakukan secara lebih
bertanggungjawab dan bukan sekadar untuk menggunakan PERTIS sebagai jalan mudah untuk mencari publisiti murah. Kami penuh yakin, penulis blog berkenaan
hanya mendengar khabar angin yang tidak rasmi dan tidak pun mengetahui secara terperinci mengenai penangguhan mesyuarat agung tahunan PERTIS untuk tahun
ini. Kami juga yakin, sumber penulisan penulis berkenaan sekadar Perlembagaan Persatuan dan juga khabar angin. Menurut Setiausaha Agung, penulis Blog berkenaan
juga tidak ada menghubungi beliau (Setiausaha Agung) untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai apa yang ditulis dalam blognya.

Walau bagaimanapun, kami di PERTIS tetap mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada penulis blog berkenaan kerana sikap prihatinnya kepada PERTIS."

Tutup tempayan budu kerajaan Hasanhusaini

Awal millenium, pasca kekalahan besar parti pemerintah di dua negeri Pantai Timur selepas ditiup gelombang reformasi, desas desus militan bakal mengamuk
timbul. Heboh diperkatakan di seluruh tanah air, dada-dada akhbar terpampang tajuk-tajuk dengan tulisan gemuk hitam. Sekolah Agama Rakyat (SAR) menjadi
mangsa tuduhan yang tidak berasas itu.

Tidak sedikit guru-guru dari SAR berpindah khemah mendaftarkan diri ke Kementerian Pelajaran Malaysia. Tidak sedikit juga jumlahnya pelajar yang sedang
khusyuk dilentur dan diasuh di bawah teduhan atap zink lusuh yang menjadi atap SAR dipindahkan ke sekolah kementerian oleh  ibu bapa yang melatah dengan
isu tersebut. Yayasan Islam Kelantan bagaikan lumpuh seketika. Gergasi pendidikan Kelantan, Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan juga merasai tempias
itu. Saya yang masih berada di pondok tahfiz juga tidak terkecuali. Sanak-saudara yang 'nipis akidahnya' mendesak ibu agar memindahkan sahaja saya dari
'pondok militan' ke sekolah kementerian.

Tangkapan ISA dikenakan kepada beberapa individu yang tidak berdosa. Kebanyakan mereka adalah pimpinan mahasiswa dan pelajar lepasan Timur Tengah. Ustaz
Nik Adli Nik Abdul Aziz adalah salah seorang mangsanya.

Itu kisah awal Millenium. Kisah selepas parti pemerintah terdesak dengan kekalahan besar di dua negeri. Kisah selepas gelombang reformasi menggegarkan kerusi
empuk memanda Perdana Menteri.

Kisah hari ini

Awal 2009, seorang MP Pakatan Rakyat mendedahkan adanya benih-benih idea dan pemikiran Israel dalam pentadbiran negara. Pembuktian dan pembongkaran bermula
dengan proses pembelian Jet Sukhoi, krisis helikopter Nuri, kapal selam dan beberapa lawatan pimpinan negara ke Amerika Syarikat serta pertemuan Menteri
Pertahanan Malaysia bersama Ehud Barak, pemimpin kerajaan haram Israel pada Jun 2009 di Perancis.

Hasil dari itu, satu gerakan besar-besaran dijalankan untuk membasuh [baca: menutup] tuduhan itu. Kursus-kursus seliaan kerajaan [parti kerajaan] pastinya
akan mendoktrinkan pemahaman yang tidak menyenangkan kepada para peserta. Saya teringat sebuah kursus yang saya hadiri di sebuah negeri Pantai Barat. Fasilitator
mencucuk jarum kebangsaan dan menayangkan klip-klip video 'kajian' yang membuktikan bahawa beberapa orang figur parti oposisi berkait langsung dengan Yahudi,
zionis, Israel serta Amerika.

Saya tak suka dicucuk hidung. Saya lebih suka mengkaji sendiri. Mencucuk hidung saya bermaksud mengajar saya untuk memusuhi anda!

Beberapa bulan kemudian, satu kenyataan yang mengejutkan semua pihak dibuat oleh MP PR tersebut. Malaysia telah melantik Israel melalui proksinya Apco Worldwide
melalui Ethos Consulting untuk memberi tunjuk ajar serta nasihat kepada kerajaan tentang perkara-perkara tertentu. Kenyataan itu seakan terbukti benar
apabila PM melancarkan slogan One Malaysia yang dikaitkan langsung dengan One Israel tidak lama sebelum itu. Selesai.

Sebulan yang lepas, 29 Mei 2010. Lebih sepuluh rakyat Malaysia ditahan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa selepas Kapal Mavi Marmara diserang
secara haram lagi zalim oleh tentera Israel. Beberapa hari kemudian, tangkapan kedua dibuat selepas Kapal Rachel Corrie ditahan dengan cara yang sama oleh
tentera Israel. Kedua-dua kapal tersebut sedang dalam perjalanan ke Pelabuhan Gaza bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Serangan dan penangkapan  itu mendapat kecaman hebat dari seluruh dunia. Malaysia agak malu-malu menyatakan kutukan. Amerika pula mengambil masa lebih 10
jam untuk menyatakan pendirian. Tak seperti negara-negara lain yang lebih awal menyatakan pendirian penentangan terhadap serangan tersebut. Lebih menjanggalkan,
kedua-dua kapal yang diserang dan ditawan serta dirampas Israel itu dinaiki sama oleh rakyat Malaysia!

Lebih menghairankan lagi, tidak sampai sebulan selepas serangan Israel ke atas Kapal Mavi Marmara dan Rachel Corrie, Malaysia mengisytiharkan perang ke
atas Jemaah Islam dan militan di Malaysia. Beberapa individu penting terlibat dengan tuduhan sembrono termasuk Dr. Asri, Dr. Juanda dan Tuan Guru Haji
Abdul Hadi Awang.

Saya berkira-kira, apakah tujuannya isu JI dan militan ini dibongkar semula secara besar-besaran? Dua jawapan bermain di kepala. Ia sama ada kerana mendapat
nasihat dari Israel melalui Apco mahupun Amerika disebabkan ketegasan sesetengah rakyat Malaysia dalam isu kezaliman Israel ke atas Gaza ataupun sebagai
penutup isu-isu besar yang sedang berlegar di minda rakyat Malaysia hari ini. Isu Apco, kerugian Felda, kerugian telaga blok M dan L, enjin jet, kapal
selam, rampasan royalti Kelantan, kewangan defisit negara, kezaliman polis serta judi bola dan pelbagai isu-isu lain. Justeru, jangan mudah tenggelam dengan
isu JI dan militan.

Namun, persoalan seterusnya timbul, siapa militan...? Siapa pula JI...? Militan dalam Kamus Dewan Bahasa ialah:

- Bersedia untuk berjuang.

- Bersemangat dan jati diri yang tinggi.

- Aktif dalam perjuangan.

Maka, saya juga ingin mengaku sebagai militan kerana saya bersemangat, saya sememangnya sentiasa aktif berjuang di dalam dakwah Islam dan saya mempunyai
jati diri yang tinggi. Saya juga ahli Jemaah Islam kerana saya adalah muslim yang tegar dengan syahadah dan aqidah. Saya thabat dengan Islam sebagai deen
dan perlembagaan hidup. Apakah saya juga akan ditangkap...?

Namun di sudut lain pula, andai skrip di awal millenium digunapakai pada hari ini, maka sasarannya adalah golongan agama. Sekolah agama, pelajar agama,
persatuan agama, guru agama dan institusi agama dan institusi ulama.

Maka, bersiap sedialah wahai golongan yang menjadikan Islam sebagai panduan hidup, anda mungkin termasuk dalam senarai JI atau militan di Kementerian Pertahanan
Malaysia.

Para pimpinan dan penggerak Pakatan Rakyat umumnya dan PAS khususnya perlu bersedia. Para pimpinan mahasisawa dan Persatuan Mahasiswa Islam di kampus-kampus
juga perlu berhati-hati. NGO-NGO Islam juga harus beringat-ingat. Pelajar-pelajar Timur Tengah juga tidak akan ketinggalan. Mesir, Syria, Jordan, Saudi,
Yaman dan yang sewaktu dengannya. Tidak kurang juga kepada rakan-rakan yang berorganisasi [militansi?] dengan cara Islam di negara-negara Eropah. Anda
semua mungkin sasaran Israel!!

Anda akan dijadikan penutup tempayan budu yang berulat kerajaan. Menutup isu-isu besar negara dari pandangan rakyat bawahan.

Hasanhusaini,

Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

 

Dipetik dari harakahdaily.

Ahad, 20 Jun 2010

PANTASNYA MASA

Dalam menjalani kehidupan harian bersama isteri dan anak-anak, menelusiri perjalanan harian yang lebih kurang sama setiap hari, menempuh permasalahan yang mendatang dan membuatkan kadang-kadang hilang tumpuan lantaran ujian darimasalah itu dan melihat rezeqi yang diturunkan oleh Allah dengan sifat Rahman dan Rahimnya kepada keluarga, diam tak diam, mahu tak mahu, kini, blog ini yang lahirnya kerana hasrat yang selama ini sukar untuk dipenuhi telah menjangkau satahun. Hari ini genaplah setahun usia dan saya amat berpuashati dengan kehadiran blog ini dalam hidup saya dengan izin Allah.

 

Sejarah awal saya mengenali blog adalah bermula dari hasrat ingin tahu beberapa perkembangan dan issu yang sukar dicari jawapan dalam media konvensional sedia ada seperti RTM, Media Prima dan akhbar-akhbar harian yang bersepah di dalam pasaran yang bagi saya sering menimbulkan hasrat untuk mencari kebenaran dan tidak pernah ditemui di dalamnya. Antara blog awal yang sering saya kunjungi dan sehingga kini menjadi kunjungan wajib bagi saya adalah Roslan SMS Corner, MSO Melayu, Datuk A. Kadir Jassin, Nubisha dan beberapa lagi. Roslan SMS Corner adalah blog pertama yang saya kunjungi dan blognya telah benar-benar membuat saya ingin berblog sama.

 

Kini, setelah setahun saya berblog, saya benar-benar mendapat kepuasan dalam meluahkan apa-apa yang terpendam dan terbuku dalam benak untuk kepentingan bersama. Sekali pun apa yang saya tulis tidak disenangi oleh orang-orang tertentu namun itu adalah lumrah biasa kerana tiada kesempurnaan dari yang menulis atau yang menbaca. Selama mana saya tidak menyerang peribadi individu tertentu dan tulisan-tulisan berkenaan  adalah datangnya berdasarkan pengalaman dan pemerhatian yang di dalamnya saya cuba letakkan keikhlasan maka di situlah nilai yang ada yang saya yakin perlu untuk saya teruskan.

 

Di sini, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi mengunjungi blog yang tidak seberapa ini dan terima kasih juga di atas teguran-teguran yang anda berikan. Insya Allah saya akan terus menulis berdasarkan apa yang saya rasa nak tulis kerana blog ini adalah milik peribadi saya yang kandungannya saya izinkan untuk dikongsi bersama. Sebarang ketidakpuasan bolehlah diluahkan di dalam ruangan komen yang memang saya benarkan dan kalau boleh janganlah menumpang kekuatan orang lain untuk memperkecilkan pandangan saya. Gunakanlah kekuatan anda sendiri yang dikurniakan oleh Allah kerana sifat sedemikian sama seperti Orang-orang Israel yang berani berhadapan dengan Palastin hanya bila berada dibelakang kereta kebal dan perisai sahaja. Saya bukanlah oran hebat seperti anda kerana anda dan anda memiliki kehebatan yang tak sepatutnya pengecut kerana anda boleh menggunakan kelebihan akedemik sama ada bergelar sarjana muda, sarjana sejarah dalam bidang sejarah yang mengkaji khusus berkenaan sejarah perhutanan.Anda hebat sedang saya kerdil. Inilah kemuncak kepada penghinaan terhadap hak saya sedang sedikit pun saya tidak pernah dan tidak berhasrat untuk menyerang mana-mana peribadi dalam tulisan saya. Hanya menuntut hak penjelasan secara perlembagaan maka saya telah dilayan dengan cara yang cukup profesional, akademik, ilmiah dan jelas melambangkan keunggulan ilmu dan kehebatan ilmuwan berkenaan dan individu berkenaan wajar untuk diangkat ke  persada kuasa agar menerima yang terbaik dari kekuasaan Allah. Sesungguhnya andai saya yang tersilap sehingga saya dihina sedemikian maka saya memohon keampunan dari allah tetapi seandainya ia semata-mata bertujuan untuk memalukan saya kerana dengki dan dendam, saya berda agar Allah akan memalukannya sebelum dia menemui ajalnya.

 

Demikianlah secebis pengalaman pahit yang saya alami dalam berblog ini dan moga ia akan memberi pengajaran kepada semua. Ingatlah, yang kelihatan hebat tidak semestinya hebat tetapi hakikatnya kehebatan itu datangnya dari Allah.

Jumaat, 18 Jun 2010

Terkenang 10/06/15: Ustaz Hasan arkitek tak bertauliah

Subky Latif   

ALMARHUM Dato  Fadzil Noor selalu menyifatkan Ustaz Hassan Shukri sebagai akitek tak bertauliah. Dan Almarhum Ustaz Hassan Shukri menerimanya dengan senyum
dan senang hati atas jolokan akitek  tak bertauliah itu kerana ia satu penghormatan kepada kebolehnannya membina bangunan yang ada hubungan kegiatannya.

Mithalnya Surau Tarbiyah di Taman Melewar, Batu Caves Kuala Lumpur. Surau yang dibina kerajaan itu diberi nama Surau Tarbiyah dipercaya dia yang memberi
namanya.

Nama Tarbiyah yang bermaksud pendidikan itu sangat dekat di hatinya. Apabila dia membina markaz PAS juga di Taman Melewar, lalu dinamakannya Martaz Tarbiyah
PAS Pusat pula.

Semasa dia menjadi Setiausaha Agung PAS di bawah pimpinan Haji Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor digalakkannya negeri dan kawasan PAS membina Markaz Tarbiyah
masing sebagai pusat pentadbiran parti dan sekali gus menjadi musalla.

Surau Tarbiyah tadi dibina mengikut pelan disediakan kerajaan. Selama lebih 30 tahun dia jadi pengurusi surau itu macam-macam pindaan dan tambahan pada
bangunan itu. Kebanyakan penyesuaian itu adalah mengikut reka ciptanya.

Ketika PAS di Wilayah Persekutuan dan PAS Pusat sukar untuk mendapatkan tempat untuk berbagai perhimpunan, Hassan Shukri, bekas Setiausasha Agung dan bekas
Timbalan Presiden PAS yang meninggal tengah hari 14 Jun 2004 lalu telah membelikan satu lot tanah untuk PAS Terengganu di sempadan Selangor di Taman Melewar
sebagai tapak rumah bagi pemimpin-pemimpin Terengganu yang selalu datang ke Kuala Lumpur.

Tetapi PAS Terengganu membiarkan saja tapak yang bersebelahan dengan rumah Ustaz itu. Saya selalu menganjurkan ceramah – kadang-kadang tiap-tiap minggu
di rumah Ustaz Hassan. Dia tidak pernah menolak. Tetapi bila ceramah berakhir pukul 12 malam, isterinya terpaksa mengemas rumah hingga pukul 2 pagi.

Ia mengganggu anak-anaknya yang masih kecil hendak bersekolah esoknya. Lalu saya berpakat dengan PAS Taman Melewar untuk memanfaatkan tanah PAS Terengganu
bagi mengadakan ceramah. Kami cadang untuk membinanya seperti kandang, memadai ada bumbung dan dinding ikut keadaan kerana ia tanah orang Terengganu. Ia
boleh mengambil tapak itu bila ia rasa ia mahu bina rumah.

Bila Ustaz Hassan mendengar cadangan itu dia pun mencadangkan supaya dibina Markaz Tarbiyah. Pelan asal  markaz itu digarisnya di atas tanah saja di depan
tukang dari Indonesia dan pelajar-pelajar lulusan kejuruteraan yang tinggal di sekitar kawasan itu.

Dari garis di atas tanah itu mereka mendirikan rangka bangunan. Bila terdiri tiang, ada pula yang menghantar pasir, simen, besi, kayu dan lain-lian. Kami
tidak banyak mengeluar modal. Ada orang datang untuk memberi belanja siling, ada yang menyumbangkan pintu dan  tingkap.

Dari semasa ke semasa Uztaz Hassan mengarahkan pelajar dan tukang-tukang itu buat begitu dan begini.

Bila siap bangunan itu ada pula lot-lot sebelah dan di belakang bangunan hendak dijual. Ustaz Hassan beli dan sambung pula markaz itu di lot yang baru
dibeli itu.

Sejak pertengahan tahun 1980an hingga tahun 2000 markaz itu bertambah besar dari semasa ke semasa kerana orang-orang di situ sedia pula menjual  tanahnya
pada Ustaz Hassan. Ustaz Hassan beli  lot-lot itu untuk PAS.

Setiap kali lot baru dibeli, Ustaz Hassan membentang pelan tambahan baru bangunan. Ustaz Fadzil yang tidak pernah membantah cadangannya menyerahkan saja
kepada budibicara akitek tak bertauliah itu.

Daripada sebuah bangunan dua tingkat asalnya, ia menjadi sebuah komplek yang ada dewan, bilik mesyuarat, pejabat pentadbiran, bilik solat bahkan ada pula
tempat orang menumpang bermalam. Rombongan bas dari Kedah dan Kelantan selalu singgah bermalam di situ.

Semua reka bentuk komplek itu hasil ciptaan Ustaz Hassan sendiri.

Dia tidak pernah belajar ilmu pertukangan. Dia adalah seorang lulusan agama. Tetapi dia minat dengan mereka bentuk rumah atau bangunan menjadikan dia tahu
teknik-teknik pertukangan.

Markaz Tarbiyah PAS itu adalah karya seninya.

Sejak terbinanya Markaz Tarbiyah itu PAS tidak sukar lagi mengadakan  Mukktamar. Sebelumnya PAS menyewa di Dewan Bahasa untuk bermuktamar. Kadang-kadang
muktamar terpaksa ditunda kerana kerajaan hendak menggunakan dewannya. Acap tempahan dibatalkan. Mungkin ia satu cara kerajaan membuli PAS.

Selepas markaz itu didirikan PAS bebas mengadakan berbagai kegiatan. Parti-parti yang bersekutu dengan PAS selalu memanfaatkannya.

Beberapa tahun lalu Pejabat Agung PAS berpindah ke Jalan Raja Laut di pusat bandar Kuala Lumpur. Markaz Tarbiyah tidak lagi jadi tempat pentadbiran. Ia
digunakan untuk kegiatan lain.

Sekarang markaz itu sedang dirombak untuk dijadikan kampus bagi kolej universiti Prof. Zuklifli Mohamad. Struktur bangunan itu dikekalkan tetapi renovasinya
banyak mengubah bentuk seni rekaan Ustaz Hassan Shukri itu.

Kata Ustaz Hassan pada saya kalau sebahagian  dari peralatan lama dikekalkan, banyak perbelanjaan dapat diselamatkan. Kalau peruntukannya katakannya satu
juta ssetengah, separuh daripadanya boleh diselamatkan untuk mentadbiran kolej itu nanti.

Akitek tak bertauliah itu memerhatikan saja pembinaan semula bangunan itu. Sebulan   dua lagi mungkin dapat disiapkan. Tetapi dia tidak sempat menyaksikan
bangunan itu disiapkan bagi fungsinya yang baru dan tidak dinamakan Markaz Tarbiyah lagi kerana secara mengejut dia dipanggil pulang ke Rahmatullah.

Tetapi dalam masa 25 tahun terakhir ini dia bolehlah dikira bapa pembinaan markaz tarbiyah, bukan saja bagi Markaz Tarbiyah PAS Pusat yang terseregam itu
tetapi markaz tarbiyah tumbuh di merata tempat untuk memberi laluan kepada umat mengembangkan agama Allah. 

Selasa, 15 Jun 2010

SYUHADA' MV MARMARA

Di bawah ini disenaraikan nama-nama mereka yang syahid dalam kapal mv Marmara 31 mei 2010 yang lalu demi menghantar bantuan ke Ghaza yang sekaligus telah mengantar rakyat Malaysia ke penjara Israel.

1. Ibrahim Bilgen, 61, seorang jurutera elektrik dari Siirt, Turki. Ahli Chamber of Electrical Engineers di Turki, berkahwin dan mempunyai enam orang anak.

2. Ali Haydar Bengi, 39, dari Diyarbakir. Graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Telah berkahwin dan mempunyai empat cahaya mata.

3. Cevdet Kiliçlar, 38, Seorang wartawan dari Kayseri, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai dua orang putera.

4. Çetin Topçuoglu, 54, dari Adana, Turki. Pemain bola amatur dan jurulatih taekwondo yang melatih atlet taekwondo Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang
cahaya mata.

5. Necdet Yildirim, 32, dari Malatya, Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

6. Fahri Yaldiz, 43, seorang ahli bomba di Adiyaman, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.

7. Cengiz Songür, 47, dari Izmir, Turki. Berkahwin dan mempunyai tujuh orang anak.

8. Cengiz Akyüz, 41, dari Iskenderun, Turki. Berkahwin dan mempunyai anak berusia 14, 12 dan 9 tahun.

9. Furkan Dogan, 19, as-syahid termuda dalam kalangan yang syahid, merupakan pelajar Kayseri High School. Anak kepada Dr. Ahmet Dogan, seorang professor
di Erciyes University. Warganegara Turki-Amerika dan mempunyai dua adik beradik. 

APA KENA DENGAN NALA KARUPAN

Sebentar tadi saya mengikuti siaran berita Astro Awani yang menyiarkan berita berkenaan judi bolasepak yang sedang hangat dijadikan bahan untuk menyerang UMNO sekarang. Sebenarnya bukan salah orang lain, salah UMNO-BN sendiri, dah tahu pembangkang cukup kuat di parlimen, yang pergi bagi lesen judi tu kenapa?

Dalam berita yang saya ikuti tadi Nala Karupan menyatakan bahawa Datuk Sri Anwar Ibrahim tidak layak membantah lesen judi bola yang dikeluarkan oleh kerajaan sekarang kerana semasa beliau berada dalam kerajaan beliaulah yang bertanggung jawab meluluskan judi kepada MAGNUM. Menurut Nala Karupan lagi Datuk Sri Anwar memberi lesen judi berkenaan pada masa itu kerana Datuk P. K. Lim dan beliau sendiri adalah kawan baik dan kawan tenis Datuk Sri Anwar. Tindakan Datuk Sri Anwar sekarang adalah kerana ingin mendapatkan sokongan politik dari orang ramai yang kononya telah hilang.

Persoalannya, apakah tujuan Nala Karupan membuat kenyataan sedemikian sekarang? Pada saya ada dua perkara di sini iaitu untuk menghilangkan kredibeliti Anwar sekaligus menaikkan Najib. Yang kedua, kenyataan ini jelas menunjukkan Nala ini memang kawan yang tak guna. Kalau betul dia kawan baik Anwar, dia tentu tidak akan memburukkan Anwar walau apa keadaan sekali pun sama ada ketika mesra atau ketika renggang. Sebaliknya Nala berkawan dengan Anwar hanya inginkan keuntungan hasil judi.

Adakah dalam UMNO-BN Apabila seseorang itu pernah atau telah melakukan keburukan di masa silam lantas hilang kelayakannya untuk membuat teguran pada hari ini. Kalau begitulah hujahnya maka Najib tak layak bercakap soal 1 Malaysia kerana ayahnya yang melaksanakan Dasar Ekonomi Baru. Najib juga tak layak bercakap soal pendidikan tinggi dalam negara ini kerana beliau mengaji di LONDON bukan di Kuala Lumpur. Tun Mahathir juga tak layak bercakap tentang Palastin kerana beliaulah melalui mahkamah telah menangkap danmemenjara Ketua Pemuda PAS dan naib Ketua pemuda PAS hanya kerana membantah kehadiran pasukan kriket Israel.

Seingat saya waktu Anwar mengeluarkan lesen judi tersebut PAS di bawah kepimpinan Datuk Fadhil cukup kuat membantahnya.

Isnin, 14 Jun 2010

HASSAN SHUKRI DALAM KENANGAN

Hari ini kira-kira 2 petang, Ustaz Hassan Shukri, bekas timbalan Presiden PAS telah kembali meninggalkan kita semua. Beliau telah pergi dengan timbunan jasa kepada umat Islam dan perginya juga adalah pergi seorang pejuang. Rupanya Muktamar PAS ke-56 adalah muktamar terakhir buat beliau dan beliau pergi sebaik saja berakhirnya muktamar. Di bawah ini dititipkan secebis kisah Ustaz Hassan yang ada dalam simpanan saya. Moga bingkisan ini akan dapat menambahkan iltizam kita dalam perjuangan memartabatkan Islam di bumi Allah ini.

"Hassan, dikenang pejuang terbilang
Oleh Azamin Amin
Belum sempat pun pejuang-pejuang Sungai Manik tiba di Kuala Selangor untuk turun
'bermandi darah' di Kuala Lumpur, dia sudah terpacul tegap menantikan kedatangan
mereka. Dan ketika berdiri di jeti Feri Kuala Selangor dengan badan tegap laksana
panglima, dia secara tenang meminta para pejuang itu pulang semula ke Perak.
Niatnya hanya satu, mengelakkan lebih banyak nyawa yang terbunuh dan tidak mahu
Sungai Klang bertukar merah. Tanpa perlu berpencak, atau menghunus sunding yang
tersisip di pinggangnya,dia bersuara penuh tertib dan tegas gayanya.
Tidak ada satu biji mata pun melainkan dia, yang mampu berdepan para pejuang yang
digeruni itu. Bimbang suasana akan lebih kecamuk Pengerusi Majlis Gerakan Negara
ketika tragedi 13 Mei1969, Allahyarham Tun Abdul Razak secara peribadi meminta dia
menahan pendekar-pendekar dari kumpulan ''parang terbang dan selempang merah' untuk
mara ke ibu kota.
Dek kerana menghormati ayahnya yang pernah terlibat dan bertempur dalam beberapa
siri dengan peperangan di Sungai Manik pada zaman dulu, para pejuang yang sedang
mengelodak jiwa dan amarah itu akhirnya akur dengan permintaannya lalu kembali ke
kampung halaman masing-masing.
Namanya cukup tersohor dan hebat di mata kawan dan lawan. Malah ketika negara
dilanda krisis Tun Razak sendiri menghubunginya setiap hari . Sehari kadang-kadang
sampai dua kali!
Kini nama Hassan Shukri yang selalu meniti dibibir pejuang dan penyokong PAS selama
ini agak kelam dan menyepi. Entah mengapa, bekas Timbalan Presiden PAS yang juga
antara pejuang terawal parti tertua di Malaysia ini umpama membawa diri. Namun
rajuknya tidak kemana kerana batang tubuhnya masih sebati dengan perjuangan ini.
Hassan Shukri yang dipanggil 'Ustaz' masih dekat di hati kebanyakan ahli PAS malah
kelibat beliau sering kelihatan, sekiranya ada acara rasmi dan majlis ilmu yang
dianjurkan di Markas PAS Taman Melewar, Gombak. Kadang-kadang tanpa segan, beliau
menebas dan mencangkul di depan Markas walaupun para pemimpin dan ahli PAS sedang
menyertai aktiviti di situ.
Baginya kerja-kerja kebun dan kampung sudah berakar umbi di benaknya apatah lagi
kediaman dan lamannya pula bersebelahan markas itu. Markas yang dahulunya dikenali
sebagai 'Headquartes' pejabat PAS dan Pusat Tarbiyah sebelum berpindah ke Jalan Raja
Laut Kuala Lumpur begitu sinonim dengan Hassan Shukri.
Masakan tidak idea penubuhan Markas itu, datang dari hati nurani ikhlasnya. Bermula
dengan modal RM20,000 beliau membeli sebidang tanah di situ, sebagai tapak awal
untuk membina Markas. Kemudian beliau berbincang pula dengan Yang Dipertua PAS
Allahyarham Yusuf Rawa, Pesuruhjaya PAS Perlis Ustaz Hashim Jasin dan Ustaz Nakhaei
untuk mereka sama-sama membeli tanah dengan harga sekitar RM26,000 bagi meluaskan
kawasan Markas sekitar tahun 1982.
Selain menerima sumbangan wang, Markas itu turut didirikan secara bergotong royong
pada peringkat awalnya. Kemudian dengan kebijaksanaan Hassan, beliau mengarahkan
setiap satu cawangan PAS menyiapkan satu tiang bangunan tanpa menggunakan jengkaut
untuk menggali lubang tapak asas.
Semenjak itu, Markas PAS Taman Melewar telah menjadi tempat persinggahan atau
bermalam paling murah di Kuala Lumpur kepada orang ramai yang mahu melancong atau
berurusan di ibu kota malah hari minggu atau cuti sekolah, banyak bas persiaran
serta bas sekolah singgah dan memenuhi laman markas itu.
Lebih menarik ianya menjadi persinggahan paling penting kepada rombongan haji
sebelum melapor diri di Lapangan Antarabangsa Subang sebelum wujudnya KLIA dan Pusat
transit Tabung Haji Kelana Jaya.
Cetusan idea Hassan itu kemudiannya menjadi buah mulut orang dan menjadikan PAS
terkenal di pelusuk negara. Ya, Hassan dikenali sebagai tokoh yang membangunkan
Markas PAS dan ramai yang tidak tahu, beliau adalah individu penting di sebalik
perlembagaan PAS dan merupakan 'buku undang-undang PAS' yang masih hidup serta
sentiasa menjadi rujukan.
Menceritakan kisah penyertaannya secara tidak rasmi dengan PAS sewaktu berusia 14
tahun pada 1951; Hassan memberitahu tindakannya itu didorong oleh satu peristiwa
unik yang mencetuskan semangatnya untuk mendekati PAS.
"Sebabnya ialah loteri kebajikan yang saya terima daripada guru saya dan saya bawa
pulang ke rumah.
"Akhirnya saya dimarahi dan dihamun oleh ayah saya...disebabkan itu, saya mula
berjinak-jinak dengan mengikuti aktiviti PAS di kampung dan mula menyertai secara
aktif pada tahun 1951," ujarnya penuh semangat.
Hassan yang memegang nombor keahlian PAS 12,016 itu kemudiannya diberi peluang untuk
bertanding di kawasan Parlimen Sabak Bernam pada pilihan raya umum tahun 1969.
Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ialah usaha memujuk, mengugut,
ancaman dan merasuah beliau untuk tidak bertanding, namun ditolak mentah Hassan
dengan memberi kata dua yang cukup meninggalkan bekas kepada pencabar dan lawan
politiknya.
"Saya katakan kepada mereka, kalau nak masukkan guni, cubalah...!" katanya tegas
laksana pahlawan yang bermaksud seolah-olah 'jangan mencari pasal' dengan beliau.
Sambil turut mengimbau kembali kejadian ceramahnya di Sabak Bernam didatangi oleh
beberapa orang berketurunan Jawa Penegoro seraya menghayunkan senjata parang.
Kebetulan kawannya Hassan Adli boleh berbahasa Jawa, maka orang-orang yang berparang
itu, akhirnya 'ditumpaskan' hanya melalui kata-kata berbisa, jelasnya.
Hassan juga menceritakan bagaimana musuh politiknya berusaha menjatuh maruah dan
nama baiknya dengan cuba memerangkap beliau dengan dua orang wanita yang tidak
dikenali di Kampung Parit, Sabak Bernam. Dengan kecekapan perisik-perisik PAS,
beliau dinasihatkan untuk tidak memberhentikan keretanya suatau malam jika diminta
oleh dua wanita terbabit.
"Malam itu di tepi hutan jalan, sudah siap kamera dan beberapa jurugambar mahu
memerangkap jika saya memberhentikan kereta untuk ditumpangi oleh dua wanita itu,"
katanya sambil menasihati bahawa insiden dan taktik musuh itu, masih diguna pakai
sehingga sekarang.
Oleh sebab itulah, setiap kali bermesyuarat di Pejabat Agung PAS Pusat di Jalan Raja
Laut, berdekatan Lorong Haji Taib itu, Hassan tidak pernah menggunakan jalan
belakang bangunan PAS itu, kerana bimbang 'diperangkap' oleh kamera-kamera musuh
yang cuba mengaitkannya dengan penghuni atau pekerja seks loromg hitam itu.
"Saya selalu menasihati beberapa pimpinan PAS untuk berhati-hati berjalan di lorong
belakang itu bagi mengelakkan fitnah dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tidak
bertanggungjawab," katanya tersenyum.
Setelah tewas dalam pilihan raya itu, beliau kemudiannya menunaikan haji di Makkah
dan kisah perjalanannya menuju tanah suci itu, penuh liku-liku dan peristiwa indah
yang tidak upaya diluahkan meandanga masa yang terbatas. Memadai katanya, perjalanan
itu memakan masa 6 bulan 3 hari!
"Dari Pulau Pinang naik kapal laut. Sampai di Madras, kami terus menggunakan jalan
darat untuk ke Makkah.
Dalam perjalanan ke sana, saya sempat menubuhkan Persatuan Melayu Iraq di Bagdad
dan setelah menunaikan haji, saya mengahwini isteri tercinta dan dikurniakan 6 orang
anak," katanya bangga dengan pencapaian anak-anaknya itu, meskipun beliau bukanlah
seorang yang berharta.
Hassan yang juga pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung PAS di bawah tiga orang
Presiden PAS iaitu Dato' Asri Muda, Ustaz Yusof Rawa dan Almarhum Ustaz Fadhil Noor
kemudiannya merakamkan semula detik-detik manis selama berada dalam perjuangan PAS
ini seraya menceritkan beberapa kisah mencuit hati yang tidak dapat dilupakannnya.
Antaranya beliau terpaksa mengendong atau mengangkut pembesar suara (speaker) sejauh
empat batu menggunakan basikal manakala ada perwakilan yang jatuh ke gaung dalam
perjalannan ke muktamar PAS tapi tidak mengalami kecederaan.
"Saya pernah merasa pengalaman tidur di Balai Raya Dato' Keramat. Ahli-ahli di situ
menyediakan segala kelengkapan seperti bantal, tilam dan selimut untuk para
perwakilan dan ahli PAS yang menyertai muktamar ketika itu," katanya lagi
Pada sekitar tahun 50-an, muktamar pada ketika itu namanya lebih awal dikenali
sebagai kongress dan ditukarkan supaya ianya tidak menyamai dengan parti-parti lain
pada masa itu.
Bezanya dahulu, apabila muktamar berlangsung, semua perwakilan dan ahli-ahli yang
datang menumpang teduh di merata-rata sekitar madrasah, pondok-pondok agama, balai
raya berhampiran dan juga rumah-rumah ahli yang secara sukarela menjadikan rumah
mereka sebagai tempat tumpangan.
Beliau dalam masa sama menasihati supaya pemimpin dan ahli melahirkan semangat
persatuan dan berpasukan di samping kerjasama yang mantap dan ada peningkatan dalam
soal pemikiran dan kerja di semua peringkat.
"Apa jua kekuatan adalah kesatuan dan sahabat-sahabat (ahli-ahli PAS) kena tahu
'style'.Kena faham cara orang kampung bekerja berbeza dan tidak sama dengan orang
Shah Alam (bandar) bekerja.
"Tulis khutbah pun kena beza. Takkan nak baca yang sama. Begitu juga pendekatan, ada
yang berhemah, tegas dan adakalanya secara berseloroh," katanya lagi
Beliau menasihati pemimpin PAS atasan atau pertengahan, mesti mengetahui serba
sedikit suasana dan keadaan masyarakat di Malaysia dan menambah di Nusantara
terdapat 6,832 suku seperti Jawa, Mandeling, Banjar dan lain-lain yang berjaya
disatukan melalui Islam.
"Jangan lupa turun padang dan dekati orang bawahan akar umbi ini. Mereka ini kita
sapa dan senyum cukup besar hati dah..." kata Hassan yang juga bekas Senator.
Selain itu, Hassan sebagai orang lama dalam PAS, menyarankan segala masalah atau
perselisihan pendapat antara pimpinan-pimpinan PAS disuarakan melalui syura atau
mesyuarat dan perbincangan agar ianya tidak dipergunakan oleh musuh untuk
melaga-lagakan antara satu sama lain.
"Dengan cara itu tidaklah keluar kenyatan yang bercanggah. Kenapa media memainkan
isu tertentu, supaya orang Cina dan India berhenti menyokong PAS...itu saja. Jadi
jangan biarkan kita terdedah dengan perkara macam itu," katanya ketika diminta
pandangan berhubung isu-isu semasa.
"Malah masuk PAS bukan kerana ikut orang, kalau ikut orang, sudah lama PAS ini
terkubur. Sertai dan sokong PAS sebab hendakkan kepada Islam.
"Kita sudah lama tarbiyah ahli-ahli PAS bahawa jangan memuja pemimpin tetapi
menjunjung perjuangan Islam," kata bekas Timbalan Presiden PAS itu yang turut
merujuk beberapa kepimpinan yang keluar parti itu seperti Dato' Asri Muda dan Haji
Ahmad Fuad yang tidak sedikit pun menjejaskan PAS sehingga kini.


Kini Hassan, masih menyumbang buah fikiran dan pandangannya kepada PAS sebagai Ahli
Majlis Syura dan beliau masih lagi menyampaikan kuliahnya di Sabak Bernam serta
memenuhi pelbagai jemputan majlis-majlis agama dan ceramah.
Walaupun usia telah menjangkau 70an', Hassan masih kelihatan gagah dan berupaya
mengingati satu persatu sejarahnya bersama PAS dan wawancara yang berlangsung hampir
dua jam itu, terasa begitu singkat rasanya memandangkan kepetahan dan nada
selorohnya, membuatkan saya pegun dan asyik dengan kisah lamanya.
"Tulislah dan saya suka bila orang mahu tahu sejarah saya dan PAS.
"Bukan apa, setelah saya tiada nanti, apa yang anda tulis itu akan jadi satu
dokumentasi sejarah," katanya tersenyum semula.
Mengakhiri perbualan yang 'berlangsung' di kediamannya sendiri Jumaat, 2 Oktober
lalu, Hassan sempat menyuntik semangat kepada ahli-ahli PAS seluruh negara supaya
sentiasa mengukuhkan perjuangan dan menolak sama sekali fikiran jumud bahawa jika
bersama PAS, mereka akan menemui kesukaran dan kepayahan hidup.
"Percayalah...sesiapa yang memperjuangkan Islam, dia tidak akan susah. Mungkin tidak
kaya tetapi tidak ada yang susah atau tidak makan...Saya sendiri tidak pernah rasa
gaji besar tetapi kehidupan saya tidak susah dan alhamdulillah makin bertambah baik.
"Bagi pejuang Islam, apa jua cabaran dan dugaan akhirnya Allah akan tolong juga dan
bantu kita untuk teruskan kehidupan...," katanya sambil mecebiskan nasihat kepada
pemimpin agar sentiasa merapatkan saf antara satu sama lain termasuk dengan golongan
bawahan, supaya parti akan terus kukuh, disegani dan bertambah kuat di masa
mendatang."

Ahad, 13 Jun 2010

KISAH TERUNA, DRA DAN JANDA 3

Petang itu putera bersiar-siar di hujung kampung melihat keindahan sinaran mentari di ufuk barat yang jatuh di hujung pepohon nipah di tepi sungai. Menjelang senja dia berjalan pulang ke rumah. Lantaran dahaga, dia singgah sebentar di warong Madu.

Warung Madu memang terkenal pada orang kampung. Jualannya yang menyelerakan membuat orang kampung sering berkunjung ke situ buat menjamu selera. Tanpa mengira untuk makan pagi, makan tengah hari, minum petang atau makan malam, warung Madu memang tumpuannya. Keramahan Madu juga punca kenapa ramai orang berkunjung ke sana dan kadang-kadang membimbangkan gulongan suri di kampung itu.

Sebaik sampai ke warung itu, Putera terus menyapa Madu dan meminta makanan dan minuman yang digemari iaitu lepat pisang dan teh panas. Sambil menunggu minumannya siap Putera duduk di salah satu sudut yang agak terpencil dari pandangan umum. Tak tahulah kenapa Putera memilih tempat itu namun dia duduk dan merenung Madu dengan penuh tumpuan tapi fikirannnya tidak pada Madu. Ingatannya menarawang jauh kepada nasib keluarganya.

Sedang dia termenung itu, tiba-tiba bahunya ditepuk dan terdengar olehnya suara:

"Minat kat Madu ke?" Kata suara itu.

"Tong Kat! ingat sapa tadi" toleh Putera sambil menegurnya, Long Tong Kat sahabat sekampungnya.

"Duduklah, minum sekali." ajak Putera.

"Engkau tak pelawa pun memang aku nak duduk." Jawab Long Tong Kat.

"Aku ada benda nak bagi tahu engkau." Kata Long Tong Kat lagi.

"Apa dia?" tanya Putera hairan.

Long Tongkat ingin memberitahu kepada Putera tentang apa yang berlaku dalam majlis kenduri rumahnya yang sebenarnya berjiran dengan rumah Putera. Semasa kenduri itu memang Putera tak dijemput. Isteri Putera yang merupakan ahli keluarga rumah Long Tong Kat pun tidak menghadirinya. Jadi, dia pun tak berapa tahu tentang kenduri tersebut dan merasa tak nak bertanya sangat tentang majlis kenduri orang. Namun bagi Long Tong Kat Putera harus tahu apa yang berlaku kerana orang-orang yang hadir dalam kenduri tersebut banyak bercakap tentang keluarganya.

Mengikut Long Tong Kat, ramai di kalangan ahli keluarganya bercakap tentang rumah Putera.

"Dia orang bercakap macam-macam tentang keluarga engkau. Pasal duit, Pasal kenduri dan pasal ayah engkau yang nak kahwin dengan Janda tu."

"Boleh dikatakan mereka memang rancak bercakap walau pun majlis sedang berjalan." Sambungnya lagi.

"entahlah Tong Kat, aku pun tak tahu nak kata apa. Kami sekeluarga memang sedih tapi apa nak buat. dah itu kehendaknya. Mungkin terpaksa kami relakan saja."

"tak kan tak ada yang tegur?" Tanya Long Tong Kat.

"aku pun tak tahu. Pak Ngah dan Pak lang engkau tahu jelah. Tambah Putera.

"ya lah, aku pun tahu mereka. Sahabat ada cerita tentang dia oran. Kita pun susah nak yakinkan kawan-kawan kerana hormat mereka pada pak ngah engkau tu." Kata Long Tong Kat.

Sedang rancak berbual tu tiba-tiba terdengar laungan azan Maghrib dan Putera membayar semua makan minum petang itu. Mereka pun berlalu pergi bersama Long Tong Kat menuju haluan masing-masing.

Khamis, 10 Jun 2010

PERTIS: APA DAH JADI 4 (BAHAGIAN AKHIR)

2.2.8. Adalah dimaklumkan bahawa isu penangguhan tarikh mesyuarat ini telah dibincangkan dan selepas mendapat kebenaran daripada pihak Jabatan Pendaftar Pertubuhan, Kuala Lumpur justeru ianya ada hubungkait dengan Perlembagaan Persatuan. Penangguhan ini juga adalah selaras dengan kepadatan jadual kursus di premis ILIM dan langkah berjimat-cermat Persatuan akibat kemunasabahan kos penganjuran yang tinggi di lokasi/premis lain. Di pihak lain, ROS sendiri menjelaskan bahawa isu penangguhan mesyuarat agung adalah merupakan perkara biasa dengan syarat ada sebab yang munasabah serta kukuh.)

Seperti yang diduga akhirnya notis Mesyuarat Agung Tahunan Pertis telah dikeluarkan semalam oleh Setiausaha Agung PERTIS dengan memaklumkan bahawa mesyuarat akan diadakan pada 23 hingga 24 Julai 2010 di ILIM, Bangi, Selangor. Notis ini amat mengecewakan kerana mesyuarat akan diadakan bukan pada masa yang ditentukan oleh perlembagaan PERTIs sebagai undang-undang tertinggi dalam persatuan walau pun pada awalnya mesyuarat dikatakan akan diadakan pada 26 hingga 28 jun 2010.

Mungkin ada yang bertanya apa perlunya kita mempertikaikan tentang tarikh mesyuarat agung ini. Bagi mereka yang tidak begitu memahami akan keperluan dan kepentingan mesyuarat agung memang tidak merasa bazanya sama ada ia dilangsungkan pada, sebelum atau selepas 30 Jun tetapi sebenarnya ia mempunyai implikasi yang amat besar dalam kita berorganisasi. Mesyuarat agung adalah institusi tertinggi dalam struktur pertubuhan dan dalam mesyuarat agung inilah tempat di mana kita boleh memuhasabah diri dan menentukan hala tuju pertubuhan sekurang-kurangnya untuk jangka masa setahun. Seandainya ia diadakan lewat maka kita telah hilang sejumlah hari untuk bergerak kerana penangguhan itu. Ia juga boleh menimbulkan pertikaian dari segi kesahihan mesyuarat tersebut walau pun telah mendapat kebenaran dari Pendaftar Pertubuhan.

Kadang-kadang bagi kebanyakan dari kita, seandainya sesuatu itu tidak memberi keuntungan peribadi maka perkara itu tidak menjadi isu tetapi apabila ada kepentingan yang tidak terpenuhi maka barulah kita riuh rendah menuntut hak. Keadaan inilah yang menjadi duri dalam daging sebahagian masyarakat Melayu dan orang-orang buta.

Berdasarkan notis tersebut, penangguhan ini telah mendapat kebenaran Pendaftar Pertubuhan dan ia ada hubung kait dengan perlembagaan. Apabila kita merujuk kepada perlembagaan kita tidak berjumpa dengan apa yang dikatakan “ada hubung kait dengan perlembagaan”. Kita tidak akan menemui satu peruntukan pun yang membolehkan mana-mana pihak dalam PERTIS menangguhkan Mesyuarat Agung Tahunan. Jadi, bagaimana notis itu boleh menyebut “ada hubung kait dengan perlembagaan”. Kalau ada pun ia perlu dilakukan melalui mesyuarat agung juga dan mesyuarat berkenaan tidak berlaku.

Menyentuh perkara yang berkaitan, satu persoalan boleh ditanya di sini. Kalau mesyuarat agung ditangguhkan begitu sahaja, kenapa tarikh akhir pembayaran yuran tidak boleh ditangguh ke hari mesyuarat agung agar memudahkan ahli-ahli membayar yuran tanpa perlu bersusah payah dengan kadar kepayahan yang tidak munasabah. Bukankah pada setiap mesyuarat agung tahunan dibuka kaunter khas untuk menjelaskan yuran? inisiatif yang diambil oleh bendahari kehormat itu amat dipuji dan satu tindakan yang bijak. Jadi, kanapa penangguhan terhadap yuran ini tidak dilakukan bagi kepentingan bersama. Kenapa PERTIS begitu regid berkenaan yuran sedang bermain-main dengan mesyuarat agung. PERTIS amat mematuhi akan keperluan yuran sehingga notis MAT ke-15 menyebutkan kehadiran dalam MAT ke-15 ini tertakluk kepada status yuran masing-masing. Di manakah justifikasi kedua-dua tindakan ini? Kenapa perlu ada dubble standard dalam dua isu ini?

Bila bercakap tentang kepadatan ILIM, ia satu lagi alasan yang tidak sama sekali boleh diterima. Mesyuarat agung datang pada setiap tahun dan tarikh pun telah ditetapkan. Seharusnya persediaan awal boleh dilakukan. Khabarnya MAT ke-15 ini akan diadakan di Kelantan tetapi kerana kekangan peruntukan ianya terpaksa dibatalkan. Sepatutnya sebaik sahaja diketahui yang PERTIS tidak berjaya mengadakan mesyuarat di Kelantan maka usaha harus dilakukan untuk mendapatkan tempat dengan kadar segera. Kita tidak boleh semata-mata mengharapkan ILIM kerana kita punya banyak dewan yang boleh disewa (ditempah) untuk menjalankan mesyuarat. Lagi pun berdasarkan respon dan reaksi ahli PertIS ILIM bukanlah tempat yang terbaik untuk orang buta bermesyuarat dalam keadaan terpaksa menginap. Rasanya rungutan ini memang diketahui oleh PERTIS dan kenapa masih juga ingin menggunakan ILIM. Kalau ia merupakan langkah penjimatan kenapa sampai harus mengorbankan keselesaan ahli? Bukankah ahli adalah segala-galanya pada PERTIS?

Menyentuh berkenaan penjimatan pula, saya pun tidak faham apa yang sebenarnya menghantui PERTISS sehingga terpaksa berbelanja terlalu besar untuk mengadakan mesyuarat agung. Sebenarnya PERTIS tidak mempunyai keperluan untuk menanggung semua perbelanjaan ahli-ahli sama ada dari segi pengangkutan, makanan dan penginapan. Ia boleh dilakukan dalam keadaan PERTIS mempunyai kedudukan kewangan yang selesa dan pembiayaan tersebut boleh dikatakan sebagai saguhati dan penghargaan PertIS kepada ahli-ahlinya. Namun begitu, seandainya keadaan kewangan PERTIS tidak mengizinkan, PETTIS tidak mempunyai sebarang obligasi untuk memenuhinya secara perlembagaan. Saya yakin seandainya ahli-ahli diberi maklumat yang jelas dan pihak PERTIS sendiri bersikap jujur dan amanah, ahli-ahli boleh menerimanya dan mereka akan tetap datang sebagai memenuhi komitmen mereka terhadap PERTIS dengan belanja sendiri. Selagi mana tempat yang dipilih itu mudah untuk mereka (para ahli) mencari tempat makan , tempat menginap dan dekat dengan kemudahan pengangkutan sudah cukup memberi kepuasan bagi sebahagian besar dari ahli walau pun mereka datang dari Kelantan, Trengganu, Kedah atau Negeri Sembilan. Yang penting kedua-dua pihak perlu telus dan jujur.

Walau pun di pihak Pendaftar Perrtubuhan menyatakan bahawa penangguhan mesyuarat agun adalah perkara biasa dalam berpersatuan dan kebiasaan inidiperakui sendiri oleh Pendaftar pertubuhan, PERTIS tidak seharusnya menjadikan itu sebagai alasan bagi membolehkan penangguhan ini. Sebenarnya ini merupakan penangguhan kali kedua dalam tempoh setahun. PERTIS sepatutnya mengadakan mesyuarat agung luar biasanya pada Bulan Ogos tetapi tertangguh sehingga ke bulan Disember. Kini MAT ke-15 pula ditangguhkan. Apakah ini kerana “biasa”? Sesungguhnya keadaan seperti ini memang tidak boleh dibiarkan berlaku kerana apakah jaminan PERTIS yang keadaan ini tidak akan berulang untuk tahun-tahun mendatang. Di sinilah pentingnya kepatuhan terhadap perlembagaan yang kita sama-sama persetujui selama ini. Oleh yang demikian, sebarang penangguhan mesyuarat agung perlu dilakukan melalui mesyuarat agung juga.

Satu lagi alasan yang mungkin diberi bagi menjustifikasikan tindakan mereka menangguhkan mesyuarat adalah kelaewatan penyediaan dokumen dan pengauditan. Inilah yang menjadi masalah kepada PERTIS tahun lalu sehingga membawa kepada mesyuarat agung luar biasa. Sebenarnya perkara ini terletak kepada kecekapan pentadbir-pentadbir PERTIS yang telah diamanahkan oleh ahli. Seperti dikatakan mesyuarat memang akan datang pada masa yang telah ditetapkan maka kitalah yang harus mengurus masa agar semua dokumen dapat disiapkan pada masa yang sepatutnya. Kalau pun dokumen dan audit inilah yang menjadi masalah sehingga tak boleh mengadakan mesyuarat pada masa yang ditentukan oleh perlembagaan, sekali lagi mesyuarat agung juga yang harus diminta kebenarannya untuk mengadakan mesyuarat luar biasa atau menangguhkan sahaja mesyuarat yang ada.

Untuk makluman, walau pun perlembagaan agak regid dalam menentukan tarikh mesyuarat agung tahunan, sebanarnya seandainya difahami dan dihayati perlembagaan PERTIS ini memang ada ruang di mana mesyuarat agung boleh ditangguhkan. Terpulanglah pada PERTIS untuk mencarinya dan membuat tindakan dengan segera. Saya sedia untuk membantu dalam hal ini agar ia dapat dilaksanakan sebelum 30 Jun 2010.

Saya juga mendapat khabar yang kedudukan kewangan PERTIS telah menempoh saat-saat pemulihan dengan kenaikan yang amat membanggakan. Saya dengan ini ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada mereka yang bertanggung jawab memulihkan keadaan itu.

Buat Abu Hassan, di sini saya ingin merakamkan setinggi penghargaan atas komitmen yang diberikan oleh beliau sepanjang memegang jawatan Setiausaha Agung PERTIS. Anda telah memberi komitmen yang cukup tinggi dan membawa PERTIS ke mercu yang tak pernah dicapai sebelumnya. Andai benar anda ingin melepaskan jawatan setiausaha agung pada mesyuarat akan datang, apa yang boleh saya katakan adalah “Abu, anda adalah setiausaha agung tebaik yang pernah dimiliki oleh PERTIS.” Syabas, tahniah dan terima kasih.

Selasa, 8 Jun 2010

PERTIS: APA NAK JADI 3

Kedudukan seorang pemimpin dengan orang yang dipimpin ibarat seorang yang berada di atas pokok dengan orang ramai yang berada di bawah pokok. Bagi orang yang berada di atas pokok dia akan memandang di bawah dengan satu pandangan sedang seribu orang yang berada di bawah pokok akan memandang ke atas dengan seribu pandangan. Seribu pandangan di bawah itu andai diolah dan diadun oleh orang yang di atas mampu menjadi suatu adunan yang lazat bagi dijamu kepada pemimpin dan orang yang dipimpin sekaligus. Namun, seandainya pandangan-pandangan dari bawah tidak dipeduli dan diambil pusing maka ia akan akhirnya menjadi api dalam sekam yang boleh menhancurkan pemimpin dan yang dipim[pin keseluruhannya.

Andai ada orang di bawah yang dulu pernah duduk di atas pokok tiba-tiba bersuara dari bawah memberitahu orang di atas bahawa sarang tebuan berada dekat dengannya, kita akan melihat tiga reaksi berikut:

1. orang di atas akan berkata "Terima kasih kerana mengingat dan memberitahu saya dan saya akan berhati-hati agar tidak terkena atau terlanggar sarang tebuan tersebut.".

2. Ada juga orang di atas akan berkata "Engkau tahu apa, aku yang ada di atas, aku tahulah.".

3. Ada juga orang yang di atas berkata "Dulu masa engkau berada atas apa yang engkau buat, kenapa engkau tak buang saja sarang tebuan itu.".

Natijah dari posting-posting saya yang lalu yang bertajuk "PERTIS: APA NAK JADI", "PERTIS: APA NAK JADI 2", "KISAH TERUNA, DARA DAN JANDA" dan "KISAH TERUNA, DARA DAN JANDA 2" memperlihatkan reaksi spontan dengan pilihan ketiga dalam bentuk menyerang peribadi. Sebenarnya orang di bawah mempunyai pilihan untuk membiarkan sahaja apa yang dilihatnya kerana seandainya tebuan itu menyerang orang di atas pokok orang-orang di bawah boleh dan sempat melarikan diri dan meninggalkan orang di atas seorang diri dan menanggung serangan dan kesakitan, yang memungkinkan dia jatuh dari pokok tanpa ada yang membantunya. Namun kerana ukhwah, kasih sayang dan tanggung jawab berjemaah maka orang di bawah tadi mengambil resiko untuk memberitahu orang di atas walau pun dia tahu orang di atas tak senang untuk diberitahu.

Pihak berkenaan telah membuat serangan peribadi dengan berkata "dulu masa jadi setiausaha agung, masa PERTIS diharamkan, apa yang dia buat?" dan "Masa dia jadi Yang Dipertua PERTIS selama 4 tahun (sebenarnya 2 tahun) apa yang dia buat?'. Saya boleh memilih untuk menjawab persoalan tersebut bagi membela diri tapi apakah jawapan saya itu mampu mengubah apa yang telah dikatakan berlaku atau saya lakukan. Apa yang telah berlaku akibat dari tindakan yang saya lakukan atau tidak lakukan telah pun berlaku dan sudah tidak mempunyai apa-apa makna lagi hari ini untuk dibahas dan dibincangkan sedang apa yang berlaku hari ini, yang saya utarakan adalah perkara yang boleh dibuat sesuatu untuk diperbaiki kerana anda masih berada di tempat anda berada dengan kuasa yang anda miliki. Apakah kerana saya tidak melakukan apa yang sepatutnya saya lakukan sehingga terjadi apa yang telah terjadi maka anda juga boleh melakukan apa yang anda hendak lakukan kerana itu adalah amalan yang patut saudara contohi. Apakah pengharaman PERTIS yang merupakan "apa yang dia buat" (kalau benar saya puncanya) harus menjadi alasan untuk saudara-saudara mengulangi apa yang berlaku kerana "apa yang dia buat"?

Apa pun saya ingin mengucapkan terima kasih atas serangan peribadi terhadap saya kerana ini membuktikan ketidakupayaan anda menjawab apa yang telah saya persoalkan. Dengan ini saya yakin yang saya berada di pihak yang benar kerana bagi yang tidak mampu berhadapan dengan kebenaran alternatifnya adalah serangan peribadi. Ia dilakukan bertujuan untuk merosakkan (damage) orang yang mempersoalkan kebenaran agar damage itu akan mengenepikan persoalan kebenaran yang dibawanya. Dengan ini pihak berkenaan akan kelihatan betul kerana damage telah dilakukan kepada lawannya. Hakikatnya, saya tidak menuntut banyak dalam posting-posting saya sebelum ini melainkan patuhi perlembagaan. Kenapa mesti perlembagaan PERTIS diingkari sebanyak dua kali untuk tempoh Jun 2009 hingga Jun 2010? Kenapa Mesyuarat Agung Khas yang sepatutnya diadakan pada selewat-lewatnya bulan September telah diadakan pada bulan disember? Kini, Mesyuarat Agung Tahunan ke015 pula akan diadakan pada 23 dan 24 Julai, kenapa? Hanya menuntut pematuhan ini lantas saya diserang secara peribadi. Saya akan mengulas isu ini pada posting akan datang dengan merujuk kepada notis mesyuarat yang telah dikeluarkan.

Saya juga dilebel "Azman tak buat apa-apa. Dia cuma nak buat bising. Hangat-hangat tahi ayam". Saya dengan ini menegaskan bahawa saya tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa pun tindakan lanjut selain dari postin-posting dalam blog ini. Saya juga ingin tegaskan yang saya tidak akan mengulangi apa yang pernah saya lakukan pada 2002 yang lalu. Saya hanya akan lakukan kerja untuk tahun 2010 sahaja. Apa guna saya melakukan kerja 2002 kalau pada 2010 pengkhianatan telah dilakukan. Adalah lebih baik saya melakukan kerja 2010 dengan harapan agar kebaikan boleh kita perolehi hingga masa-masa mendatang.

Ingatlah, serangan peribadi tidak akan membawa kita ke mana. Islam mengajar kita bahawa seandainya kita mendedahkan satu keburukan seseorang, mungkin seribu orang boleh mendedahkan seribu keburukan kita. Tak berapa hari pun kata-kata yang menyerang peribadi saya dihamburkan, kata-kata itu telah sampai ke telinga saya dan mengekorinya adalah beberapa cerita buruk tentang individu berkenaan. Itulah keadilan
Allah.

Mengenai "hangat-hangat tahi ayam", ketahuilah bahawa hangatnya tahi ayam memang tak lama tapi tahi ayam yang dah sejuk busuknya bukan seminit dua. Apakah kita mungkin menghimpunkan tahi ayam yang busuk itu untuk dijadikan baja bagi menyuburkan anda semua agar menjadi pohon yang boleh kami teduhi?

Sampan telah di air, dayung telah di tangan, sedang kami hanya penumpang.

Isnin, 7 Jun 2010

AKHIRNYA RAKYAT MALAYSIA KE PENJARA ISRAEL

Hari ini Parlimen Malaysia telah pun meluluskan usul membantah serangan Israel terhadap misi bantuan untuk penduduk Ghaza melalui program Talian Hayat untuk Ghaza dan Perdana Global Post Organisation (PGPO). Kedua pihak yang cuba untuk menghantar bantuan berbentuk keperluan asas kemanusiaan telah dihalang urusan mereka dengan cara yang begitu tidak bertamadun sehingga ada di antara sukarelawan khususnya dari Kapal Mivi Marmara telah terbunuh. Angka yang sering disebut adalah 9 orang sedang terdapat juga pihak yang mendakwa bahawa angkanya mencecah 19 orang. Pihak Turki pula menyatakan terdapat sukarelawan mereka yang hilang dan tidak dapat ditemui hingga ke hari ini.

Bila bercakap soal keganasan IsRael pastinya kita akan sentiasa ingat kejahatan mereka sebagaimana yang telah diceritakan dalam Al-Qur’an. Sesungguhnya apa yang berlaku hari ini hanya sekadar sekelumit kejahatan mereka sedang mereka adalah manusia yang mendakwa bahawa diri mereka adalah manusia yang terpilih (chosen people) tetapi tergamak membunuh nabi-nabi. Tidak ada manusia yang paling jahat melainkan manusia itu adalah pembunuh nabi atau dibunuh oleh nabi. Kelau itulah kejahatan mereka maka kejadian yang berlaku pada seminggu ini hanya sekadar sekelumit kejahatan mereka yang mencabar umat Islam dan manusia sejagat untuk memberhentikannya.

Bagi saya, Israel berdepan dengan umat Palastine bukan tanpa asas. Mereka melakukannya kerana mereka tahu apa yang mereka lakukan. Mereka punya hujah dan mereka punya tugas dalam melaksanakan misi mereka. Asas dan matlamat mereka adalah agama Yahudi mereka atau lebih tepat lagi faham Zionis yang mereka pegang. Permusuhan mereka kepada Islam khususnya dan kemanusiaan amnya adalah didasarkan kepada pegangan mereka yang cukup kuat. Oleh yang demikian, cara untuk berdepan dengan mereka hanya melalui Islam. Ini adalah kerana hanya umat Islam sahaja yang tahu kelemahan orang Yahudi dan tahu juga bagaimana cara untukberhadapan dengan mereka. Sebarang pendekatan atau usaha yang membelakangkan ajaran Islam hanyalah menjadi sia-sia kerana Yahudi tahu sangat yang membimbangkan mereka adalah keyakinan umat Islam terhadap Al-Qur’an. Maka, seruannya adalah kembali kepada Al-Qur’an.

Buat sukarelawan Malaysia yang menjadi tahanan Israel buat beberapa jam, tahniah buat anda. Anda telah dapat merasai kekejaman Israel terhadap Palastine walau pun buat seketika. Menurut Dr Syed Mohd Halim, “kami ingin pergi ke Ghaza tapi Ghaza datang kepada kami”. Anda patut boleh bersyukur dan berbangga kerana Allah telah memilih anda untuk masuk ke penjara Israel. Bukan senang untuk kita merasai penjara orang yang paling jahat melainkan kita adalah orang yang cukup baik untuk dikhianati kebaikan kita oleh orang yang paling jahat. Kini, akhirnya ada juga rakyat Malaysia yang masuk ke penjara Israel. Tahniah untuk:

1. Tn Hj Noorazman bin Mohd Samsuddin, HALUANPalestin
2. Dr Mohd Arbai’e bin Syawal, HALUANPalestin
3. Dr Syed Muhammad Haleem bin Syed Hasan al-Haddad, HALUANPalestin
4. Ust Al-Hami Husain bin Suhaimi, HALUANPalestin
5. Mohd Nizam bin Mohd Awang, HALUANPalestin
6. Ust Hasanuddin bin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
7. Tn Hj Jamuliddin bin Elias, Yayasan Amal
8. Dr Selamat bin Aliman, Jemaah Islah Malaysia (JIM)
9. Abdul Halim bin Mohd Redzuan, Muslim Care
10. Mustafa bin Mansur, MAPIM
11. Ashwat bin Ismail, Wartawan ASTRO
12. Shamsul Kamal Latif, Juru kamera ASTRO

KISAH TERUNA, DARA DAN JANDA 2

Putera, anak Teruna yang disapa oleh penduduk kampungsehingga kini masih merenung nasib keluarganya. Hari demi hari kisah keluarganya semakin menjadi buah mulut orang kampung. Andaian demi andaian dibuat oleh orang kampung. tokok tambah cerita usah dikata lagi, memang menjadi mainan dan bualan orang kampung. Bukankah mengumpat itu satu yang menyeronokkan walau pun ia merupakan perangai yang diumpama Nabi Muhammad sebagai makan daging saudara sendiri.

Putera cuba mencurahkan masalah dirinya di masjid dan balai raya dengan kawan-kawannya. Dia mengharapkan agar luahan hatinya itu boleh meredakan keadaan. Tapi tak tahulah sama ada curahan hatinya itu akan memdapat timbang tara adil dari masyarakat kampung atau hanya menjadi bahan cemohan orang semata-mata.

Pastinya ada yang melenting dengan cerita Putera itu. Ada juga yang tak faham dan tak tahu memberi amaran kepada Putera agar menghentikan ceritanya kerana menganggap cerita putera itu kisah siasatus Sultan. Sebenarnya putera tahu yang dia tak boleh bercerita tentang siasatus sultan kerana nanti boleh diambil tindakan tapi bagi putera ceritanya itu perlu diberitahu kepada masyarakat kerana tak mahu Teruna mengorbankan keluarganya demi cita-citanya terlebih dahulu.

Putera benar-benar mengharap agar Dara dan anak-anaknya dibela ddengan sewajarnya. Kemudian kalau nak tambah qowta tambahlah. Putera tak akan menghalang kerana Putera pun lelaki dan tahu kehendak lelaki. Itu pun Putera tak akan menderhaka dengan Teruna dan akan tetap berayahkan Teruna selagi Teruna tidak meninggalkan Dara. Bagi Putera, Keluarga ini amat disayangi kerana Putera pernah merasai jatuh bangun menegakkan keluarga ini. Jatuhnya keluarga ini hanya menambah luka di hati Putera.

Buat Pak Ngah yang menjadi Adik kepada Teruna, Putera memang tidak akan buat apa-apa. Putera bukan nak buat bising karana Putera tahu kami tak ada harga pada Pak Ngah dan Pak Lang. Putera pernah bercakap dan berusul tapi Pak Ngah dan Pak Lang hanya memperkecil-kecilkan Putera dan anak-anak yang lain. Siapalah kami berbanding Pak Ngah yang lebih berkuasa dari Teruna ayah kami sendiri. Sesungguhnya kami punya hati dan perasaan dan mungkin inilah cara terbaik untuk memegur ayah, Pak Ngah dan Pak Lang. Kami anak-anak tidak akan melakukan apa-apa pun dan cukuplah dengan apa yang kami anak-anak pernah buat pada ayah kami yang pertama dulu. Ingatlah, kami juga tahu apa yang kami nak buat tapi kami juga mengharap agar iman menyelamatkan kalian.

Putera amat berharap agar Pak Ngah dapat membuat sesuatu untuk memparbaiki keadaan. Memang pada kaca mata orang kampung Pak Ngah adalah orang yang amat disegani. Namun, bagi Putera memang ia hanya boleh mengharap sedang dia tahu Pak Ngah adalah Pak Ngah yang sebahagian kecil orang Kampung sahaja yang tahu. Namun, andai ada sedikit keperihatinan dari Pak Ngah putera menyeru buatlah sesuatu. Putera tak halang ayah nak kahwin dengan Janda tapi tolonglah jangan buat begini.

(Kisah ini ada kena-mengena dengan orang hidup dan tak ada kena-mengena dengan orang mati.)

Ahad, 6 Jun 2010

GAGASAN RAKYAT MALAYSIA MENENTANG ISRAEL

Zulkifli Mohd Nani   

Chargé d’Affaires
Kedutaan Amerika, Malaysia
Mr. Robert G. Rapson

MEMORANDUM KEPADA AMERIKA SYARIKAT MENGENAI GAGASAN RAKYAT MALAYSIA MENENTANG ISRAEL

MAKA persaksikanlah pada hari ini, dengan perhimpunan raksasa rakyat Malaysia di hadapan pagar kedutaan kamu yang berkunci, bahawa inilah harinya kami mengisytiharkan
yang kami tidak akan lagi bertolak ansur dengan kerajaan kamu yang mendokong, melindungi dan memanjakan negara jahanam Israel.

Kami amat terkejut dengan sikap pipi tak mancung hidung tersorong-sorong kerajaan kamu hingga ke tahap memalukan Presiden kamu sendiri dalam “lintas langsung”
siaran televisyen berbayar bila mana binatang bernama Netanyahu memarahi, membuat muka serta memalingkan diri bila mana Tuan Obama mengesyorkan perbincangan
mengenai mandian berdarah oleh Israel di atas kapal “MV Mavi Marmara” di Lautan Mediterranean. Rakyat kamu memilih Obama untuk memimpin Amerika dan sekarang
Israel telah memalukan kamu bagaikan anjing yang terselit ekor di kedua-dua celah kakinya.

Apa yang bermain di kepala mu, Amerika? Yakni kamu – kononnya suatu kuasa besar – jadi pengecut dengan bayi kamu bernama Israel, yang kini mengigit tangan
kamu dan menunjukkan taringnya?

Kami, rakyat Malaysia demokratik yang sering berdiri menegakkan idealisme sebuah masyarakat yang bebas, tidak dapat menahan diri melainkan ketawa kerana
kebodohan dan ketidaktentuan Amerika. Kamu tidak lagi menjadi model dunia merdeka sepertimana yang kamu mahu kami percayai.

Respons kamu yang seolah-olah dibius mengenai pembunuhan membuta-tuli orang awam – 19 orang di mana Israel cuba kurangkan dengan 10 kematian setelah membuang
tubuh-tubuh sebahagiannya masih bernyawa ke dalam Lautan Mediterranean – daripada atas kapal “MV Mavi Marmara” pada 31 Mei telah menandakan bahawa hari
pembalasan telah tiba untuk Amerika dan masyarakatnya yang terkeliru, sebagai sebuah negara yang besar dan pernah disegani kini jatuh melutut kerana kesilapan
dirinya sendiri – yakni penciptaan raksasa gila dan rakus bernama Israel.

Kami, warga Malaysia pelbagai agama dan bangsa hari ini berdiri dalam solidariti bagi mendeklarasikan di depan kamu bahawa kami sekali-kali TIDAK PERNAH
dan TIDAK AKAN membiarkan tragedi malang di lautan lepas oleh lanun oleh Israel itu berlalu saja tanpa balasan. Ingat kata-kata ini!

Kami akan pertanggungjawabkan kamu kerana Amerika adalah penyokong dan tukang dana No. 1 untuk Israel. Kamu memalukan diri sendiri dengan bersekongkol dengan
negara berisi pengganas ini dan kami tahu kamu akan kecundang akibatnya. Masyarakat sampahan bernama Israel ini membawa malu kepada ketamadunan abad ini
dan tindakan sembrononya terhadap 600 penumpang kapal relawan kemanusiaan daripada lebih 50 buah negara pada Mei 31, 2010; menembak sesuka hati dengan
peluru hidup, menembak dari jauh, menembak jarak dekat, menggunakan kekerasan dengan menendang, memukul dan memijak mereka, sebenarnya itulah apa yang
tentera KAMU mengajar untuk diperlakukan ke atas rakyat Palestin, Iraq, Pakistan, Filipina, Thailand dan Afghanistan.

Sekarang kamu tidak teragak-agak melakukan perkara yang sama ke atas misi kemanusiaan daripada 50 buah negara, ramai di antara mereka adalah sekutu kepada
kulit putih Amerika sendiri , kerana kebelakangan ini kamu sudah buta warna dek penangan Israel. Dan ini adalah kesilapan terbesar kamu!

Kini mereka ini memusuhi kamu.

Pegang janji kami – bahawa kami rakyat Malaysia akan tetap bertahan dan terus lawan dan lawan beriringan dengan semua masyarakat bertamadun sedunia sehinggalah
rakyat Palestin memperolehi kembali tanahair mereka dan Israel dimusnahkan. Pada ketika itu Amerika akan kepupusan kehormatan, maruah dan sumber yang mengakibatkan
kamu menyertai Israel yang ganas itu serta pendokongnya yang juga semakin pupus. Dunia kini tersedar besarnya kesilapan Amerika dengan mendokong biawak
hidup Israel sepanjang beberapa dekad, dan kini dunia sedang menentang kamu, Amerika.

Kami, selaku gagasan masyarakat bertamadun mewakili suara hati rakyat Malaysia pada hari ini:

Menyangkal keujudan negara teroris bernama Israel

Membantah sokongan Amerika kepada Israel dalam semua bentuk

Membantah serangan ganas ketenteraan ke atas orang awam di atas kapal “MV Mavi Marmara”

Menuntut diadakan penyiasatan menyeluruh dan timbang tara terhadap kematian dan penghospitalan mangsa relawan kemanusiaan

Memastikan setiap penumpang kapal dapat dikenalpasti status mereka kini

Memulangkan mereka sama ada hidup ataupun mati kepada waris masing-masing

Siasat penculikan oleh Israel terhadap penumpang-penumpang tertentu dari atas kapal dengan tujuan interogasi dan penyiksaan

Mempertanggungjawabkan sepenuhnya kerajaan Israeli ke atas kehilangan nyawa, kargo yang dirampas, barang pemilikan peribadi para relawan, serta imbuhan
kewangan kepada semua relawan dan mereka yang terbunuh oleh tentera Israel

Tegaskan pemulangan semula dengan kadar segera semua kapal dan bantuan yang disasarkan ke Gaza

Meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menjalankan siasatan teliti bagaimana Israel dibenarkan melanggar undang-undang sedangkan flotilla berkenaan
menepati kesemua perundangan maritim dan memenuhi sepenuhnya Resolusi 1860 PBB (2009), yang termasuk:

a) merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk membekalkan bantuan kemanusiaan ke Gaza termasuklah makanan, bahan bakar dan bantuan perubatan
b) mempermudahkan proses dan penghantaran bantuan
c) seruan agar mendapatkan sokongan untuk melenyapkan kesengsaraan kemanusiaan dan kelemahan ekonomi di Gaza

Kami mahu agar pengisytiharan ini disampaikan secara peribadi ke meja Tuan Barrack Obama agar dia tahu bahawa orang Palestin sudah memenangi kawan-kawan
baru dari SELURUH PELUSUK DUNIA sejak peristiwa “MV Mavi Marmara”. Beritahu Presiden kamu bahawa kami warga Malaysia beserta negara-negara bermaruah seluruh
dunia akan terus menganjurkan dan mendana flotila-flotila berikutnya biar apa pun yang akan terjadi.

Ini kerana kami tidak sembunyikan ekor di celah kelangkang kami seperti kamu bila berdepan dengan Israel.

Zulkifli Mohd Nani,
Pengerusi,
Crisis Management Team
for Life Line For Gaza, Malaysia.  

Khamis, 3 Jun 2010

KISAH TERUNA, DARA DAN JANDA

Dalam sebuah kampung yang hening tinggal seorang lelaki bernama Teruna bersama isterinya Dara. Mereka hidup bahatia dengan dikurniakan Allah anak seramai sepuluh orang. Kebahagiaan mereka jelas terpancar dan dapat dilihat oleh orang kampung bila mana Teruna sekeluarga sering mengadakan kenduri dan menjemput orang bagi meraikan kenduri itu. Maknanya limpahan rezeki Teruna dapat sama dirasai oleh masyarakat kampung.

Pada suatu petang, ketika Teruna duduk di anjung bersama isterinya Dara, tiba-tiba melintas lalu di depan matanya seorang wanita yang ayu bernama Janda. Dia terpukau dan seolah terlupa yang di sebelahnya ada Dara. Sejak itu hatinya mula bergelojak, bergolak dan jiwanya mula resah serta gelisah. Teruna sudah tidak mampu melupakan Janda walau pun Janda juga telah mempunyai anak 15 orang. Akhirnya Teruna membuat keputusan untuk melamar Janda dan usaha memikatnya pun dijalankan dengan bantuan teman-temannya.

Janda, bukannya wanita sembarangan. Walau Janda punya anak lima belas orang namun dia tetap menjadi perhatian orang kampung. Bujang dan Duda memang telah lama berhasrat untuk melamar Janda. Mereka berdua memang bersaing dah lama dan kini mereka juga mendapat tahu yang akan ada pesaing baru dalam perebutan ini.

Adat bersaing, pesaing akan pasti menggunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan lawannya. Tak tahu siapa dari pesaing itu yang membawa cerita, hebuh sudah di serata kampung yang sebenarnya keluarga Teruna sedang dilanda masalah. Keluarga Teruna bukan lagi bahagia dan senang seperti dulu. Kini, nak jamu makan tengah hari untuk anak-anak pun sudah tak mampu. Macam mana nak jaga keluarga Janda nanti.

Satu petang, salah seorang anak Teruna bersiar-siar di pinggir kampung. Tiba-tiba dia disapa oleh salah seorang penduduk kampung. Penduduk itu bertanya kepada anak Teruna, "betul ke keluarga engkau ada masalah?" Anak Teruna tidak ada pilihan melainkan terpaksa menjawab "Ya". Penduduk itu pun berlalu sambil berkata "sabarlah".

Anak Teruna begitu sedih dan kecewa lantas berkata sendiri, "Kenapalah ayah nak kahwin dengan Janda, sekarang rahsia keluarga kita dah jadi buah mulut orang"

(Untuk makluman kisah ini ada kena-mengena dengan orang hidup tapi tak ada kena-mengena dengan orang mati.)

Selasa, 1 Jun 2010

KEGANASAN ISRAEL

KUALA LUMPUR, 1 Jun: Selepas 12 jam serangan dilakukan Israel ke atas kapal Mivi Marmara sehingga membunuh 20 sukarelawan dan 30 cedera, barulah Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat kutukan ke atas serangan itu.

"APCO lambat nasihatkah?" tanya AJK PAS Pusar, Datuk Husam Musa (gambar) dalam laman komuniti facebook.

Najib membuat kenyataan itu pada jam 12:04 minit malam tadi melalui twitter beliau iaitu setelah lebih 12 jam peristiwa serangan berlaku.

"Kenapa begitu lambat sedangkan negara-negara lain di seluruh dunia, termasuk yang bukan Islam pun, mengeluarkan kenyataan mengutuk Israel dalam 3 jam
pertama insiden itu berlaku," soal Husam.

Husam dalam kenyataannya sebelum ini menyifatkan  Malaysia berdengkur dalam pelukan APCO apabila tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengutuk keganasan
Israel.

Tulisanya, sehingga jam 9 malam, 31 Mei 2010, semakan menerusi web Bernama, tidak ada satu pun kenyataan dari mana-mana pemimpin Malaysia mengenai serangan
durjana Israel ini.

"Menteri Luar masuk tidur begitu awal?" soal Husam.

Atau, kerajaan Malaysia hanya beroperasi mengikut jam pejabat hingga lima petang?

"Kita tidak merasa apa-apa dengan serangan Israel ini? Kita tidak risaukan tentang keselamatan rakyat kita? Kita tidak marahkan Israel bertindak kejam
dalam perairan antarabangsa menghalang bantuan kemanusiaan untuk ummat manusia yang sedang menunggu dunia membuka jendela mereka?" soal beliau bertalu-talu
dalam kenyataan itu.

Bagi beliau, Malaysia seharusnya membatalkan kontrak dengan syarikat Israel - APCO - sebeberapa segera.

"Jika Malaysia telah membayar RM 77 juta kepada syarikat Israel itu, kita mesti menyumbang untuk manusia tertindas di Gaza lebih banyak dari itu," katanya.

Israel - tanpa mempedulikan kutukan dunia - membunuh paling kurang dua puluh sukarelawan kemanusiaan menuju Gaza!

Israel nekad. Jika selama ini hanya rakyat Palestin dibedil sesuka hati, kini, warga dunia dari segala pelusuk, tidak terkecuali. 20 dilaporkan terkorban
dan 50 yang lain cedera, tulisnya.

Sekalipun misi dunia menerusi Freedom Flotila adalah kemanusiaan - membawa makanan dan ubatan - untuk ummat Palestin yang telah lama menderita, Israel
tidak teragak menumpahkan darah mereka.

"Bersama di atas kapal Mavi Marmara yang mengetuai konvoi ini ialah rakyat negara kita. Kita sangat berbangga!" katanya.

"Mungkinkah mereka juga terkorban?" soal beliau.

Antara yang berada di atas kapal itu adalah:-

1. Tn Hj Noorazman bin Mohd Samsuddin, HALUANPalestin
2. Dr Mohd Arbai’e bin Syawal, HALUANPalestin
3. Dr Syed Muhammad Haleem bin Syed Hasan al-Haddad, HALUANPalestin
4. Ust Al-Hami Husain bin Suhaimi, HALUANPalestin
5. Mohd Nizam bin Mohd Awang, HALUANPalestin
6. Ust Hasanuddin bin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
7. Tn Hj Jamuliddin bin Elias, Yayasan Amal
8. Dr Selamat bin Aliman,  Jemaah Islah Malaysia (JIM)
9. Abdul Halim bin Mohd Redzuan, Muslim Care
10. Mustafa bin Mansur, MAPIM
11. Ashwat bin Ismail, Wartawan ASTRO
12. Shamsul Kamal Latif, Juru kamera ASTRO

Erdogan, Perdana Menteri Turki, juga harus dibanggakan. Mavi Marmara adalah kapal Turki.

Turki memberikan reaksi pantas. Duta Israel di Ankara diminta berundur. Tiga latihan ketenteraan dengan Israel dibatalkan. Turki meminta Bangsa-Bangsa
Bersatu mengadakan sidang tergempar.

Sweden, Sepanyol, Denmark dan Greece juga memberikan reaksi segera dengan memanggil duta Israel. Perancis meminta insiden ini segera disiasat, tulisnya.

Malaysia?

Bagi beliau, Malaysia perlu menyokong tindakan Turki memanggil sidang khas Bangsa-bangsa Bersatu.

Malaysia perlu menghantar apa jua bantuan yang diperlukan untuk warga kita yang terlibat.

"Dalam respon segera, DAP, Pemuda UMNO, PAS dan PKR masing-masing telah mengeluarkan kenyataan.Kerajaan Malaysia? Lena dalam dakapan Apco," katanya.

Taja pelajar Palestin

Bagi rakyat Kelantan, menerusi NGO Cakno Palestin, mereka kini menaja sekitar tiga puluh pelajar anak-anak kelahiran Palestin belajar di negara ini.

Jumlahnya kecil tetapi ia boleh ditambah jika dana sedia ada dapat didokong bersama rakyat Malaysia yang prihatin.

Dengan luka yang dilakukan oleh Israel kini, menjadi kewajipan kita serius dalam keprihatinan kita terhadap penindasan tak kunjung tamat oleh regim Israel
terhadap rakyat Palestin, kata Husam lagi.