Ahad, 13 September 2009

SHAHDU RAMADHAN iii

Hari ini alhamdulillah saya dapat mengemaskinikan blog ini setelah hampir dua minggu tidak
dikemaskini. Segala-galanya adalah berpunca dari laptop saya yang meragam yang akhirnya terpaksa diformat semula. Kini ia telah hampir kembali seperti asal dan semoga dengan ini dapatlah saya mengemaskini blog ini. Kepada mereka yang mengunjungi blog dan mendapati tidak ada sebarang kemaskini dalam hampir dua minggu ini, maaf sahaja yang dipohon.

Kini, kita telah berada pada sepertiga yang akhir di bulan mulia, Bulan Ramadhan dan pastinya bagi mereka yang memahami kelebihan Ramadhan dan kemuliaannya maka kini tiada yang diucapkan lagi melainkan air mata pengharapan dan air mata perpisahan.

Bagi mereka yang mengharap maka tiada apa yang diharap tatkala ini dan ketika ini melainkan apa yang difirmankkan oleh Allah dalam surah Al Qadar. Sesungguhnya ganjaran yang begitu besar pada malam istimewa ini amat menggamit hati mereka untuk mengejarnya dan andai terlepas atau amalan terasa tidak diterima pada malam itu maka sedihnya bukan kepalang lagi. Maka rugilah mereka yang membiarkan malam mulia ini terlepas begitu sahaja.

Orang yang beriman juga akan menangis kerana selain bimbang gagal beramal pada malam al-qadar, Ramadhan juga bakal meninggalkan kita tidak berapa hari lagi. Di saat sebahagian besar umat Islam lebih seronok dengan persiapan hari raya, ada di kalangan orang-orang mu'min yang meratap hiba akan pemergian Ramadhan ini. Ramadhan yang meninggalkan kita sebenarnya adalah Ramadhan yang pasti telah pergi tetapi sejauh mana kita benar-benar menjadi hamba yang telah lulus dengan ujian dalam Ramadhan ihi. Apakah ini Ramadhan terbaik untuk kita persembahkan kepada Allah nanti atau apakah ini Ramadhan paling buruk untuk berdepan dengan Rabul Jalil kelak. Yang pasti kita tidak tahu sama ada kita akan bertemu dengan Ramadhan yang akan datang.

Tiada ulasan: