Sabtu, 24 Julai 2010

FIKIR PAGI SABTU

MUFTI! KENAPA HANYA PAS DENGAN UMNO SAHAJA?

Nabi Adam dengan Azazil (iblis), Nabi Musa dengan Firaun, Nabi Ibrahim dengan Namrud, Nabi Muhammad SAW dengan Abu Lahab dan Abu Jahal, Saidina Ali dengan Muawiyah, Yazid dengan Hussin, Sunnah dengan Syiah, Datuk Maharaja Lela dengan Sultan Abdullah, Ngah Ibrahim dengan Long Jaafar dan kini PAS dengan UMNO. Melihat semua itu, saya melihat perpecahan dan pertelingkahan adalah merupakan suatu yang telah menjadi sunatullah bagi mengukur sejauh mana keimanan hamba-hambanya dalam konteks membuat pilihan. Iman tidak boleh diukur dengan banyak mana solat, puasa dan amalan-amalan lain semata-mata malah ia juga akan diuji secara objektif dalam membuat pilihan antara kebenaran dan kepalsuan, haq dan batil dan seumpamanya termasuk antara PAS dan UMNO.

Apa yang berlaku kini dan hari ini yang melibatkan Tan Sri Mufti Perak adalah sesuatu yang sebenarnya amat pahit buat PAS. PAS diperlakukan dalam keadaan yang begitu sukar untuk membuat pilihan dengan serangan dari semua sudut dan bertali arus. Serangan mereka pula lengkap dengan segala keperluan logistic dan tektik sedang PAS berada dalam keadaan yang handicapnya berbeza dengan UMNO. UMNO menggunakan segala premis yang ada dan mereka miliki sedang PAS hanya mempu menggunakan alat dan organ parti.

Dalam hal ini, UMNO kelihatan akan mengasak PAS seganas mungkin kerana mereka yang memang sedar akan kedudukan hayat politik mereka, sesuatu tindakan perlu diambil untuk survival mereka. Bagi mereka juga kalau seandainya mereka tidak boleh survive lagi maka mereka lebih rela berputih tulang dari berputih mata. Maksudnya, seandainya mereka sudah tidak boleh berkuasa maka PAS harus tidak akan berkuasa juga.

Kini, UMNO sekurang-kurangnya telah Berjaya membuat PAS dalam keadaan serba salah. PAS bolehlah dikatakan berada dalam keadaan “diluah mati bapak, ditelan mati emak”. Seandainya PAS menolak tawaran perpaduan, PAS akan dianggap oleh orang Melayu sebagai parti yang khianat kepada bangsanya sendiri. Lebih teruk lagi PAS akan dianggap sebagai parti munafik kerana tidak melaksanakan apa yang dituntut oleh Islam sebagaimana yang diperjuangkannya. Keadaan ini memang diharap oleh UMNO dan instrument yang ada pada UMNO akan digunakan semeksima mungkin untuk menggambarkan kejijikan PAS yang hipokrit, khianat Melayu, lebih utamakan orang cina dan india dan lain-lain lagi bagi meletakkan PAS berada di tahap seburuk itu.

Sekiranya PAS bertindak sebaliknya yakni menerima tawaran perpaduan UMNO, PAS pula akan menerima tamparan dahsyat dari kalangan orang bukan Islam. Pas akan dianggap orang yang tidak boleh dipercayai persahabatannya. Pas akan dianggap sebagai pihak yang memusnahkan impian Malaysia baru. Pas juga akan dianggap sebagai orang yang memungkiri janji.

Hasrat untuk menarik sokongan orang bukan Islam bukan baru semalam diutarakan. Impian itu telah lahir dari pimpinan awal PAS lagi sepertiProf. Zulkifli Muhammad. Settelah lima puluh tahun berjuang barulah kini PAS boleh diterima dengan baik tanpa prasangka oleh orang-orang bukan Islam. Kesediaan mereka bernaung di bawah Dewan Himpunan Penyokong PAS tanpa mengira cina, india dan lain-lain adalah sesuatu yang tidak pernah terfikir 20 atau 30 tahun dahulu. Jadi, wajarkah PAS mempersia-siakan anugerah besar hasil kerja hebat PAS sendiri yang akhirnya telah dimakbulkan oleh Allah itu? Tergamakkah PAS memusnahkan kepercayaan orang bukan Islam terhadap Islam yang didukung oleh PAS? Kita amat pasti yang orang bukan Islam memilih PAS bukan kerana individu dalam PAS atau PAS itu sendiri tetapi keindahan Islamlah yang telah membuat mereka tertarik dengan PAS. Kini, ruang untuk PAS menyampaikan dakwahnya telah semakin luas dengan kehadiran mereka ke dalam PAS.

Sesuatu yang menyedihkan bagi saya adalah penglibatan institusi agama dalam pertarungan politik ini. Semua orang tahu yang isu ini bukan sesuatu yang baru dan sebenarnya telah lama menjadi permainan UMNO bila terdesak. UMNO memang akan menggunakan segala yang ada untuk kepentingan mereka termasuk mufti. Kita memang tidak mampu meneropong jauh ke dalam hati Tan Sri Mufti dan hasrat yang diluahkan oleh Mufti Perak itu adalah sesuatu yang murni dan cukup dituntut dalam Islam. Namun, apakah orang Melayu hanya ada dalam PAS dan UMNO sahaja? Bagaimana dengan Orang Melayu dalam Parti Keadilan dan seorang dua yang ada dalam DAP dan Gerakan? Adakah mereka ini terpinggir dari arus perpaduan Melayu? Bagaimana pula dengan Melayu yang tidak berparti yang pastinya bukan sedikit? Kenapa golongan ini tidak menjadi perhatian Mufti Perak? Kenapa hanya PAS dan UMNO sahaja yang mesti ditawarkan untuk terlibat dalam soal perpaduan sedang perpaduan adalah milik semua orang Melayu kalau nak bercakap soal perpaduan Melayu.

Walau pun PAS menolak soal perpaduan Melayu PAS-UMNO namun PAS tidak menolak perundingan yang bersifat G to G. Apabila berlaku pernincangan antara kerajaan dengan kerajaan, siapakah yang akan berunding kelak? Sudah tentu pemimpin tertinggi kerajaan yang pastinya pemimpin tertinggi Parti masing-masing. Apabila telah duduk semeja dan membuat perbincangan tak kan tidak ada ruang langsung untuk berseloroh? Gunakanlah peluang itu untuk menjaya hasrat politik masing-masing. Seorang ahli politik yang bijak adalah mereka yang tahu mengambil kesempatan apabila kesempatan datang. Jadi PAS telah memberi kesempatan, maka gunakanlah.

Akhirnya, rasanya cukuplah isu ini setekat ini sahaja. Untuk pemimpin PAS rasanya cukuplah sekadar dengan satu kenyataan rasmi yang tegas dan muktamat. Pemimpin lain tak perlu membuat sebarang ulasan lagi selepas kenyataan rasmi dikeluarkan. Biarlah UMNO berkokok memberitahu orang bahawa hari nak siang sedang sebenarnya mereka tertipu oleh cahaya lampu kalimatang di tengah malam. Biarlah mimpi indah orang-orang UMNO terganggu oleh kokokan ayam di tengah malam itu kerana sebenarnya pagi mungkin sudah tiada untuk UMNO lagi.

Tiada ulasan: