Rabu, 30 Jun 2010

Azmin tidak ghairah jadi MB

MB
Mohd Rashidi Hasan

 

Dipetik dari harakahdaily.

 

NAIB Presiden KeADILan, Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak tertentu bahawa beliau 'budak jahat' yang mahukan Menteri Besar Selangor,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan.

Tegas Azmin, beliau menyokong penuh Khalid sebagai MB Selangor dan sekarang ini bukan masanya untuk Khalid diarahkan meletakkan jawatan.

"Semasa diretreat (pemukiman) KeADILan, saya duduk di sebelah Tan Sri (Khalid), saya katakan dengan jelas kepada semua yang hadir, ya memang saya ada masalah
dengan Tan Sri, tetapi saya tidak sekali-kali mahu merampas jawatan beliau.

"Malah dengan jelas saya tawarkan kepada parti, saya sanggup melepaskan jawatan Adun Bukit Antarabangsa, supaya dengan itu tiada lagi spekulasi bahawa
saya mahu merebut jawatan MB," tegasnya.

Begitulah penegasan Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, kepada penulis ketika kami sembang-sembang di Parlimen, 29 Jun lepas.

Azmin jelas menunjukkan kekecewaan beliau, terhadap sesetengah pihak sama ada blogger dalam KeADILan dan pucuk kepimpinan tertentu yang sengaja 'mislead'
dan memperbesar-besarkan isu jawatan MB.

Menurut Azmin, sebagai Naib Presiden parti, suatu jawatan kanan yang disandang, beliau berhak untuk membuat teguran dan kritikan kepada mana-mana pihak,
khususnya pemegang-pemegang jawatan dalam kerajaan negeri.

"Yang saya mahu ialah mereka 'deliver' untuk kepentingan parti dan rakyat, bukan saya mengkritik kerana hendak merebut jawatan.

"Saya tidak gila kuasa, malah saya tegaskan kepada Ketua Umum (Dato' Seri Anwar Ibrahim), saya meletakkan jawatan sebagai Pengarah PKNS atas dasar prinsip,
saya tidak gila kuasa, saya tidak gila untuk jadi MB," katanya bersungguh-sungguh.

Merujuk kepada jawatan Pengerusi Perhubungan KeADILan Selangor, menurut Azmin, dalam retreat tersebut beliau dengan tegas menolak jawatan itu.

"Tetapi ini arahan Ketua Umum, arahan parti, saya akur walaupun berat hati saya hendak menerimanya," ujar beliau.

Masalah yang timbul di antara Azmin dengan Khalid digembar gemburkan oleh media, sebagai menunjukkan keretakan dalaman KeADILan yang serius.

Mahupun Azmin ataupun Khalid, tidak menafikan wujudnya perbezaan dalam isu-isu tertentu, tetapi ia hanya membabitkan perbezaan pendekatan, bagaimana yang
terbaik untuk memperkukuhkan imej Pakatan Rakyat di mata rakyat.

Keputusan yang dibuat oleh Anwar dengan mengkhususkan tugasan Khalid sebagai MB Selangor, Azmin sebagai pengerusi negeri dan pengerusi Wilayah Persekutuan
yang disandang Azmin kepada Dato' Zaid Ibrahim sebagai suatu penyelesaian yang terbaik.

Penganalisis berpendapat isu terbabit dapat diselesaikan dengan lunak dan masing-masing yang didakwa bertelagah, mempunyai tugas dan peranan khusus dan
seharusnya lebih fokus.

Dakwaan pertelagahan dalaman KeADILan ini menarik minat bekas MB Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo untuk memberi komen, kononnya ia bukanlah suatu penyelesaian
kerana dakwanya, KeADILan ada tiga nakhoda di negeri tersebut.

Khir mendakwa perjalanan parti dan kerajaan tidak dapat berjalan dengan baik kerana wujud individu yang berbeza atas jawatan utama di negeri.

"Buat apa kita hendak ikut Umno, memang kerja depa (mereka) kuasai pengerusi negeri dan kerajaan negeri. Ini pemusatan kuasa yang akan melahirkan diktator
sahaja," tegas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Mohd Yusof.

Tegasnya, dalam KeADILan tidak akan wujud diktator kerana mereka menjalankan pentadbiran secara pemuafakatan.

"Khir Toyo tidak payah pertikai Pakatan Rakyat, dia di Selangor pun banyak masalah dalaman Umno yang kelam-kelibut," ujarnya.

Isu ini juga menarik perhatian Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

"Apa masalahnya wujud perbezaan jawatan MB dengan pengerusi negeri? Dalam PAS pun semasa kita perintah Perak, MB Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin,
manakala Pengerusi Perhubungan PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang.

"Buat apa kita hendak mengikut cara Umno-BN?" ujarnya. Dengan tegas Ahli Parlimen Shah Alam itu mempertegaskan sokongan PAS untuk terus memperkukuhkan
kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Apa pun keadaan yang berlaku, nampaknya Umno-Barisan Nasional tidak akan henti-henti membuat serangan untuk menjatuhkan kredibiliti Pakatan Rakyat, khususnya
parti KeADILan.

KeADILan, khususnya yang menerajui Kerajaan Negeri Selangor, seharusnya berusaha mengelakkan isu-isu sebegini timbul kerana ianya amat merimaskan rakyat
yang menyokong kita.

Abdul Khalid harus lebih fokus dan mesti melaksanakan keputusan yang diarahkan parti, supaya kerajaan negeri ditadbir mengikut acuan Pakatan Rakyat.

Azmin harus lebih berhati-hati, supaya selepas ini sebarang tindakan dan kenyataan beliau, tidak dilihat sebagai suatu penentangan ke atas kepimpinan Khalid.

Dan, terutama sekali Anwar harus melihat isu-isu yang berlaku sebegini, boleh menggugat persepsi rakyat terhadap kepimpinannya, yang mungkin menjejaskan
peluang Pakatan Rakyat di peringkat Persekutuan.

Yang lebih penting, Anwar dan KeADILan sendiri, harus lebih sedar, bahawa banyak lagi 'peluru berpandu' akan dilepaskan Umno-BN menjelang PRU ke-13 nanti.

Kita seharus lebih berhati-hati, supaya hasrat kita untuk memerintah negara selepas PRU ke-13, menjadi realiti bukannya 'mimpi yang tak sudah'.

Sabtu, 26 Jun 2010

KISAH 40 ULAMA

"Niat inson matakaji semar ngising". Rasanya itulah yang dibaca oleh salah seorang dari 40 ulama yang menyertai UMNO malam tadi yang mungkin merupakan ketua mereka. Mungkin juga jampi yang dibaca oleh P. Ramli untuk membuka gua dalam filem Ali Baba Bujang Lapok itu telah dibaca oleh Ali Baba sehingga tebukanya pintu gua itu untuk ulama-ulama berkenaan masuk. cuma satulah, diharap para ulama itu tidak menjadi seperti Kasim Baba yang terlupa jampi berkenaan setelah melihat kemewahan kerana mana tahu satu masa nanti mereka terpaksa mencari jalan keluar supaya dapat mengelak dari menerima nasib seperti Kasim Baba. Sesungguhnya Anwar Ibrahim adalah Kasim Baba yang terlupa untuk mengingat jampi buka pintu gua itu di hari-hari akhirnya dalam UMNO.

Seandainya kemasukan 40 ulama yang dikatakan berpendidikan tinggi (di sana apakah ada ulama yang tidak berpendidikan tinggi) ditunjangi oleh keikhlasan dan kebaikan insya Allah natijahnya adalah kebaikan juga. Bagi kita umat Islam walau macam mana buruk pun UMNO mereka tetap Moslim dan Melayu dan kita terlalu mengharap kebaikan dari mereka. Moga kemasukan para ulama ini akan menberi sinar baru dalam perjuangan UMNO. Ini ditambah pula dengan status mereka yang dikatakan sebelum ini sebagai ulama berpendidikan tinggi.

Biar apa pun yang kita fikirkan berkenaan kemasukan ini, sebenarnya mereka telah pun ada ujian awal iaitu judi sukan yang telah mendapat banyak bantahan dari pelbagai pihak. Isu judi inilah yang akan menentukan sama ada para ulama ini benar-benar boleh berfungsi sebagai "pewaris nabi" atau hanya sekadar "syaitan bisu" atau "terompah buruk" di dalam UMNO. Masyarakat akan pasti menanti sejauh mana mereka mampu menjadi golongan yang boleh mempengaruhi Najib berbanding dengan institusi lain yang lebih tua seperti perhubungan UMNO negeri atau Pergerakan pemuda bagi membatalkan lesen judi sukan ini. Andai itu berlaku pasti ia adalah suatu suntikan baru bagi UMNO sekarang. Dalam masa terdekat ini, sekiranya judi sukan ini tidak dibatalkan maka lawan UMNO secara politiknya akan memperkecilkan para ulama ini yang seterusnya boleh mempengaruhi rakyat untuk lebih menolak UMNO dengan sentimen meminggir ulama.

Di pihak Najib pula, seharusnya di masa ini peluang harus diguna sebaiknya untuk membersihkan dirinya dari kejijikan lesen judi kelulusannya. Beliau dalam tempoh terdekat boleh membuat sidang media khas bersama para ulama berkenaan atau memnggunakan kesempatan menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-10 dengan berkata lebih kurang begini: "setelah berbincang dan mendapatkan pandangan dari ulama-ulama yang baru menyertai kita dalam UMNO, saya telah menbuat keputusan bahawa lesen judi dibatalkan. Pembatalan ini tidak ada kena-mengena dengan himpunan membantah judi yang dianjurkan oleh pihak pembangkang.". Dengan ini ia akan melonjakkan pandangan masyarakat terhadap para ulama berkenaan dan yang lebih penting lagi tanggapan orang Melayu terhadap UMNO. Setelah keadaan yang menguntungkan UMNO ini berlaku maka ketika itu kita pun boleh tahu apa yang akan berlaku kepada UMNO dan para ulama ini. UMNO akan meraih undi orang melayu sedang ulama-ulama itu akan jadi seperti biasanya kerana kalau dah UMNO tu UMNO juga lah. Sebab itu ada kewajarannya untuk ulama-ulama ini sentiasa mengingati jampi P. Ramli untuk membuka pintu gua itu bila masanya sampai nanti.

Saya juga akan menggunakan jampi tersebut tidak berapa lama lagi kerana ingin keluar dari guaa kecil yang saya masuk dulu kerana tak tahan dengan perangai penunggu gua tersebut.

KISAH ZAHID/LOKMAN, AZMAN/ZAKARIA DAN CIKGUNYA

Dua hari lepas, saya ada dimaklumkan oleh seorang kawan bahawa PERTIS ada memberi respon atas kritikansaya berkenaan Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS ke-15. Setelah mengunjungi posting tersebut yang kononnya menjelaskan apa yang saya kritik, saya mendapati ia hanya sekadar melepaskan batuk di tangga semata-mata. Saya ingin nyatakan di sini bahawa semua persoalan telahsaya kemukakan dengan penghujahan cetek saya kerana memburu publisiti murahan dan saya juga bukanlah seorang pemegang sarjana untuk bercakap dalam bentuk ilmiah menepati kehebatan cendikiawan yang dimiliki oleh penguasa "itu". Saya juga terlalu naif, hina dan lemah untuk memahami kandungan Perlembagaan PERTIS dan begitu bodoh sekali hingga hanya menilai sesuatu kerana bertindak atas khabar angin. Apa pun tahniah atas tulisan anda yang penuh dengan kematangan dan penuh dengan disiplin ilmu.

Walau apa pun PERTIS tetap melanggar perlembagaan bab iv, perkara 7, kurungan 5 kerana perlembagaan tidak bertolak ansur dalam perkara berkenaan. Sekali lagi ingin saya pertegaskan bahawa tiada satu peruntukan pun yang membolehkan PERTIS menangguhkan Mesyuarat Agung kecuali dengan kebenaran Mesyuarat Agung juga sebagaimana yang diperuntukan dalam Bab iv, perkara 7, kurungan 3. Itu sahaja penangguhan yang dibenarkan oleh perlembagaan.Kalau sekali dalam masa empat atau lima tahun mungkin boleh diterima tapi kalau dua kali dalam tempoh setahun "tepuk dada tanyalah iman masing-masing"

Gambaran ahli PERTIS, PERTIS dan Pendaftar pertubuhan ibarat cerita di bawah kerana itu yang dijelaskan dalam perlembagaan. Ahli PERTIS ibarat Azman/Zakaria, PERTIS ibarat Zahid/Lokman dan cikgu ibarat ROS.

Zahid/Lokman nak pergi ke Cameron Highland. Dia berkata dengan ayahnya, Azman/Zakaria, "Ayah saya nak pergi ke Cameron Highland. Cikgu dah benarkan." Zahid/Lokman pun pergi tanpa memperdulikan keizinan ayahnya. Apa perasaan Azman/Zakaria? Siapa yang patut Zahid/Lokman patuh, Azman/Zakaria atau gurunya?

Renungkanlah wahai pemimpin yang berkenaan. Di bawah diperturunkan tulisan PERTIS itu.

"Dalam tulisannya melalui blog http://www.anakkampungdelek.blogspot.com semalam, penulis blog berkenaan telah menggambarkan bahawa Jawatankuasa Pusat Persatuan
ini (PERTIS) seolah-olah telah melanggar Perlembagaan PERTIS apabila mengadakan mesyuarat agung tahunannya melepasi tarikh 30 Jun.

Memang benar, dalam Perlembagaan PERTIS, tarikh akhir untuk PERTIS mengadakan mesyuarat agung tahunannya ialah pada 30 Jun setiap tahun. Peruntukan ini
termaktub pada perkara 7 (5) Perlembagaan PERTIS.

Namun demikian, pihak Jawatankuasa Pusat, setelah berusaha keras, tidak dapat mencari tarikh yang sesuai untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya sebelum
30 Jun tahun ini. Ia disebabkan pelbagai halangan yang tidak dapat dielakkan.

Untuk mengatasi masalah di atas, Setiausaha Agung PERTIS, En. Abu Hassan Ashari Razak telah mengadakan perbincangan dengan pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS)
dan hasilnya, pihak ROS telah bersetuju untuk memberi kebenaran kepada PERTIS untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya melepasi tarikh 30 Jun untuk
tahun ini. Susulan daripada itu, pihak PERTIS telah menulis surat kepada ROS untuk mendapatkan kebenaran secara bertulis mengenai hal di atas. Secara lisan,
pihak ROS telah bersetuju memberikan kebenaran kepada PERTIS untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya untuk tahun ini melepasi tarikh 30 Jun.

Pengumuman dan notis mesyuarat agung tahunan PERTIS bagi tahun ini akan mula dikeluarkan seawal-awalnya pada minggu yang bertarikh 31 Mei nanti.

Kami memang mengalu-alukan sebarang komen, teguran, kritikan, cadangan atau apa sahaja ulasan yang boleh memajukan lagi persatuan yang masih bertatih ini.
Walau bagaimanapun, kami sangat-sangat mengharapkan semoga komen dan tulisan yang hendak disasarkan kepada Persatuan ini hendaklah dilakukan secara lebih
bertanggungjawab dan bukan sekadar untuk menggunakan PERTIS sebagai jalan mudah untuk mencari publisiti murah. Kami penuh yakin, penulis blog berkenaan
hanya mendengar khabar angin yang tidak rasmi dan tidak pun mengetahui secara terperinci mengenai penangguhan mesyuarat agung tahunan PERTIS untuk tahun
ini. Kami juga yakin, sumber penulisan penulis berkenaan sekadar Perlembagaan Persatuan dan juga khabar angin. Menurut Setiausaha Agung, penulis Blog berkenaan
juga tidak ada menghubungi beliau (Setiausaha Agung) untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai apa yang ditulis dalam blognya.

Walau bagaimanapun, kami di PERTIS tetap mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada penulis blog berkenaan kerana sikap prihatinnya kepada PERTIS."

Tutup tempayan budu kerajaan Hasanhusaini

Awal millenium, pasca kekalahan besar parti pemerintah di dua negeri Pantai Timur selepas ditiup gelombang reformasi, desas desus militan bakal mengamuk
timbul. Heboh diperkatakan di seluruh tanah air, dada-dada akhbar terpampang tajuk-tajuk dengan tulisan gemuk hitam. Sekolah Agama Rakyat (SAR) menjadi
mangsa tuduhan yang tidak berasas itu.

Tidak sedikit guru-guru dari SAR berpindah khemah mendaftarkan diri ke Kementerian Pelajaran Malaysia. Tidak sedikit juga jumlahnya pelajar yang sedang
khusyuk dilentur dan diasuh di bawah teduhan atap zink lusuh yang menjadi atap SAR dipindahkan ke sekolah kementerian oleh  ibu bapa yang melatah dengan
isu tersebut. Yayasan Islam Kelantan bagaikan lumpuh seketika. Gergasi pendidikan Kelantan, Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan juga merasai tempias
itu. Saya yang masih berada di pondok tahfiz juga tidak terkecuali. Sanak-saudara yang 'nipis akidahnya' mendesak ibu agar memindahkan sahaja saya dari
'pondok militan' ke sekolah kementerian.

Tangkapan ISA dikenakan kepada beberapa individu yang tidak berdosa. Kebanyakan mereka adalah pimpinan mahasiswa dan pelajar lepasan Timur Tengah. Ustaz
Nik Adli Nik Abdul Aziz adalah salah seorang mangsanya.

Itu kisah awal Millenium. Kisah selepas parti pemerintah terdesak dengan kekalahan besar di dua negeri. Kisah selepas gelombang reformasi menggegarkan kerusi
empuk memanda Perdana Menteri.

Kisah hari ini

Awal 2009, seorang MP Pakatan Rakyat mendedahkan adanya benih-benih idea dan pemikiran Israel dalam pentadbiran negara. Pembuktian dan pembongkaran bermula
dengan proses pembelian Jet Sukhoi, krisis helikopter Nuri, kapal selam dan beberapa lawatan pimpinan negara ke Amerika Syarikat serta pertemuan Menteri
Pertahanan Malaysia bersama Ehud Barak, pemimpin kerajaan haram Israel pada Jun 2009 di Perancis.

Hasil dari itu, satu gerakan besar-besaran dijalankan untuk membasuh [baca: menutup] tuduhan itu. Kursus-kursus seliaan kerajaan [parti kerajaan] pastinya
akan mendoktrinkan pemahaman yang tidak menyenangkan kepada para peserta. Saya teringat sebuah kursus yang saya hadiri di sebuah negeri Pantai Barat. Fasilitator
mencucuk jarum kebangsaan dan menayangkan klip-klip video 'kajian' yang membuktikan bahawa beberapa orang figur parti oposisi berkait langsung dengan Yahudi,
zionis, Israel serta Amerika.

Saya tak suka dicucuk hidung. Saya lebih suka mengkaji sendiri. Mencucuk hidung saya bermaksud mengajar saya untuk memusuhi anda!

Beberapa bulan kemudian, satu kenyataan yang mengejutkan semua pihak dibuat oleh MP PR tersebut. Malaysia telah melantik Israel melalui proksinya Apco Worldwide
melalui Ethos Consulting untuk memberi tunjuk ajar serta nasihat kepada kerajaan tentang perkara-perkara tertentu. Kenyataan itu seakan terbukti benar
apabila PM melancarkan slogan One Malaysia yang dikaitkan langsung dengan One Israel tidak lama sebelum itu. Selesai.

Sebulan yang lepas, 29 Mei 2010. Lebih sepuluh rakyat Malaysia ditahan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa selepas Kapal Mavi Marmara diserang
secara haram lagi zalim oleh tentera Israel. Beberapa hari kemudian, tangkapan kedua dibuat selepas Kapal Rachel Corrie ditahan dengan cara yang sama oleh
tentera Israel. Kedua-dua kapal tersebut sedang dalam perjalanan ke Pelabuhan Gaza bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Serangan dan penangkapan  itu mendapat kecaman hebat dari seluruh dunia. Malaysia agak malu-malu menyatakan kutukan. Amerika pula mengambil masa lebih 10
jam untuk menyatakan pendirian. Tak seperti negara-negara lain yang lebih awal menyatakan pendirian penentangan terhadap serangan tersebut. Lebih menjanggalkan,
kedua-dua kapal yang diserang dan ditawan serta dirampas Israel itu dinaiki sama oleh rakyat Malaysia!

Lebih menghairankan lagi, tidak sampai sebulan selepas serangan Israel ke atas Kapal Mavi Marmara dan Rachel Corrie, Malaysia mengisytiharkan perang ke
atas Jemaah Islam dan militan di Malaysia. Beberapa individu penting terlibat dengan tuduhan sembrono termasuk Dr. Asri, Dr. Juanda dan Tuan Guru Haji
Abdul Hadi Awang.

Saya berkira-kira, apakah tujuannya isu JI dan militan ini dibongkar semula secara besar-besaran? Dua jawapan bermain di kepala. Ia sama ada kerana mendapat
nasihat dari Israel melalui Apco mahupun Amerika disebabkan ketegasan sesetengah rakyat Malaysia dalam isu kezaliman Israel ke atas Gaza ataupun sebagai
penutup isu-isu besar yang sedang berlegar di minda rakyat Malaysia hari ini. Isu Apco, kerugian Felda, kerugian telaga blok M dan L, enjin jet, kapal
selam, rampasan royalti Kelantan, kewangan defisit negara, kezaliman polis serta judi bola dan pelbagai isu-isu lain. Justeru, jangan mudah tenggelam dengan
isu JI dan militan.

Namun, persoalan seterusnya timbul, siapa militan...? Siapa pula JI...? Militan dalam Kamus Dewan Bahasa ialah:

- Bersedia untuk berjuang.

- Bersemangat dan jati diri yang tinggi.

- Aktif dalam perjuangan.

Maka, saya juga ingin mengaku sebagai militan kerana saya bersemangat, saya sememangnya sentiasa aktif berjuang di dalam dakwah Islam dan saya mempunyai
jati diri yang tinggi. Saya juga ahli Jemaah Islam kerana saya adalah muslim yang tegar dengan syahadah dan aqidah. Saya thabat dengan Islam sebagai deen
dan perlembagaan hidup. Apakah saya juga akan ditangkap...?

Namun di sudut lain pula, andai skrip di awal millenium digunapakai pada hari ini, maka sasarannya adalah golongan agama. Sekolah agama, pelajar agama,
persatuan agama, guru agama dan institusi agama dan institusi ulama.

Maka, bersiap sedialah wahai golongan yang menjadikan Islam sebagai panduan hidup, anda mungkin termasuk dalam senarai JI atau militan di Kementerian Pertahanan
Malaysia.

Para pimpinan dan penggerak Pakatan Rakyat umumnya dan PAS khususnya perlu bersedia. Para pimpinan mahasisawa dan Persatuan Mahasiswa Islam di kampus-kampus
juga perlu berhati-hati. NGO-NGO Islam juga harus beringat-ingat. Pelajar-pelajar Timur Tengah juga tidak akan ketinggalan. Mesir, Syria, Jordan, Saudi,
Yaman dan yang sewaktu dengannya. Tidak kurang juga kepada rakan-rakan yang berorganisasi [militansi?] dengan cara Islam di negara-negara Eropah. Anda
semua mungkin sasaran Israel!!

Anda akan dijadikan penutup tempayan budu yang berulat kerajaan. Menutup isu-isu besar negara dari pandangan rakyat bawahan.

Hasanhusaini,

Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

 

Dipetik dari harakahdaily.

Ahad, 20 Jun 2010

PANTASNYA MASA

Dalam menjalani kehidupan harian bersama isteri dan anak-anak, menelusiri perjalanan harian yang lebih kurang sama setiap hari, menempuh permasalahan yang mendatang dan membuatkan kadang-kadang hilang tumpuan lantaran ujian darimasalah itu dan melihat rezeqi yang diturunkan oleh Allah dengan sifat Rahman dan Rahimnya kepada keluarga, diam tak diam, mahu tak mahu, kini, blog ini yang lahirnya kerana hasrat yang selama ini sukar untuk dipenuhi telah menjangkau satahun. Hari ini genaplah setahun usia dan saya amat berpuashati dengan kehadiran blog ini dalam hidup saya dengan izin Allah.

 

Sejarah awal saya mengenali blog adalah bermula dari hasrat ingin tahu beberapa perkembangan dan issu yang sukar dicari jawapan dalam media konvensional sedia ada seperti RTM, Media Prima dan akhbar-akhbar harian yang bersepah di dalam pasaran yang bagi saya sering menimbulkan hasrat untuk mencari kebenaran dan tidak pernah ditemui di dalamnya. Antara blog awal yang sering saya kunjungi dan sehingga kini menjadi kunjungan wajib bagi saya adalah Roslan SMS Corner, MSO Melayu, Datuk A. Kadir Jassin, Nubisha dan beberapa lagi. Roslan SMS Corner adalah blog pertama yang saya kunjungi dan blognya telah benar-benar membuat saya ingin berblog sama.

 

Kini, setelah setahun saya berblog, saya benar-benar mendapat kepuasan dalam meluahkan apa-apa yang terpendam dan terbuku dalam benak untuk kepentingan bersama. Sekali pun apa yang saya tulis tidak disenangi oleh orang-orang tertentu namun itu adalah lumrah biasa kerana tiada kesempurnaan dari yang menulis atau yang menbaca. Selama mana saya tidak menyerang peribadi individu tertentu dan tulisan-tulisan berkenaan  adalah datangnya berdasarkan pengalaman dan pemerhatian yang di dalamnya saya cuba letakkan keikhlasan maka di situlah nilai yang ada yang saya yakin perlu untuk saya teruskan.

 

Di sini, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi mengunjungi blog yang tidak seberapa ini dan terima kasih juga di atas teguran-teguran yang anda berikan. Insya Allah saya akan terus menulis berdasarkan apa yang saya rasa nak tulis kerana blog ini adalah milik peribadi saya yang kandungannya saya izinkan untuk dikongsi bersama. Sebarang ketidakpuasan bolehlah diluahkan di dalam ruangan komen yang memang saya benarkan dan kalau boleh janganlah menumpang kekuatan orang lain untuk memperkecilkan pandangan saya. Gunakanlah kekuatan anda sendiri yang dikurniakan oleh Allah kerana sifat sedemikian sama seperti Orang-orang Israel yang berani berhadapan dengan Palastin hanya bila berada dibelakang kereta kebal dan perisai sahaja. Saya bukanlah oran hebat seperti anda kerana anda dan anda memiliki kehebatan yang tak sepatutnya pengecut kerana anda boleh menggunakan kelebihan akedemik sama ada bergelar sarjana muda, sarjana sejarah dalam bidang sejarah yang mengkaji khusus berkenaan sejarah perhutanan.Anda hebat sedang saya kerdil. Inilah kemuncak kepada penghinaan terhadap hak saya sedang sedikit pun saya tidak pernah dan tidak berhasrat untuk menyerang mana-mana peribadi dalam tulisan saya. Hanya menuntut hak penjelasan secara perlembagaan maka saya telah dilayan dengan cara yang cukup profesional, akademik, ilmiah dan jelas melambangkan keunggulan ilmu dan kehebatan ilmuwan berkenaan dan individu berkenaan wajar untuk diangkat ke  persada kuasa agar menerima yang terbaik dari kekuasaan Allah. Sesungguhnya andai saya yang tersilap sehingga saya dihina sedemikian maka saya memohon keampunan dari allah tetapi seandainya ia semata-mata bertujuan untuk memalukan saya kerana dengki dan dendam, saya berda agar Allah akan memalukannya sebelum dia menemui ajalnya.

 

Demikianlah secebis pengalaman pahit yang saya alami dalam berblog ini dan moga ia akan memberi pengajaran kepada semua. Ingatlah, yang kelihatan hebat tidak semestinya hebat tetapi hakikatnya kehebatan itu datangnya dari Allah.

Jumaat, 18 Jun 2010

Terkenang 10/06/15: Ustaz Hasan arkitek tak bertauliah

Subky Latif   

ALMARHUM Dato  Fadzil Noor selalu menyifatkan Ustaz Hassan Shukri sebagai akitek tak bertauliah. Dan Almarhum Ustaz Hassan Shukri menerimanya dengan senyum
dan senang hati atas jolokan akitek  tak bertauliah itu kerana ia satu penghormatan kepada kebolehnannya membina bangunan yang ada hubungan kegiatannya.

Mithalnya Surau Tarbiyah di Taman Melewar, Batu Caves Kuala Lumpur. Surau yang dibina kerajaan itu diberi nama Surau Tarbiyah dipercaya dia yang memberi
namanya.

Nama Tarbiyah yang bermaksud pendidikan itu sangat dekat di hatinya. Apabila dia membina markaz PAS juga di Taman Melewar, lalu dinamakannya Martaz Tarbiyah
PAS Pusat pula.

Semasa dia menjadi Setiausaha Agung PAS di bawah pimpinan Haji Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor digalakkannya negeri dan kawasan PAS membina Markaz Tarbiyah
masing sebagai pusat pentadbiran parti dan sekali gus menjadi musalla.

Surau Tarbiyah tadi dibina mengikut pelan disediakan kerajaan. Selama lebih 30 tahun dia jadi pengurusi surau itu macam-macam pindaan dan tambahan pada
bangunan itu. Kebanyakan penyesuaian itu adalah mengikut reka ciptanya.

Ketika PAS di Wilayah Persekutuan dan PAS Pusat sukar untuk mendapatkan tempat untuk berbagai perhimpunan, Hassan Shukri, bekas Setiausasha Agung dan bekas
Timbalan Presiden PAS yang meninggal tengah hari 14 Jun 2004 lalu telah membelikan satu lot tanah untuk PAS Terengganu di sempadan Selangor di Taman Melewar
sebagai tapak rumah bagi pemimpin-pemimpin Terengganu yang selalu datang ke Kuala Lumpur.

Tetapi PAS Terengganu membiarkan saja tapak yang bersebelahan dengan rumah Ustaz itu. Saya selalu menganjurkan ceramah – kadang-kadang tiap-tiap minggu
di rumah Ustaz Hassan. Dia tidak pernah menolak. Tetapi bila ceramah berakhir pukul 12 malam, isterinya terpaksa mengemas rumah hingga pukul 2 pagi.

Ia mengganggu anak-anaknya yang masih kecil hendak bersekolah esoknya. Lalu saya berpakat dengan PAS Taman Melewar untuk memanfaatkan tanah PAS Terengganu
bagi mengadakan ceramah. Kami cadang untuk membinanya seperti kandang, memadai ada bumbung dan dinding ikut keadaan kerana ia tanah orang Terengganu. Ia
boleh mengambil tapak itu bila ia rasa ia mahu bina rumah.

Bila Ustaz Hassan mendengar cadangan itu dia pun mencadangkan supaya dibina Markaz Tarbiyah. Pelan asal  markaz itu digarisnya di atas tanah saja di depan
tukang dari Indonesia dan pelajar-pelajar lulusan kejuruteraan yang tinggal di sekitar kawasan itu.

Dari garis di atas tanah itu mereka mendirikan rangka bangunan. Bila terdiri tiang, ada pula yang menghantar pasir, simen, besi, kayu dan lain-lian. Kami
tidak banyak mengeluar modal. Ada orang datang untuk memberi belanja siling, ada yang menyumbangkan pintu dan  tingkap.

Dari semasa ke semasa Uztaz Hassan mengarahkan pelajar dan tukang-tukang itu buat begitu dan begini.

Bila siap bangunan itu ada pula lot-lot sebelah dan di belakang bangunan hendak dijual. Ustaz Hassan beli dan sambung pula markaz itu di lot yang baru
dibeli itu.

Sejak pertengahan tahun 1980an hingga tahun 2000 markaz itu bertambah besar dari semasa ke semasa kerana orang-orang di situ sedia pula menjual  tanahnya
pada Ustaz Hassan. Ustaz Hassan beli  lot-lot itu untuk PAS.

Setiap kali lot baru dibeli, Ustaz Hassan membentang pelan tambahan baru bangunan. Ustaz Fadzil yang tidak pernah membantah cadangannya menyerahkan saja
kepada budibicara akitek tak bertauliah itu.

Daripada sebuah bangunan dua tingkat asalnya, ia menjadi sebuah komplek yang ada dewan, bilik mesyuarat, pejabat pentadbiran, bilik solat bahkan ada pula
tempat orang menumpang bermalam. Rombongan bas dari Kedah dan Kelantan selalu singgah bermalam di situ.

Semua reka bentuk komplek itu hasil ciptaan Ustaz Hassan sendiri.

Dia tidak pernah belajar ilmu pertukangan. Dia adalah seorang lulusan agama. Tetapi dia minat dengan mereka bentuk rumah atau bangunan menjadikan dia tahu
teknik-teknik pertukangan.

Markaz Tarbiyah PAS itu adalah karya seninya.

Sejak terbinanya Markaz Tarbiyah itu PAS tidak sukar lagi mengadakan  Mukktamar. Sebelumnya PAS menyewa di Dewan Bahasa untuk bermuktamar. Kadang-kadang
muktamar terpaksa ditunda kerana kerajaan hendak menggunakan dewannya. Acap tempahan dibatalkan. Mungkin ia satu cara kerajaan membuli PAS.

Selepas markaz itu didirikan PAS bebas mengadakan berbagai kegiatan. Parti-parti yang bersekutu dengan PAS selalu memanfaatkannya.

Beberapa tahun lalu Pejabat Agung PAS berpindah ke Jalan Raja Laut di pusat bandar Kuala Lumpur. Markaz Tarbiyah tidak lagi jadi tempat pentadbiran. Ia
digunakan untuk kegiatan lain.

Sekarang markaz itu sedang dirombak untuk dijadikan kampus bagi kolej universiti Prof. Zuklifli Mohamad. Struktur bangunan itu dikekalkan tetapi renovasinya
banyak mengubah bentuk seni rekaan Ustaz Hassan Shukri itu.

Kata Ustaz Hassan pada saya kalau sebahagian  dari peralatan lama dikekalkan, banyak perbelanjaan dapat diselamatkan. Kalau peruntukannya katakannya satu
juta ssetengah, separuh daripadanya boleh diselamatkan untuk mentadbiran kolej itu nanti.

Akitek tak bertauliah itu memerhatikan saja pembinaan semula bangunan itu. Sebulan   dua lagi mungkin dapat disiapkan. Tetapi dia tidak sempat menyaksikan
bangunan itu disiapkan bagi fungsinya yang baru dan tidak dinamakan Markaz Tarbiyah lagi kerana secara mengejut dia dipanggil pulang ke Rahmatullah.

Tetapi dalam masa 25 tahun terakhir ini dia bolehlah dikira bapa pembinaan markaz tarbiyah, bukan saja bagi Markaz Tarbiyah PAS Pusat yang terseregam itu
tetapi markaz tarbiyah tumbuh di merata tempat untuk memberi laluan kepada umat mengembangkan agama Allah. 

Selasa, 15 Jun 2010

SYUHADA' MV MARMARA

Di bawah ini disenaraikan nama-nama mereka yang syahid dalam kapal mv Marmara 31 mei 2010 yang lalu demi menghantar bantuan ke Ghaza yang sekaligus telah mengantar rakyat Malaysia ke penjara Israel.

1. Ibrahim Bilgen, 61, seorang jurutera elektrik dari Siirt, Turki. Ahli Chamber of Electrical Engineers di Turki, berkahwin dan mempunyai enam orang anak.

2. Ali Haydar Bengi, 39, dari Diyarbakir. Graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Telah berkahwin dan mempunyai empat cahaya mata.

3. Cevdet Kiliçlar, 38, Seorang wartawan dari Kayseri, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai dua orang putera.

4. Çetin Topçuoglu, 54, dari Adana, Turki. Pemain bola amatur dan jurulatih taekwondo yang melatih atlet taekwondo Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang
cahaya mata.

5. Necdet Yildirim, 32, dari Malatya, Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

6. Fahri Yaldiz, 43, seorang ahli bomba di Adiyaman, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.

7. Cengiz Songür, 47, dari Izmir, Turki. Berkahwin dan mempunyai tujuh orang anak.

8. Cengiz Akyüz, 41, dari Iskenderun, Turki. Berkahwin dan mempunyai anak berusia 14, 12 dan 9 tahun.

9. Furkan Dogan, 19, as-syahid termuda dalam kalangan yang syahid, merupakan pelajar Kayseri High School. Anak kepada Dr. Ahmet Dogan, seorang professor
di Erciyes University. Warganegara Turki-Amerika dan mempunyai dua adik beradik.