Ahad, 18 Julai 2010

SIMBANG HARI MINGGU

MELAYU MACAM AYAM DI KEPOK, ITIK DI KOLAM

Dua hari lepas saya terbaca dalam harakahdaily yang Tok Guru Nik Aziz ada berkata yang UMNO selalu minta tolong PAS sedang PAS tak pernah minta tolong UMNO. Hari ini dalam Utusan Online yang dikemaskini pukul 6 pagi telah menyalahkan pelbagai kesalahan kepada PAS dalam suasana "orang Melayu berpecah". Mugti Perak, pakar sejarah, Bekas naib presiden Parti Keadilan, Naib presiden UMNO adalah antara individu-individu ternama dalam negara yang cuba meletakkan PAS sebagai kalau pun bukan punca kepada perpecahan tetapi sebagai golongan yang sentiasa menolak kepada perpaduan Melayu. Pas dikatakan sebagai orang degil untuk berbincang dengan UMNO demi menyatukan orang Melayu.

Sejak UMNBO kehilangan majoriti di dalam Dewan Rakyat dan empat buah negeri serta terus gagal merampas Negeri Kelantan, ayat-ayat seperti "Melayu akan hilang kuasa", "Melayu akan terus terpinggir", "melayu harus bangkit", "Apa lagi yang orang Cina nak di Malaysia?" dan banyak lagi sering kedengaran. Kelahiran pelbagai NGO-NGO Melayu diketuai oleh PERKASA yang kononnya ingin membela Melayu jelas memperlihatkan keadaan yang kononnya gawat ini. Saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai bantahan, panndangan dan cemohan terhadap Pakatan Rakyat atas kegagalan mereka membela orang Melayu. "PAS alat DAP" dan "Tan Sri Khalid dengar kata DAP" sering menjadi lagu dendangan UMNO dalam membuktikan kebenaran dakwaan mereka dan ingin mencuri hati orang Melayu. Lantas, mereka pun mencipta pelbagai keadaan bagi menggambarkan keadaan tersebut adalah benar.

Peristiwa isu kalimah Allah, isu kepala lembu, membaling kepala babi di tempat ibadat orang Islam dan membakar gereja adalah antara rintitan peristiwa yang menggambarkan kegawatan itu. Tak cukup dengan itu, UMNO dan NGO-NGO yang kononnya mempertahankan Melayu cuba pula membentuk fikiran rakyat seolah-olah Pakatan Rakyat adalah golongan yang menderhaka kepada sultan dan mencabar juga menghina institusi raja.

Pakatan Rakyat secara jelas dikatakan telah tidak menghormati titah sultan dalam isu rampasan yang menghinakan di Negeri Perak dan berpolitik di dalam masjid. Orang-orang Cina melalui DAP pula mula mempertikaikan perkara-perkara yang termaktub dalam perlembagaan seperti perkara 151, 152 dan 153. Biasiswa, dasar ekonomi dan bahasa Melayu dikatakan telah dipertikaikan oleh orang-orang Cina khususnya DAP. Maka kesimpulan yang mereka buat dan kemudian dijaja kepada seluruh orang Melayu adalah “Melayu kini terancam dan terhempit serta terpinggir”. Mereka pun diseru untuk bangkit dan bersatu dengan kata-kata “Melayu harus bangkit dengan bersatu tanpa mengira fahaman politik” sedang pada waktu yang sama PAS terus diserang dengan pelbagai tuduhan yang menyakiti hati ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya. Suasana yang kondusif langsung tidak diwujudkan oleh UMNO untuk melahirkan suatu situasi yang membolehkan ahli-ahli PAS tenang untuk menerima sebarang perbincangan dengan UMNO.

Ahli-ahli PAS sebenarnya masih diselubungi dengan peristiwa lama yang mememdihkan hati. Bayangkan saya yang ketika peristiwa PAS ditendang dari Barisan Nasional pada tahun 1977 yang ketika itu baru berumur 10 tahun bila mengetahui peristiwa sedih itu turut merasa marah dan sakit hati, bagaimana pula perasaan pemimpin-pemimpin PAS yang mengalami peristiwa pahit itu di depan mata mereka sendiri? Itu belum lagi peristiwa Memali, penafian hak oleh kerajaan persekutuan terhadap kerajaan PAS di Trengganu dan Kelantan, serangan yang tidak berkesudahan di Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat hingga ke hari ini dan isu Bahasa Malayu yang belum selesai sepenuhnya.

Sebenarnya apa yang jadi kepada bangsa Melayu yang seperti digambarkan oleh UMNO jika benar berlaku adalah ibarat ayam di kepok mati kelaparan dan itik di kolam mati kehausan. Sejak 1955 apabila pilihanraya pertama diadakan hinggalah kini UMNO adalah pemilik kuasa mutlak dalam pentadbiran di pusat dan hamper semua negeri di Tanah Melayu dan Sarawak. Hanya Kelantan dan Sabah sahaja yang bertukaar tangan dalam pentadbiran negeri. Ini bermakna orang melayu adalah orang yang menpunyai kuasa politik dalam lageslatif dan eksekutif. Maka segala dasar dan perlaksanaan dasar terletak sepenuhnya di tangan orang Melayu.

Hakikat ini dapat kita lihat dengan jelas di mana ahli Dewan Rakyat, barisan cabinet, pegawai tadbir dan diplomatik, setiausaha-setiausaha kementrian, pengarah-pengarah jabatan, menteri-menteri besar dan majlis-majlis mesyuarat negeri mereka, setiausaha-setiausaha kerejaan negeri, pegawai-pegawai undang-undang dan kewangan negeri, pegawai-pegawai daerah dan penolong-penolong pegawai daerah, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampong dan banyak jawatan lagi dari peringkat yang tertinggi hingga yang terrendah dianggotai oleh orang UMNO dan orang-orang Melayu. Ini belum diambil kira lagi kedudukan orang Melayu di dalam agensi-agensi kerajaan seperti MARA, FELDA, KWSP dan lain-lain lagi. Ia ditambah lagi kedudukan orang Melayu yang begitu istimewa dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti MAYBANK, TELEKOM, TNB dan banyak lagi. Keadaan yang begini ebat sebenarnya memang meletakkan orang Melayu berada seperti ayam yang berada di kepok atau itik yang berada dikolam. Persoalannya, kenapa ayam yang berada di kapok dan itik yang berada di kolam ini boleh mati kelaparan dan kehausan.

Sebenarnya sepanjang lima puluh tahun ini, walau pun ayam dan itik berada di kepok dan kolam namun ketua-ketua ayam dan itik telah menghalang ayam-ayam mendapat beras yang ada di dalam kepok dan menghalang itik-itik mendapat air di kolam dengan sewajarnya. Ketua-ketua ayam dan itik telah mengambil beras dan air di kapok dan di kolam untuk keselesaan dan kesenangan mereka. Beras telah dibahagi-bahagikan sesama kawan ketua-ketua ayam dan ketua ayam sendiri. Berras itu pula ada yang dijual oleh ketua-ketua ayam untuk mendapat keuntungan peribadi. Air pula telah digunakan oleh ketua-ketua itik umtuk membina kolam renang peribadi bagi keluarga dan kawan-kawan ketua itik berenang dan minum. Akhirnya, Matilah ayam lain yang berada di kepok dan itik yang berada dikolam. Maka, wajarkah ketua ayam dan itik menyalahkan anjing dan musang kerana kematian ayam-ayam dan itik-itik di kapok dan kolam mereka sendiri. Itulah persoalan yang harus dijawab oleh pemimpin UMNO dari presiden hingga ke ahli biasa mereka sebelum menyalahkan PAS, DAP dan PKR atau Cina dan India sebagai punca kelemahan orang Melayu. Justru, mendedahkan kedudukan orang Melayu kini hanya membuka pekung di dada UMNO sendiri.

Kini, UMNO memang berada dalam bayingan kesalahan yang mereka buat sendiri dan bagi menutup ketakutan pada bayang mereka itu maka mereka cuba untuk mengajak PAS untuk menemani mereka. Kelihatan UMNO kini seolah-olah orang yang takut dengan hantu dan mencari teman agar boleh menghilangkan sedikit ketakutan itu. Mungkin UMNO tidak sedar bahawa yang membayangi mereka kini bukannya hantu tapi bayangan kesalahan mereka sendiri dan kalau itulah yang berlaku PAS memang tidak mampu untuk menemani UMNO. Lagi pun mungkin juga Izrail sedang menunggu masa untuk menjalankan tugasnya terhadap UMNO dan UMNO sebenarnya sedang berada di hujung usia atau hari-hari akhir mereka. Sebab itu kesalahan silam sedang bermain di mata UMNO kerana nazak telah hamper tiba. PAS hanya mampu untuk mentalkinkan UMNO bila nazak nanti atau bila selesai pengkebumiannya.

Tiada ulasan: