Rabu, 6 November 2019

Catatan Parlimen: Siapa Yang Rasis Sebenarnya Wahai Jelutong.?

Catatan Parlimen: Siapa Yang Rasis Sebenarnya Wahai Jelutong.?
1. Agenda utama Sidang Dewan Rakyat pada hari ini ialah perbahasan Belanjawan 2020 peringkat jawatankuasa (kementerian) setelah ia diluluskan peringkat dasar pada malam semalam.
Pada peringkat jawatankuasa ini, Ahli Parlimen perlu memfokuskan perbahasan kepada perincian butiran peruntukan untuk setiap kementerian sepertimana yang terkandung di dalam Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2020 yang setebal 501 mukasurat.
Perbahasan belanjawan peringkat jawatankuasa akan berlangsung sehingga 28 November 2019.
2. Antara Ahli Parlimen PAS yang membahaskan peruntukan Jabatan Perdana Menteri ialah YB Bachok, Tumpat, Pendang, Setiu dan Pasir Mas. Mereka menyentuh berkenaan peranan dan keberkesanan institusi Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.
3. Ketika sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, beliau menyentuh berkenaan pertambahan peruntukan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bagi tahun 2020 yang naik lebih RM30 juta. Beliau bertanya adakah kenaikan peruntukan sebanyak itu berbaloi.? Hal ini kerana petunjuk prestasi utama prestasi outcome Program Pembangunan masyarakat yang harmoni dan seimbang pada tahun 2020 hanya bertambah 0.03 iaitu daripada 0.57 pada tahun 2018 kepada 0.60 pada tahun 2020.
4. Beliau turut meminta penjelasan adakah pihak kerajaan menghadapi beban tugas yang banyak terutama dalam memantau kenyataan-kenyataan Menteri yang menggugat perpaduan?
Beliau memberi contoh ucapan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan pada 3 November 2019 yang telah menabur fitnah yang dahsyat kepada PAS dan UMNO.
Tatkala YB Pasir Mas mula membaca petikan ucapan fitnah jahat Lim Guan Eng, sepantas kilat YB DAP Jelutong terus menggelupur kepanasan.
YB DAP Bukit Bendera turut bangun menuduh YB Pasir Mas membawa "fake news" (berita palsu) ke dalam dewan.
Suasana dewan menjadi agak hangat kerana Jelutong mencabar YB Pasir Mas mengulangi apa yang disebut itu di luar Dewan.
YB Pasir Mas dengan tegas tetap mempertahankan kenyataan yang dibacanya di dalam dewan mahupun di luar dewan.
5. Pelik bukan.? Ahli Parlimen DAP sendiri tidak tahu atau sengaja buat-buat tidak tahu ucapan Lim Guan Eng, pemimpin ulung sanjungan mereka sendiri.
Kasihan Jelutong ini, hendak mengampu pun tidak bertempat, menyokong membabi buta inilah padahnya.
Untuk makluman YB DAP dan sekalian juak PH, YB Pasir Mas bukan mengutip berita ucapan itu daripada tepi jalan mahupun longkang busuk, ia dipetik daripada laman web rasmi DAP sendiri (www.dapmalaysia.org).
Tajuk artikel tersebut ialah; "Speech by DAP Secretary-General and MP for Bagan Lim Guan Eng at the DAP Johor State Annual Convention in Muar on Sunday, 3rd November 2019".
6. Antara fitnah jahat yang dibuat oleh Lim Guan Eng terhadap PAS dan UMNO ialah;
"Worse any victory by MCA in the Tanjung Piai by-election may lead to endorsement of the racist and extremist religous philosophy of both PAS and UMNO, where :-
1) Non-Malays or non-Muslims do not deserve to hold Ministerial positions in Cabinet;
2) Vernacular schools teaching mother-tongue languages should be closed down;
3) Non-Muslims especially Christians, cannot gather for their religious prayers;
4) Boycotting non-Muslim products and businesses; and
5) Labelling non-Muslim and non-Malays who oppose them as pigs, terrorists and communists."
7. Jelas ucapan tersebut teramatlah rasis dan fitnah yang amat jahat. Lim Guan Eng mendakwa sekiranya MCA menang pada PRK Tanjung Piai ia membawa makna pengiktirafan kepada falsafah perjuangan PAS dan UMNO yang berunsur perkauman dan ekstremis agama.
Lim Guan Eng menuduh muafakat antara PAS dan UMNO akan menyebabkan;
1) orang bukan Melayu dan bukan Islam tidak akan dapat bergelar Menteri Kabinet
2) Sekolar Vernakular akan ditutup
3) Penganut bukan Islam khususnya Kristian tidak lagi dapat berkumpul untuk amalan agama
4) Produk dan perniagaan bukan Islam diboikot
5) Orang bukan Melayu dan bukan Islam dilabel sebagai babi, komunis dan pengganas
8. Wah, semudah itu Lim Guan Eng kesayangan PAN ini memfitnah PAS dan UMNO. Rekod pemerintahan PAS sebagai Kerajaan Negeri Kelantan dan Negeri Terengganu serta UMNO sebagai Kerajaan Persekutuan Malaysia adalah bukti yang paling terang lagi nyata bahawa apa yang diomong oleh Lim Guan Eng merupakan palsu dan fitnah yang melampau.
Adakah pernah berlaku kes orang bukan Melayu dan bukan Islam disekat daripada beribadat di kuil, tokong dan gereja di negeri di bawah pentadbiran PAS.?
Adakah anak-anak orang Cina, India dan Siam dihalang daripada pergi ke sekolah di Kelantan.?
9. Adakah Lim Guan Eng mahu menafikan akan hakikat fakta bahawa sememangnya pemimpin mereka bersekongkol dan terlibat dengan penyebaran ideologi komunis dan pengganas.?
Tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa pada era pentadbiran Kerajaan PH pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sekarang.
Adakah Lim Guan Eng sudah terlupa bahawa dia sendiri sebagai Setiausaha Agung DAP dan Tan Kok Wai Pengerusi DAP yang menulis prakata komik propaganda komunis yang sudah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada era pentadbiran Kerajaan PH ini.?
Adakah Lim Guan Eng sudah terlupa bahawa antara yang ditahan di bawah SOSMA dan didakwa di mahkamah atas pertuduhan terlibat dengan aktiviti kumpulan pengganas LTTE merupakan pemimpin DAP sendiri.?
Mereka semua juga dikenakan tindakan pada era pentadbiran Kerajaan PH ini.
Jadi, mengapa DAP yang juga sebahagian daripada Kerajaan PH mahu mempertikaikan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa di bawah Kerajaan PH sendiri.?
Parti komponen Kerajaan menentang dasar Kerajaan PH sendiri. DAP menjadi Pembangkang dalam Kerajaan.
Bukankah ini gila namanya bukan.?
10. Oleh kerana DAP kian tertekan dengan pelbagai kecaman rakyat terhadap mereka maka langkah yang paling mudah ialah memangsakan PAS dan UMNO sebagai "punching bag" untuk dipersalahkan.
Ucapan jahat Lim Guan Eng ini bukanlah kali pertama.
Sebelum ini dia menuduh kerjasama PAS dan UMNO akan mewujudkan Kerajaan ala Taliban.
Yang paling rasis ialah DAP dan jejak langkah itu sudah mula diikuti oleh anak didik kesayangan mereka iaitu PAN.
11. Cuba dengar sendiri apa ucapan Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden PAN ketika kempen di PRK Tanjung Piai.
Dia menakutkan orang bukan Melayu di sana dengan berkata negara akan huru-hara sekiranya PAS dan UMNO memerintah Malaysia.
Bapa borek- anak rintik.
Ke manakah tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Suka atau tidak, rakyat sememangnya dapat menilai sendiri bagaimana PAN hanyalah mengikut acuan rasis DAP.
Catatan oleh;
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
05 November 2019

PRK TANJUNG PIAI - WEE JECK SENG (MCA)*

“MCA bertanding PAS kena serang” - Ramai Orang Islam Terkeliru..
1. Dari sudut hukum, sesudah terbentuk "Piagam Muafakat Nasional", adopsi "Piagam Madinah", orang perlu yakin bahawa pendirian PAS menyokong calon MCA dalam PRK Tanjung Piai tidak bercanggah dengan ayat Alu Imran/28 tersebut, kerana sesudah pemetrian Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO, yang tidak dibangkang oleh MCA dan MIC sebagai komponen BN, PAS sudah berada dalam kedudukan 3D. Sudah ada muafakat rasmi berdasarkan syarat-syarat yang telah dipersetujui dengan UMNO, MCA dan MIC.
2. Maka, secara langsung, PAS sudah ada hubungan rasmi dengan UMNO yang telah bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh PAS dalam "MUAFAKAT NASIONAL." Secara tidak langsung pula, PAS sebenarnya sudah menjadi rakan baru 3D kepada MCA dan MIC yang sama-sama bersetuju menentang PH yang jelas didominasi oleh DAP.
3. Dalam kedudukan ini, dalam PRK Tanjung Piai, PAS hanya menyokong UMNO sebagai “abang besar” dalam BN untuk memastikan calon PH boleh dikalahkan. Dari sudut matlamat asas, kesemuanya bermaksud mengalahkan PH. Oleh itu, sokongan PAS adalah untuk mengalahkan PH yang jelas didominasi oleh DAP, walaupun pada pilihan raya kali ini BERSATU yang bertanding dengan mengenegahkan calon Melayu Islam yang akan menentang Cina Kafir MCA. Apa yang jelas, PAS mesti patuh kepada tuntutan Piagam Muafakat Nasional yang telah dipersetujui.
4. Kita sedia maklum, Muafakat Nasional adalah adopsi daripada Piagam Madinah. Piagam Madinah adalah satu muafakat yang telah mengajak semua umat Islam dan kafir Madinah (termasuk Yahudi Bani Quraizah, Bani Nadir dan Bani Qainuqaa’) untuk sama-sama menjaga Kota Madinah dari diserang oleh musyrikin Makkah. Orang PAS perlu faham bahawa mereka sekarang bergerak atas asas ini. Mereka ada kelonggaran untuk menyokong calon MCA di Tanjung Piai berasaskan kepada peruntukan piagam Muafakat Nasional.
5. Dalam konteks ini, Muafakat Nasional boleh diibaratkan seperti Kota Madinah yang perlu dijaga oleh sesiapapun demi kelangsungannya untuk PRU 15 nanti.*
*Anggaplah peranan calon MCA Wee Jeck Seng, sebagai Abdullah bin Uraiqit yang akan memandu jalan untuk memastikan Muafakat Nasional kekal menuju Putra Jaya pada PRU 15 nanti. Jika tidak, UMNO dan PAS akan menjadi mangsa perangkap politik PH sekrianya BN terbubar dengan penarikan diri MCA. ROS sedang menghidu bau “harum” kematian tersebut.
6. Kita tidak pelik jika DAP sanggup melepaskan kerusi Tanjung Piai kepada BERSATU untuk memenuhi kehendak muslihat politik tersebut, kerana kita tahu DAP jugalah yang mencadangkan penubuhan BERSATU demi menjatuhkan BN. Begitulah juga tujuan PAN ditubuhkan untuk mengurangkan pengaruh PAS dalam politik negara.
7. PRK Tanjung PIAI adalah jerangkap samar yang boleh menghancurkan BN (sebagai pintu penyertaan bukan Islam dari kalangan Cina dan India dalam Muafakat Nasional) jika UMNO berkeras untuk meletakan calon Melayu Islam, andai MCA menarik diri dari BN, ia akan membatalkan pendaftaran BN. Inilah yang dinantikan oleh PH.
8. Apapun, PRK ini tidak ada erti besar selain sebagai refrendum kepada PH bahawa rakyat perlu tolak PH yang ternyata tidak mampu mentadbir negara dengan baik sebagaimana yang dijanjikan. Kalau BN menang bukit tetap tak goyang dan kalau UMNO letak calon dan kalah, BN jadi abu .. Muafakat Nasional terganggu.
9. Memang dalam keadaan negara yang ada sekarang, PAS menyokong kepimpinan Tun M dikekalkan, demi mengelak berlaku ketidakstabilan urus tadbir negara yang masih memerlukan perhatian serius. Namun, itu tidak mengikat PAS untuk menyokong rakan Muafakat Nasional mereka bila ada pertembungan. Ini adalah perkara biasa dalam percaturan politik. PAS sudah tentu akan memihak kepada pihak yang lebih hampir dengan tujuan dan maslahat politiknya.
10. Ada juga yang masih tak faham bertanya;
“Kenapa sekarang PAS boleh pula sokong UMNO yang ditentang selama ini, sedangkan UMNO dah buat macam-macam dosa?”
Jawabnya mudah:-
i- Usamah bin Zaid telah dibantah oleh Rasulullah saw apabila tetap membunuh sorang tentera musysrik yang melafazkan syahadah ketika hampir dibunuh kerana beranggapan itu adalah ucapan berhelah. Kalau marah sangat dan benci sangat kepada UMNO, anggaplah ia sebagai lelaki yang telah dibunuh oleh Usamah tersebut.
ii- Amru bin al-`As berkata; “Apabila Allah telah campak dalam hatiku Islam, aku telah datang kepada Rasulullah saw. Lantas baginda mendepa kedua- dua tangannya kepada ku. Lalu aku berkata;
“Aku tidak akan berbaiah dengan mu wahai Rasulullah saw hinggalah kamu ampun apa yang terdahulu daripada dosaku? Lantas baginda berkata kepada ku: “Wahai Amru! Apakah engkau tidak tahu bahawa hijrah itu menutup dosa-dosa terdahulu? Wahai Amru! Apakah engkau tidak tahu bahawa Islam itu menutup dosa-dosa sebelumnya?”
iii- Soalan saya; “Sudah tertutupkah pintu taubat Allah untuk UMNO kembali kepada kebenaran? Adakah UMNO itu kafir seperti DAP?
11. Apapun, itulah keputusan yang terpaksa PAS dan UMNO terima demi masa depan Muafakat Nasional yang lebih jauh. Semoga kita boleh memahaminya.
Dr. Mohd Rosdi bin Ismail
Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan..
31 Oktober 2019.

Isnin, 4 November 2019

Minda Presiden: PAS - PRK TANJUNG PIAI: SIMBOL TAAWUN MUAFAKAT NASIONAL

Firman Allah:
قَالُواْ يَٰشُعَيۡبُ مَا نَفۡقَهُ كَثِيرٗا مِّمَّا تَقُولُ وَإِنَّا لَنَرَىٰكَ فِينَا ضَعِيفٗاۖ وَلَوۡلَا رَهۡطُكَ لَرَجَمۡنَٰكَۖ وَمَآ أَنتَ عَلَيۡنَا بِعَزِيزٖ٩١ قَالَ يَٰقَوۡمِ أَرَهۡطِيٓ أَعَزُّ عَلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَٱتَّخَذۡتُمُوهُ وَرَآءَكُمۡ ظِهۡرِيًّاۖ إِنَّ رَبِّي بِمَا تَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ٩٢
“Kaum Nabi Syuaib berkata: “Wahai Syuaib! Kami tidak banyak memahami daripada apa yang kamu ucapkan (berdakwah). Kami melihat bahawa kamu seorang yang sangat lemah. Kalau tidak kerana kumpulan yang melindungimu, nescaya kami merejam kamu, padahal kamu bukanlah seorang yang mulia gagah perkasa dalam kalangan kami”. (91); Nabi Syuaib berkata: “Wahai kaum bangsaku! Adakah kumpulan yang melindungiku itu kamu lihat lebih perkasa daripada Allah untuk menghukum kamu, dan kamu jadikan Allah itu di belakang (dipandang lemah). Sesungguhnya Tuhanku (Allah) itu Maha Mengetahui apa-apa yang kamu amalkan (daripada kufur dan perangai buruk menipu timbangan dan sukatan”. (92) (Surah Hud: 91-92)
Mengikut Tafsir As-Saadi bahawa kumpulan yang melindungi Nabi Syuaib A.S. terdiri daripada kalangan Islam dan bukan Islam.
Firman Allah kepada umat Nabi Muhammad S.A.W.:
۞عَسَى ٱللَّهُ أَن يَجۡعَلَ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَ ٱلَّذِينَ عَادَيۡتُم مِّنۡهُم مَّوَدَّةٗۚ وَٱللَّهُ قَدِيرٞۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ٧ لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ٩
“Mudah-mudahan Allah jadikan hubungan kamu dengan mereka yang pernah bermusuh terhadap kamu rasa kasih sayang, dan Allah Maha Berkuasa. Dan Allah juga Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (7); Allah tidak melarang kamu dalam hubungan dengan orang-orang bukan Islam yang tidak memerangi kamu disebabkan agama (Islam) dan tidak menghalau kamu daripada tanah air kamu, bahawa kamu berbuat baik terhadap mereka dan berlaku adil kepada mereka. Sesungguhnya Allah itu sangat mengasihi terhadap mereka yang berlaku adil. (8); Sesungguhnya Allah melarang kamu terhadap orang-orang bukan Islam yang memerangi kamu disebabkan agama (Islam) dan menghalau kamu daripada kampung halaman kamu dan menunjukkan sikap untuk menghalau kamu, Allah melarang kamu berwala’ (berkawan setia secara mutlak) terhadap mereka, dan sesiapa yang berwala’ terhadap mereka, nescaya dia menjadi dari kalangan orang-orang zalim (meletakkan sesuatu di tempat yang salah). (9) (Surah Al-Mumtahanah: 7-9)
Rasulullah S.A.W. adalah contoh teladan dalam melaksanakan perintah Allah dengan penuh kebijaksanaan bagi menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia tanpa terkongkong dalam hubungan dengan penganut Islam sahaja, kerana risalah Islam itu untuk seluruh manusia.
Maka Baginda Nabi S.A.W tidak memutuskan hubungan dengan seluruh manusia termasuk kalangan bukan Islam, berpandukan petunjuk Allah sama ada sebelum berkuasa di Makkah, ketika berkuasa memerintah negara di Madinah, sehinggalah sewaktu mencapai kemenangan selepas Fathu Makkah.
Rasulullah S.A.W. tidak meletakkan semua penganut bukan Islam dalam satu bakul dan tidak semuanya dimusuhi dengan sekeras-kerasnya sehingga meramaikan musuh Islam.
Ayat-ayat Al-Quran yang disebut di atas adalah petunjuk daripada Allah, supaya membahagikan orang-orang bukan Islam kepada kumpulan ekstrem dan tidak ekstrem. Bahkan daripada kalangan yang ekstrem juga tidak sama pendekatannya, ada yang keras berperang dan ada yang keras berhujah.
Ketika di Makkah dalam keadaan lemah, Rasulullah S.A.W. menjalinkan hubungan dengan keluarganya seperti Abu Thalib yang tidak menganut Islam dan mendapat perlindungan daripada Mut’im bin ‘Aadi daripada kalangan bukan Islam yang bencikan kezaliman atau tidak ekstrem.
Ketika di Madinah pula, Baginda Nabi S.A.W. memimpin negara masyarakat majmuk, dengan menyatukan umat Islam dan mengajak bukan Islam yang tidak ekstrem daripada kalangan Yahudi, Kristian dan Musyrikin yang tidak kejam supaya bergabung dalam Piagam Madinah yang terkenal menjadi asas kepada kontrak sosial dalam negara masyarakat majmuk.
Bahkan ketika mencapai kemenangan besar, paling berkuasa dan paling kuat selepas membebaskan Makkah, Rasulullah S.A.W mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai, sehingga pada akhirnya kepada kalangan yang disenaraikan penjenayah perang apabila mereka memohon pengampunan.
Firman Allah:
وَلَا تَسۡتَوِي ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ٣٤ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٖ٣٥
“Dan tidaklah sama bezanya di antara baik dan jahat, balaslah dengan cara yang terbaik terhadap orang yang bermusuh di antara kamu dengannya, nescaya musuh bertukar menjadi rakan yang kasih kepada kamu. (34); Dan tidaklah dapat menerimanya melainkan oleh orang yang dikurniakan Allah berjiwa besar dengan kesabaran paling tinggi”. (35) (Surah Fussilat: 34-35)
Maka pendekatan damai hendaklah diutamakan walaupun ketika berperang. Firman Allah:
۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ٦٢
“Dan jika sekiranya mereka cenderung kepada perdamaian maka cenderunglah juga (kepada berdamai) dan bertawakkal kepada Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61); Dan jika sekiranya mereka mahu menipumu, maka cukuplah Allah (yang menyelamatkan kamu)”. (62) (Surah Al-Anfaal: 61-62)
Oleh itu dimeteraikan Perjanjian Hudaibiyyah yang terkenal dalam sejarah Islam, walaupun ketika Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya dihalang menunaikan umrah pada tahun itu. Ini menunjukkan sikap politik matang mereka yang mahukan perdamaian, sehingga ditinggalkan ibadah umrah pada tahun itu dan ditangguh ke tahun hadapan, walaupun sudah memakai pakaian ihram dan membayar denda.
Namun Rasulullah S.A.W. sangat tegas mempertahankan dasar dan matlamat perjuangan Islam, sepertimana dalam ucapannya kepada bapa saudara, Abu Thalib yang membawa tawaran yang lumayan tetapi syaratnya meninggalkan Islam:
يا عمّ، والله لو وضعوا الشمس في يمينى والقمر في يساري على أن أترك هذا الأمر حتى يظهره الله، أو أهلك فيه ما تركته. (رواه الطبراني)
“Wahai bapa saudara kesayanganku, Demi Allah! Kalau mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, supaya aku meninggalkan urusan ini (perjuangan Islam) sehingga Allah memberi kemenangan atau aku mati kerananya, nescaya aku tidak meninggalkan urusan ini”. (Riwayat At-Thabrani)
PAS menjadikan Al-Quran, Sunnah Rasulullah S.A.W. dan amalan generasi awal sebagai petunjuk tertinggi dan garis panduan demi melangsungkan perjuangan Islam dengan beristiqamah melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
PAS sejak bermula menentang penjajah dan selepas kemerdekaan sehingga kini, sentiasa menilai politik semasa yang sentiasa berubah mengikut cerminan Islam.
PAS bersama UMNO dan lain-lain ketika menuntut kemerdekaan dan perjuangannya tidak bersama Komunis.
PAS menerima konsep Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak kebebasan beragama lain, tetapi makna Islam mengikut tafsiran perkataan Al-Din dalam Bahasa Al-Quran, bukan ‘religion’ dalam Bahasa Inggeris.
PAS menjadi parti pembangkang menentang konsep Jus Soli (kerakyatan yang terbuka dan longgar kepada kaum pendatang), namun mempertahankan hak istimewa Melayu dan Bumiputera.
PAS pernah bersama menubuhkan BN selepas Peristiwa 13 Mei 1969, dengan syarat PAS diberi hak membawa Islam mengikut penafsiran dan pendekatannya, sehingga akhirnya PAS dipecat daripada BN.
PAS pernah bersama Parti Semangat 46, pecahan UMNO berkonsepkan Islam adalah Al-Din.
PAS bersama PKR dan DAP dalam Barisan Alternatif (BA), tetapi keluar kerana ketegasan PAS dalam pelaksanaan Islam yang sepatutnya tidak diganggu oleh DAP.
PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) dan tegas bersama Islam, namun PAS tidak bersama dengan kalangan yang mahu menyamakan agama (pluralisme) ataupun ingin mencontohi parti Islam luar negara yang tidak sama pendekatan dan ruang demokrasi dengan negara kita, kerana demokrasi di Malaysia tidak mengharamkan parti bernama Islam. Akhirnya PAS terbuang dan mereka menubuhkan Parti Amanah mengikut pendekatan tersebut.
PAS bertegas bahawa Islam sahaja yang paling benar dan tinggi, dan menerima hak kebebasan beragama lain tanpa menghalang penganut bukan Islam mempercayai agama masing-masing yang benar di sisi mereka.
PAS menolak konsep semua agama adalah benar yang mengira semua agama sama sahaja.
Terkini, PAS beranggapan PRK Tanjung Piai adalah simbol bagi konsep Taawun demi perubahan peringkat nasional dan mewakili Muafakat Nasional, bukan sekadar ukuran satu Parlimen Tanjung Piai sahaja.
PAS melihat pakatan pembangkang memerlukan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam masyarakat majmuk, iaitu MCA yang ada satu kerusi sahaja. Untuk PRU akan datang, formula ini mungkin berubah dengan melihat senario dan strategi semasa untuk memastikan kemenangan Muafakat Nasional di peringkat yang lebih besar.
“Islam Memimpin Perpaduan”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 6 Rabiul Awwal 1441 / 4 November 2019