Sabtu, 17 Julai 2010

CELOTEH PAGI SABTU

KISAH BEROK MAIN BOLA

Baru-baru ini dikatakan parlimen Malaysia telah gempar apabila seorang ahli Parlimen bebas (tapi pinjam lambang orang) telah mencadangkan agar berok bermain bola. Kisah ini telah dipanjangkan ke dalam satu kumpulan e-mail dan saya pula telah mengusik kumpulan tersebut dengan bertanya "ini bukan cerita politik ke?". Natihahnya telah menimbulkan pelbagai pandangan walau pun sebenarnya niat saya hanya ingin mengusik pengirim dan moderator kumpulan e-mail tersebut.

Berdasarkan kepada peristiwa yang berlaku itu jelas memperlihatkan kepada kita bahawa politik adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan dari manusia. Sesungguhnya ilmu politik adalah satu disiplin ilmu yang membincangkan tentang pengurusan dan pentadbiran manusia dan orang politik adalah orang orang atau kelompok orang yang berfikir untuk mengurus dan mentadbir manusia. Setiap manusia akan telibat dalam politik sekurang-kurangnya politik pada diri sendiri dan pada keluarganya. Kegagalan memiliki kesedaran dan kefahaman politik adalah suatu kegagalan yang boleh menghancurkan institusi keluarga, masyarakat dan juga negara.

Walau pun dalam kisah yang terbawa ke dalam kumpulan e-mail tersebut adalah merupakan kisah berok main bola namun kalau diperhatikan dalam keseluruhan konteks perbincangan ahli-ahli parlimen yang terheret ke dalam perbincangan tersebut jelas menampakkan yang ia merupakan cerita politik. Ahli Parlimen Pasir Mas ini merupakan seorang ahli parlimen yang sudah tidak mendapat tempat lagi dalam kalangan parti-parti pembangkang juga pemerintah. Sikapnya dalam berpolitik menyebabkan beliau tidak laku lagi dan kini beliau terpaksa mencari tempat untuk survival politiknya.

Oleh yang demikian, apa sahaja yang di bawa oleh ahli parlimen ini akan lebih kepada mencari keuntungan politik. Dulu,beliau pernah bercakap soal proto-type roket (pr), kambing dan kini berok main bola pula. Dalam cerita berok main bola ini nampaknya beliau boleh berbangga kerana provokasinya mendapat layanan istimewa ahli-ahli dewan sama ada dari Pakatan Rakyat mahu pun Barisan Nasional. Apakah ia merupakan suatu keseriusan dalam memberi cadangan atau sekadar untuk melepaskan tekanan dalam persidangan itu adalah persoalan nombor dua kerana bagi seorang ahli politik seperti beliau (beliau sahaja) mencari keuntungan politik adalah jauh lebih penting dari kepentingan rakyat. Jelas, beliau memang berjaya kerana tindakan beliau telah dilayang begitu istimewa oleh ahli-ahli dewan yang lain dan kemudiannya telah mendapat liputan di dalam akhbar tempatan. Cerita beliau mencadangkan agar berok main bola telah diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia. Di sinilah keuntungan politik yang dicari oleh beliau.

Adalah sesuatu yang tidak seharusnya menjadi amalan kepada manusia dengan menghalang perkembangan kesedaran dan kefahaman politik. Ayat-ayat seperti "anda dilarang menyentuh isu-isu politik, agama dan perkauman", "perbincangan kita harus tidak menjurus kepada persoalan politik dan isu-isu sensetif", "perkara politik tidak dibenarkan di sini bagi menjaga keharmonian" dan "persatuan ini tidak membenarkan semua aktiviti bercorak politik, agama dan perkauman kerana kita lebih mementingkan perpaduan dalam persatuan" adalah merupakan yang menjadi halangan kepada kesedaran dan kefahaman berpolitik. Sesungguhnya proses berpolitik adalah satu proses murni bagi menjaga dan mengurus manusia agar sentiasa tebbela dan terlindung dari pelbagai anasir yang boleh mengganggu manusia dan kemanusiaan. Proses berpolitik ini akan melibatkan perbincangan, mesyuarah, teguran, bantahan, kritikan, dialog, perdebatan dan pelbagai lagi yang lebih bertujuan untuk memperbaiki lagi kehidupan manusia yang terlibat dalam proses politik berkenaan.

Persoalannya, pihak-pihak yang bercakap tentang ketidak bolehan berpolitik dalam organisasi mereka sering berpolitik lebih dahsyat dari parti-parti politik sendiri. Mereka akan menggunakan segala keadaan yang ada untuk menjatuhkan lawan masing-masing khususnya ketika berlaku pemilihan jawatan dalam persatuan. Ketika ini mereka lupa akan segala larangan berpolitik yang mereka buat sendiri malah aktiviti mereka dengan menganjurkan majlis makan, berbincang di kedai kopi, terserempak di dalam bas atau lrt akan diguna untuk menonjolkan diri agar terpilih sebagai pemimpin yang layak. Bila ini berlaku maka satu persoalan yang bermain di benak kita adalah apakah mereka ini faham atau tidak berkenaan politik sehingga mereka membuat peraturan untuk dilanggar.

Rasulullah SAW sendiri dalam sirah perjuangan baginda penuh dengan kebijaksanaan politik. Allah sendiri mengatur sirah baginda melalui pelbagai peristiwa yang boleh diambil pengajaran politik darinya untuk kita gunakan dalam kita berpolitik pada diri kita sendiri, keluarga, masyarakat atau negara. Peristiwa-peristiwa besar seperti mengangkat hajar aswad ke tempat asalnya setelah Kakbah diperbaiki semula, pertemuan dengan pendita yang menasihatkan bapa saudaranya untuk menjaga muhammad SAW dengan baik agar tidak terserempak dengan Yahudi dalam perjalanan urusniaganya, perkahwinan baginda dengan Siti Khadijah, Pertemuan dengan pendita buta iaitu Warkah bin Naufal selepas mendapat wahyu. perisytiharan da'wah secara terbuka di Mekah, hijrah nabi ke Madinah, Peparangan-peperangan yang berlaku selepas lahirnya negara madinah dan begitu banyak lagi peristiwa adalah segalanya ada nilai politik di dalamnya yang harus menjadi penduan kepada kita dalam meredah hutan dan rimba kehidupan ini.

Kurangnya kesedaran dan kefahaman politik merupakan suatu masalah yang boleh meruntuhkan sesuatu tamadun kepada sesuatu bangsa. Keadaan ini mengakibatkan masyarakat hilang daya juang untuk mempertingkat dan mempertahankan kejayaan sesuatu bangsa itu. Kerosakan-kerosakan yang ada dalam masyarakat tidak mendapat teguran dari rakyat dan mengakibatkan sang penguasa menjadi lalai dengan segala kerosakan-kerosakan itu. Di pihak musuh pula mereka akan dengan mudah menyerang bangsa yang lemah pollitiknya itu dengan berbagai cara yang halus dan nyata. Rakyat akan tidak mampu menilai apa yang datang kepada mereka sama ada datangnya dari penguasa atau anasir luar itu merupakan kebaikan atau kehancuran. Akhirnya, peristiwa seperti yang berlaku di Bosnia, Iraq dan banyak tempat lagi akan menimpa bangsa yang lemah daya berpolitiknya.

Hakikatnya, Musuh-musuh sesuatu bangsa itu juga berpolitik untuk menghancrkan kita. Perhatikan sahaja bagaimana Amerika Syarikat dan Israel berpolitik dalam isu Palastin. Mereka menggunakan semua kekuatan yang ada pada mereka untuk melindungan negara haram Israel dan kekuatan utama mereka adalah merupakan kekuatan politik di peringkat antarabangsa melalui PBB dan seumpamanya. Ia termasuk juga dengan apa yang berlaku di Iran dan Afghanistan serta semua negara di dunia ini. Amerika Syarikat dan Isrrael seolah menjadi pemilik dunia ini dengan menjadikan orang lain sebagai bahan ratahan mereka.

Kini, lihat pula bagamana kesedaran politik yang ada pada penduduk Ghaza. Kekuatan iman, kesatuan aqidah, wala kepada kepimpinan ulama yang ada di Palastin membuat mereka benar-benar manusia yang hebat. Walau pun mereka secara zahir menderita dan terjajah oleh kezaliman Amerika Syarikat dan Israel namun jiwa mereka merdeka sehinggakan mereka mampu hidup di atas segala kepungan dunia. Penyerahan mereka bulat kepada Allah yang maha Gagah lagi Perkasa. Dengan kekuatan yang ada pada mereka itulah, mereka berjaya membentuk kesedaran politik yang tinggi sehingga mampu menolak kereta kebal Israel dengan anak-anak batu.

Bagi kita pula, semoga kisah berok main bola ini akan dapat mengubah persepsi kita tentang politik. Ingat, kita harus meninggalkan warisan kepada anak-anak bukan meninggalkan igauan buat mereka.

Tiada ulasan: