Rashid Maidin "Hero Malaya" (Wawancara Khas)
Bapak Rashid Maidin adalah seorang pejuang kemerdekaan ulung yang berasal daripada kaum buruh. Pada akhir tahun 1930-an, beliau melibatkan diri dalam perjuangan
menentang penjajah British, dan kemudian, fasis Jepun demi kemerdekaan tanah air dan pembebasan rakyat. Pada tahun 1955, beliau telah ikut serta dalam
Rundingan Baling yang berlangsung antara Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kerajaan berperintahan sendiri Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Hari
ini, beliau tetap dengan gigih berjuang demi kebebasan, demokrasi, keadilan masyarakat serta perdamaian dalam negeri yang diidam-idamkan rakyat tanah air
kita.
Soalan: Bilakah Bapak dilahirkan?
Rashid Maidin: Saya dilahirkan pada bulan Oktober tahun 1917.
Soalan: Kalau begitu, Bapak lebih tua daripada Bapak Abdullah C.D.
Rashid Maidin: Ya, Abdullah C.D. atau Cik Dat enam tahun lebih muda daripada saya. Beliau dan saya adalah rakan seperjuangan yang paling akrab sejak akhir
Perang Anti-Jepun hingga sekarang.
Soalan: Apakah rahsia kesihatan Bapak? Daripada wajah Bapak, Bapak kelihatan belasan tahun lebih muda. Bolehkah Bapak ceritakan secara terperinci untuk
pengetahuan generasi muda?
Rashid Maidin: (ketawa) Sebenarnya, tak ada sebarang rahsia. Menurut pengalaman saya, pertama-tama, kita mesti mempunyai semangat yang optimis untuk menjayakan
cita-cita hidup kita berjuang untuk rakyat dan tanah air. Ini paling penting. Selain itu, saya sentiasa amalkan latihan gerak badan, bersukan, termasuk
berjalan kaki dan latihan taichi qigong. Tambahan pula, alam sekeliling di hutan rimba yang hijau ini begitu menyegarkan. Udaranya bersih dan nyaman, tak
ada hingar-bingar dan debu-debu, seperti di kota.
Soalan: Kami juga dapat tahu Bapak seorang penggemar muzik.
Rashid Maidin: Ya, muzik, khasnya muzik asli, memang saya minati sejak kecil lagi.
Soalan: Ada orang mengatakan Bapak seorang penggesek biola.
Rashid Maidin: (ketawa) Oh, itu indah khabar dari rupa. Saya sudah lama gantung biola saya.
Soalan: Seperti tercatat dalam sejarah, Bapak salah seorang anggota perwakilan Parti Komunis Malaya dalam Rundingan Baling pada bulan Disember 1955.
Rashid Maidin: Ya, kami bertiga, iaitu Chen Ping, Chen Tien dan saya, telah menghadiri perundingan tersebut bagi pihak PKM.
Soalan: Apakah tujuan perundingan itu?
Rashid Maidin: Tujuannya adalah untuk mencari jalan bagi mencapai kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah British serta menamatkan perang yang dilancarkan
penjajah British yang bermula pada 20 Jun 1948.
Soalan: Bagaimanakah sikap orang ramai pada masa itu terhadap perwakilan PKM?
Rashid Maidin: Orang ramai sangat menginginkan kemerdekaan. Apabila rombongan kami keluar dari hutan di Kelian Intan dan dibawa dengan kereta ke Baling,
di sepanjang jalan, orang ramai tak putus-putus mengalu-alukan kami. Di Baling, puluhan ribu massa rakyat menunggu ketibaan kami dan menyambut kami dengan
pekikan “Merdeka”. Tempat penginapan kami di Baling dipagari kerawat berduri dan orang ramai tak dibenarkan masuk. Jadi, mereka berasak-asak di luar, ingin
melihat kami dan bersalaman dengan kami. Kami juga dengar mereka panggil nama kami. Pendek kata, orang ramai, baik Melayu mahupun bukan Melayu, menganggap
kami sebagai pejuang kemerdekaan. Suasana hangat itu begitu mengesankan dalam ingatan saya sampailah ke hari ini.
Soalan: Bagaimanakah sikap perwakilan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu masa itu?
Rashid Maidin: Perwakilan mereka disertai oleh Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock, David Marshall dan juga Abdul Hamid Jumat. Sungguhpun perundingan itu
perundingan damai, malangnya sikap mereka sangat keras, bahkan bermusuhan. Kami diberi kata dua, iaitu sama ada menyerah diri atau dihapuskan. Kami tentu
tidak boleh terima kata dua sedemikian.
Soalan: Apakah sikap PKM dalam perundingan itu?
Rashid Maidin: PKM mahu menamatkan perang, tapi biarlah dengan syarat adil dan munasabah. PKM menegaskan soal menyerah diri tidak timbul kerana kami bukan
pengganas, tapi pejuang kemerdekaan. Yang kami lawan bukan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, tapi pemerintah penjajah British. PKM juga menyokong rombongan
Tunku pergi ke London berunding dengan British untuk kemerdekaan. Tunku mengakui peranan penting perang gerila yang kami lancarkan dalam mencapai kemerdekaan
Malaya, dan beliau berjanji untuk menemui kami lagi setelah kembali dari London. Sayangnya, ini tidak berlaku. Sebaliknya, Kerajaan Tunku menerima syarat-syarat
penjajah British dan meneruskan perang warisan penjajah itu ke atas kami.
Soalan: Apakah ini sebab utama perang itu berubah menjadi perang dalam negeri?
Rashid Maidin: Ya.
Soalan: Berbalik kepada latar belakang Bapak, bolehkah Bapak ceritakan sedikit tentang keluarga Bapak?
Rashid Maidin: Saya lahir dalam keluarga miskin di Kampung Gunung Mesah, Gopeng, Perak. Datuk dan nenek saya berasal dari Rawa, Sumatera. Mereka berhijrah
ke Perak pada akhir abad ke-19. Adik-beradik saya lapan orang, tujuh lelaki dan satu perempuan. Saya anak yang paling tua.
Soalan: Benarkah Yang Berhormat Encik Yusuf Maidin, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Perak bagi kawasan Sungai Manik, itu adik Bapak?
Rashid Maidin: Benar. Ketika dia di sekolah vokesyenal, saya membantu belanja persekolahannya.
Soalan: Bagaimanakah persekolahan Bapak sendiri?
Rashid Maidin: Saya belajar di Sekolah Melayu Gunung Panjang, Gopeng, dan lulus darjah 5. Pada sebelah petang, saya belajar agama di madrasah Kampung Gunung
Mesah. Kerana ibu bapa saya miskin, lepas tamat sekolah Melayu pada tahun 1928, saya pun terpaksa mencari kerja.
Soalan: Tapi Bapak boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Bil
Rashid Maidin: Sebagai anak Perak, semangat anti-British memang sudah tersemai kerana pengaruh Perang Maharajalela. Pengaruh ini meresapi diri saya sejak
kecil lagi. Setelah bersekolah, saya pun ada membaca buku-buku tentang perang ini. Saya menceburkan diri dalam kegiatan berorganisasi mulai tahun 1937,
iaitu dengan menjadi anggota Persatuan Drebar-Drebar Melayu Perak. Pada tahun 1939, ketika bekerja di Tanjung Tualang, saya menjadi ahli kesatuan sekerja
Kinta Mining Workers Association. Di situlah, saya mendapat didikan secara langsung daripada seorang kader bawah tanah PKM yang bernama Lai Raifel atau
Lai Fook yang bekerja sebagai buruh bersama saya. Melaluinya, saya dapat membaca pelbagai jenis buku politik. Kesedaran kelas saya beransur-ansur meningkat,
dan saya diterima menjadi anggota PKM pada penghujung tahun 1941. Raifel dan saya juga berusaha untuk menyusun kaum buruh Melayu dalam kesatuan sekerja,
tapi usaha ini terhenti apabila meletusnya perang.
Soalan: Apakah kegiatan Bapak semasa Jepun menduduki Malaya?
Rashid Maidin: Semasa pendudukan Jepun, saya terus bekerja di lombong kapal korek Tanjung Tualang, yang telah beralih ke tangan Jepun. Terhadap fasis Jepun,
saya ambil sikap talam dan muka. Secara rahsia, saya buat kerja propaganda di kalangan kaum buruh, mendedahkan kezaliman fasis Jepun serta mend
Rashid Maidin: Sebagai anak Perak, semangat anti-British memang sudah tersemai kerana pengaruh Perang Maharajalela. Pengaruh ini meresapi diri saya sejak
kecil lagi. Setelah bersekolah, saya pun ada membaca buku-buku tentang perang ini. Saya menceburkan diri dalam kegiatan berorganisasi mulai tahun 1937,
iaitu dengan menjadi anggota Persatuan Drebar-Drebar Melayu Perak. Pada tahun 1939, ketika bekerja di Tanjung Tualang, saya menjadi ahli kesatuan sekerja
Kinta Mining Workers Association. Di situlah, saya mendapat didikan secara langsung daripada seorang kader bawah tanah PKM yang bernama Lai Raifel atau
Lai Fook yang bekerja sebagai buruh bersama saya. Melaluinya, saya dapat membaca pelbagai jenis buku politik. Kesedaran kelas saya beransur-ansur meningkat,
dan saya diterima menjadi anggota PKM pada penghujung tahun 1941. Raifel dan saya juga berusaha untuk menyusun kaum buruh Melayu dalam kesatuan sekerja,
tapi usaha ini terhenti apabila meletusnya perang.
Soalan: Apakah kegiatan Bapak semasa Jepun menduduki Malaya?
Rashid Maidin: Semasa pendudukan Jepun, saya terus bekerja di lombong kapal korek Tanjung Tualang, yang telah beralih ke tangan Jepun. Terhadap fasis Jepun,
saya ambil sikap talam dan muka. Secara rahsia, saya buat kerja propaganda di kalangan kaum buruh, mendedahkan kezaliman fasis Jepun serta mendidik kaum
buruh tentang perjuangan kelas dan Parti Komunis. Kegiatan itu bertujuan berkoordinasi dengan perang gerila yang dilancarkan oleh Tentera Anti-Jepun. Untuk
memperbaiki kehidupan kaum buruh, yang sangat buruk waktu itu, kami membuat pakatan mengambil bijih di lombong waktu tengah malam dan menjualnya kepada
pemborong gelap. Ini dapat menambah pendapatan kaum buruh sekali ganda.
Soalan: Bolehkah Bapak terangkan sedikit keadaan setelah Jepun menyerah diri?
Rashid Maidin: Masalah pokok masa itu bagi orang ramai ialah kelaparan. Untuk mengatasi masalah ini, PKM telah melancarkan gerakan menentang kelaparan
yang diikut serta oleh berpuluh ribu orang ramai. PKM mengemukakan beberapa tuntutan kepada British: (1) Beri wang $10 seorang untuk menggantikan wang
Jepun yang sudah tidak laku lagi; (2) Segera beri kerja kepada kaum penganggur; (3) Ubati orang sakit; (4) Segera hantar makanan ke Malaya dan berikannya
kepada orang ramai. Saya campur gerakan ini di Ipoh. Di sana, di bawah anjuran Parti, kami mengadakan kegiatan masak nasi kawah untuk orang ramai yang
lapar. Ini dapat membantu masalah orang ramai dalam batas tertentu, tapi British sangat marah. Mereka menghantar seorang pegawai tinggi dari Kuala Lumpur
ke sana untuk mengugut kami. Kata pegawai itu, dia datang tidak membawa makanan, tapi bawa senapang dan meriam. Kebiadaban British ini mengobarkan lagi
gerakan anti-kelaparan yang terus menjalar ke lain-lain tempat.
Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan sedikit hubungan Bapak dengan Bapak Abdullah C.D.?
Rashid Maidin: Masa pendudukan Jepun, Abdullah C.D. masuk pasukan gerila. Saya berkenalan dengannya pada penghujung perang anti-Jepun apabila beliau keluar
dari hutan. Kemudian, setelah Jepun kalah, kami bersama-sama bekerja dalam pasukan propaganda PKM yang beribu pejabat di Ipoh. (Pasukan propaganda itu
diketuai oleh Eng Min Chin, sebelum beliau mendirikan rumah tangga dengan Abdullah C.D. lebih 45 tahun yang lalu. Beliau memeluk agama Islam; nama Islamnya
Suriani binti Abdullah.) Waktu itu, kerana komplotan Jepun dan British, timbul situasi pergaduhan kaum antara Melayu dan Cina. Kami berdua ditugaskan bergerak
ke merata tempat untuk mendamaikan pergaduhan tersebut. Pada tahun 1946, kami berdua ditugaskan pula ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan kerja Melayu di
kalangan pelbagai lapisan masyarakat, khasnya kaum buruh. Selain itu, kami juga bekerja di akhbar Pelita Malaya dan Suluh Malaya. Di Kuala Lumpur, kami
tinggal bersama di sebuah rumah sewa. Ke mana-mana saja kami pergi, kami sering bersama.
Soalan: Kami tahu Bapak pernah ke London selepas perang.
Rashid Maidin: Ya, saya ikut serta dalam rombongan tiga orang mewakili PKM menghadiri persidangan parti-parti komunis empayar British pada tahun 1947 di
London. Persidangan ini dihadiri oleh wakil parti komunis dari tanah jajahan dan bekas tanah jajahan British seperti Burma, Ceylon (Sri Lanka), India,
Australia, Kanada, Kuba serta negeri-negeri Timur Tengah. Persidangan itu membahas masalah gerakan pembebasan dan mengeluarkan perisytiharan menuntut kemerdekaan
bagi tanah-tanah jajahan.
Soalan: Ada apa-apa peristiwa menarik di persidangan itu?
Rashid Maidin: Ada beberapa peristiwa sampingan yang boleh saya sebut di sini. Pertama, dalam perjalanan ke London, kami singgah di India selama dua hari
sebagai tamu Parti Komunis India, yang ketika itu dipimpin oleh P.O. Joshi. Di London pula, rombongan kami diberi penghormatan tinggi sebagai pahlawan
anti-Jepun oleh persidangan itu. Kami juga dapat berkenalan dengan pemimpin parti-parti sekawan dari pelbagai negeri. Sampai sekarang, kami masih berkirim
salam dan bertanya khabar.
Selain itu, ketika di London, dengan tak disangka-sangka, Tunku Abdul Rahman, yang sedang belajar undang-undang di England, telah mengutus surat kepada
rombongan kami. Antara kandungan surat itu, Tunku meminta maaf kerana tidak dapat hadir sebagai pemerhati di persidangan parti-parti komunis itu. Beliau
juga menyatakan harapan agar sidang itu memperoleh kejayaan. Bekas Residen British di Selangor pula menulis surat kepada saya meminta saya melapangkan
masa untuk menemuinya. Mungkin, bagi British pada masa itu, kenyataan bahawa orang Melayu mencampuri gerakan Parti Komunis adalah satu hal yang besar.
Soalan: Apakah tanggapan Bapak terhadap peristiwa itu?
Rashid Maidin: Saya rasa ini menunjukkan PKM dihormati oleh pelbagai pihak di dalam dan di luar negeri.
Soalan: Bagaimanakah sambutan orang ramai, khasnya orang Melayu, terhadap PKM waktu itu?
Rashid Maidin: Sambutan orang ramai memang baik. Saya beri satu contoh. Setelah berdirinya PKMM, saya mula berkenalan dan bekerjasama dengan tokoh Melayu
lainnya seperti Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam dan Pak Sako. Sekembalinya kami dari London, saya bersama Dr. Burhanuddin, yang juga baru pulang daripada
Persidangan Se-Asia di New Delhi, telah menjelajah ke seluruh pelosok tanah air untuk menerangkan perjuangan anti-penjajah – saya atas nama PKM, dan beliau
atas nama PKMM. Kami mulakan lawatan kami dari Melaka terus hingga ke Perlis, kemudian berputar dan pergi lagi sampai ke Kelantan. Rapat umum yang kami
adakan dihadiri oleh puluhan ribu orang. Di setiap negeri yang kami kunjungi, kami diberi sambutan yang luar biasa hangatnya oleh orang Melayu dan kaum
lain.
Soalan: Kami difahamkan Bapak pernah ditangkap penjajah British dan dipenjarakan. Bagaimanakah hal sebenarnya?
Rashid Maidin: Saya ditangkap kira-kira sebulan selepas Darurat diisytiharkan, iaitu pada bulan Julai 1948 di Labu Kubung, Sungai Manik, Perak. Mula-mula,
saya dipenjarakan di Taiping selama enam bulan. Selepas itu, saya, bersama-sama kira-kira 50 orang tahanan lain, termasuk Ustaz Abubakar Al-Bakir, Cikgu
Sabrun dan lain-lain anggota PKMM, digiring ke Pulau Jerejak. Dari Taiping ke Pulau Jerejak, kami digari beramai-ramai, 10 hingga 12 orang dengan seutas
rantai panjang. Di kem tahanan Pulau Jerejak, ada kira-kira 500 orang tahanan pelbagai kaum. Di sana, kami tubuhkan jawatankuasa mogok menentang peraturan
penjajah British yang tidak membenarkan kami beli barang makanan dari luar atau terimanya dari rumah.
Soalan: Apakah tuduhan yang dikenakan ke atas Bapak?
Rashid Maidin: Saya dituduh sebagai komunis. Ramai pak haji, ustaz, guru dan lain-lain semuanya dituduh sebagai komunis. Ketua Intelijen British yang menyoal
siasat saya mengatakan saya akan ditahan bertahun-tahun. Saya tanya: “Sebab apa dan apa buktinya?” Dia membuka fail catatannya dan memetik ucapan-ucapan
saya dalam rapat umum di mana saya pernah berkata: “Selagi ada penjajah British di Malaya, kita akan berjuang terus.”
Setelah satu setengah tahun di Pulau Jerejak, saya dibawa pula ke Pulau Tanjung Beruas, Melaka. Penjara Tanjung Beruas lebih besar, mengandungi 1000 orang
lebih tahanan, yang ditempatkan dalam blok-blok. Bagi satu-satu blok, terdapat 200 hingga 300 orang. Saya dimasukkan dalam Blok K bersama Cik Muda dari
Terengganu, Cikgu Hamid dari Kelantan, Ustaz Yahya Nasim dari Selangor dan lain-lain anggota PKMM. Saya dipilih oleh kawan-kawan sebagai “Presiden Blok
K”. Pak Sako dan Boestamam juga dipenjarakan di Tanjung Beruas, tapi ditempatkan dalam blok yang lain. Saya acap kali berjumpa dan berbincang dengan mereka
di penjara itu.
Soalan: Bagaimanakah keadaan di penjara Tanjung Beruas?
Rashid Maidin: Pada mulanya, keadaan di sana lebih buruk daripada Pulau Jerejak. Misalnya, kami dipaksa angkut najis sendiri setiap pagi dan cuci jamban.
Ini benar-benar menyebabkan kami marah. Setelah seminggu di sana, saya dan kawan-kawan bentuk satu jawatankuasa untuk melancarkan mogok lapar. Tuntutan
kami ialah: (1) Berhentikan angkut najis sendiri, (2) Benarkan kami dirikan madrasah. Setelah tiga hari mogok, penjajah British mengalah dan menerima tuntutan
kami. Selain itu, kami juga diberi kemudahan lain, termasuk bermain badminton waktu malam serta dapat membaca akhbar Straits Times. Tapi akhbar Utusan
Melayu tidak dibenarkan.
Soalan: Kami dapat tahu Bapak dapat lepaskan diri daripada penjara itu. Ini benar-benar satu keajaiban!
Rashid Maidin: (ketawa) Bukan, ini bukan satu keajaiban. Sebenarnya, setelah dua tahun di Tanjung Beruas, muncul satu perkembangan baru. Kerana ekonomi
British merosot akibat perang yang dilancarkannya terhadap Parti Komunis Malaya dan Tentera Pembebasan Nasional Malaya, ia pun menggunakan tahanan seperti
kami menjadi buruh murah untuk membangun balai polis dan lain-lain. Dari Tanjung Beruas, 12 orang tahanan, termasuk saya, telah dipilih menjadi buruh untuk
membangun sebuah balai polis di Caruk Batang, Jasin, Melaka. Kami diberi upah $1 sehari dan tinggal di berek polis yang dipagari kerawat berduri. Kerana
saya mahir dengan soal elektrik, jurutera binaan di situ banyak bersandar pada saya. Pelan bangunan balai polis yang hendak dibina itu pun diserahkan kepada
saya, manakala dia sendiri kadang-kadang datang, kadang-kadang tidak.
Yang menjaga kami ialah beberapa orang polis Melayu, dengan diketuai oleh seorang sarjan yang telah bersara, bernama Pak Mi. Kami bernasib baik kerana
Pak Mi benar-benar tak puas hati terhadap penjajah British, yang memaksanya berkhidmat semula dalam polis. Sebelum Darurat, Pak Mi pula pernah campur rapat
umum dan kenal dengan saya. Dia memberitahu saya, tugasnya hanya menjaga “kerbau balar” (maksudnya orang putih), bukannya untuk menjaga tahanan. Pak Mi
rapat dengan saya. Apabila makan tengah hari, dia dan polis lain makan bersama kami. Dia selalu bawa Utusan Melayu dan meminjamkannya kepada saya.
Di tepi tempat kami bekerja, ada sebuah kedai kopi orang Cina. Juga ada seorang budak Cina berumur 12 tahun menjaga lembu di situ. Melalui budak itu, saya
mendapat hubungan dengan pasukan gerila kami di Melaka. Apabila perjanjian dengan kawan-kawan pasukan gerila sudah matang, saya bersama seorang tahanan
lain, seorang pemuda bernama Yusuf dari Johor, membuat rancangan untuk melarikan diri semasa bekerja dan masuk hutan. Suatu hari, ketika makan tengah hari,
saya dan Yusuf pura-pura sakit perut dan minta izin ke jamban. Kami dibenarkan pergi ke jamban tanpa dikawal. Mengambil kesempatan itu, kami pun terus
lari ke hutan di mana bendera merah pasukan gerila, yang merupakan isyarat kami, sedang berkibar-kibar.
Soalan: Bagaimanakah Bapak dapat bergabung dengan pasukan Rejimen ke-10?
Rashid Maidin: Saya melarikan diri pada awal tahun1952 setelah kira-kira tiga setengah tahun dalam penjara. Setelah bergabung dengan pasukan gerila, saya
dibawa dari satu tempat ke satu tempat untuk bertemu dengan Jawatankuasa Pusat PKM dan Rejimen ke-10. Perjalanan dari Melaka ke pangkalan Rejimen ke-10
di Pahang memakan masa hampir setahun melalui hutan. Setelah sampai di Kerdau, Pahang, pada akhir tahun1952, barulah saya bertemu semula dengan Abdullah
C.D.. Sejak itu, saya terus berjuang di Rejimen ke-10.
Soalan: Apakah peranan Bapak dalam PKM dan Rejimen ke-10?
Rashid Maidin: Dalam PKM, saya menjadi salah seorang anggota Jawatankuasa Pusat. Di Rejimen Ke-10, saya bersama Abdullah C.D. dan pemimpin lain memimpin
pasukan ini melancarkan perjuangan, baik semasa di Malaya, mahupun di sempadan. Saya pernah luka di kaki dalam pertempuran melawan penjajah British.
Soalan: Apakah Bapak pernah bertugas di pasukan lain selain daripada Rejimen ke-10?
Rashid Maidin: Oh ya, untuk satu masa kira-kira selama 10 tahun, saya bersama-sama memimpin Pasukan Kawasan Khas. Kemudian, pada tahun 1972, saya balik
semula ke Rejimen ke-10.
Soalan: Apakah pendapat Bapak tentang peranan perjuangan bersenjata serta perjuangan rakyat tanah air kita dewasa ini?
Rashid Maidin: Kebanyakan masalah ini serta dasar-dasar PKM berhubung dengannya sudah pun dijelaskan oleh Pengerusi kami, Abdullah C.D., dalam temu bualnya.
Jadi, saya tak akan mengulanginya di sini. Cuma satu perkara saja ingin saya tegaskan, iaitu masalah perang dalam negeri dan perdamaian. Parti Komunis
Malaya bukan sebuah parti yang haus perang, bahkan merupakan sebuah parti yang cintakan perdamaian. Rakyat juga cintakan perdamaian. Sebab itulah, kami
pergi ke Baling dulu. Kami bersedia menamatkan perang dalam negeri dengan syarat yang adil dan munasabah. Kami bersedia berjuang bersama-sama parti politik
lainnya secara damai dan demokratik untuk sama-sama membangun tanahair kita menjadi sebuah negara yang demokratik politiknya, makmur ekonominya, maju kebudayaannya,
serta bersatu bangsanya.
Soalan: Bapak adalah seorang pejuang yang besar bagi tanah air dan bangsa kita yang telah bersama-sama memimpin perjuangan selama puluhan tahun ini. Bapak
merupakan satu contoh yang patut diteladani, khasnya oleh angkatan baru. Sebagai penutup temu bual ini, apakah pesanan Bapak kepada angkatan baru?
Rashid Maidin: Sebagai orang tua, saya ada satu pesanan dan juga harapan kepada angkatan baru. Kemajuan negara, pembangunan negara dan masyarakat bersandar
kepada angkatan baru. Hari depan juga milik angkatan baru. Tapi, sekarang, ada satu kecenderungan yang bahaya di dunia dan di negara kita, baik dalam politik,
dalam masyarakat dan lain-lain – satu kecenderungan yang merosakkan angkatan baru. Misalnya, kebudayaan kuning, dadah, teori yang keliru dalam politik,
pelbagai gerakan yang menyesatkan, gaya hidup yang individualistik, yang hanya mementingkan diri sendiri, dan sebagainya. Angkatan baru perlu nampak bahaya
aliran ini dan harus menentangnya dengan tegas. Mereka patut menceburkan diri dalam gerakan yang sihat, yang berperanan membangunkan negara dan masyarakat,
menegakkan demokrasi dan keadilan serta memupuk perpaduan antara kaum.
nota: wawancara ini dibuat oleh wartawan Suluh Rakyat pada tahun 1989
EMAIL THIS
BLOGTHIS!
SHARE TO TWITTER
SHARE TO FACEBOOK
nn20 frame
Flash movie start
Flash movie end
nn20 frame end
Nuffnang Ads
AT
10:49:00 AM
LABELS:
KOMUNIS,
MERDEKA,
RAHSID MAIDIN
Jumaat, 16 September 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan