Ahad, 24 Oktober 2010

20 TAHUN NIK AZIZ SEBAGAI MENTERI BESAR

Sebagai seorang yang kenal Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat walau pun tak menghampirinya biarpun sejenak, Namun beliau adalah seorang insan hebat kurniaan Allah kepada umat Islam kini lebih-lebih lagi kepada setiap amilin PAS yang telah sekian lama memberi pengorbanan semampu yang ada bagi memartabatkan kalimah Allah di bumi Malaysia ini. Sesungguhnya beliaulah insan yang telah menterjemahkan segala pemikiran, idea, pandangan, hasrat dan harapan para pemimpin PAS yang terdahulu dalam bentuk amali dan realiti.

20.10.2010 adalah merupakan tarikh yang cukup bermakna bagi seluruh amilin PAS kerana di hari itulah genapnya 20 tahun Tok Guru menjadi Menteri Besar Kelantan dengan berdepan dengan pelbagai cabaran, mehnah, pancaroba dan fitnah dari musuh-musuh beliau. Namun dengan keikhlasan dan pengharapan yang tinggi kepada Allah selaku pelindungNya, pengawalNya juga tuhanNya maka beliau dapat menempuh segalanya dengan tenang dan tabah melalui petunjuk Allah. Di bawah ini diperturunkan suatu coretan kisah sebahagian dari ratusan mungkin ribuan kisAH benar asam garam perjuangan seorang ulama yang mempunyai kuasa eksekutif sebagai menteri besar yang dipetik dari http://msomelayu.blogspot.com setelah mendapat keizinan pemilik blog berkenaan..

"[kemaskini] MEREKA atau individu yang merasakan saya sebagai seorang peminat kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mungkin tidak percaya kalau saya sudah
tidak bertemu muka dan bersalaman dengan beliau hampir tiga tahun.

Apa lagi orang masih melihat konteks batin dan naluri kemanusiaan saya dengan beliau cukup kuat. Ia tercermin di mana-mana saja akan hal ini. Kandatipun
saya sesekali mengkritik beliau, tetapi kritikan itu akan lebih mengemenkan lagi tali konteks batin saya dengan beliau. Orang tahu dan beliau sendiri tahu
bahawa kritikan saya tidak lebih daripada sang ibu kerbau yang menanduk anaknya kerana ingin memberi peringatan. Sesungguhnya tandukan itu tidak akan merodak
ke hulu hati si anak yang mulia.

s320/Majlis+perlancaran+20+th+copy
Antara saya dengan beliau ada perjanjian dan ba'iah yang tidak mungkin difahami oleh sesiapa. Hanya kami saja yang sedia maklum. Apakah lafaz dan ikrar
hanya terbungkus dalam hati kami yang disaksikan malaikat di kiri dan di kanan. Ianya sangat peribadi untuk diangkatkan di sini. Justeru atas kekemasan
tali perhubungan itu saya tidak pernah merasakan yang Tok Guru terkedu hati atau marahkan saya, kalau saya jadi sebaliknya. Tidak..

Rasanya ketika Tok Guruku itu sedang berbulan madu dengan sambutan sempena genap 20 tahun pentadbirannya selaku MB Kelantan dewasa ini tidak elok kalau
saya mencungkilkan sebab musabab kenapa saya tidak bertemu muka dengannya. Biarlah ia menjadi sebahagian sejarah antara kami - terutamanya saya. Mungkin
dilain lembaran dan keadaan akan diceritakan kenapa saya merajuk sendiri tanpa diketahui pun oleh Tok Guru.

Namun beliau tahu akan sebab musabab perenggangan itu. Tahu sangat. Selalunya kalau saya lama tidak muncul di Kelantan ataupun berada di laluan di mana-mana
dewan untuk beliau menuju ke pentas untuk bersalam dan mencium tangannya, dia akan bertanya kenapa, lama tidak timbul kalau beliau merasakan saya lama
tidak menemuinya? Atau pun akan bertanya sihat ke dan buku baru apa judulnya?

Apabila beliau bertanya demikian saya mengira dia mengunci segala pergerakan saya dalam ainu politiknya.

Hari ini atau tepatnya 21 Oktober lalu genap 20 tahun Tok Guru menerajui Kelantan Darulnaim sebagai MB. Satu kejayaan besar dan rekod tersendiri buatnya.
Saya mengira rekod ini tidak mungkin akan terpecah oleh mana-mana tokoh baik dari Pas ataupun Umno selepas ini. Dua dekad, satu jangka masa terlalu panjang
yang menunjukkan betapa stabilnya pemerintahan seseorang itu dalam politik kontemporari ini. Pastinya tanpa ada senjata ampuh dan politik bijaksana ianya
tidak akan sampai ke tahap itu. Dalam hal ini pada saya Tok Guru memiliki cenduai politik yang sangat menyerap dan mujarab.

Kalau orang Umno berbangga dengan pencapaian Dr Mahathir Mohamad menjadi PM selama 22 tahun, maka orang Pas juga perlu berbangga dengan pencapaian Tok
Guru Nik Aziz itu. Bahkan orang Pas patut merasakan mereka merasakan kebanggaan mutlak kerana pencapaian Nik Aziz bukan atas politik adu domba, politik
menggunakan kuasa tetapi politik kesedarhanaan dan tulus ikhlas. Mahathir berjaya menjadi PM kerana kelicitan beliau menyingkir seorang demi seorang kawan
politiknya yang dianggap menjadi musuh tanpa berhati perut.

Mahathir singkir Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu perlawanan penuh misteri dan tertanya-tanya sampai kini tahun 1987. Ada berpendapat kekalahan Tengku
Razaleigh hanya dengan kekurangan 53 undi adalah kekalahan yang palsu. Selepas itu Dr Mahathir menyingkirkan Musa Hitam. Terbaru dan amat menghuruharakan
parti itu menyingkirkan Anwar Ibrahim menerusi satu konspirasi yang memalukan ummah dan negara tahun 1998.

Namun tidak begitu dengan Tok Guruku Nik Aziz. Dia tidak menyingkir sesiapa, dia tidak memanipulasikan kuasa dan kedudukannya untuk terus kekal dan tercokol
di atas kerusinya. Beliau bukan bersikap autokrasi untuk mengekalkan diri atas jemala kekuasaan. Sebaliknya dia diminta dan dirayu oleh rakyat. Disokong
dan didoa oleh rakyat. Jadi sokongan rakyat kepadanya lebih kudus dan murni daripada kekaguman kepada Mahathir Mohamad.

Barang kali tidak melampau kalau dikatakan, jikalau Allah tidak memberi kesempatan Pas memerintah Malaysia, tetapi cukup bagi orang Pas buat ketika ini
menerima kehadiran Nik Aziz sebagai MB Kelantan dan di mana aura kehebatannya turut sama dirasai oleh segenap lapisan rakyat dan jiwa negara ini.

Saya sebagai peminat beliau sedari kecil bebangga atas pencapaian Tok Guru. Syabas dan tahniah. Sebenarnya wajar kalau Tok Guru mampu melalui dua dekad
pentadbiran atau lebih panjang dari itu. Kekuatan yang ada kepadanya bukan memanipulasi kuasa politik tetapi ia adalah rahmat dan pertolongan Allah. Beliau
tidak berlawan dengan musuh menerusi politik struggle tetapi dengan menyerah kepada Allah. Itu saja senjata utama baginya, berdoa dan meminta keredhaan
Allah.

Kalau Nik Aziz mengharapkan kepada kuasa politik semata-mata pasti dia tidak akan sampai ke takah itu. Dia akan mati di tengah jalan. Dia tidak bermain
dengan kuasa politik dan menjadikan nafsu sebagai pengawalnya. Keikhlasannya membimbing dia terus untuk memerintah Kelantan. Sekali lagi doa menjadi senjata
dan perawat sukadukanya. Yang memberi kekuatan dan daya istiqamah yang tinggi.

Dalam melihat perjalanan politik Tok Guru sebagai MB dan ahli siasah, bohonglah kalau di sepanjang dua dekad itu beliau tidak pernah dibaham kedukaan atau
tidak menangis. Atau tidak pernah dioleng rasa cemas dan walang atas permainan pihak musuh.

Atas sifatnya sebagai manusia biasa, beliau juga tidak dapat terlepas dari segala pencaroba itu. Selaku peminatnya dan pendamping secara halimunan saya
menyaksikan akan detik-detik yang memberi cemas kepadanya. Detik-detik menjadikan dia menggeletar dan takut kepada Allah kerana tidak dapat terus menjaga
negerinya sekiranya kekuasaan Islam menerusi Pas hilang.

s320/Nik+Aziz+20+th
Ada dua peristiwa yang berlaku di depan mata dan ini juga dapat dirasai oleh rakyat seluruhnya bagaimana Tok Guru pernah berada dalam keadaan cemas yang
membimbangkan. Pertama ialah ketika berlaku krisis dengan pihak istana Kelantan tahun 1995 selepas Tengku Razaleigh menguburkan Semangat 46 untuk mendakap
semula Umno. Kerana waktu itu istana diperalatkan oleh golongan tertentu telah menganggu Tok Guru Nik Aziz. Tugas dan tanggungjawabnya sebagai MB dicabar
dan diganggu. Matlamatnya satu mahu melemahkan kerajaan Tok Guru.

Dengan krisis ini sehingga berlaku sesuatu yang tidak seharusnya berlaku yang rasanya tidak manis untuk disebut semula di sini. Dalam krisis ini Tok Guru
dihina sebagai manusia dan MB. Beliau seakan akan hilang segalanya, termasuk kerajaan Kelantan. Namun berkat kesabaran dan doa akhirnya krisis itu mereda
dan keadaan kembali pulih. Pihak yang memusuhinya juga akhirnya mengangkat tangan surrender atas kebenaran.

Bayangkan kalau bukan sembarangan, beliau boleh tewas dalam mengharungi krisis berkenaan. Betapa bukan kecilnya krisis itu bila mana seorang MB dinafikan
haknya, maruahnya diinjak bila mana huluran salamnya tidak mahu disambut oleh sultan. Kejadian ini bukan dalam kamar sempit tersembunyi tetapi di khalayak.
Peritiwa itu penakanya mahu melondehkan maruah Tok Guru itu.

Beluam ada sejarah dalam politik negara ini MB yang berkrisis dengan istana dapat meneruskan pentadbirannya. Seorang demi seorang MB yang menghadapi masalah
dengan sultan akhirnya membungkus tikar bantal pulang ke rumah. Namun ini tidak terjadi kepada Tok Guru. Pihak istana yang mendapat nasihat tidak betul
akhirnya kembali ke jalan benar, menerima Tok Guru sebagai memanda menteri semula yang bertakwa dan beriman. Semua ini ialah kerana pendekatan dan sikap
tasamuh diamalkan oleh Tok Guru yang senantiasa berdoa siang dan malam meminta Allah menunjukkan kebaikan kepada semua.

Saat cemas kedua yang saya saksi ialah pada malam keputusan pilihan raya umum ke 11 tahun 2004. Tidak ada detik dan suasana yang saya rasakan telah menelorkan
kerimasan begitu dahysat kepada seorang Tok Guru dan MB. Semuanya kerana Pas kehilangan banyak kerusi. Beliau begitu bimbang sekali Pas akan kehilangan
kerajaan, namun disudut hati kecilnya kalau kehilangan itu demi kebaikan tentu beliau redha.

Sepanjang malam itu di atas pejabat Pas di Jalan Dato' Pati Kota Bharu beliau bersolat hajat dan berdoa kepada Tuhan. Sedulang buah-buahan yang dihidang
untuk menghambat kerisauan sementara menunggu keputusan langsung tidak disentuhnya. Wajahnya juga muram durja. Tatkala ada perkhabaran jahat mengatakan
BN sudah menguasai 2/3 kerusi Dun Kelantan, saya nampak wajahnya pucat dan beliau kelihatan nanar untuk mencari bilik air bagi mengambil wuduk mendirikan
solat bagi mendamaikan jiwa.

Tiada kesayuan pada saya melebihi kesayuan malam itu melihat keadaan Tok Guru. Kalaulah malam itu saya boleh membeli tunai segala keresahan dan kewalangannya,
tentu sekali saya akan memborongnya semua sekali. Tidak rela melihat seorang tok guru semulia dan seikhlas itu berdukadurja begitu. Tetapi, inilah kelebihan
Tok Guru dan orang yang bergantung kepada Tuhan. Baginya apa yang akan berlaku semuanya atas kehendak Allah dan manusia tidak boleh menghalangnya.

Selepas itu tidak ada lagi bala besar yang menimpa dirinya. Kalau pun ada ada cerita-cerita dalaman parti yang boleh membingkitkan telinganya. Semuanya
dapat diatasi dengan sikap tawaqus dan doa memanjang. Sikap adil atas kebenaran dan sikap tegas kerana kebenaran menjadikan ubat atas segala itu. Justeru
mereka yang cuba untu mengkhinatinya menjadi relai dan insaf sendiri.

Paling akhir ialah serangan jahat ke atasnya yang cuba menghancurkan personaliti beliau sebagai seorang tok guru. Serangan ini dibuat berangkaian dengan
serangan ke atas anak menantunya. Tuduhan kononnya beliau menerima rasuah untuk mengerjakan haji adalah satu perbuatan jahat yang sungguh tidak bermoral
dan keji. Ia benar-benar mengilan dan mendukacitakan hati Tok Guru berkenaan. Malahan rakyat Kelantan yang tidak berpihak kepada mana-mana warna (parti)
juga kesal atas fitnah melampau itu.

Sekali lagi atas kesabaran dan kebenaran beliau berjaya mengatasi segalanya. Dan kekecewaan itu telah digandakan pula oleh Tuhan, di mana tahun ini beliau
dikatakan akan mengerjakan haji, bersama Sultan Mohamad Ke 5. Inilah kerja Tuhan yang tidak ada sesiapa dapat membacanya dan menghalangnya. Semalam Tok
Guru di keji dan dihina ataupun dipermainkan, tetapi hari ini esok darjatnya diangkat setinggi-tingginya.

Menilai segala kejayaan, pengorbanan dan kesungguhan Tok Guru menjadi MB dan mentadbir Kelantan selama 20 tahun rasanya tidak terbalas oleh sesiapa pun.
Jasa dan pengorbanan itu sangatlah besar. Hanya Allah jugalah yang boleh membalas. Dan seperti telah dijanjikan apabila genap saja 20 tahun Tok Guru jadi
MB dan membawa Kelantan menerajui perubahan, Allah talaala memberi ganjaran duniawi besar kepadanya dengan mentakdirkan Tengku Mohamad Faris Petra menjadi
sultan Kelantan yang baru.

Gandingan antara Tok Guru dengan Sultan Mohamad Ke V adalah gandingan seperti cekrawala bulan dan mentari. Tok Guru memerintah dengan cahaya kelembutan,
Sultan Mohammad Ke V memerintah dengan cahaya ketegasan dan keadilan. Dan ciumanku di perkarangan hotel Fully Inn Gua Musang malam kelmarin adalah ciuman
kasturi sebagai cederahati dari seorang marhaen kepada seorang memanda kesayangan Sultan."

Terima kasih kepada pemilik blog tersebut atas nukilan beliau dan keizinannya untuk saya menyalinnya ke blog ini.

Tiada ulasan: