Nampaknya BN tak habis-habis dilanda masalah. Lepas satu, satu; lepas satu, satu. Masalah ini semacam tidak akan ada kesudahannya. Membaca rencana yang saya petik dari Utusan Online dan disiarkan di bawah ini, saya merasa aneh dengan perangai manusia walau pun memang itulah yang dinamakan manusia. Sewaktu kawan-kawan boleh menolong kita meraih apa yang kita kehendaki, ketika itu dialah kawan paling baik, tidak ada langsung cacat celanya. Sebaliknya, apa bila kawan itu sudah tidak mampu memberi manfaat kepada kita maka kawan itu akan ditendang sebegitu rupa, dengan tidak memperdulikan apa yang sedang dihadapi oleh kawan tersebut. Terlalu sedikit usaha yang dilakukan untuk membantunya tetapi banyak tindakan-tindakan dilakukan untuk menghancurkan kawan itu supaya dengan intu kita akan meraih keuntungan dan laba yang lebih besar lagi.
Persoalannya, apakah hanya MIC (dalam konteks perbincangan Utusan) sahaja yang menjadi liabiliti kepada BN dan komponen-komponen BN yang lain masih gagah dengan sokongan rakyat? Apakah pergolakan yang ada dalam MCA tidak langsung memberi isyarat bahawa parti itu juga merupakan liabiliti yang besar kepada BN? Bayangkan andainya mesyuarat agung Khas yang dicadangkan nanti (yakni pada Oktober) tidak memberi penyelesaian yang diharapkan, apa akan jadi pada sokongan orang Cina pada BN, Apakah ketika itu Datuk Sri Najib akan melancarkan pula satu lagi parti baru untuk kaum Cina bagi menamatkan dominasi MCA dalam BN?
Orang yang banyak bercakap tentang kepimpinan Datuk Seri S. Sami Velu nampaknya cuba menggambarkan kegagalan beliau dalam kepimpinan MIC seolah-olah hanya Sami Velu sajalah punca kemarahan orang India kepada BN. Beliau sendiri Tun Dr. Mahathir itu apakah benar-benar bersih dari kemarahan rakyat terhadapnya yang mengakibatkan BN dibenci oleh rakyat? Nampaknya beliau haraus diperingatkan juga tentang tindakan beliau yang menimbulkan kemarahan rakyat dan kesannya dapat dirasai oleh BN sehingga ke hari ini. Bukankah kewujudan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah manifestasi dari tindakan beliau memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim 11 tahun yang lalu?
Hari ini kehadiran PKR dalam arena politik negara bersama-sama dengan gabungannya yang membentuk Pakatan Rakyat telah mengancam keutuhan BN keseluruhannya. Pakatan Rakyat sudah tidak lagi dianggap sebagai satu pakatan pembangkang semata-mata tetapi sebaliknya sudah menunjukkan kebolehan dan kemampuannya untuk mengambilalih pemerintahan negara ini. Sebenarnya hanya kerana dengki dan permusuhan politik BN dan Media-medianya masih sehingga ke hari ini menyebut bahawa pakatan PAS/DAP/PKR sebagai pakatan pembangkang sedangkan rakyat secara jelas telah menerima bahawa pakatan Rakyat adalah pakatan alternatif kepada BN. Sebenarnya sedikit sebanyak Tun Mahathir mempunyai sahamnya ke atas kewujudan Pakatan Rakyat yang hari ini menjadi saingan kepada BN dalam merebut kuasa politik di Malaysia ini.
UMNO juga secara khususnya apakah benar-benar bersih sehingga tidak langsung menjadi punca kepada kemerosotan pencapaian BN dalam pilihanraya umum ke-12 dan banyak pilihanraya kecil selepas itu. Pelbagai isu yang hadir dalam UMNO seperti politik wang, kebejatan akhlak pemimpin dan ahli UMNO, perebutan kuasa sesama ahli UMNO, membina empayar kemewahan peribadi pemimpin tertentu, perlakuan-perlakuan jenayah yang berbagai dan bermacam lagi juga merupakan liabiliti kepada BN tetapi kenapa ini tidak menjadi perbincangan oleh Saudra Zul dalam rencananya sebaliknya hanya meletakkan beban inike atas MIC. Atau, memang ini perangai UMNO, "habis manis sepah dibuang".
Saya ingin mencadangkan kepada MIC, andai benar kamu adalah liabiliti kepada BN, tak payahlah terhegeh-hegeh turun berkempen di Bagan Pinang, kelak kalau BN kalah dan BN memang akan kalah MIC pula akan dipersalahkan. Jangan kita jadi Hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong. Biar UMNO dengan kebersihan dan kesuciannya berdepan dengan Pakatan Rakyat.
Menamatkan dominasi MIC dalam BN
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
SEBUAH parti baru yang akan mewakili kaum India, Makkal Sakhti akan dilancarkan secara rasmi penubuhannya pada 10 Oktober ini dan pada masa yang sama buat kali keenam Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) akan mengulangi permintaan untuk menyertai Barisan Nasional (BN). Selain itu kita juga tidak harus melupakan Parti Progresif India (IPF) yang sebelum ini sememangnya berhasrat untuk menjadi ahli komponen kepada parti pemerintah tersebut.
Berdasarkan kepada senario ini dan berikutan perkembangan politik semasa adalah jelas masanya sudah tiba untuk BN mengkaji menambah parti komponen yang mewakili kaum India. Sama ada hendak diakui atau tidak, MIC kini bukan lagi menjadi taruhan BN bagi meraih sokongan kaum itu. Pencapaian yang merosot dalam pilihanraya umum lalu dan sokongan yang semakin merudum sudah membuktikan era dominasi MIC sudah berada di penghujungnya. MIC tidak lagi digeruni oleh parti pembangkang sebagai parti yang boleh membolot undi masyarakat India. Sebaliknya dari semasa ke semasa, parti berkenaan semakin ditolak oleh kaum itu, biarpun MIC mendakwa mereka adalah jaguh kaum India. Kewujudan pertubuhan Hindraf, penubuhan parti Makkal Sakhti, peningkatan jumlah anggota dalam IPF pertambahan keahlian kaum India dalam Parti Progresif Penduduk (PPP) dan terdapat pula sebahagian kecil kaum India memilih Parti Gerakan sebagai wadah perjuangan politik mereka sudah membuktikan bahawa MIC semakin kehilangan pengaruhnya. Oleh itu, BN tidak boleh lagi selama-lamanya bergantung kepada MIC bagi meraih sokongan kaum India.
Perkembangan politik yang berlaku sudah membuktikan bahawa sokongan kaum tersebut kepada BN akan terus merosot jika parti berkenaan hanya bergantung kepada MIC.
Alternatif
BN perlu mencari alternatif bagi menambah atau lebih tepat lagi memulihkan sokongan kaum itu. Seperti mana kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerajaan tidak boleh kehilangan pengaruh di kalangan masyarakat India. Atas alasan itu, maka jika Parti Makkal Sakhti diterima sebagai ahli komponen terbaru dan ditambah pula dengan kehadiran KIMMA yang mewakili kaum India Muslim, maka kekuatan BN akan bertambah. Tidak usahlah BN terlalu memikirkan apa yang MIC terutama Presidennya, Datuk Seri S.Samy Vellu katakan. Apa yang lebih penting ialah survival politik BN. Akibat kegagalan MIC meraih sokonganlah yang menyebabkan pakatan pembangkang menjadi kuat apabila semakin ramai calon daripada kaum India mencatatkan kejayaan dalam pilihan raya. Semua itu berlaku kerana orang sudah muak dengan MIC, malah pendirian tegas Samy Vellu untuk terus kekal berkuasa boleh dianggap mampu memberikan liabiliti kepada BN seperti mana dikatakan oleh Dr. Mahathir sebelum ini. Dalam memperkatakan soal menerima Parti Makkal Sakhti sebagai komponen BN bersama-samaKIMMA, tiada siapa pun perlu gundah gulana, apatah lagi MIC. Kalau Samy Vellu begitu yakin bahawa sokongan kaum India kepada parti pimpinannya tidak akan berubah, maka kehadiran parti baru itu tidak harus dibimbangkan.Biarlah Makkal Sakhti berusaha meraih sokongan daripada kaum India bersama-sama MIC kerana itu adalah lebih baik. Tambahan pula kalaulah kaum India menyokong salah satu parti itu, yang akan meraih keuntungan ialah BN. Pada masa ini, kita harus akui bahawa MIC sedang dilanda pelbagai kemelut, selain permusuhan yang berpanjangan antara bekas Timbalan Presiden, Datuk S.Subramaniam dengan Samy Vellu, ternyata sekali MIC berada di ambang perpecahan. Kalau ia berlanjutan sudah pasti ini akan menjejaskan kekuatan BN.Justeru adalah lebih baik jika dominasi MIC sebagai satu-satu parti komponen dalam BN mewakili kaum India ditamatkan supaya segala masalah dalamannya yang berlaku tidak menyeret BN bersama-sama.
Ahad, 27 September 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan