Jumaat, 16 September 2011

AHMAD BOESTAMAM : PEJUANG KEMERDEKAAN YANG DIPINGGIRKAN

Ahmad Boestamam (30 November 1920 - 19 Januari 1983; nama asal: Abdullah Thani bin Raja Kechil) adalah seorang aktivis politik anti penjajah Inggeris di
Malaysia. Beliau ditangkap dan dipenjarakan sebanyak 3 kali.

Beliau menggunakan nama Ahmad Boestamam mulanya sebagai nama pena ketika menubuhkan akhbar Suara Rakyat pada tahun 1945 di Ipoh, Perak. Nama ini lekat
sebagai nama yang popular. Beliau juga pernah menggunakan nama pena Ruhi Hayat dan Jiwalara. Beliau berbakat besar dalam penulisan dan seorang pemidato
yang handal. Beliau di anugerahkan Panglima Negara Bintang Sarawak pada tahun 1976 membawa gelaran Datuk.

Masa kecil

Bapanya Raja Kechil, seorang petani, dan ibunya Rasiah. Ahmad Boestamam dibesarkan di Kampung Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak. Beliau mempunyai dua orang
kakak, iaitu Rasunin dan Ramlah. Pada usia enam tahun, Beliau memasuki Sekolah Melayu Behrang Ulu, sebuah sekolah Melayu dan kemudiannya, pada tahun 1933,
beliau memasuki Anderson School, Ipoh. Ahmad tamat Darjah Lima dan lulus dengan Gred 1 dalam peperiksaan Kelas Melayu Khas ("Special Malay Class", SMC).

Kerjaya wartawan
Seperti kebanyakan para aktivis politik yang sezaman dengannya, Ahmad adalah seorang wartawan akhbar yang sangat prolifik. Beliau bermula dengan akhbar
Saudara di Pulau Pinang, kemudian Warta Kinta di Ipoh, Majlis di Kuala Lumpur, Utusan Melayu di Singapura dan Warta Malaya juga di Singapura. Pekerjaannya
itu juga menjadikan beliau bertembung dan bergaul dengan tokoh-tokoh wartawan Melayu lain seperti Abdul Rahim Kajai, Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Haji
Muhammad.

Kegiatan Boestamam dalam bidang kewartawanan ini telah menyebabkan beliau terlibat dalam arus kerancakan nasionalisme Melayu yang sedang memuncak pada
tahun 1930-an. Beliau telah turut sama memberi pendapat dan cadangannya bagi memperbaiki kelemahan ekonomi, sosial dan politik orang Melayu daripada tekanan
kerajaan British dan saingan kaum pendatang. Walaupun tulisannya tidak setajam rakan-rakannya yang lain, tetapi beliau telah melahirkan pendapatnya dalam
nada dan pendapat yang sama dengan mereka. Persamaan harapannya untuk memajukan orang Melayu sudah cukup untuk membolehkan beliau terlibat secara langsung
dalam kegiatan nasionalisme orang Melayu.

Kesatuan Melayu Muda (KMM)

Kepentingan Boestamam dalam kegiatan politik bermula dengan penglibatannya dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebagai Penolong Setiausaha semasa menjadi
pemberita khas akhbar Majlis di Kuala Lumpur yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob. Walaupun beliau hanya menjadi orang yang keempat penting dalam organisasi
yang menjadi ejen Jepun, tetapi ini tidak dipandang ringan oleh kerajaan British. Ahmad dianggap sebagai seorang aktivis politik antipenjajahan yang berbakat
besar.

Penangkapan Boestamam pada tahun 1941-1942 bersama-sama dengan 150 orang anggota dan penyokong KMM memulakan kehidupan getir Boestamam sebagai seorang
aktivis politik.Beliau telah menjadi lebih terdedah kepada tekanan penjajah, yang secara langsung memberi satu pemantapan kepada sikap antipenjajahannya.
Ini menjadi satu mungkin kepada semangatnya untuk terus bergiat dalam politik. Beliau dibebaskan oleh tentera Jepun yang datang menyerang Tanah Melayu.

Beliau menerbitkan Testamen Politik Api yang mengajukan gagasan ‘merdeka dengan darah.’ Kerana karya tersebut, beliau dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan
menghasut pada tahun berikutnya, dan beliau dikenakan denda $1,200.00.

Gerakan Kiri Tanah Air (KITA)

Ahmad seorang perancang politik yang bijak. Beliau telah menubuhkan Gerakan Kiri Tanah Air (KITA) yang bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya dan British
yang sedang berusaha memerangi tentera Jepun. Walaupun penubuhan ini dipaksakan kepadanya oleh MPAJA, tentera Parti Komunis Malaya, tetapi ia juga menjadi
satu bukti kepada kerjasama Ahmad dengan kumpulan anti-Jepun. Ini boleh digunakan sebagai bukti untuk menafikan kerjasama sepenuhnya dengan Jepun.

Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)

Boestamam kemudian menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). PKM yang mahu menguasai Tanah Melayu dengan cara perlembagaan telah membentuk satu
"Barisan Bersatu Malaya" untuk mempengaruhi parti-parti politik Melayu dan kesatuan sekerja India. Penyerapan unsur PKM ke dalam masyarakat ini dipercayai
dapat memperkenalkan mereka dengan gagasan sosialisme dan seterusnya komunisme. Dengan itu, cita-cita untuk membentuk sebuah republik komunis di Tanah
Melayu akan menjadi lebih mudah.

Dengan itu, Ahmad telah bekerjasama secara sedar dengan pihak PKM yang juga bersifat penjajahan ke atas Tanah Melayu. Ini kerana PKM adalah anak Parti
Komunis China yang bekerjasama dengan Comintern, iaitu pertubuhan komunis antarabangsa yang berada di bawah pengaruh Russia.

Ahmad membenarkan PKM mempengaruhi PKMM. Ini bukan sahaja kerana pentadbiran Tanah Melayu berada di bawah penguasaan PKM, tetapi juga kerana bantuan kewangan
dan pengurusan surat khabarnya, Suara Rakyat dan Voice of the People dipegang oleh PKM. Teraju utama, iaitu Presiden PKMM juga dikuasai oleh PKM, melalui
Mokhtaruddin Lasso, seorang pelarian politik Parti Komunis Indonesia (PKI) yang menjadi ketua orang Melayu Regimen ke-10 MPAJA.

Akhirnya, PKM menentukan dasar politik PKMM. Dasar politik untuk melindungi dan berjuang bagi mewujudkan perasaan kebangsaan, memajukan ekonomi, pelajaran
dan keadilan bagi masyarakat Melayu telah diubah oleh PKM. PKM juga telah meletakkan satu dasar yang penting yang melambangkan pembentukan sebuah bangsa
"Malayan", sesuai dengan dasarnya mewujudkan Barisan Bersatu Malayan pada masa depan. Dengan itu, dasar PKMM tidak lagi bersifat Melayu seratus peratus.
Ia telah disesuaikan dengan cita-cita PKM.

Ahmad menyedari hal tersebut, maka untuk mengimbangi pengaruh politik PKM, dalam persidangan yang diadakan pada 30 November 1945, dasar membentuk 'Melayu
Raya' atau Indonesia Raya, telah dimasukkan sebagai salah satu matlamat perjuangan PKMM. Malah dasar ini memang sengaja ditonjolkan begitu hebat oleh Ahmad
dan kumpulannya demi untuk mengelakkan pandangan orang ramai terhadap penguasaan PKM dalam PKMM. Ini juga telah membolehkan runan Indonesia yang menetap
di Tanah Melayu.

Ahmad disokong oleh PKM. PKM telah membangkitkan pula soal tidak demokratik UMNO kerana memberi dua sahaja undi kepada PKMM, seperti persatuan negeri-negeri
Melayu yang lain, yang dikatakannya lebih kecil daripada PKMM. PKM juga menuduh UMNO sebuah parti yang konservatif dan tidak menggunakannya sebagai biasiswa
kepada anak-anak Melayu, dianggapnya remeh.

Kerajaan British telah menyokong UMNO. Bagi kerajaan British, UMNO adalah sebuah parti politik yang lebih sederhana, tidak dipengaruhi sebarang unsur luar
yang mengancam kedudukan politik dan ekonominya serta tidak mempunyai sejarah penentangan terhadap pihak British, seperti PKMM yang dipimpin oleh beberapa
orang bekas anggota KMM. UMNO juga direstui oleh raja-raja Melayu yang merupakan lambang ketuanan orang Melayu. Sokongan raja-raja Melayu kepada UMNO sangat
penting diakui kerana raja-raja Melayu merupakan ketua kerajaan negeri yang membuat perjanjian dengan kerajaan British. Kebijaksanaan UMNO menarik raja-raja
Melayu memihak kepada mereka telah memerangkap kerajaan British untuk mengakui kepentingan UMNO.

Sekali lagi Ahmad Boestamam dan PKMM telah dipengaruhi oleh PKM untuk menubuhkan PUTERA, sebagai satu badan radikal Melayu yang besar bagi bergabung dengan
AMCJA, sebuah gabungan parti politik bukan Melayu yang juga dipengaruhi oleh PKM. Kedua-dua organisasi kemudian menjadi penentang yang penting kerana telah
mengeluarkan Perlembagaan Rakyat sebagai satu perlembagaan pilihan kepada orang ramai, selain Perjanjian Persekutuan 1948 yang disediakan oleh UMNO , raja-raja
Melayu dan kerajaan British.

Dengan mempunyai satu dasar yang tidak bertumpu kepada kepentingan orang Melayu sepenuhnya, bererti Ahmad Boestamam dan PKMM telah bertentang arus dengan
nasionalisme Melayu pada tahun 1946. Ini kerana penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union adalah kemuncak gerakan nasionalisme mereka selama ini.
Gerakan nasionalisme Melayu yang bermula begitu lambat dan tidak begitu mencabar kerajaan British telah menjadi cukup tegang dengan pengenalan Malayan
Union. Ini kerana gerakan anti-Malayan Union itu telah membangkitkan kesedaran politik yang cukup jelas sehingga melibatkan kaum wanita yang selama ini
tertutup dengan peranan tradisional mereka. Pengenalan Malayan Union telah menyatupadukan orang Melayu, bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga raja-raja
Melayu dan para pembesar tradisional yang selama ini terpisah dengan rakyat jelata. Penentangan itu merupakan satu gerakan yang telah mencabar kerajaan
British sehingga terpaksa tunduk kepada kehendak mereka.

Tangkapan ke-2

Pada Februari 1946, ketika semangat menuntut kemerdekaan sedang meluap-luap, Ahmad bersama dengan Dr Burhanuddin Al Helmi juga menubuhkan Angkatan Pemuda
Insaf (API), sebuah pergerakan kiri yang radikal di Malaya dan memimpinnya sehingga pertubuhan itu diharamkan oleh pihak British.

Penangkapan Ahmad pada bulan Julai 1948-1954 membekukan kegiatan politik Ahmad untuk satu tempoh yang panjang, iaitu selama tujuh tahun. Beliau terpaksa
ditahan begitu lama kerana berbahaya kepada keselamatan politik British di Tanah Melayu dan kawasan sekitarnya, iaitu Nusantara. Pengisytiharan undang-undang
darurat juga digunakan untuk kerajaan British mengawal anasir PKM dan sekutunya, termasuk PKMM dan anak buahnya. Ahmad dianggap sebagai sebahagian daripada
tenaga penggerak yang berbahaya. Beliau ditahan oleh British dua kali. Kali pertama sejurus sebelum kedatangan Jepun pada tahun 1941 selama tiga bulan.

Parti Rakyat Malaya (PRM)

Parti Rakyat Malaya telah menjadi parti politiknya yang pertama sebaik-baik sahaja beliau dibebaskan pada tahun 1955. Beliau telah menjadi pemimpin pembangkang
Melayu dengan menggunakan ideologi sosialisme-marhaenisme ciptaan Sukarno. Dengan bekerjasama dengan Parti Buruh Malaya, beliau berjaya membentuk Socialist
Front (SF) yang akhirnya menjadi salah satu parti pembangkang yang terkenal selepas kemerdekaan Tanah Melayu.

Pilihan raya 1959
Pilihan Raya Umum Malaysia 1959 telah memberi satu pengiktirafan kepada kegiatan politik Ahmad selama ini. Beliau telah memenangi kerusi parlimen Setapak
di Kuala Lumpur di bawah tiket Socialist Front. Dengan itu, Ahmad telah menjadi salah seorang anggota pembangkang yang disegani, bersama-sama dengan tokoh-tokoh
nasionalis dan politik Melayu yang lain seperti Dato' Onn Jaafar, Dr. Burhanuddin, Khadijah Sidek, Zulkifli Mohammad dan Othman Abdullah. Tokoh-tokoh pembangkang
bukan Melayu yang handal seperti Dr. Seenivasagam, Tan Chee Koon dan Lim Kean Siew telah berganding bahu dengan Ahmad dan rakan-rakan yang lain. Kehadiran
Ahmad Boestamam dan kawan-kawannya itu menjadikan kerajaan perikatan terpaksa bekerja keras untuk menentang mereka di Dewan Rakyat. Kehadiran mereka memang
sangat menarik dalam sejarah politik berparlimen di Malaysia.

Tangkapan ke-3

Ahmad ditangkap pada tahun 1963, buat kali ketiga dalam sejarah hidup politiknya. Pada kali ini Ahmad ditangkap oleh kerajaan yang dipilih oleh rakyat
sendiri selama empat tahun. Ketika itu beliau masih menjadi ahli parlimen Setapak. Alasan kerajaan Perikatan ialah kerana Ahmad terlibat dalam usaha Indonesia
menentang gagasan Malaysia yang sedang diusahakan oleh Tunku Abdul Rahman, ketua kerajaan Perikatan dan Perdana Menteri Malaysia. Ahmad dituduh bekerjasama
dengan Parti Komunis Indonesia (PKI) dan terlibat dalam pemberontakan Brunei 1962. Tuduhan ini sangat menarik kerana ia menimbulkan dua gambaran yang sangat
penting. Pertama, ternyata Ahmad seorang penyokong Indonesia yang sangat setia dan tetap. Kedua, penonjolan satu penglibatan politik Ahmad yang menyeluruh
Kepulauan Melayu atau Nusantara. Ini bermakna bahawa Ahmad mahu menjadi juara Melayu Raya.

Meninggal dunia

Ahmad mengakhiri sisa-sisa hidupnya dengan menjadi penulis bebas di akhbar-akhbar sebagai perintang waktu dan sedikit pendapatan untuk menyara kehidupannya.

Dua tahun selepas menunaikan fardu haji, beliau meninggal dunia pada tahun 1983 kerana penyakit barah paru-paru. Dengan itu, maka tamatlah perjalanan hidup
seorang tokoh politik yang sangat dinamik dan menarik yang telah memberi warna-warna garang dan terang serta corak yang berliku-liku dalam kehidupannya
dan politik Malaysia khasnya. Kepentingan beliau dalam sejarah politik Malaysia tidak akan dilupakan.

Jawatan yang disandang

Antara jawatan yang pernah disandang oleh Ahmad Boestamam ialah :

Penulis pojok akhbar "Saudara";
Anggota Persatuan Melayu Perak (PMP) pada tahun 1937;
Penolong Setiausaha Kesatuan Melayu Muda (KMM);
Pengasas Gerakan Kiri Tanah Air (KITA);
Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API);
Pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM);
Ketua pengarang akhbar harian, "Suara Rakyat";
Ketua Pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM);
Pemimpin Parti Rakyat Malaya (PRM) pada tahun 1955;
Setiausaha Kehormat Kongres pada tahun 1957;
Ahli Dewan Rakyat kawasan Setapak 1959-1963.

Hasil Penulisan

Selain daripada bergiat dalam politik, beliau juga berjaya menghasilkan tidak kurang daripada 15 buah novel. Beliau adalah penterjemah, novelis, penyajak
dan juga dianggap penulis yang cukup disegani. Antara bukunya ialah:

Pacar merah Malaya. Singapura: Halmy, 1948.
Gelap menjelang terang. Singapura: Geliga, 1956.
Kabus pagi. Singapura: Geliga, 1958.
Api Dan Air Mata (1967)
Rumah Kaca Di Gegar Gempa (1969)
Merintis Jalan Ke Puncak (1971)
Tujuh Tahun Malam Memanjang (1976)
Sorotan Sekilas (1981)
Lambaian Dari Puncak (1983)
Testament Politik API
Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah dalam Api (2004)

KENALI RASHID MAIDIN

Rashid Maidin "Hero Malaya" (Wawancara Khas)

Bapak Rashid Maidin adalah seorang pejuang kemerdekaan ulung yang berasal daripada kaum buruh. Pada akhir tahun 1930-an, beliau melibatkan diri dalam perjuangan
menentang penjajah British, dan kemudian, fasis Jepun demi kemerdekaan tanah air dan pembebasan rakyat. Pada tahun 1955, beliau telah ikut serta dalam
Rundingan Baling yang berlangsung antara Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kerajaan berperintahan sendiri Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Hari
ini, beliau tetap dengan gigih berjuang demi kebebasan, demokrasi, keadilan masyarakat serta perdamaian dalam negeri yang diidam-idamkan rakyat tanah air
kita.

Soalan: Bilakah Bapak dilahirkan?

Rashid Maidin: Saya dilahirkan pada bulan Oktober tahun 1917.

Soalan: Kalau begitu, Bapak lebih tua daripada Bapak Abdullah C.D.

Rashid Maidin: Ya, Abdullah C.D. atau Cik Dat enam tahun lebih muda daripada saya. Beliau dan saya adalah rakan seperjuangan yang paling akrab sejak akhir
Perang Anti-Jepun hingga sekarang.
Soalan: Apakah rahsia kesihatan Bapak? Daripada wajah Bapak, Bapak kelihatan belasan tahun lebih muda. Bolehkah Bapak ceritakan secara terperinci untuk
pengetahuan generasi muda?

Rashid Maidin: (ketawa) Sebenarnya, tak ada sebarang rahsia. Menurut pengalaman saya, pertama-tama, kita mesti mempunyai semangat yang optimis untuk menjayakan
cita-cita hidup kita berjuang untuk rakyat dan tanah air. Ini paling penting. Selain itu, saya sentiasa amalkan latihan gerak badan, bersukan, termasuk
berjalan kaki dan latihan taichi qigong. Tambahan pula, alam sekeliling di hutan rimba yang hijau ini begitu menyegarkan. Udaranya bersih dan nyaman, tak
ada hingar-bingar dan debu-debu, seperti di kota.

Soalan: Kami juga dapat tahu Bapak seorang penggemar muzik.
Rashid Maidin: Ya, muzik, khasnya muzik asli, memang saya minati sejak kecil lagi.

Soalan: Ada orang mengatakan Bapak seorang penggesek biola.
Rashid Maidin: (ketawa) Oh, itu indah khabar dari rupa. Saya sudah lama gantung biola saya.

Soalan: Seperti tercatat dalam sejarah, Bapak salah seorang anggota perwakilan Parti Komunis Malaya dalam Rundingan Baling pada bulan Disember 1955.

Rashid Maidin: Ya, kami bertiga, iaitu Chen Ping, Chen Tien dan saya, telah menghadiri perundingan tersebut bagi pihak PKM.

Soalan: Apakah tujuan perundingan itu?

Rashid Maidin: Tujuannya adalah untuk mencari jalan bagi mencapai kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah British serta menamatkan perang yang dilancarkan
penjajah British yang bermula pada 20 Jun 1948.

Soalan: Bagaimanakah sikap orang ramai pada masa itu terhadap perwakilan PKM?
Rashid Maidin: Orang ramai sangat menginginkan kemerdekaan. Apabila rombongan kami keluar dari hutan di Kelian Intan dan dibawa dengan kereta ke Baling,
di sepanjang jalan, orang ramai tak putus-putus mengalu-alukan kami. Di Baling, puluhan ribu massa rakyat menunggu ketibaan kami dan menyambut kami dengan
pekikan “Merdeka”. Tempat penginapan kami di Baling dipagari kerawat berduri dan orang ramai tak dibenarkan masuk. Jadi, mereka berasak-asak di luar, ingin
melihat kami dan bersalaman dengan kami. Kami juga dengar mereka panggil nama kami. Pendek kata, orang ramai, baik Melayu mahupun bukan Melayu, menganggap
kami sebagai pejuang kemerdekaan. Suasana hangat itu begitu mengesankan dalam ingatan saya sampailah ke hari ini.

Soalan: Bagaimanakah sikap perwakilan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu masa itu?

Rashid Maidin: Perwakilan mereka disertai oleh Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock, David Marshall dan juga Abdul Hamid Jumat. Sungguhpun perundingan itu
perundingan damai, malangnya sikap mereka sangat keras, bahkan bermusuhan. Kami diberi kata dua, iaitu sama ada menyerah diri atau dihapuskan. Kami tentu
tidak boleh terima kata dua sedemikian.

Soalan: Apakah sikap PKM dalam perundingan itu?

Rashid Maidin: PKM mahu menamatkan perang, tapi biarlah dengan syarat adil dan munasabah. PKM menegaskan soal menyerah diri tidak timbul kerana kami bukan
pengganas, tapi pejuang kemerdekaan. Yang kami lawan bukan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, tapi pemerintah penjajah British. PKM juga menyokong rombongan
Tunku pergi ke London berunding dengan British untuk kemerdekaan. Tunku mengakui peranan penting perang gerila yang kami lancarkan dalam mencapai kemerdekaan
Malaya, dan beliau berjanji untuk menemui kami lagi setelah kembali dari London. Sayangnya, ini tidak berlaku. Sebaliknya, Kerajaan Tunku menerima syarat-syarat
penjajah British dan meneruskan perang warisan penjajah itu ke atas kami.

Soalan: Apakah ini sebab utama perang itu berubah menjadi perang dalam negeri?

Rashid Maidin: Ya.

Soalan: Berbalik kepada latar belakang Bapak, bolehkah Bapak ceritakan sedikit tentang keluarga Bapak?

Rashid Maidin: Saya lahir dalam keluarga miskin di Kampung Gunung Mesah, Gopeng, Perak. Datuk dan nenek saya berasal dari Rawa, Sumatera. Mereka berhijrah
ke Perak pada akhir abad ke-19. Adik-beradik saya lapan orang, tujuh lelaki dan satu perempuan. Saya anak yang paling tua.

Soalan: Benarkah Yang Berhormat Encik Yusuf Maidin, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Perak bagi kawasan Sungai Manik, itu adik Bapak?

Rashid Maidin: Benar. Ketika dia di sekolah vokesyenal, saya membantu belanja persekolahannya.

Soalan: Bagaimanakah persekolahan Bapak sendiri?

Rashid Maidin: Saya belajar di Sekolah Melayu Gunung Panjang, Gopeng, dan lulus darjah 5. Pada sebelah petang, saya belajar agama di madrasah Kampung Gunung
Mesah. Kerana ibu bapa saya miskin, lepas tamat sekolah Melayu pada tahun 1928, saya pun terpaksa mencari kerja.

Soalan: Tapi Bapak boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Bil
Rashid Maidin: Sebagai anak Perak, semangat anti-British memang sudah tersemai kerana pengaruh Perang Maharajalela. Pengaruh ini meresapi diri saya sejak
kecil lagi. Setelah bersekolah, saya pun ada membaca buku-buku tentang perang ini. Saya menceburkan diri dalam kegiatan berorganisasi mulai tahun 1937,
iaitu dengan menjadi anggota Persatuan Drebar-Drebar Melayu Perak. Pada tahun 1939, ketika bekerja di Tanjung Tualang, saya menjadi ahli kesatuan sekerja
Kinta Mining Workers Association. Di situlah, saya mendapat didikan secara langsung daripada seorang kader bawah tanah PKM yang bernama Lai Raifel atau
Lai Fook yang bekerja sebagai buruh bersama saya. Melaluinya, saya dapat membaca pelbagai jenis buku politik. Kesedaran kelas saya beransur-ansur meningkat,
dan saya diterima menjadi anggota PKM pada penghujung tahun 1941. Raifel dan saya juga berusaha untuk menyusun kaum buruh Melayu dalam kesatuan sekerja,
tapi usaha ini terhenti apabila meletusnya perang.

Soalan: Apakah kegiatan Bapak semasa Jepun menduduki Malaya?

Rashid Maidin: Semasa pendudukan Jepun, saya terus bekerja di lombong kapal korek Tanjung Tualang, yang telah beralih ke tangan Jepun. Terhadap fasis Jepun,
saya ambil sikap talam dan muka. Secara rahsia, saya buat kerja propaganda di kalangan kaum buruh, mendedahkan kezaliman fasis Jepun serta mend
Rashid Maidin: Sebagai anak Perak, semangat anti-British memang sudah tersemai kerana pengaruh Perang Maharajalela. Pengaruh ini meresapi diri saya sejak
kecil lagi. Setelah bersekolah, saya pun ada membaca buku-buku tentang perang ini. Saya menceburkan diri dalam kegiatan berorganisasi mulai tahun 1937,
iaitu dengan menjadi anggota Persatuan Drebar-Drebar Melayu Perak. Pada tahun 1939, ketika bekerja di Tanjung Tualang, saya menjadi ahli kesatuan sekerja
Kinta Mining Workers Association. Di situlah, saya mendapat didikan secara langsung daripada seorang kader bawah tanah PKM yang bernama Lai Raifel atau
Lai Fook yang bekerja sebagai buruh bersama saya. Melaluinya, saya dapat membaca pelbagai jenis buku politik. Kesedaran kelas saya beransur-ansur meningkat,
dan saya diterima menjadi anggota PKM pada penghujung tahun 1941. Raifel dan saya juga berusaha untuk menyusun kaum buruh Melayu dalam kesatuan sekerja,
tapi usaha ini terhenti apabila meletusnya perang.

Soalan: Apakah kegiatan Bapak semasa Jepun menduduki Malaya?

Rashid Maidin: Semasa pendudukan Jepun, saya terus bekerja di lombong kapal korek Tanjung Tualang, yang telah beralih ke tangan Jepun. Terhadap fasis Jepun,
saya ambil sikap talam dan muka. Secara rahsia, saya buat kerja propaganda di kalangan kaum buruh, mendedahkan kezaliman fasis Jepun serta mendidik kaum
buruh tentang perjuangan kelas dan Parti Komunis. Kegiatan itu bertujuan berkoordinasi dengan perang gerila yang dilancarkan oleh Tentera Anti-Jepun. Untuk
memperbaiki kehidupan kaum buruh, yang sangat buruk waktu itu, kami membuat pakatan mengambil bijih di lombong waktu tengah malam dan menjualnya kepada
pemborong gelap. Ini dapat menambah pendapatan kaum buruh sekali ganda.

Soalan: Bolehkah Bapak terangkan sedikit keadaan setelah Jepun menyerah diri?

Rashid Maidin: Masalah pokok masa itu bagi orang ramai ialah kelaparan. Untuk mengatasi masalah ini, PKM telah melancarkan gerakan menentang kelaparan
yang diikut serta oleh berpuluh ribu orang ramai. PKM mengemukakan beberapa tuntutan kepada British: (1) Beri wang $10 seorang untuk menggantikan wang
Jepun yang sudah tidak laku lagi; (2) Segera beri kerja kepada kaum penganggur; (3) Ubati orang sakit; (4) Segera hantar makanan ke Malaya dan berikannya
kepada orang ramai. Saya campur gerakan ini di Ipoh. Di sana, di bawah anjuran Parti, kami mengadakan kegiatan masak nasi kawah untuk orang ramai yang
lapar. Ini dapat membantu masalah orang ramai dalam batas tertentu, tapi British sangat marah. Mereka menghantar seorang pegawai tinggi dari Kuala Lumpur
ke sana untuk mengugut kami. Kata pegawai itu, dia datang tidak membawa makanan, tapi bawa senapang dan meriam. Kebiadaban British ini mengobarkan lagi
gerakan anti-kelaparan yang terus menjalar ke lain-lain tempat.

Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan sedikit hubungan Bapak dengan Bapak Abdullah C.D.?

Rashid Maidin: Masa pendudukan Jepun, Abdullah C.D. masuk pasukan gerila. Saya berkenalan dengannya pada penghujung perang anti-Jepun apabila beliau keluar
dari hutan. Kemudian, setelah Jepun kalah, kami bersama-sama bekerja dalam pasukan propaganda PKM yang beribu pejabat di Ipoh. (Pasukan propaganda itu
diketuai oleh Eng Min Chin, sebelum beliau mendirikan rumah tangga dengan Abdullah C.D. lebih 45 tahun yang lalu. Beliau memeluk agama Islam; nama Islamnya
Suriani binti Abdullah.) Waktu itu, kerana komplotan Jepun dan British, timbul situasi pergaduhan kaum antara Melayu dan Cina. Kami berdua ditugaskan bergerak
ke merata tempat untuk mendamaikan pergaduhan tersebut. Pada tahun 1946, kami berdua ditugaskan pula ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan kerja Melayu di
kalangan pelbagai lapisan masyarakat, khasnya kaum buruh. Selain itu, kami juga bekerja di akhbar Pelita Malaya dan Suluh Malaya. Di Kuala Lumpur, kami
tinggal bersama di sebuah rumah sewa. Ke mana-mana saja kami pergi, kami sering bersama.

Soalan: Kami tahu Bapak pernah ke London selepas perang.
Rashid Maidin: Ya, saya ikut serta dalam rombongan tiga orang mewakili PKM menghadiri persidangan parti-parti komunis empayar British pada tahun 1947 di
London. Persidangan ini dihadiri oleh wakil parti komunis dari tanah jajahan dan bekas tanah jajahan British seperti Burma, Ceylon (Sri Lanka), India,
Australia, Kanada, Kuba serta negeri-negeri Timur Tengah. Persidangan itu membahas masalah gerakan pembebasan dan mengeluarkan perisytiharan menuntut kemerdekaan
bagi tanah-tanah jajahan.

Soalan: Ada apa-apa peristiwa menarik di persidangan itu?

Rashid Maidin: Ada beberapa peristiwa sampingan yang boleh saya sebut di sini. Pertama, dalam perjalanan ke London, kami singgah di India selama dua hari
sebagai tamu Parti Komunis India, yang ketika itu dipimpin oleh P.O. Joshi. Di London pula, rombongan kami diberi penghormatan tinggi sebagai pahlawan
anti-Jepun oleh persidangan itu. Kami juga dapat berkenalan dengan pemimpin parti-parti sekawan dari pelbagai negeri. Sampai sekarang, kami masih berkirim
salam dan bertanya khabar.

Selain itu, ketika di London, dengan tak disangka-sangka, Tunku Abdul Rahman, yang sedang belajar undang-undang di England, telah mengutus surat kepada
rombongan kami. Antara kandungan surat itu, Tunku meminta maaf kerana tidak dapat hadir sebagai pemerhati di persidangan parti-parti komunis itu. Beliau
juga menyatakan harapan agar sidang itu memperoleh kejayaan. Bekas Residen British di Selangor pula menulis surat kepada saya meminta saya melapangkan
masa untuk menemuinya. Mungkin, bagi British pada masa itu, kenyataan bahawa orang Melayu mencampuri gerakan Parti Komunis adalah satu hal yang besar.

Soalan: Apakah tanggapan Bapak terhadap peristiwa itu?

Rashid Maidin: Saya rasa ini menunjukkan PKM dihormati oleh pelbagai pihak di dalam dan di luar negeri.

Soalan: Bagaimanakah sambutan orang ramai, khasnya orang Melayu, terhadap PKM waktu itu?

Rashid Maidin: Sambutan orang ramai memang baik. Saya beri satu contoh. Setelah berdirinya PKMM, saya mula berkenalan dan bekerjasama dengan tokoh Melayu
lainnya seperti Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam dan Pak Sako. Sekembalinya kami dari London, saya bersama Dr. Burhanuddin, yang juga baru pulang daripada
Persidangan Se-Asia di New Delhi, telah menjelajah ke seluruh pelosok tanah air untuk menerangkan perjuangan anti-penjajah – saya atas nama PKM, dan beliau
atas nama PKMM. Kami mulakan lawatan kami dari Melaka terus hingga ke Perlis, kemudian berputar dan pergi lagi sampai ke Kelantan. Rapat umum yang kami
adakan dihadiri oleh puluhan ribu orang. Di setiap negeri yang kami kunjungi, kami diberi sambutan yang luar biasa hangatnya oleh orang Melayu dan kaum
lain.

Soalan: Kami difahamkan Bapak pernah ditangkap penjajah British dan dipenjarakan. Bagaimanakah hal sebenarnya?

Rashid Maidin: Saya ditangkap kira-kira sebulan selepas Darurat diisytiharkan, iaitu pada bulan Julai 1948 di Labu Kubung, Sungai Manik, Perak. Mula-mula,
saya dipenjarakan di Taiping selama enam bulan. Selepas itu, saya, bersama-sama kira-kira 50 orang tahanan lain, termasuk Ustaz Abubakar Al-Bakir, Cikgu
Sabrun dan lain-lain anggota PKMM, digiring ke Pulau Jerejak. Dari Taiping ke Pulau Jerejak, kami digari beramai-ramai, 10 hingga 12 orang dengan seutas
rantai panjang. Di kem tahanan Pulau Jerejak, ada kira-kira 500 orang tahanan pelbagai kaum. Di sana, kami tubuhkan jawatankuasa mogok menentang peraturan
penjajah British yang tidak membenarkan kami beli barang makanan dari luar atau terimanya dari rumah.

Soalan: Apakah tuduhan yang dikenakan ke atas Bapak?
Rashid Maidin: Saya dituduh sebagai komunis. Ramai pak haji, ustaz, guru dan lain-lain semuanya dituduh sebagai komunis. Ketua Intelijen British yang menyoal
siasat saya mengatakan saya akan ditahan bertahun-tahun. Saya tanya: “Sebab apa dan apa buktinya?” Dia membuka fail catatannya dan memetik ucapan-ucapan
saya dalam rapat umum di mana saya pernah berkata: “Selagi ada penjajah British di Malaya, kita akan berjuang terus.”

Setelah satu setengah tahun di Pulau Jerejak, saya dibawa pula ke Pulau Tanjung Beruas, Melaka. Penjara Tanjung Beruas lebih besar, mengandungi 1000 orang
lebih tahanan, yang ditempatkan dalam blok-blok. Bagi satu-satu blok, terdapat 200 hingga 300 orang. Saya dimasukkan dalam Blok K bersama Cik Muda dari
Terengganu, Cikgu Hamid dari Kelantan, Ustaz Yahya Nasim dari Selangor dan lain-lain anggota PKMM. Saya dipilih oleh kawan-kawan sebagai “Presiden Blok
K”. Pak Sako dan Boestamam juga dipenjarakan di Tanjung Beruas, tapi ditempatkan dalam blok yang lain. Saya acap kali berjumpa dan berbincang dengan mereka
di penjara itu.

Soalan: Bagaimanakah keadaan di penjara Tanjung Beruas?

Rashid Maidin: Pada mulanya, keadaan di sana lebih buruk daripada Pulau Jerejak. Misalnya, kami dipaksa angkut najis sendiri setiap pagi dan cuci jamban.
Ini benar-benar menyebabkan kami marah. Setelah seminggu di sana, saya dan kawan-kawan bentuk satu jawatankuasa untuk melancarkan mogok lapar. Tuntutan
kami ialah: (1) Berhentikan angkut najis sendiri, (2) Benarkan kami dirikan madrasah. Setelah tiga hari mogok, penjajah British mengalah dan menerima tuntutan
kami. Selain itu, kami juga diberi kemudahan lain, termasuk bermain badminton waktu malam serta dapat membaca akhbar Straits Times. Tapi akhbar Utusan
Melayu tidak dibenarkan.

Soalan: Kami dapat tahu Bapak dapat lepaskan diri daripada penjara itu. Ini benar-benar satu keajaiban!

Rashid Maidin: (ketawa) Bukan, ini bukan satu keajaiban. Sebenarnya, setelah dua tahun di Tanjung Beruas, muncul satu perkembangan baru. Kerana ekonomi
British merosot akibat perang yang dilancarkannya terhadap Parti Komunis Malaya dan Tentera Pembebasan Nasional Malaya, ia pun menggunakan tahanan seperti
kami menjadi buruh murah untuk membangun balai polis dan lain-lain. Dari Tanjung Beruas, 12 orang tahanan, termasuk saya, telah dipilih menjadi buruh untuk
membangun sebuah balai polis di Caruk Batang, Jasin, Melaka. Kami diberi upah $1 sehari dan tinggal di berek polis yang dipagari kerawat berduri. Kerana
saya mahir dengan soal elektrik, jurutera binaan di situ banyak bersandar pada saya. Pelan bangunan balai polis yang hendak dibina itu pun diserahkan kepada
saya, manakala dia sendiri kadang-kadang datang, kadang-kadang tidak.

Yang menjaga kami ialah beberapa orang polis Melayu, dengan diketuai oleh seorang sarjan yang telah bersara, bernama Pak Mi. Kami bernasib baik kerana
Pak Mi benar-benar tak puas hati terhadap penjajah British, yang memaksanya berkhidmat semula dalam polis. Sebelum Darurat, Pak Mi pula pernah campur rapat
umum dan kenal dengan saya. Dia memberitahu saya, tugasnya hanya menjaga “kerbau balar” (maksudnya orang putih), bukannya untuk menjaga tahanan. Pak Mi
rapat dengan saya. Apabila makan tengah hari, dia dan polis lain makan bersama kami. Dia selalu bawa Utusan Melayu dan meminjamkannya kepada saya.

Di tepi tempat kami bekerja, ada sebuah kedai kopi orang Cina. Juga ada seorang budak Cina berumur 12 tahun menjaga lembu di situ. Melalui budak itu, saya
mendapat hubungan dengan pasukan gerila kami di Melaka. Apabila perjanjian dengan kawan-kawan pasukan gerila sudah matang, saya bersama seorang tahanan
lain, seorang pemuda bernama Yusuf dari Johor, membuat rancangan untuk melarikan diri semasa bekerja dan masuk hutan. Suatu hari, ketika makan tengah hari,
saya dan Yusuf pura-pura sakit perut dan minta izin ke jamban. Kami dibenarkan pergi ke jamban tanpa dikawal. Mengambil kesempatan itu, kami pun terus
lari ke hutan di mana bendera merah pasukan gerila, yang merupakan isyarat kami, sedang berkibar-kibar.

Soalan: Bagaimanakah Bapak dapat bergabung dengan pasukan Rejimen ke-10?
Rashid Maidin: Saya melarikan diri pada awal tahun1952 setelah kira-kira tiga setengah tahun dalam penjara. Setelah bergabung dengan pasukan gerila, saya
dibawa dari satu tempat ke satu tempat untuk bertemu dengan Jawatankuasa Pusat PKM dan Rejimen ke-10. Perjalanan dari Melaka ke pangkalan Rejimen ke-10
di Pahang memakan masa hampir setahun melalui hutan. Setelah sampai di Kerdau, Pahang, pada akhir tahun1952, barulah saya bertemu semula dengan Abdullah
C.D.. Sejak itu, saya terus berjuang di Rejimen ke-10.

Soalan: Apakah peranan Bapak dalam PKM dan Rejimen ke-10?

Rashid Maidin: Dalam PKM, saya menjadi salah seorang anggota Jawatankuasa Pusat. Di Rejimen Ke-10, saya bersama Abdullah C.D. dan pemimpin lain memimpin
pasukan ini melancarkan perjuangan, baik semasa di Malaya, mahupun di sempadan. Saya pernah luka di kaki dalam pertempuran melawan penjajah British.

Soalan: Apakah Bapak pernah bertugas di pasukan lain selain daripada Rejimen ke-10?
Rashid Maidin: Oh ya, untuk satu masa kira-kira selama 10 tahun, saya bersama-sama memimpin Pasukan Kawasan Khas. Kemudian, pada tahun 1972, saya balik
semula ke Rejimen ke-10.

Soalan: Apakah pendapat Bapak tentang peranan perjuangan bersenjata serta perjuangan rakyat tanah air kita dewasa ini?

Rashid Maidin: Kebanyakan masalah ini serta dasar-dasar PKM berhubung dengannya sudah pun dijelaskan oleh Pengerusi kami, Abdullah C.D., dalam temu bualnya.
Jadi, saya tak akan mengulanginya di sini. Cuma satu perkara saja ingin saya tegaskan, iaitu masalah perang dalam negeri dan perdamaian. Parti Komunis
Malaya bukan sebuah parti yang haus perang, bahkan merupakan sebuah parti yang cintakan perdamaian. Rakyat juga cintakan perdamaian. Sebab itulah, kami
pergi ke Baling dulu. Kami bersedia menamatkan perang dalam negeri dengan syarat yang adil dan munasabah. Kami bersedia berjuang bersama-sama parti politik
lainnya secara damai dan demokratik untuk sama-sama membangun tanahair kita menjadi sebuah negara yang demokratik politiknya, makmur ekonominya, maju kebudayaannya,
serta bersatu bangsanya.

Soalan: Bapak adalah seorang pejuang yang besar bagi tanah air dan bangsa kita yang telah bersama-sama memimpin perjuangan selama puluhan tahun ini. Bapak
merupakan satu contoh yang patut diteladani, khasnya oleh angkatan baru. Sebagai penutup temu bual ini, apakah pesanan Bapak kepada angkatan baru?

Rashid Maidin: Sebagai orang tua, saya ada satu pesanan dan juga harapan kepada angkatan baru. Kemajuan negara, pembangunan negara dan masyarakat bersandar
kepada angkatan baru. Hari depan juga milik angkatan baru. Tapi, sekarang, ada satu kecenderungan yang bahaya di dunia dan di negara kita, baik dalam politik,
dalam masyarakat dan lain-lain – satu kecenderungan yang merosakkan angkatan baru. Misalnya, kebudayaan kuning, dadah, teori yang keliru dalam politik,
pelbagai gerakan yang menyesatkan, gaya hidup yang individualistik, yang hanya mementingkan diri sendiri, dan sebagainya. Angkatan baru perlu nampak bahaya
aliran ini dan harus menentangnya dengan tegas. Mereka patut menceburkan diri dalam gerakan yang sihat, yang berperanan membangunkan negara dan masyarakat,
menegakkan demokrasi dan keadilan serta memupuk perpaduan antara kaum.

nota: wawancara ini dibuat oleh wartawan Suluh Rakyat pada tahun 1989

EMAIL THIS
BLOGTHIS!
SHARE TO TWITTER
SHARE TO FACEBOOK

nn20 frame

Flash movie start
Flash movie end

nn20 frame end

Nuffnang Ads

AT
10:49:00 AM

LABELS:
KOMUNIS,
MERDEKA,
RAHSID MAIDIN